top of page

Cari

2690 results found with an empty search

  • Fikiran Adalah Kunci

    Shalom dan Selamat pagi saudara-saudari dalam Tuhan kita Yesus Kristus dengan ucapan syukur dan pujian. Renungan Firman Tuhan kita pada pagi ini: "Pikiran adalah kunci" ("The mind is the key") 'Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu' (Roma 12:1-8, ay.2) ('Do not conform to the pattern of this world, but be transformed by the renewing of your mind,' (v2) Renungan: Orang selalu bertanya, 'Apakah rahsia kehidupan Kristian yang efektif?' Sejujurnya Ya, memang ada banyak jawapan, tetapi jika semuanya di (simpulkan) ringkaskan, saya boleh katakan ini: mempunyai akar-akar rohani yang turun kedalaman, yang kurang bergantung kepada situasi-situasi dan lebih kepada Allah sendiri. Persekutuan yang dekat dengan Allah memberikan kita perasaan dan sukacita secara batin - tanpa adanya akar yang kuat dalam Dia, pasti kita akan merasakan pergumulan yang tidak ada penghabisan. Saya pernah membaca satu artikal dalam sebuah majalah (magazine) yang khas untuk mengajar tentang teknik-teknik yang direka bentuk untuk membawa kepada kehidupan yang tiada tekanan (stress-free) walaupun di dalam situasi-situasi yang susah. Sejauh mungkin yang saya beritahu daripada apa yang saya lihat dari butir-butir, kursus hanya berjanji mengajar hanya bio-feedback dan rilaksasi. Walaupun benar bahawa, rilaksasi (relaxation) boleh menolong kita untuk mengatasi tekanan-tekanan, tetapi ia tidak ada kuasa untuk mengatasi masalah jiwa. Pada umunya, tekanan batin diberi kepada tubuh. Teknik-teknik rilaksasi (relaxation) boleh membantu seorang berfikir dengan baik, tetapi untuk mendapat jiwa yang tiada tekanan dengan tidak membawa dekat kepada dia yang menciptakan satu perkara lain lagi. Mesej hari ini boleh diterjemahkan seperti ini: 'Jangan hanya dapat menyesuaikan diri kepada budaya sehingga tidak memikirkan secara masa panjang. Tetapi pandanglah kepada Allah. Kamu boleh diubahkan hingga kedalaman. Pikiran yang diperbaharui boleh mengubahkan keadaan kita. Pikiran adalah kunci. Pikiran boleh menantukan apa yang akan, atau yang tidak akan jadi, dengan keadaan kita. Tetapi pikiran tidak dapat membawa damai dan sukacita kecuali ianya dapat direlaksasikan dengan pemikiran atau situasi luar. Untuk pikiran kita mendapat damai yang sepenuhnya kita perlu belajar mengawa polar pikiran kita agar sehaluan (be aligned) dengan kehendak Allah. Ayat-ayat rujukan: Markus 4:35-41; Filipi 4:4-8 Doa: Bapa, saya melihat bahwa walaupun relaksasi (relaxation) merupakan teknik-teknik boleh membantu dalam mengurangkan tekanan stress, tetapi bawa saya, agar sehaluan (aligns) dengan tujuan-tujuan Mu, kerana ini lebih jauh nilainya. Bila saya bersikap benar terhadap Engkau, saya mampu bersikap benar terhadap diri sendiri. Amin. Rev Gerawat Maran

  • Lepaskanlah Bebanmu Dengan Sepenuhnya

    Shalom dan Selamat pagi saudara-saudari dalam Tuhan kita Yesus Kristus dengan doa ucapan syukur dan pujian. Renungan Firman Tuhan kita pada pagi ini: "Lepaskanlah Bebanmu Dengan Sepenuhnya" ("Putting your full weight down") 'Hanya Dialah gunung batuku Dan keselamatanku, kota bentengku, aku tidak akan goyah.' ('Truly he is my rock and my salvation, he is my fortress, I shall not be shaken.' ) (Mazmur 62:1-12, ay.6) Renungan: Kita sering melihat bahawa banyak orang cuba untuk menguasai kehidupan dengan teknik-teknik, idea-idea dan filsafat-filsafat yang berakar dalam pengalaman manusia. Menurut Yeremia, mereka yang menurut jalan ini: 'percaya kepada manusia' ( trusts in human ) dan tarikkan kekuatan hanya dari daging' ( draws strength from mere flesh' (Yer.17:5). Hanya dengan akar-akar kita masuk ke dalam Allah kita akan tenang dan disegarkan. Sedang kita belajar untuk mengerti bahawa di dalam kebenaran, Allah menguasai perkara-perkara dan barulah sesuatu kebaikkan dan sumbar kebenaran dapat bekerja; dalam ini, kita akan berasa tenang di tengah-tengah kehidupan yang tiada ketentuan ini. Saya pernah membaca cerita tentang seorang yang pertama kali menaiki kapal terbang. Apabila ditanya bagaimana dia menikmati penerbangan itu, dia katakan: 'Sungguh baik, tetapi saya tidak dapat meletakkan berat saya sepenuhnya ' (' Very much, but I never did put my whole weight down' ). Tidak akan ada kenikmatan dalam penerbangan atau perjalanan dalam hidup, kecuali kita belajar menaruh beban kita sepenuh. Tidak ada tempat dalam dunia ini di mana ada perhentian sepenuhnya, kecuali atas Allah. Dalam tahun-tahun yang lalu, saya telah mengenal banyak orang Kristian yang selalu memikir tentang perkara-perkara dalam kehidupan mereka, jika mereka tidak memikirkan perkara berkenaan, mereka merasakan seakan akan semua perkara tercerai-berai ( go in pieces ). Pribadi ini memberitahu bahawa semua orang Kristian harus menjadi penerima apa saja. Jika kita menerima sikap seperti ini, dia akui kita tidak akan berputus asa bila ada kesilapan atau masalah berlaku. Jika kita berharap sesuatu yang lebih buruk, katanya, kita tidak akan terluka. Sebenarnya ini merupakan sikap yang tidak sihat dalam kehidupan ini. Jika kita menyerahkan kehidupan dengan sepenuh kepada Allah dan percaya bahawa Dia ada bersama kita, walaupun rencana kita gagal, Allah akan menggunakan situasi-situasi tersebut untuk kebaikkan kita. Sedang kita bertumbuh kita akan lebih mampu untuk mengatasi apa sahaja yang datang kepada kita. Ayat-ayat rujukan: Maz. 16:8-11; 18:1-3 Doa: Tuhan Allah, ampunilah saya jika saya masih terikat kepada sifat-sifat hidup lama yang bergantung kepada diri-sendiri, yang jelas sangat mengecewakan. Biarlah saya hidup bergantung sepenuh dan berserah secara total kepadaMu, Bapa Syurgawi, di dalam mengerjakan tujuan Mu di dalam hidupku, Engkau besertaku dan mengajarku untuk menaruh harapanku kepada Mu. Dalam nama Yesus. Amin. Rev. Gerawat Maran

