Mengetahui bagaimana meningkatkan kesihatan mental adalah urusan seisi keluarga. Berikut adalah tujuh kaedah meningkatkan kesihatan mental keluarga supaya anda dapat menghadapi cabaran hidup yang tidak diduga.
Setiap anggota keluarga kami mendapat keselamatan dan keselesaan dari pasang surutnya aliran kehidupan harian. Aktiviti yang jadi kebiasaan kami berfungsi selaras dengan irama dalaman tubuh untuk menyediakan kerangka kesejahteraan mental. Namun, apabila situasi baru mengganggu irama kehidupan, ‘rentak biologi’ kita jadi kucar-kacir atau tekanan tambahan muncul – menyebabkan kesihatan mental jadi goyah. Kami tertanya-tanya, “Bagaimana menjaga kesihatan mental keluarga saya setiap masa, baik atau susah?” Berikut adalah tujuh cara meningkatkan kesihatan mental keluarga anda supaya mereka dapat menangani cabaran hidup yang tidak diduga:
Cara Meningkatkan Kesihatan Mental Keluarga anda
1. Tidur
Setiap ibu atau bapa yang baru dapat mengesahkan bahawa tidur adalah mustahak untuk kesihatan. Tanpa tidur yang cukup, irama biologi kita jadi kucar-kacir. Kita jadi mudah marah, murung, tidak dapat memberi perhatian dan hidup kita tiada halatuju.
Kami berasa sukar mengawal emosi dan akan mengharungi sehari suntuk dengan perasaan penat dan geram. Kajian menunjukkan bahawa kekurangan tidur boleh menyebabkan kemerosotan mental, termasuk halusinasi. Gangguan kepada kitaran bangun dan tidur sering merupakan petanda keadaan kesihatan mental yang tersembunyi. Gangguan mungkin termasuk tidur berlebihan atau tidak cukup tidur, atau rasa sangat mengantuk pada waktu siang. Kami mudah jadi marah apabila tidak dapat tidur nyenyak akibat gangguan.
Tidur penting untuk membolehkan otak kita menyimpan kenangan, mengatasi tekanan harian, dan memulihkan kecergasan. Tidur mengembalikan ‘kilauan’ kepada kita. Amalan tidur dan bangun pada waktu yang tetap adalah tabiat penting bagi keluarga kita dan membantu menjaga irama biologi supaya ia tetap stabil. Ini juga merupakan salah satu kaedah terbaik untuk meningkatkan kesihatan mental. Tiada pengganti untuk tidur malam yang lena. Salah satu peristiwa penting dalam pengalaman keibubapaan yang awal adalah ketika bayi akhirnya tidur sepanjang malam.
2. Sentuhan yang menenangkan hati
Sentuhan fizikal meningkatkan oksitosin dan dopamin dalam otak kita. Mereka adalah dua hormon yang memberi kesan baik kepada kesihatan mental. Oksitosin, yang dikenali sebagai hormone ‘rasa sejahtera’, mengeratkan hubungan antara manusia. Ia meningkatkan rehat, memupuk kepercayaan pada orang lain dan kestabilan psikologi. Dopamin mengawal perasaan seronok dan kepuasan. Kedua-dua hormon ini membantu memastikan irama biologi kita berfungsi dengan baik.
Bayi berasa selesa bila dipegang, digegarkan, dan dililit dengan kain. Kajian menunjukkan bahawa anak-anak yatim yang tiada hubungan fizikal yang konsisten menderita secara emosi dan psikologi. Sentuhan fizikal adalah suatu keperluan asas. Pelukan memang diperlukan untuk mewujudkan keselesaan dalam hubungan sesama manusia. Oleh itu, berpegangan tangan dengan orang yang dikasihi adalah salah suatu ciri hubungan yang intim dan saling mempercayai. Apabila kata-kata gagal, pelukan dapat menyampaikan maksud yang diingini.
Sentuhan yang menenangkan ada dalam keluarga yang berhubung dengan cara yang munasabah – pelukan, bergusti secara gurauan atau saling mengurut bahagian belakang tubuh. Haiwan peliharaan sering kali merupakan ahli keluarga yang penting dan memberi sokongan emosi dan hubungan yang menenangkan hati. Manfaat memelihara haiwan dapat dibuktikan dengan bertambahnya bilangan haiwan peliharaan yang memberi sokongan dari segi emosi. Membelai seekor anjing atau kucing memberi kesan yang sama seperti berinteraksi dengan bayi yang comel – ia melepaskan oksitosin dan dopamin ke dalam otak kita. Kita berehat, dan tekanan darah turun. Kita selangkah lebih dekat menuju kedamaian.
