Isteri Yang Baik

Renungan: Matius 19:1-12 “Dan firman-Nya: Sebab itu laki-laki akan meninggalkan ayah dan ibunya dan bersatu dengan isterinya, sehingga keduanya itu menjadi satu daging” (ayat 5)


Sewaktu Isabel berkahwin, dia berjanji menjadi isteri yang lebih berharga daripada permata. Ya, dia berdoa agar dapat menjadi isteri yang tidak mendatangkan kekurangan tetapi hanya berkat kepada suaminya. Ya, ya seorang isteri yang hanya berbuat baik kepada suami dan tidak berbuat jahat terhadap yang dikasihinya. Suaminya akan memanggil dia yang diberkati dan wanita yang termulia.

Namun setelah bertahun-tahun, pada suatu pagi Isabel bangun keliru dan tidak tahu apa yang terjadi kepada perkahwinannya. Konflik sering terjadi kerana perbezaan cara membuat keputusan rumahtangga mahupun cara mendidik anak. Perhubungan emosinya terjejas, sungai cinta dan pengharapannya seakan-akan sudah gersang. Hanya air keruh yang bertakung. Setiap perkataan suaminya seperti membuat perasaannya terluka dan kemarahannya lebih parah. Walaupun dia tinggal serumah dengan suaminya, mereka seakan-akan beribuan batu berjauhan. Wah topik untuk bersembang-sembang juga berkering kontang.

Dia terkejut sewaktu perkataan “Bercerai” muncul pada bibirnya. Dalam tangisannya dia berseru dan meminta Tuhan menyembuh luka-lukanya serta memperbaharui cinta kasihnya terhadap suaminya. Dia menengadah kepada Tuhan dan berdoa agar Tuhan mematahkan perselisihan mereka. “Tuhan, saya mahu mengampuni suami saya dan berdoa agar perkataanku dapat memancarkan kasih dan kesabaran kepada suamiku.” Isabel berseru dengan rendah hati kepada Tuhan agar rahmat-Nya akan menjamah hati kedua-dua insan yang digelar suami isteri. “Biarlah kasihku di akuarium cinta dipenuhi lagi, Ya Tuhan,” Isabel berseru.

Puji Tuhan, Isabel tidak melemparkan perkahwinannya yang berharga itu dalam kekeruhan paya. Tuhan telah memperbaharui hatinya dan juga perkahwinannya serta memenuhi akuarium cintanya. Dia bersaksi bahawa Tuhan bukan sahaja memberinya suami baru tetapi dirinya juga berubah menjadi isteri yang sabar dan tabah. Segala yang menjadi isu rumahtangganya diserahkan kepada Tuhan dalam doa dan dia menantikan kebijaksanaan-Nya sewaktu berkomunikasi dengan suami. Kasih Tuhan juga mengalir dalam perhubungan dengan suaminya yang menjadi tali yang mengikatkan persekutuan antara mereka berdua.

Doa: Tuhan Penyayang, aku mahu menjadi isteri yang memancarkan kasih dan kesetiaan kepada suamiku dalam perkataan mahupun tingkah lakuku.


Penulis : Tan Hwee Yong, Petikan dari buku Bayu Pengharapan.

7 views0 comments

Recent Posts

See All