  • Ada Kemenangan Dalam Kuasa Kebangkitan-Nya

    Semasa Yesus ditangkap, disalibkan di atas kayu salib dan dikuburkan, murid-murid Yesus bertempiaran lari kerana terlalu takut, kecewa dan putus harapan. Mereka lari menyembunyikan diri. Mana tidaknya kerana selama mereka mengikuti Yesus, mereka berada bersama dengan orang yang nampaknya dapat memberi harapan baru untuk kehidupan yang lebih baik, yang mempunyai kewibawaan dari segi kata-kata mahupun perbuatan. Yesus begitu berwibawa hinggakan iblis, kuasa-kuasa kegelapan malah alam semulajadi pun tunduk kepada-Nya. Mereka menjadi sangat terkenal, ke mana sahaja mereka pergi bersama Yesus pasti akan menjadi tumpuan mata ramai orang. Tiba-tiba Yesus dibunuh! Murid-murid Yesus tergaman dengan apa yang telah terjadi, walaupun sudah berkali-kali diberitahu oleh Yesus sendiri mengenai kematian-Nya. Tiba-tiba mereka sedar bahawa orang yang mereka sandarkan harapan mereka itu sudah meninggal. Dia yang diharapkan sudah tidak ada bersama dengan mereka lagi! Harapan mereka punah bersama dengan kematian Yesus! Namun, belum lagi mereka sempat memproses tentang apa yang sedang berlaku, tiba-tiba terjadi satu lagi peristiwa gempar di mana mereka diberitahu bahawa kubur Yesus kosong! Yesus tidak ada di sana. Dan malaikat memberitahu beberapa orang wanita bahawa Yesus telah bangkit dan hidup kembali! Sesuatu yang luarbiasa dan sulit untuk dimengerti. Pada saat itu fikiran murid-murid Yesus masih lagi tidak dapat membendung ke semua peristiwa yang telah terjadi itu. Mereka masih lagi terpinga-pinga. Pada hari itu juga, dua orang daripada murid Yesus berjalan menuju ke kampung Emaus. Sedang mereka berjalan dan berbual-bual mengenai apa yang telah terjadi, tiba-tiba Yesus muncul menampakkan diri-Nya dan berjalan bersama mereka. Namun mereka tidak mengenal-Nya. Yesus bertanya apakah yang sedang dibualkan oleh mereka. Mereka berasa muram dan sedih lalu menjawab, “Engkaukah satu-satunya orang di Yerusalem yang belum mengetahui peristiwa-peristiwa yang telah berlaku dalam beberapa hari ini? Yesus berkata, “Apakah yang telah berlaku?” Lalu mereka menceritakan tentang apa yang telah berlaku. Kemudian Yesus berkata kepada mereka, “Betapa bodohnya kamu! Betapa lambatnya hatimu percaya akan segala kata-kata nabi!” (Lukas 24:13-35). Murid-murid Yesus belum lagi mengerti tentang apa yang sedang terjadi. Namun Yesus sudah bangkit dari kubur dan hidup kembali serta menampakkan diri-Nya kepada mereka untuk membuktikan bahawa Dia benar-benar telah bangkit. Yesus bangkit bukan dengan tangan kosong, namun membawa kemenangan total demi orang-orang yang dikasihi-Nya. Menang di atas kuasa dosa, kuasa maut dan juga kuasa kegelapan! Kebangkitan Yesus memberi harapan yang baru dan hidup kepada mereka yang percaya kepada-Nya. Kuasa kebangkitan-Nya itu juga merupakan milik kita yang menaruh harapan di dalam-Nya. Tetapi pada masa itu murid-murid Yesus muram dan sedih. Mereka tidak dapat menerima hakikat malah tidak percaya, seolah-olah apa yang telah diajarkan oleh Yesus sebelum ini seakan-akan seperti air yang dicurahkan ke atas daun keladi. Sikap mereka seperti orang yang kalah total. Bagaimana pula dengan kita? Adakah sikap kita pada hari ini serupa seperti murid-murid Yesus di waktu itu? Kita telah mendengar berita tentang Yesus dan kebangkitan-Nya daripada kematian. Berita tentang kuasa kebangkitan-Nya yang membebaskan. Malah setiap tahun kita akan memperingati dan merayakan Hari Kebangkitan-Nya. Namun dalam kehidupan seharian, kita tidak mengenal mahupun mengalami kuasa kebangkitan Yesus itu. Kita muram, sedih, kecewa, takut serta putus harapan dalam banyak perkara. Kita hidup seolah-olah kita kalah. Tidak ada sukacita yang penuh. Tidak mengecapi kemenangan dalam hidup rohani mahupun jasmani. Hidup yang tidak ada kuasa. Padahal Yesus telah mati di atas kayu salib dan bangkit daripada kematian-Nya untuk memberikan kemenangan total kepada kita. Apapun situasi kita hari ini, percayalah dan bersukacitalah. Janganlah kita bermuram dan bersedih hati. Marilah kita menghayati dan menyelami kedalaman erti sebenar kuasa kebangkitan Yesus buat kita. Kerana Dia telah melakukan segala-galanya supaya kita dapat menikmati kuasa kebangkitan-Nya itu dalam hidup kita. Bersukacitalah kerana Penebus kita hidup, Dia tidak tetap tinggal di kubur, tetapi Dia sudah bangkit dan memberikan kemenangan-Nya itu kepada kita. Bukan sahaja kuasa kebangkitan-Nya itu ada di dalam kita, malah kepenuhan kuasa Roh Kudus juga ada di dalam kita. Dengan itu, marilah kita hidup sesuai dengan kemenangan yang telah diperolehi dan mendapat kebebasan demi kebebasan daripada apa pun tipu muslihat si iblis. Menghidupi gaya hidup berkemenangan dalam segala perkara kerana di dalam Dia, kita adalah orang-orang yang lebih daripada pemenang! “Tetapi dalam semuanya itu kita lebih daripada orang-orang yang menang, oleh Dia yang telah mengasihi kita” (Roma 8:37). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Hadirat Tuhan

