Iman dicabar

Renungan: Ayub 1 Dengan telanjang aku keluar dari kandungan ibuku, dengan telanjang juga aku akan kembali ke dalamnya. Tuhan yang memberi, Tuhan yang mengambil, terpuji nama Tuhan!” (Ayub 1:21)


Siapakah yang akan mempersalahkan Ayub jika dia menyoalkan kebaikan Tuhan terhadap nasibnya. Bayangkan. Bagaimanakah reaksi anda sekiranya dalam sekelip mata, kehilangan kereta, rumah, anak, dan perniagaan anda terpaksa ditutup kerana kerugian yang besar? Apalagi, isteri anda mengomel dan mengutuk anda terus? Pernahkah anda berseru, “Tuhan, segalanya tidak adil!” Adakah anda marah dengan Tuhan kerana sesuatu yang tidak anda ingini terjadi dalam kehidupan anda?

Reaksi Ayub? Ayub berkata, “Dengan telanjang aku keluar dari kandungan ibuku, dengan telanjang juga aku akan kembali ke dalamnya. Tuhan yang memberi juga Tuhan yang mengambil, terpuji nama Tuhan!” (Ayub 1:21)

Reaksi iblis? “Kulit ganti kulit! Orang akan memberikan segala yang kepunyaannya serta nyawanya. Tetapi ulurkanlah tangan-Mu dan jamahlah segala yang dipunyainya, ia pasti mengutuki Engkau di hadapan-Mu,” iblis mencabar Tuhan. ( Ayub 1:11). Iblis menyiksa Ayub dengan bisul dari telapak kakinya hingga ke kepalanya sehingga Ayub terpaksa mengambil serpihan kaca dan menggaruk-garuk badannya.

Reaksi isterinya? Maka berkatalah isterinya kepadanya: Masih bertekunlah engkau dalam kesalihanmu? Kutukilah Tuhanmu dan matilah!” (Ayub 2:9)

Reaksi Ayub? Ayub berkata kepada isterinya, “Engkau berbicara seperti perempuan gila! Apakah kita mahu menerima yang baik daripada Tuhan, tetapi tidak mahu menerima yang buruk?” (Ayub 2:10)

Kesimpulannya: Dalam kesemuanya itu, Ayub tidak berbuat dosa dengan bibirnya. Reaksi kita? Bagaimana kalau kita tertimpa kecelakaan seperti Ayub? “Tambahlah kasihku akan Tuhan, inilah doaku, Oh, dengarkan. Hiburkan hatiku, tambahlah kasihku kepada-Mu. Oh Tuhanku. Meskipun susah, aku tetap setia, aku lebih rindu kepada-Mu. Oh Tuhanku.” (Elizabeth P. Prentiss)

Doa: Tuhan dalam keadaan buruk atau bencana, aku tetap akan memuji Engkau! Aku mahu seperti Ayub tidak berdosa dalam ucapan mahupun perbuatanku.


Penulis : Tan Hwee Yong, Petikan dari buku Bayu Pengharapan.

14 views0 comments

Recent Posts

See All