Perasaan dipegang oleh orang lain adalah salah satu cara memanfaatkan kesihatan mental keluarga. Kita harus tahu apa yang menjaga kita dari segi fizikal, emosi dan rohani. Salah satu faktor utama dalam peningkatan kesihatan mental adalah rasa kekitaan, yang menjadi asas bagaimana kita memahami harga diri dan nilai kita. Setiap ahli keluarga mesti tahu bahawa, walaupun apa pun huru hara yang timbul, dia masih dikira sebagai ahli keluarga.
3. Renungan dan Meditasi yang tenang
Salah satu cara meningkatkan kesihatan mental keluarga ialah mewujudkan rutin yang memberi ruang untuk membuat renungan dan meditasi secara tenang, baik sebagai keluarga atau individu. Di dalam unit keluarga, kita belajar bagaimana menjadi orang berdaya tahan yang mengatasi masalah – mahir dalam seni menghadapi gagal tanpa menjadi orang yang gagal. Kita belajar bagaimana menangani konflik dan memproses emosi kita, seperti kemarahan, kesedihan, kekecewaan, dan ketakutan. Kami membangunkan kebijaksanaan emosi melalui interaksi keluarga, dan ini mendorong interaksi yang sihat dengan orang lain.
Menulis buku catatan harian mengenai aktiviti kita adalah kaedah yang paling berharga untuk meningkatkan kesihatan mental. Perbuatan ini memupuk ketabahan dalaman untuk menghapuskan pemikiran negatif yang menjejaskan kesihatan mental.
4. Luangkan masa di luar rumah
Banyak keluarga mendapati bahawa aktiviti luar rumah memberikan rasa damai sejahtera (walaupun kita mungkin bergurau bahawa terdapat binatang buas di sana). Ia juga dapat memberikan pengalaman mengujakan yang indah untuk dikongsi bersama misalnya insiden binatang buas menyertai makan tengah hari semasa perkelahan. Orang Jepun menggalakkan amalan shinrin-yoku – yakni ‘mandi hutan’ atau menikmati suasana hutan.
Pengalaman berada di luar rumah dan di tengah-tengah alam semulajadi seringkali melibatkan pelbagai deria anda (penglihatan, sentuhan, pendengaran, bau, rasa), menjadikannya pengalaman yang memberi keseimbangan emosi. Ia adalah cara hebat untuk meningkatkan kesihatan mental keluarga.
Apabila keluarga aktif di luar rumah, mereka juga jauh dari panggilan teknologi yang menggodakan. Isyarat telefon bimbit sukar didapati semakin jauh kita meninggalkan rumah, dan ini akan menghadkan masa merenung skrin alat elektronik. Pendedahan yang kerap kepada skrin boleh mengganggu irama biologi kita.
5. Tetapkan Temujanji untuk bermain
Buatlah keputusan untuk menjadualkan temujanji untuk bermain dalam rutin keluarga.
Setiap minggu, buatkanlah rancangan untuk berjalan kaki ke air terjun, naik basikal di sekitar rumah, atau bermain badminton di halaman belakang. Permainan tak berstruktur mewujudkan masa untuk meluahkan perasaan secara kreatif, menikmati detik bersama orang tersayang, dan ini menghasilan kenangan masa kecil yang bertahan seumur hidup. Detik-detik ini menolong kita menghadapi perjuangan yang tidak dapat dielakkan dalam setiap kehidupan seorang insan.
Sedarilah betapa pentingnya permainan, gelak ketawa, dan aktiviti yang tidak terlalu mengira waktu. Kita mungkin memanggilnya "main", tetapi ia harus dikira juga sebagai sejenis senaman, salah satu cara untuk meningkatkan kesihatan mental.
6. Senaman
Tubuh kita dicipta untuk bergerak! Aktiviti fizikal penting untuk kesihatan mental. Manfaat senaman bukan setakat penambahbaikan kekuatan otot, koordinasi badan, keseimbangan dan sifat berdaya tahan. Bersukan memupuk keyakinan diri, sifat kepimpinan dan memberi rasa pencapaian. Kajian menunjukkan bahawa senaman dapat memberi manfaat seperti antidepresan dalam kes kemurungan ringan hingga sederhana.