    Semenjak dari hari Yesus dibaptis di sungai Yordan dan memulai pelayanan-Nya, Dia telah mencuri perhatian orang ramai dengan kewibawaan diri-Nya, kata-kata serta perbuatan-perbuatan-Nya dalam melakukan mukjizat-mukjizat yang tidak pernah dilihat oleh mata kasar manusia pada zaman itu. Kehadiran-Nya membawa satu sinar baru dalam kehidupan manusia. Dia menjadi begitu viral. Ke mana sahaja Dia pergi, Dia menjadi perhatian umum, kata-kata-Nya yang menyegarkan dan membebaskan jiwa, mukjizat-mukjizat-Nya yang menyembuhkan dan memulihkan kehidupan serta keperibadian-Nya yang lembut dan penuh dengan kasih memenangi jiwa setiap insan yang mengikuti-Nya. Bagi orang-orang yang mengikuti-Nya, mereka merasakan seolah-olah Syurga turun ke bumi! Ke mana sahaja Yesus pergi, orang ramai pasti akan berbondong-bondong mengikuti-Nya. Namun, ketika saatnya telah tiba untuk Yesus menyempurnakan misi-Nya di bumi ini, Dia dikianati oleh orang-Nya sendiri, ditangkap dan diseksa dengan cara yang luarbiasa sekali. Dia ditinggalkan bukan sahaja oleh orang ramai yang mengikuti-Nya mahupun murid-murid-Nya yang sentiasa bersama dengan-Nya, bahkan Bapa Syurgawi yang Yesus katakan bahawa “Bapa dan Aku adalah satu” juga meninggalkan Dia! Betapa malangnya! Sewaktu Yesus berada di atas kayu salib, Dia berteriak dengan suara yang lantang, “Eloi, eloi, lama sabakhtani?” yang bermaksub “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapakah Engkau meninggalkan Aku?” (Matius 27:46). Mengapakah Tuhan Bapa meninggalkan anak kesayangan-Nya? Bukankah Bapa begitu berkenan kepada-Nya? Mengapakah Bapa memalingkan muka-Nya dan meninggalkan Dia? Terasa benar seolah-olah Syurga begitu sunyi dan sepi. Di sepanjang hidup Yesus di bumi, hadirat dan perkenanan Bapa sentiasa menyertai-Nya. Bapa ialah Tuhan yang Maha kudus dan juga Tuhan yang Maha adil. Manusia pula penuh dengan dosa. Kekudusan Bapa tidak dapat bertembung dengan cemar dosa manusia. Sebab upah dosa ialah maut. Maka manusia seharusnya mati. Namun ketika Yesus berada di atas kayu salib. Dia mengambil dan mengantikan tempat kita sebagai manusia berdosa. Dia menangung segala penghakiman di atas setiap dosa yang menuntut keadilan dan kemurkaan Tuhan yang seharusnya menimpa kita. Dan kerana itu, apabila Yesus berteriak “Ya Allah-Ku, ya Allah-Ku, mengapakah Engkau meninggalkan Aku?” Bapa memalingkan muka-Nya daripada Yesus. Dia tidak melihat Yesus sebagai Anak-Nya yang dikasihi tetapi Dia melihat manusia yang penuh dengan dosa yang sememangnya layak untuk menerima hukuman dan kemurkaan-Nya. Dia membiarkan Yesus menanggung kemurkaan-Nya. Kematian-Nya membayar segalanya. Hanya dengan cara inilah barulah kita dapat berdamai semula dengan Tuhan dan Bapa dapat mencurahkan rahmat dan kasih karunia-Nya yang tidak terhingga kepada kita yang percaya kepada-Nya. Kerana ketika Bapa melihat kita umat manusia, Dia melihat Yesus yang dikasihi-Nya dalam diri kita. Betapa besar kasih-Nya terhadap kita. Dia menebus kita dengan meninggalkan Anak-Nya supaya kita dapat menjadi anak-anak-Nya yang dikasihi. Sewaktu Yesus berada di atas kayu salib, untuk pertama kalinya Dia secara sedar merasakan ketiadaan hadirat Bapa dalam hidupnya. Bapa tidak menyertai-Nya. Bapa tidak ada bersama-Nya! Bapa meninggalkan-Nya! Namun kematian-Nya itu sangat berbaloi kerana Hadirat Tuhan telah berpindah dan menyertai kita! Apakah kita sedar akan hadirat-Nya yang menyertai kita? Atau apakah kita langsung tidak menyedari akan ketiadaan hadirat-Nya dalam hidup kita? Apakah kita peduli sama ada hadirat Tuhan ada bersama dengan kita atau tidak? Atau kita hanya hidup mengikut arus masa yang berlalu hari demi hari tanpa kita peduli akan keberadaan atau ketiadaan pernyataan hadirat-Nya dalam hidup kita? Saya percaya orang yang hidup di dalam pernyataan hadirat Tuhan dalam hidupnya sangat berbeza dengan hidup orang yang tidak mengenal Tuhan. Saya berdoa kiranya kita semua menghargai apa yang telah Yesus lakukan di atas kayu salib dan mempunyai kesedaran nyata terhadap keberadaan hadirat kudus Tuhan dalam hidup kita. Yesus berkata, “Sesiapa yang mengasihi-Ku akan menurut ajaran-Ku. Bapa-Ku akan mengasihinya. Dan kami akan datang kepadanya serta tinggal bersamanya.” (Yoh 14:23). Saya berdoa semoga hidup kita sentiasa disertai dengan pernyataan kehadiran hadirat kudus Tuhan yang luarbiasa, datang dan tinggal bersama dengan kita. Amen. Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen! Sue

  • Satu Perkara Sahaja

    Kami diberkati dengan seorang anak perempuan yang cantik, sihat dan mempunyai bakat menulis yang luarbiasa. Dia seorang yang sabar, tekun, tidak mengenal putus asa dan gigih dalam setiap perkara yang dia lakukan baik dari segi akademik mahupun dalam perkara-perkara rohaniah. Setiap kali apabila dia menerima anugerah-anugerah akademik, kami berasa begitu bangga terhadap pencapaiannya. Namun, lebih daripada semua pencapaian akademiknya, apa yang membuatkan kami terasa sangat bangga dan begitu senang hati ialah sikap hatinya yang sentiasa ingin dekat dengan kami, selalu taat dan siap untuk melakukan apa yang kami suruh. Sikap hatinya yang sentiasa taat dan mendengar kata itulah yang sentiasa membuatkan hati kami cair terhadapnya. Kami sangat bersyukur ke atas hidupnya kerana kami tahu itu semua adalah kerana kasih karunia dan rahmat-Nya yang luarbiasa dalam hidup kami. Hubungan kita dengan Tuhan juga seperti hubungan ibubapa dengan anak. Tuhan dalam kasih karunia-Nya yang sangat besar telah menyelamatkan kita dan memberikan kita hak untuk menjadi anak-Nya (Yoh 1:12). Dan kerana itu kita memanggilnya Bapa. “Kerana kamu…telah menerima Roh yang menjadikanmu anak Allah. Dan dengannya kita berseru, “Abba, Bapa” (Rom 8:15). Sebagai seorang anak, pernahkah kita tertanya-tanya apakah yang paling menyenangkan hati Bapa Syurgawi kita? Adakah perbuatan kita yang membuatkan Dia gembira? Atau adakah pencapaian-pencapaian kita baik dalam kerjaya hidup kita mahupun dalam misi kekristianan kita? Ataupun kemajuan-kemajuan jangkauan kita yang semakin meluas tersebar yang kita capai dalam rohani mahupun jasmani kita? Pernahkah kita terfikir apakah ini semua benar-benar menyenangkan hati Tuhan? Ada sebuah kisah dalam Alkitab yang mengambarkan apa yang menjadi kesenangan hati Tuhan. Suatu hari Yesus bersama murid-murid-Nya berkunjung ke rumah dua beradik perempuan yang bernama Marta dan Maria. Mereka menyambutnya dan Maria langsung duduk mendengar pengajaran Yesus, tetapi Marta pula sibuk melayani mereka sehingga dia berasa terbeban dengan kerja-kerja pelayanan itu. Mungkin Marta berasa sedikit marah dan kecewa terhadap Maria yang tidak membantunya, lalu dia mengadu kepada Yesus, katanya, “Tuhan, tidakkah engkau peduli bahawa adikku membiarkan aku membuat semua kerja ini seorang diri? Suruhlah dia menolong aku. Tuhan menjawab, “Marta, Marta, engkau khuatir dan bersusah payah tentang banyak perkara. Tetapi satu perkara sahaja yang diperlukan. Maria telah memilih perkara baik itu yang tidak akan diambil daripadanya.” (Luk 10:38-42). Seperti kebiasaan dalam masyarakat kita, apabila ada tetamu yang datang berkunjung ke rumah kita, kita akan menyambut dan melayani mereka. Dan sebagai tuan rumah kita ingin memberikan layanan yang terbaik agar tetamu kita berasa selesa. Namun di pihak tetamu, apakah yang penting? Layanan tuan rumah atau keberadaan tuan rumah itu sendiri? Biasanya tetamu datang mengunjungi kita kerana mereka ingin bersama dan bersekutu dengan kita. Apa yang dilakukan oleh Marta sebenarnya adalah baik, namun dia terlepas inti dari maksub kunjungan Yesus ke rumahnya, iaitu bersekutu bersama-sama dengannya! Bayangkan kalau Tuhan secara peribadi datang berkunjung ke rumah kita, apa yang kita lakukan? Apakah kita mahu sibuk memasak dan menyediakan makanan minuman atau duduk bersimpuh di hadapan-Nya, menikmati hadirat-Nya dan mendengar segala yang ingin dikatakan oleh-Nya? Mungkin ada banyak perkara yang kelihatannya perlu untuk kita kerjakan. Namun Tuhan berkata hanya satu perkara sahaja yang diperlukan iaitu duduk bersimpuh di kaki-Nya dan menikmati hadirat-Nya dan Firman-Nya. Adakah kita melakukan satu perkara ini? Atau adakah kita melakukan banyak perkara lain sehingga kita terlalu sibuk dan tidak mempunyai masa untuk satu perkara itu? Dan dalam kita datang kepada Tuhan, adakah kita datang dengan sikap seperti Marta, datang membawa keluhan dan aduan kita? Ataupun datang hanya untuk memohon berkat, pertolongan dan campur tangan Tuhan dalam urusan hidup kita? Atau kita datang dengan sikap seperti Maria yang rindu akan keperibadian Yesus itu sendiri, duduk di kaki-Nya dan menikmati hadirat-Nya serta mendengar kata-kata-Nya. Tanpa ada tujuan lain. Datang hanya untuk berada dekat dengan-Nya, bersekutu bersama-Nya dan mengalami kasih-Nya. Maria datang dan duduk dengan sikap hatinya yang benar telah menyenangkan hati Yesus. Semoga kita juga mempunyai hati seperti Maria yang datang dan melakukan satu perkara itu; mencari keperibadian-Nya, bersekutu dengan-Nya dan menikmati hadirat-Nya. Seperti seruan Daud dalam Mazmur 27:4, biarlah doa ini juga menjadi kerinduan hati kita semua “Satu hal telah kuminta kepada Tuhan, itulah yang kuingini: diam di rumah Tuhan seumur hidupku, menyaksikan kemurahan Tuhan dan menikmati bait-Nya.” (Mz 27:4). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Kemenangan Melalui Kasih Karunia-Nya

