Kesetiaan Yang Meninggalkan Warisan
- May 4
- 3 min read

Perkongsian Peribadi dalam Kepimpinan dan Pelayanan
Dalam perjalanan saya melayani Tuhan terutama ketika berada di lapangan pelayanan dan bekerja bersama banyak pemimpin, penginjil, dan jemaat dari pelbagai latar belakang saya belajar satu perkara yang sangat penting: kepimpinan bukan hanya tentang memimpin orang yang kita selesa bekerja bersama, tetapi juga belajar daripada orang yang mungkin tidak kita sukai atau tidak sehaluan dengan kita.
Seorang mentor rohani pernah berkata kepada saya saat melayani bersama dia dalam kepimpinan tertinggi: “A sign of an intelligent person is their ability to learn from anyone, even those they dislike.”
Pada awal pelayanan, saya mengakui bahawa perkara ini tidak mudah. Kadang kita lebih suka belajar daripada orang yang kita hormati atau kagumi sahaja. Tetapi realitinya dalam pelayanan, Tuhan sering mengajar kita melalui orang yang tidak kita jangka.
Saya pernah berada dalam situasi di mana ada individu yang cara kerjanya sangat berbeza dengan cara saya. Cara mereka berkata, membuat keputusan, bahkan cara mereka melayani terasa sukar untuk saya fahami. Pada masa itu saya mudah merasa terganggu.
Namun suatu hari saya tersedar bahawa jika saya hanya belajar daripada orang yang saya suka, maka pertumbuhan saya akan sangat terbatas.
Melalui pengalaman itu saya mulai melihat dengan perspektif yang berbeza. Saya belajar bertanya kepada diri sendiri: Apa yang Tuhan ingin ajarkan melalui orang ini? Apakah ada sesuatu yang boleh saya pelajari walaupun cara mereka tidak sama dengan saya?
Ternyata, ada banyak perkara yang boleh dipelajari tentang kesabaran, cara berkomunikasi, cara menghadapi tekanan, bahkan cara melihat masalah dari sudut yang berbeza.
Dalam pelayanan, kepimpinan, dan pekerjaan kita juga sering melihat orang mengejar kedudukan atau kuasa kerana mereka percaya hanya dengan kuasa mereka boleh memberi kesan. Tetapi pengalaman saya menunjukkan sesuatu yang lain.
Ada orang yang tidak mempunyai jawatan besar, tidak berada di pentas, bahkan tidak dikenali ramai tetapi mereka memberi impak yang sangat besar melalui perkara-perkara kecil: setia melayani di kampung yang jauh, sabar membimbing beberapa jiwa sahaja, atau terus menyokong pelayanan melalui doa dan kesetiaan.
Saya belajar bahawa impak tidak selalu datang daripada kuasa, tetapi daripada kesediaan untuk terus menyumbang walaupun dalam perkara kecil.
Dalam pelayanan, kadang kita hanya melihat satu atau dua jiwa menerima Injil setelah berbulan-bulan melayani. Dari sudut dunia, itu kelihatan kecil. Tetapi dalam perspektif Tuhan, setiap jiwa mempunyai nilai kekal.
Itulah sebabnya saya sangat menghargai nasihat mentor rohani saya yang mengatakan bahawa orang yang benar-benar memberi impak bukanlah mereka yang terus mengejar kuasa, tetapi mereka yang percaya bahawa mereka sentiasa boleh menyumbang sesuatu tidak kira sekecil mana pun.
Firman Tuhan dalam Amsal 9:9 berkata: “Berilah nasihat kepada orang bijak, maka ia akan menjadi lebih bijak; ajarlah orang benar, maka pengetahuannya akan bertambah.”
Ayat ini mengingatkan saya bahawa orang yang bijak bukanlah orang yang sudah tahu segalanya, tetapi orang yang sentiasa bersedia untuk belajar.
Dalam kepimpinan gereja dan pelayanan, sikap ini sangat penting. Jika seorang pemimpin berhenti belajar, dia sebenarnya sudah berhenti bertumbuh.
Tetapi jika dia terus belajar bahkan daripada orang yang tidak disukainya maka Tuhan akan terus memperluas hikmatnya.
Hari ini saya semakin menyedari bahawa Tuhan menggunakan pelbagai jenis orang dalam hidup kita: ada yang menjadi penolong, ada yang menjadi pengajar, ada yang menjadi pencabar, dan ada juga yang menjadi alat Tuhan untuk membentuk karakter kita. Semua itu adalah sebahagian daripada proses Tuhan membentuk seorang pemimpin.
Bagi saya secara peribadi, kepimpinan dalam pelayanan bukanlah tentang menjadi orang yang paling berkuasa atau paling dihormati.
Sebaliknya, ia adalah tentang menjadi orang yang terus belajar, terus rendah hati, dan terus setia memberi impak walaupun melalui perkara-perkara kecil.
Kerana pada akhirnya, dalam kerajaan Tuhan, bukan kuasa yang meninggalkan warisan tetapi kesetiaan. Oleh Pr Jerry Ignacio
Sumber : whatsapp channel @ jerry ignacio




Comments