7. Pemakanan yang baik
Setelah bermain dan bersenam bersama keluarga di luar rumah, adalah penting untuk mengekalkan kesihatan. Penyahhidratan dapat mengubah otak dari anggur jadi kismis. Otak anda jauh lebih sihat ketika ia ada cukup air. Air dan makanan adalah bahan bakar yang sangat baik untuk badan dan otak kita.
Kita semua tahu apa jenis makanan yang paling berkhasiat. Itulah salah satu sebab mengapa ibu bapa menghadkan pemakanan gula oleh anak mereka. Dan mengapa alkohol merosakkan otak. Kekurangan zat makanan boleh merosakkan fungsi otak, dan ketoksikan logam berat dapat menyebabkan seseorang jadi tidak siuman. Watak Tukang Topi Gila (‘Mad Hatter’) dalam karya Lewis Carroll, Alice’s Adventures in Wonderland jadi gila kerana terdedah kepada raksa yang digunakan dalam proses membuat topi. Hari ini, keracunan raksa kerap terjadi akibat makan ikan yang tercemar.
Dari banyak segi, kita adalah ‘produk’ yang dihasilkan dari cara pemakanan kita. Pemilihan makanan berkhasiat menyediakan bahan binaan terbaik untuk sel kita, termasuk sel otak. Otak kita bergantung pada nutrien yang stabil. Kalau makanan kita kurang zat, otak yang menderita. Apabila otak sakit, begitu juga dengan kesihatan mental kita. Kita semua pernah berasa tidak selesa setelah makan berlebihan dan siapa yang tidak menjadi “marah dan lapar” ketika ‘melangkau’ waktu makan? Nutrien membantu badan kita mengatur irama biologi dengan lebih cekap.
Makanan Menyatukan Keluarga
Makanan, dalam peranan terbaiknya, menyatukan keluarga. Menikmati rutin makan bersama adalah salah satu cara terbaik untuk meningkatkan kesihatan mental. Kerjasama semasa menyediakan makanan meningkatkan ikatan kekeluargaan, mencipta kenangan tentang cubaan memasak (anda boleh memesan pizza jika cubaan memasak ‘soufflé’ tidak berjaya), dan memberi peluang kepada semua untuk berkongsi apa yang ada dalam fikiran mereka ketika di meja makan.
Makanan membuat kita rasa aman dengan mengurangkan naluri kita untuk ‘bertarung, lari, atau menjadi kaku’ bila menghadapi ancaman. Sebaliknya, sistem saraf ‘parasimpatis’ kita bertindak mengawal keadaan. Kita jadi lebih rela menyatakan kepada orang lain tentang perjuangan dalaman, membincangkan konflik dalaman, dan menghadapi cabaran hidup. Kita berhubung dengan orang lain dengan cara yang menjalinkan semula ikatan persaudaraan, menguatkan semangat kekitaan, dan menolak sama sekali pemikiran negatif bahawa kita bersendirian dan orang lain tidak memahami kita. Bersantap bersama-sama memberi peluang untuk mengubah cara kita menilai setiap keadaan hidup dan membolehkan pendekatan yang sesuai untuk menghadapi cabaran hidup. Kemahiran ini adalah kaedah yang baik untuk meningkatkan kesihatan mental.
Tanggungjawab seisi Keluarga
Kajian tentang cara meningkatkan kesihatan mental adalah urusan seisi keluarga. Nikmatilah rutin harian semasa mengharungi pelbagai musim kehidupan. Dapatkan rehat yang secukupnya. Nikmatilah hubungan erat akibat sentuhan fizikal yang menenangkan dan luangkan masa untuk berfikir. Hayatilah keindahan alam semulajadi dan luangkan masa dalam permainan dan senaman. Makanlah makanan yang berkhasiat dan menyihatkan badan. Tajamkan fikiran anda. Hiduplah dengan baik.
Sekiranya anda atau mana-mana ahli keluarga mempunyai pertanyaan mengenai kesihatan mental atau memerlukan pertolongan menghadapi apa-apa musim kehidupan ini, hubungi +603 3310 0792
© 2020 Dr. Patricia Landry. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin. Asalnya diterbitkan di focusonthefamily.com.
Pembelajaran oleh suami isteri bagaimana terus memberi perhatian pada cinta sejati walaupun menghadapi cabaran adalah suatu komitmen. Ikuti Focus on Marriage Assessment yang percuma untuk memahami kekuatan hubungan anda dengan pasangan dan juga di mana perlunya berlaku penambahbaikan bila mengharungi pelbagai musim perkahwinan.
Amen.