    Pernahkan anda mengalami pergelutan dalaman ataupun pergumulan rohani yang mana di saat anda mahu berserah secara total kepada Tuhan, hidup suci, kudus dan murni dalam setiap aspek kehidupan peribadi anda sebagai satu persembahan yang hidup dan murni di hadapan Tuhan, namun yang terjadi adalah sebaliknya? Dalam anda mahu menghidupi Firman Tuhan dengan sungguh-sungguh namun tanpa anda sedari, dengan tidak sengaja atau sengaja anda terkadang terlepas dan melanggar batas-batas murni ataupun tersandung dek hal-hal yang menyebabkan anda terjatuh dan berdosa. Anda merasa begitu kecewa, sakit hati, tertuduh dan sangat menyesal bahkan kekadang anda sampai mengutuki diri anda sendiri oleh kerana sikap berdosa dan ketidak-murnian anda tersebut. Anda tidak keseorangan. Rasul Paulus juga mengalami keadaan pergelutan yang sama seperti ini, dia berkata di dalam Roma 7:18-19, “Sebab aku tahu, bahwa di dalam aku, yaitu di dalam aku sebagai manusia, tidak ada sesuatu yang baik. Sebab kehendak memang ada di dalam aku, tetapi bukan hal berbuat apa yang baik. Sebab bukan apa yang aku kehendaki, yaitu yang baik, yang aku perbuat, melainkan apa yang tidak aku kehendaki, yaitu yang jahat, yang aku perbuat.” Selagi kita hidup sebagai manusia dalam tubuh yang fana ini, kita akan sentiasa cenderung bergelut dengan pelbagai jenis keinginan fikiran dan nafsu kedagingan. Sifat kejatuhan semulajadi manusia yang berdosa telah menyebabkan kita tunduk kepada keinginan-keinginan nafsu kedagingan, pemikiran-pemikiran yang negative serta emosi-emosi yang toksik akibat daripada nafsu, ketamakan, kesombongan, kekalahan dan sebagainya. Hukum-hukum agama tidak dapat menyelamatkan serta membebaskan kita sepenuhnya oleh kerana kelemahan sifat berdosa semulajadi kita. Namun kerana kasih karunia-Nya yang sangat besar Tuhan telah melakukan apa yang hukum-hukum agama tidak dapat lakukan. Tuhan telah menghantar Anak-Nya dalam bentuk tubuh manusia yang kita miliki hari ini. Dan di dalam tubuh-Nya itu Tuhan mengisytiharkan pengakhiran akan kawalan kuasa dosa ke atas hidup kita dengan memberi Anak-Nya sebagai korban bagi dosa kita (Rom 8:3 “Apa yang tidak dapat dilakukan oleh Taurat kerana lemahnya tabii manusia, telah dilakukan oleh Allah dengan menghantar Anak-Nya dalam bentuk manusia berdosa untuk menjadi persembahan menebus dosa”). Rasul Paulus telah memperhatikan corak kehidupannya sendiri. Dia ingin melakukan perkara yang benar. Dia jujur dan ikhlas. Namun masih tetap juga melakukan perkara-perkara yang dia benci lakukan. Dia akui dan sedar bahawa dengan kemampuannya sendiri, dia tidak dapat melakukan perkara yang baik dan benar, kerana dia sendiri bukanlah sumber yang “baik”. Dia mempunyai keinginan, tetapi tidak mempunyai kemampuan untuk melakukan apa yang benar. Ini sesuai dengan apa yang Rasul Paulus katakan mengenai mereka yang tinggal di bawah hukum-hukum agama. Usaha-usaha mereka untuk mengikuti hukum-hukum agama menunjukkan kepada mereka bahawa mereka tidak mampu untuk mengikuti tuntutan hukum-hukum agama sepenuhnya, bahawa mereka benar-benar adalah hamba kepada dosa. Dalam Roma 7:24 Rasul Paulus berteriak, “Alangkah sengsaranya aku! Siapa yang akan menyelamatkanku daripada tubuh kematian ini?” Namun sama seperti Rasul Paulus, kita bersyukur kerana adanya ayat 7:25 yang mengatakan, “Syukur kepada Allah! melalui Yesus Kristus, Tuhan kita.” Jawapan bagi setiap pergelutan dalaman dan pergumulan rohani kita hanya didapati dalam keperibadian Yesus Kritus. Secara zahiriah, walau sebanyak mana sekalipun usaha dan amalan kita, tetap saja kita tidak dapat memuaskan serta memenuhi semua tuntutan hukum-hukum agama, namun secara rohani dengan iman yang percaya kepada kasih karunia yang dicurahkan melalui Yesus Kristus Tuhan kita, kita telah bebas dan dapat bersukacita dalam erti kata yang sebenarnya serta dapat mengalami kemenangan ke atas kehendak fikiran dan nafsu kedagingan melalui kuasa salib-Nya. Seandainya hari-hari ini, di saat kita terpelecok mahupun tersandung oleh hal-hal yang tidak wajar yang menyebabkan kita tidak murni di hadapan Tuhan, marilah kita cepat-cepat kembali kepada-Nya, akui dosa-dosa kita serta memohon pengampunan-Nya. Marilah kita terus memandang kepada-Nya serta kasih karunia-Nya yang telah dicurahkan dengan penuh rahmat kepada kita. Amal perbuatan tidak dapat menyelamatkan kita melainkan iman yang percaya kepada kasih karunia-Nya melalui Yesus Kristus yang bekerja di dalam hidup kita. Sambil beriman dan percaya marilah kita juga hidup dengan penuh kesedaran bahawa Hadirat Tuhan sentiasa bersama-sama dengan kita dan Roh Kudusnya sentiasa bekerja bagi memurnikan kita sehingga kita menjadi seperti emas yang murni di hadapan-Nya bagi kemuliaan nama-Nya. Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen! Sue

