Kanak-kanak tidak menghadapi tekanan yang sama seperti orang dewasa, tetapi pada hakikatnya mereka boleh mengalami kemurungan dan kesannya sama seperti orang dewasa. Namun demikian, kita harus sedar bahawa kanak-kanak mungkin menunjukkan gejala yang berbeza daripada orang dewasa.
“Saya berasa murung, Linus. Saya perlukan kata-kata galakan untuk menaikkan semangat.” (Snoopy, Come Home, 1972)
“Saya berasa murung. Saya tahu saya harus bergembira, tetapi sebaliknya yang berlaku.” (A Charlie Brown Christmas, 1965)
“Saya mengalami kemurungan yang mendalam. Apa yang harus aku buat?” (Komik Peanuts, 1959)
Dalam pelbagai komik, rancangan televisyen dan juga filem, kita semua pernah mendengar Charlie Brown mengucapkan kata-kata sedemikian. Dia sering kali meluahkan isi hatinya di “gerai psikiatri” sementara kepunyaan Lucy. Jawapan Lucy biasanya seperti ini: “Hentikanlah sikap ini, Charlie Brown! Sila bayar yuran rawatan – lima sen”.
Tentulah kita ketawa pada saat-saat ini. Jalan cerita komik Peanuts berlaku dalam dunia yang hanya dihuni oleh kanak-kanak.
Satu-satunya petunjuk bahawa dunia ini ada orang dewasa ialah ketika kita mendengar “suara orang dewasa” yang ganjil dan berbunyi seperti trompet tetapi tidak digambarkan dengan jelas dalam komik tersebut. Oleh itu, kita geli hati bila melihat Charlie Brown mengunjungi “pakar psikiatri”” dan bercakap mengenai kemurungan. Sebenarnya, itu adalah masalah orang dewasa!
Tapi betulkah tanggapan ini? Kita mungkin ingat bahawa kanak-kanak tidak mungkin murung kerana mereka tidak menghadapi tekanan yang sama seperti orang dewasa: Bil yang perlu dibayar. Tarikh akhir menghabiskan projek di tempat kerja. Konflik dalam hubungan. Perang, skandal, kematian dan huru hara yang dilaporkan dalam berita waktu malam. Cabaran membesarkan anak!
Sebagai ibu bapa, kami cuba melindungi anak-anak dari tekanan sedemikian untuk selama mungkin. Lagipun, kanak-kanak memang berdaya tahan, bukan? Mereka biasanya dapat mengatasi apa sahaja cabaran hidup yang muncul … bukan?
Sebenarnya, kanak-kanak boleh mengalami kemurungan dan kesannya sama seperti orang dewasa. Kemurungan klinikal adalah gangguan berterusan yang mengganggu perasaan seseorang sehingga memberi kesan buruk kepada anggota badan. Kanak-kanak tidak kebal terhadapnya, walaupun mereka mungkin menunjukkan gejala kemurungan yang berbeza daripada orang dewasa.
Mengenal pasti Kemurungan
Tidak seperti Charlie Brown, anak-anakmu, terutama jika mereka masih kecil, tidak akan mengumumkan, “Saya berasa murung.” Sekiranya seorang kanak-kanak mengalami kemurungan klinikal, emosinya belum cukup matang untuk menyatakannya secara lisan. Sebaliknya, anda akan melihat tanda-tanda yang jelas dalam tingkah lakunya. Complete Guide to Baby & Child Care yang diterbitkan oleh Focus on the Family menyenaraikan petanda-petanda yang mungkin menunjukkan bahawa anak anda berasa murung:
• Kesedihan atau keresahan yang berterusan, yang mungkin disertai dengan tangisan yang kerap dan berulang.
• Hilang semangat atau minat terhadap perkara yang dahulunya adalah aktiviti kegemaran.
• Penarikan diri dan pengasingan yang menjadi-jadi dari keluarga dan rakan-rakan.
