Tangan Tuhan Yang Melepaskan


Renungan: Ulangan 26:5-9 Lalu Tuhan membawa kami keluar dari Mesir, dengan tangan yang kuat dan lengan yang teracung, dengan kedahsyatan yang besar dan dengan tanda- tanda serta mukjizat-mukjizat. (ayat 8)




Apabila tangan dan lengan Tuhan teracung, tidak ada kuasa dapat menghalang rencana-Nya! Tuhan bersabda kepada Musa agar dia menyampaikan hal ini kepada umat-Nya. “Akulah Tuhan, Aku akan membebaskan kamu dari perbudakan mereka dan menebus kamu dengan tangan yang teracung dan dengan hukuman- hukuman yang berat.” (Keluaran 6:5) Kedegilan dan kuasa tentera Firaun tidak dapat menghalangi rencana pembebasan umat Tuhan.

Tuhan berfirman agar Musa menghadapi Firaun dan Tuhan akan menunjukkan kuasa tangan-Nya. Apabila tangan-Nya teracung banyak tanda-tanda dan mukjizat-mukjizat terjadi. “Bilamana Firaun tidak mendengarkan kamu, maka Aku akan mendatangkan tangan-Ku kepada Mesir dan mengeluarkan pasukan-Ku, umat- Ku, orang Israel dari tanah Mesir...”(Keluaran 7:4)

Tangan Tuhan teracung dan melawan kedegilan Firaun, akan tetapi baginda tidak mengendahnya. Akhirnya, baginda terpaksa menghadapi kenyataan bahawa tangan Tuhan sangat berkuasa. Yang pertama, sungai Nil berubah menjadi darah dan semua ikan mati. Kemudian, Firaun terpaksa menderita apabila katak-katak menulahi seluruh istananya sehingga kamar tidurnya bahkan pada waktu dia ingin makan roti, katak melompat ke atas piringnya! Bubur katak! Walaupun dedebu berubah menjadi nyamuk, lalat pikat, dan belalang bertandang di istananya, Firuan berdegil dan masih tidak mahu mengalah. Tulah kesembilan yang telah mengubah langit yang cerah menjadi gelap gelita pun tidak mengubahkan pendiriannya. Hanya ketika anak sulungnya meninggal dunia, baru baginda mengusir umat Tuhan. Namun hati baginda berubah lagi dan baginda segera mengejar mereka dengan tentera yang ngeri.

Tangan Tuhan teracung dan kedegilan manusia tidak dapat mengatasi kedegilan Tuhan dan kewibawaan-Nya.

Tangan Tuhan juga menutup Laut Teberau apabila tentera Firaun cuba mengejar umat Tuhan.

Saudara terbelenggu oleh masalah tertentu? Percayalah apabila tangan Tuhan teracung, anda akan segera dilepaskan oleh kuasa-Nya. Siapakah yang boleh menggagalkan rencana Tuhan?

Doa: Ya Tuhan, aku bersyukur kerana apabila tangan-Mu teracung, mukjizat terjadi dan kuasa gelap akan berundur!


Penulis : Tan Hwee Yong, Petikan dari buku Bayu Pengharapan.

4 views0 comments

Recent Posts

See All