  • Hiduplah Bersama Tuhan

    Awal minggu lalu saya dikejutkan dengan berita kematian akibat virus covid-19 yang meragut ahli keluarga saya yang terdekat. Kematian? Apakah erti kematian? Bagi sesetengah orang kematian adalah sesuatu yang mengerikan, kejam dan zalim. Apabila seseorang meninggal dunia, bukan sahaja nyawanya terputus bahkan seluruh usaha, harapan, serta impiannya juga terputus, segala-galanya berhenti. Tapi bagi umat Tuhan, kematian adalah bukti tanda kuasa dosa. Rasul Paulus mengatakan bahawa upah dosa ialah maut (Rom 6:23). Oleh kerana dosa yang menular dan menyerapi seluruh umat manusia, maka umumnya kita tunduk kepada kematian. Buktinya, tidak ada seorang pun yang hidup di dunia ini untuk selama-lamanya, semuanya pasti akan mengalami kematian. Alkitab mengambarkan kematian dalam tiga bentuk, iaitu: Mati secara fizikal, yang ditandai dengan berakhirnya kehidupan. Mati secara rohani, yang ditandai dengan terputusnya hubungan dengan Tuhan. Mati kekal, iaitu selama-lamanya dalam api neraka. Secara fizikal kita tidak mempunyai pilihan, kerana mati adalah buah dosa. Namun secara rohani kita mempunyai pilihan yang boleh kita buat yang juga akan dapat menentukan akhir dari destini hidup kita sama ada mati kekal dalam api neraka atau hidup kekal dalam hadirat Tuhan. Tuhan Yesus berkata, “Sesungguhnya Aku berkata kepadamu, sesiapa yang mendengar kata-kata-Ku dan percaya kepada Dia yang mengutus-Ku akan mendapat hidup yang kekal dan tidak akan dihukum. Dia telah terlepas daripada kematian dan mendapat hidup sebenar.” (Yoh 5:24). Di sini Tuhan Yesus berkata bahawa sesiapa yang mendengar dan percaya akan mendapat hidup yang kekal! Sudahkah kita mendengar kata-kata-Nya dan percaya kepada Dia? Sudahkah kita memperoleh hidup kekal yang dijanjikan oleh Tuhan Yesus ini? Hidup kekal yang dinyatakan oleh Tuhan Yesus ini bukan bermaksub hidup kekal yang hanya akan bermula selepas kematian jasmani kita, tetapi hidup kekal yang dapat dialami di sini dan sekarang ini juga. Hidup secara rohani. Jadi apakah makna hidup kekal? Tuhan Yesus berkata dalam Yoh 17:3, “Inilah hidup kekal, iaitu mereka mengenal-Mu sebagai satu-satunya Allah yang benar, dan mengenal Yesus Kristus yang kau utus”. Jadi hidup kekal itu bukan hanya semata-mata sebuah destini sahaja tetapi sebuah proses pengalaman hidup bersama dengan Tuhan di sini dan sekarang ini. Hidup yang mengenal dan mengalami Tuhan yang benar secara peribadi, hidup yang sentiasa bergaul dengan Tuhan, mempunyai hubungan yang intim dengan-Nya dan berjalan bersama dengan-Nya. Hidup yang berpusat kepada Tuhan dalam segala perkara di seluruh aspek kehidupan. Hidup yang mengalir daripada-Nya yang menghidupi hidup kita, dan bukannya kita lagi yang hidup melainkan Dia yang hidup di dalam kita. Hari-hari ini apakah kita benar-benar ‘hidup’ bersama dengan Tuhan? Apakah kita makin mengenali Dia dan mengalami-Nya secara peribadi dari hari ke sehari? Atau pengenalan serta pengalaman kita akan Tuhan masih sama seperti yang kita kenali-Nya selama 20 tahun yang lalu ataupun beberapa tahun yang lalu. Atau apakah kita hanya mengetahui tentang-Nya hanya melalui kata-kata orang lain tanpa pernah mengenali-Nya dan mengalami-Nya secara peribadi? Alangkah ruginya kalau-kalau kita hanya mengenal-Nya hanya melalui kata-kata atau kesaksian-kesaksian serta pengalaman daripada orang lain. Tuhan mahu kita ‘hidup’ bersama dengan-Nya. Mengenali-Nya serta bergaul dengan-Nya secara peribadi di sini dan sekarang ini juga. Melangkah dalam hidup yang penuh kuasa dan mukjizat-Nya, mengalami hidup yang luarbiasa dan berkemenangan yang tak pernah terlintas oleh fikiran manusiawi kita. Hidup yang sebenarnya! Sebab ‘hidup’ tanpa Tuhan itu sama saja dengan ‘mati’. Tuhan Yesus pernah memberi amaran kepada Jemaat di Sardis, kata-Nya “Aku tahu perbuatanmu. Nama sahaja kamu hidup tetapi sebenarnya mati…bangunlah…bertaubatlah…” (Wahyu 3:2-3). Hari ini, jika kita tahu kalau hidup kita tidak menghidupi ‘hidup kekal’ bersama dengan Tuhan, marilah kita bertaubat. Marilah kita mulai hidup yang sesungguhnya. Hidup yang bergaul dan berjalan bersama dengan Tuhan, mengenali dan mengalami-Nya dari setiap saat kehidupan kita. Dan ini bukanlah sesuatu yang mustahil bagi Tuhan kerana ini adalah kehendak-Nya dalam hidup kita. Tuhan telah memberikan kita segala sesuatu untuk kita hidup bersama-Nya: Firman-Nya, Roh-Nya bahkan Hadirat-Nya ada bersama dengan kita. Tuhan Yesus berkata, “Barangsiapa menang… Aku tidak akan menghapus namanya dari kitab kehidupan, melainkan Aku akan mengaku namanya di hadapan Bapa-Ku dan di hadapan para malaikat-Nya. Sesiapa yang bertelinga, dengarlah…” (Wahyu 3:5). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Jangan Menjadi Seperti Dunia

