top of page

Hubungan Antara Hukum Taurat & Dosa


Roma 5:12-13

12. Sebab itu, sama seperti dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang, dan oleh dosa itu juga maut, demikianlah maut itu telah menjalar kepada semua orang, karena semua orang telah berbuat dosa. 

13. Sebab sebelum hukum Taurat ada, telah ada dosa di dunia. Tetapi dosa itu tidak diperhitungkan kalau tidak ada hukum Taurat. 

 

Hukum Taurat bukanlah dosa dan dosa bukanlah hukum Taurat. Hukum Taurat itu adalah hukum Allah yang sempurna, kudus, baik dan benar. Namun, ketika hukum itu dilanggar, dosa dimanifestasikan kerana dosa adalah pelanggaran akan hukum Allah (1 Yoh 3:4). Dosa telah masuk ke dalam dunia oleh satu orang (Adam). Akibat dosa Adam, maut telah menjalar kepada semua keturunan Adam termasuklah anda dan saya serta semua orang yang telah dilahirkan ke dunia ini.

 

Sebagai seorang pastor muda-mudi di gereja saya, saya seringkali ditanya soalan ini; pastor, bagaimana pula dengan semua bayi yang telah meninggal, adakah mereka masuk Syurga atau neraka? 

 

Saya memahami kemusykilan mereka kerana kalau difikirkan secara logik, agak tidak adil untuk mengatakan bahawa bayi akan masuk ke neraka kerana mereka belum mengenal dosa apa lagi untuk melakukan dosa. Sekiranya kita mengatakan bahawa bayi masuk ke Syurga, pernyataan ini juga sangat mengelirukan kerana bayi secara umumnya tidak mampu beriman untuk menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Juruselamat. Tidak seorangpun dapat datang kepada Bapa kalau bukan melalui Yesus (Yoh 14:6). 

 

Secara peribadi, saya juga mengalami kesukaran untuk menjawab persoalan di atas. Saya telah mendengar pelbagai jawapan daripada hamba Tuhan yang lain, namun hal yang begitu mewahyukan saya adalah ayat 13 di atas; ...Tetapi dosa itu tidak diperhitungkan kalau tidak ada hukum Taurat. Bagi orang Yahudi, anak-anak kecil hanya akan diperkenalkan dengan hukum Taurat seawal umur lebih kurang 5 tahun. Jadi, mereka hanya akan tahu tentang yang baik dan yang jahat menurut Taurat sekitar umur 5 tahun ke atas. Walaupun bayi mempunyai sifat semula jadi yang berdosa kerana merupakan keturunan Adam, namun ciri berdosa itu tidak akan diperhitungkan kepada mereka kerana hukum Taurat belum mampu diajarkan. Atas sebab ini, saya percaya bayi yang meninggal akan berada di Syurga. 

 

Bagaimana dengan bayi orang bukan Yahudi? Rom 14:17 mengatakan bahawa segala sesuatu yang tidak berdasarkan iman, adalah dosa. Bayi yang baru lahir belum mampu untuk beriman, dan hukum Taurat sememangnya tidak akan diperkenalkan kepada bayi tersebut kerana hukum ini khas hanya untuk orang Yahudi. Jadi, sudah tentu sifat berdosa itu juga tidak akan diperhitungkan kerana ketiadaan hukum Taurat. Raja Daud juga mempercayai bahawa bayinya yang telah meninggal berada di Syurga (2 Sam 12:23).

 

Apapun, perkara yang lebih penting adalah Yesus Kristus telah menggenapi hukum Taurat dan Dia telah menanggung semua dosa manusia di kayu salib. Begitu ramai manusia di dunia yang telah melepasi tempoh masa bayi secara fizikal dan dengan itu, Injil perlu diberitakan ke seluruh dunia supaya tujuan penebusan dan penyelamatan-Nya digenapi. Terpujilah nama Tuhan!

 

Pr Roy Dinsim

 

bottom of page