Renungan: 1 Petrus 1:3-7 “...sepanjang malam ada tangisan, menjelang pagi terdengar sorak sorai.” Mazmur 30:6
Kita akan terhibur apabila kita menerima pahala kelak walaupun kini kita bersusah payah dan menangis kerana penderitaan. Seorang ibu yang mengalami kesakitan melahirkan anak tahan menderita kerana dia akan menimang cahaya mata. Demikian juga seorang petani bertungkus lumus di bawah keterikan matahari kerana dia tahu kebanggaan menuai padi segar dan keseronokan menghidang keluarganya dengan padi harum, hasil hempas pulasnya. Tanyalah petani sewaktu menuai beras Bario yang terkenal itu. Aku pernah berasa kebanggaan mereka sewaktu mereka memberi aku sekantung beras mereka.
Segala keluh kesah umat Tuhan akan diakhiri dengan sorak sorai dan kemuliaan apabila mereka berada di hadirat Tuhan. “Bergembiralah akan hal itu, sekalipun sekarang ini kami seketika harus berdukacita oleh pelbagai pencobaan.” (1 Petrus 1:6) Apakah maksud semua kesengsaraan ini.“Maksud semuanya itu ialah untuk membuktikan kemurnian imanmu yang jauh lebih tinggi nilainya daripada emas yang fana, yang diuji kemurniannya dengan api-sehingga kamu memperoleh puji-pujian dan kemuliaan dan kehormatan pada hari Yesus Kristus menyatakan diri-Nya.” (1 Petrus 1:7)
Damai sejahtera jiwa membuktikan kemurnian iman Spafford sewaktu mengalami penderitaan yang luarbiasa. Spafford mengalami kebahagiaan sebagai seorang peguam yang cukup berjaya di Chicago. Dia mempunyai empat cahaya mata perempuan yang ayu dan beliau juga anggota Presbyterian yang berpengaruh, dan pendukung penginjil Moody.
Pada tahun 1871, api menjilat semua harta keluarganya. Ketika Spafford merancang membawa keluarganya bercuti ke Britain serta menolong Moody dalam pelayanan, urusan mendadak menyebabkan dia menangguh pelayarannya. Bagaimanapun dia menghantar isteri dan anak-anaknya ke kapal S.S. Ville Du Harve dengan maksud menyusul ke sana. Kapal itu mengalami kecelakaan dan keempat-empat anaknya meninggal dunia. Ketika bertemu dengan isteri, kesedihan hatinya bagai ombak menjulang namun beliau menulis, “Bila damai seperti sungai mengiringi jalanku, dan kesengsaraan seperti ombak menjulang. Apapun yang menjadi bahagianku, Engkau mengajar aku untuk berkata nyamanlah, nyamanlah jiwaku.”
Doa: Tuhan, Engkau tempat perlindungan dan kekuatanku serta penolongku dalam kesesakan. Tangisan hanya untuk semalam sahaja dan sorak sorai pasti menjelang pagi.