    Suatu hari saya keluar bersama dengan jiran baru saya. Jiran saya ini seorang yang sangat ceria, mesra dan tidak henti-hentinya menceritakan kisah-kisah menariknya kepada saya sambil memuji Tuhan. Katanya hanya kerana kebaikan Tuhanlah dia dapat hidup sehingga ke hari ini dan dapat menikmati segala kebaikan dan kemurahan hati Tuhan di dalam hidupnya. Di akhir perbualan kami tiba-tiba dia meminta saya untuk memberikannya nombor plat kereta saya. Saya sedikit kaget dan bertanya kenapa dia memerlukan nombor plat kereta saya. Jawapannya membuatkan saya terkejut. Katanya dia mahu membeli nombor ekor! Saya berkata itu adalah judi, sesuatu yang dilarang dan sangat tidak berkenan di hati Tuhan! Ramai orang mengaku dan menganggap diri mereka adalah anak-anak Tuhan yang dikasihi-Nya. Memang benar Tuhan begitu mengasihi kita. Kasih-Nya kekal dan tidak pernah berubah. Tuhan tidak pernah berkompromi dalam mengasihi kita. Di pihaknya Tuhan, itu adalah satu kepastian. Namun pernahkah kita terfikir bagaimana pula dipihak kita? Apakah kita benar-benar anak Tuhan? Jikalau kita adalah anak Tuhan, apakah gaya hidup kita mencerminkan kemuliaan dan kekudusan Tuhan? Apakah keperibadian kita makin hari makin menyerupai keperibadian Yesus Kristus? Apakah kelakuan kita selari dengan ciri-ciri seorang anak Tuhan yang dinyatakan di dalam Firman Tuhan? Apakah keinginan-keinginan kita kudus dan murni di hadapan Tuhan? Atau kita hanya menganggap diri kita sebagai anak Tuhan namun sebenarnya tidak, hidup berkompromi dengan perkara-perkara yang jelas menjadi kebiasaan amalan dunia ini? Hidup yang mengejar “keinginan daging dan keinginan mata serta keangkuhan hidup yang sememangnya bukan berasal daripada Bapa, melainkan dari dunia. Rasul Paulus berkata di dalam Roma 12:2, “Janganlah kamu menjadi serupa dengan dunia ini, tetapi berubahlah oleh pembaharuan budimu, sehingga kamu dapat membezakan manakah kehendak Allah: apa yang baik, yang berkenan kepada Allah dan yang sempurna.” Dahulunya kita adalah orang yang berdosa dan seharusnya menjadi orang yang dimurkai oleh Tuhan, namun oleh kerana kasih karunia-Nya yang sangat besar kita ditebus dan diselamatkan daripada kuasa dosa, dikuduskan dan dimurnikan serta diangkat menjadi anak-anak Tuhan. Betapa berbahagianya kita kerana dipilih untuk menjadi anak-anak Tuhan! Oleh itu janganlah kita berbalik semula dan menjadi sama seperti dunia ini lagi kerana kita sudah tidak mempunyai bahagian apa-apa pun dalam dunia ini. Kita telah mati! Hidup yang kita jalani sekarang ini bukan lagi milik kita tetapi milik Kristus. Maka hiduplah sesuai dengan kehendak Kristus. Janganlah menduakan hati kita dengan perkara-perkara yang sementara dan yang pastinya akan hancur lenyap. Tuhan Yesus dengan tegas mengatakan dalam Matius 7:21-23 “Tidak semua orang yang memanggilku, ‘Tuhan, Tuhan,’ akan memasuki kerajaan syurga, tetapi hanya mereka yang melaksanakan kehendak Bapa-Ku yang di syurga.” Semua orang boleh memanggil Tuhan Yesus, Tuhan, Tuhan dalam hidup mereka, bahkan melayani-Nya! Namun apa yang membezakan antara pengikut yang sejati dan yang palsu adalah apakah ia melakukan serta melaksanakan kehendak Bapa atau tidak. Itulah yang membezakannya. Yohanes 14:15 Yesus berkata “Jikalau kamu mengasihi Aku, kamu akan menuruti segala perintah-Ku.” Marilah kita perhatikan hidup kita baik-baik, apakah kita melakukan kehendak Bapa syurgawi kita? Apakah kita melaksanakan perintah-perintah-Nya dalam kehidupan kita ini? Perhatikanlah supaya apa yang kita jalani dalam kehidupan kita di dunia ini tidak sia-sia dan apabila tiba waktunya untuk kita menghadap yang Maha Kudus, kita tidak akan menyesal kerugian tetapi bersukacita dalam menerima mahkota kehidupan yang telah dijanjikan-Nya kepada kita. Sematkanlah kata-kata Yesus di dalam Matius 7:21-23 ini di dalam hati kita baik-baik sebagai peringatan supaya kita senantiasa sedar tentang siapa sebenarnya diri kita. Sebab nanti akan ada hari pemisahan di mana Tuhan akan memisahkan anak-anakNya daripada anak-anak yang mengikuti kehendak dunia. Di saat itu sudah tentunya kita tidak mahu termasuk dalam golongan yang akan dipisahkan dan dibuang ke dalam kematian kekal. Bapa syurgawi, selidikilah hati kami saat ini, sekiranya ada dosa-dosa yang tersembunyi mahupun sesuatu yang tidak berkenan di hadapan-Mu, kami mohon pengampunanMu. Ampunilah kami Tuhan, kuduskan kami dan murnikan kami sekali lagi dengan darah Yesus Kristus. Berikanlah kami hati yang baru, perbaharuilah fikiran kami. Tuhan Roh Kudus, pimpinlah kami dan ajarilah kami agar kami dapat hidup sesuai dengan panggilan yang telah kami terima, hidup yang mencerminkan kemuliaan dan kekudusan-Mu serta semakin hari semakin menjadi serupa seperti Yesus dan bukannya serupa dunia ini. Berikan kami kekuatan dan keberanian untuk terus menghidupi firman-Mu dalam hidup kami. Di dalam nama Tuhan Yesus kami berdoa. Amin. Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Janganlah Khuatir

    Selagi kita hidup di dalam dunia ini, kita sememangnya tidak akan terlepas lari dari pencobaan dan permasalahan hidup. Ini kerana dunia ini tidak sempurna, penuh dengan dosa dan dikuasai oleh kuasa-kuasa kegelapan. Sebagai umat Tuhan, kita tahu bahawa walaupun kita berada di dunia ini namun kita bukanlah berasal dari dunia ini (Yoh 15:19; 17:16). Kita berasal daripada Tuhan, menjadi miliknya Tuhan, dan akan kembali kepada Tuhan. Menjadi umat Tuhan yang hidup di dalam dunia yang tidak sempurna ini tidaklah mudah. Kita seolah-olah hidup sebagai domba yang dikelilingi serigala-serigala buas, yang menanti-nantikan saatnya untuk menerkam kita. Persekitaran-persekitaran yang kelam dan zalim terkadang membuatkan kita hanyut dengan permasalahan yang menimpa kita. Kita leka bahkan terlupa siapa sebenarnya jati diri kita, dari mana kita berasal dan milik siapa kita ini. Dan di dalam kelekaan kita, kita membiarkan musuh-musuh kita menguasai kita sedikit demi sedikit. Dengan membiarkan diri kita dipengaruhi dengan keadaan sekeliling, dengan mengaburi pandangan kita, malah menyebabkan kita ragu akan ketersediaan Tuhan bagi kita. Dan kerana itu kita mulai bimbang, kuatir serta gusar terhadap apa yang terjadi dalam kehidupan kita. Tuhan Yesus berkata, “Karena itu Aku berkata kepadamu: Janganlah kuatir akan hidupmu, akan apa yang hendak kamu makan atau minum, dan janganlah kuatir pula akan tubuhmu, akan apa yang hendak kamu pakai. Bukankah hidup itu lebih penting dari pada makanan dan tubuh itu lebih penting dari pada pakaian? … Akan tetapi Bapamu yang di sorga tahu, bahwa kamu memerlukan semuanya itu.” (Mat 6:25-34). Di sini Tuhan Yesus menyentuh hal-hal yang paling mendasar dalam kehidupan kita. Makanan, minuman dan pakaian adalah perkara asas yang diperlukan oleh setiap manusia. Namun lebih daripada hal-hal asas ini adalah hidup itu sendiri yang lebih penting. Cuba kita fikirkan, bukankah makanan, minuman serta pakaian itu walaupun adalah hal asas namun ianya hanya bersifat sementara? Bahkan masalah-masalah lain juga bersifat sementara? Contohnya, masalah yang kita alami 10 tahun lalu, sekarang sudah berlalu bahkan kita mungkin langsung tidak mengingatinya lagi pada hari ini. Tetapi hidup itu kekal. Ianya lebih penting. Bagaimana kita menghidupi hidup itu adalah sangat penting di mata Tuhan. Apakah kita hidup dengan kesedaran yang penuh tentang siapakah Tuhan dan siapakah kita di mata Tuhan? Atau apakah hidup yang kita jalani ini telah dikaburi oleh tipu daya musuh sehingga menyebabkan kita kehilangan keyakinan terhadap kasih setia Tuhan?. Apakah kita benar-benar mempercayai Tuhan? Sebagai umat Tuhan kita semua tahu bahawa Tuhan itu berkuasa, agung dan berdaulat. Setia dalam janji-janji-Nya, mengasihi kita dan sentiasa menyertai kita. Dia tahu akan setiap pergumulan hidup kita. Dia juga tahu akan setiap keperluan kita. Bahkah Dia mampu serta sanggup menyediakannya bagi kita. Namun apabila kita menghadapi situasi yang terdesak, kita bimbang? Walaupun sudah berdoa namun tetap kuatir dan gusar? Jangan-jangan di dalam kekuatiran dan kegusaran kita, tanpa di sedari kita telah menghina Tuhan yang kita sembah! Bagi saya, kebimbangan dan kekuatiran adalah suatu sifat yang menghina Tuhan secara peribadi, kerana ia menyerang siapakah Tuhan yang sebenarnya. Kekuatiran adalah bahasa yang mengatakan bahawa Tuhan tidak boleh dipercayai. Jika kita berkata Tuhan berkuasa, Dia maha tahu, mampu serta sanggup untuk melakukan segala sesuatu, Dia adalah Bapa kita yang sangat mengasihi kita, peduli dan murah hati namun kita masih kuatir, bukankah itu bererti kita mengatakan kepada Tuhan bahawa Dia tidak boleh dipercayai, janji-janjiNya tidak boleh dipegang, tidak mampu untuk melindungi, memelihara dan menjaga hidup kita dengan sempurna? Janganlah kita menghina Tuhan yang kita sembah dengan ketidakpercayaan kita. Sikap ketidakpercayaan akan mengheret kita kepada ketidaktaatan yang mana boleh mengundang kemurkaan Tuhan dalam hidup kita. Setiap kali apabila kita dilanda pencobaan dan permasalahan hidup, dan apabila akar-akar kekuatiran cuba untuk menyelusup masuk ke dalam hidup kita, ingatkanlah diri kita supaya jangan kita kuatir, kerana kekuatiran menghina kemampuan kuasa Tuhan. Katakan kepada musuh kita dan juga kepada diri kita sendiri sekuat yang mungkin bahawa aku percaya kepada Tuhanku yang berkuasa yang mampu dan sanggup untuk memeliharaku dan menyelesaikan segala permasalahanku dengan sempurna, kerana aku adalah anak yang sangat dikasihiNya. Hormatilah Tuhan yang telah memberikan kita kasih karunia-Nya dan hidup yang kekal. “Sebabnya kami hidup dengan iman, bukan dengan penglihatan” (2 Kor 5:7). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Tuhan Itu Baik

    Bermula di akhir tahun 2020 sehingga kini, dunia di landa oleh wabak virus corona (covid 19). Seluruh aspek kehidupan manusia sangat terkesan baik dari segi kesihatan, ekonomi mahupun sosial. Kita melihat kematian demi kematian melonjak dengan begitu pantas, sehingga kakitangan hospital bahkan pengali kubur pun tidak menang tangan. Seolah-olah malaikat maut bekerja dengan begitu keras dalam mengambil nyawa manusia melalui virus ini. Manusia bukan hanya sekadar dilanda oleh wabak virus corona tetapi juga oleh virus ketakutan yang mencengkam. Dalam keadaan sebegini, pernahkah kita tertanya-tanya apakah Tuhan masih ada dan masih mengawal segala sesuatu? Atau apakah ini telah ditakdirkan oleh Tuhan. Kalau ya, bukankah Tuhan itu baik? Kalau Dia baik, lalu mengapa keburukan, kemudaratan dan kematian ini terus melanda manusia? Apakah benar segala kebaikan dan keburukan datang daripada Tuhan? “Tuhan itu baik kepada semua orang. Dan penuh rahmat terhadap segala yang dijadikannya (Mazmur 145:9). “Sebab Tuhan itu baik, kasih setia-Nya untuk selama-lamanya, dan kesetiaan-Nya tetap turun temurun”. (Mazmur 100:5) Firman Tuhan mengatakan bahawa Tuhan itu baik. Dan Dia baik untuk selama-lamanya. Itu adalah sifat-Nya yang kekal. Maka kalau Tuhan itu baik, bererti segala sesuatu yang baik datangnya daripada Tuhan. Tidak ada yang tidak baik, sebab tidak ada ketidak-baikan dalam Tuhan. Ketidak-baikan bukan berasal daripada Tuhan. Sekiranya ada ketidak-baikan dalam Tuhan maka Dia bukanlah Tuhan kerana ianya bertentangan dengan sifat-Nya bahawa dia adalah baik. Tuhan tidak berdusta seperti manusia (Titus 1:2). Kerana itu apabila ada orang mengatakan bahawa semua yang terjadi adalah takdir Tuhan, saya akan bertanya, benarkah demikian? Kalau Tuhan baik, mengapa Dia mahu menimpakan apa yang tidak baik kepada manusia ciptaan-Nya? Mengapakah manusia harus menderita kerana sesuatu yang telah ditakdirkannya sejak awal lagi? Apakah Dia adalah Tuhan yang bertentangan dengan diri-Nya sendiri? Apakah Dia Tuhan yang berdusta dengan diri-Nya sendiri? Yang dengan senang-senangnya mengubah janji-janjiNya? Sebab saya percaya jika Tuhan bertentangan dengan sifat diri-Nya sendiri, Dia bukan sahaja memudaratkan manusia tetapi diri-Nya sendiri, kerana ternyata dengan bertentangan dengan sifat-Nya Dia bukan Tuhan yang benar. Jadi kalau kita percaya bahawa segala kebaikan itu datangnya daripada Tuhan, maka segala yang tidak baik itu datangnya daripada musuh Tuhan. Siapakah musuh Tuhan itu? Firman Tuhan mengatakan bahawa musuh Tuhan itu seperti pencuri yang datang untuk mencuri, membunuh dan membinasakan (Yohanes 10:10b). Mari kita renungkan ke dalam diri kita sendiri, apakah Tuhan yang sedang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah kebaikan, atau musuh Tuhan yang menguasai dan bekerja dalam diri kita untuk menghasilkan buah-buah yang mencuri, membunuh, dan membinasakan segala kebaikan baik dalam hidup kita mahupun kehidupan orang lain? Apakah niat hati kita, fikiran kita, imaginasi kita, tindak tanduk kelakuan kita mahupun tutur kata kita – adakah ia mengeluarkan segala sesuatu yang baik atau sebaliknya? Hari ini marilah kita datang kepada Tuhan yang baik dan percaya bahawa Dia sentiasa menginginkan yang terbaik dan merencanakan kehidupan yang terbaik untuk kita. Marilah kita serahkan diri kita kepada-Nya untuk mengerjakan yang baik dan menghasilkan buah-buah yang baik dari dalam diri kita bagi kebaikan diri kita dan juga masyarakat sekeliling kita. Sebab “Kita tahu bahawa Tuhan mengatur segala hal, sehingga menghasilkan yang baik untuk orang-orang yang mengasihi Dia dan yang dipanggil-Nya sesuai rencana-Nya. (Roma 8:28). Kiranya Tuhan menyertai dan memberkati kita semua dengan Rahmat-Nya yang kekal. Amen. Sue

  • Menghargai Nilai Pasangan

    Oleh Greg Smalley Sikap utama yang akan menolong pasangan anda berasa selamat dari segi emosinya adalah ketika dia percaya bahawa anda memahami betapa berharganya dia. Itulah intipati penghormatan. Sikap menghormati seseorang adalah keputusan untuk melihat pasangan kita sebagai harta yang tidak ternilai - orang yang sangat penting dan bernilai tinggi. Ini juga digalakkan oleh peribahasa yang menyatakan, "Harta terbesar seseorang lelaki adalah isterinya". Penghormatan bukan bergantung kepada tingkah laku atau berasaskan perasaan. Anda menganggap pasangan anda bernilai sama ada mereka menginginkannya atau layak. Penghormatan adalah keputusan yang anda buat dan hadiah yang anda berikan: “Hendaklah kamu saling mengasihi sebagai saudara dan saling mendahului dalam memberi hormat.” Namun, ketika saya dan Erin sedang bertengkar dan hati saya tutup, perkara pertama yang lenyap adalah kesedaran tentang nilainya yang luar biasa. Dan pada saat-saat itu, ketika saya tidak melihat nilainya, ketika saya tidak menghargainya, saya lebih cenderung untuk bertindak balas dan melayannya dengan cara yang tidak menghormati. Ketika itu, Erin berhak “membina tembok antara kami” yakni mengasingkan diri untuk melindungi dirinya sendiri. Saya menyaksikan kuasa dalam pengakuan nilai isteri saya ketika kami makan malam di rumah ibu bapa saya pada suatu ketika. Salah satu ciri ibu bapa yang sangat saya hargai ialah kejujuran dalam perkahwinan mereka. Mereka tidak pernah menyatakan bahawa perkahwinan mereka "sempurna" dan tidak takut untuk tidak bersetuju antara satu sama lain. Pada satu ketika semasa makan malam, ibu bapa saya bertengkar dengan hebat. Mereka begitu kecewa sehingga masing-masing bergegas ke bahagian rumah yang berlainan. Saya membiarkan keadaan menjadi tenang untuk beberapa minit sebelum saya mengetuk pintu pejabat ayah saya. "Masuklah," jawabnya dengan berat hati. Semasa saya masuk pejabatnya, saya dapati ayah saya duduk di belakang komputernya sambil membaca dokumen yang bertajuk "Mengapa Norma Sangat Berharga." (Nama ibu saya adalah Norma, sekiranya anda tertanya-tanya.) "Apa yang kamu baca?" tanya saya. "Beginilah," ayah saya mula berkata, "beberapa tahun yang lalu saya memulakan senarai mengapa ibumu sangat berharga. Oleh itu, ketika saya kesal dengannya, atau ketika kami baru bertengkar, saya mendapati bahawa daripada duduk di sini dan memikirkan betapa sakitnya atau kecewa saya pada ibu anda, saya perlu memaksa diri saya membaca senarai ini. " Dokumen itu mengandungi ratusan perkataan dan frasa yang menggambarkan nilai ibu saya. Ia menakjubkan. "Ketika saya mula-mula membaca senarai ini, saya masih kesal," jelas ayah saya. "Saya biasanya sampai ke tiga atau empat perkara pertama dan berfikir, 'Apa yang saya fikirkan?' Atau 'Yang ini tidak lagi sah!' Atau 'Saya pasti akan memadamkan ini." Tetapi semakin banyak yang saya baca, semakin cepat saya sedari bahawa anda mempunyai ibu yang luar biasa." Ini merupakan idea terbaik yang pernah saya dengar tentang pengiktirafan nilai seseorang. Mewujudkan keselamatan, itulah iktibarnya. Ia juga apa yang dilakukan oleh ayah saya agar hatinya kembali terbuka. Dengan kata lain, hati anda akan terbuka kepada apa yang anda hargai. Salah satu cara untuk memastikan hati anda terus terbuka dan pasangan anda berasa selamat ialah menumpukan perhatian pada nilainya. Kita juga boleh membuat senarai penghormatan ini untuk pasangan kita. Luangkan beberapa minit untuk menyenaraikan semua sebab mengapa pasangan anda sangat berharga. Contohnya: salah satu ciri wataknya, bentuk imannya, nilai hidup, akhlak, kemahiran keibubapaan, kerohanian, peranan yang dimainkannya yang anda hargai (pekerja, rakan, ibu atau bapa, saudara, anak), ciri keperibadian, bagaimana dia melayan anda, dan lain-lain. Dan jangan simpan senarai ini yang menakjubkan untuk diri sahaja - kongsikan dengan pasangan anda. Biarkan dia tahu bahawa anda mengakui nilainya. Apabila ini berlaku, bukan sahaja pasangan anda mendapat manfaat, tetapi anda juga akan mendapat kesan positif.

  • Manis Janji Mu

    Jade Rozanne Justin Written and sung by Jade Rozanne Justin Video by Jimrod Benggon Filmed at Jade's home, Tamparuli Manis janjiMu Tuhan Tak pernah pudar dari harapan bangsa Kutinggalkan semua menuju ke tempat yg lebih indah Ku rindu bersamaMu Tuhan Di saat menderita Kau menjanjikan hidup penuh bahagia Di saatku terjatuh Kau memberikan limpah kasih kurnia Ku rindu bersamaMu Tuhan Adakah kamu percaya semua yg Dia janjikan Kepada semua org yg beriman Adakah kamu terima semua yg Dia berikan kerna Dia mengasihi UmatNya yg berdosa Aku kan percaya pada JanjiMu Tuhan Manis JanjiMu Tuhan Tak pernah pudar Ku menantikan janji-janjiMu Tuhan

1n.png

  Ikuti Kami Di Media Sosial Untuk Meneroka Lebih Banyak Lagi  

AKD.png
bottom of page