• Prestasi sekolah yang buruk: markah peperiksaan yang menjunam, hilang minat terhadap kerja sekolah dan sering tidak hadir di sekolah.
• Menjadi marah, bertengkar, komen tidak sopan atau permusuhan yang ketara terhadap semua orang di rumah.
• Keluhan berulang kali tentang perasaan bosan atau letih.
• Salah laku secara terang-terangan: menyalahgunakan dadah atau alkohol, melarikan diri, melakukan hubungan seks, pergaduhan, vandalisme atau aktiviti anti social yang lain.
Memang, ini tidak bermaksud bahawa semua sikap dan tindakan negatif adalah gejala kemurungan. Namun demikian, tindakan tatatertib oleh ibu bapa yang betul merangkumi kesediaan untuk mempertimbangkan sama ada terdapat kemurungan jika seorang anak atau remaja menunjukkan tingkah laku buruk yang tidak dijangka dan berterusan.
Gejala Emosi dan Fizikal
Selain dari petunjuk-petunjuk dalam kelakuan yang disebut di atas, terdapat gejala emosi dan fizikal lain yang mungkin menunjukkan bahawa anak anda sedang mengalami kemurungan.
Petunjuk-petunjuk Emosi tersebut merangkumi:
• Renungan diri tanpa henti – Anak-anak, dan terutama remaja, kadangkala muram dan bersikap introspektif. Tetapi kemurungan dapat meningkatkan kecenderungan semula jadi ini dan menjadikannya sesuatu yang memudaratkan.
• Imej diri yang negatif – Setiap orang kadangkala cenderung mengkritik diri sendiri. Akan tetapi, usia remaja boleh membawa kepada sikap sedemikian dengan tumpuan yang lebih kepada penampilan fizikal. Namun begitu, kemurungan boleh menyebabkan kritikan diri tanpa henti dan berlebihan dan bukan hanya terhad kepada penampilan fizikal, tetapi juga merangkumi kecerdasan, kecekapan dan harga diri.
• Kerisauan – Setengah kanak-kanak adalah perisau semula jadi. Sikap risau yang munasabah adalah biasa, bahkan diperlukan. Tetapi kegelisahan yang berkait dengan kemurungan boleh melumpuhkan dan mengganggu aktiviti harian.
• Berputus asa –Kanak-kanak cenderung mengalami perasaan putus asa kerana mereka kurang pengalaman dan kematangan untuk mengenali pasang surutnya masa baik dan masa buruk yang berlaku sepanjang hidup. Sebagai orang dewasa, anda mungkin berasa terkilan kerana sikap anak anda yang berpendapat bahawa matematik adalah halangan yang tidak dapat diatasi, atau ketika remaja anda berfikir bahawa putus cinta seolah-olah “hari kiamat”. Tetapi cubalah melihat situasi yang dialaminya melalui kaca mata dan pengalaman mereka.
Petunjuk fizikal mungkin merangkumi:
• Kesukaran tidur dan gangguan tidur yang lain – Masalah tidur bukan semestinya menunjukkan bahawa anak anda murung, tetapi kemurungan selalunya melibatkan malam-malam di mana tidur tidak nyenyak. Sebaliknya, pemulihan keadaan kepada tidur yang normal selalunya memberi kita harapan bahawa anak semakin pulih dari kemurungan.
• Perubahan selera – Kehilangan selera makan, penurunan berat badan dan kelaparan tanpa henti semuanya mungkin tanda-tanda kemurungan.
• Masalah fisiologi – Keletihan, sakit kepala, pening, mual, sesak nafas, jantung berdebar-debar, susah menumpukan perhatian dan sakit badan yang tiada punca ketara semuanya mungkin petunjuk kemurungan. Sudah tentu, semua ini mungkin merupakan gejala masalah kesihatan lain yang serius. Sekiranya tiada penyakit serius yang dapat dikesan, ibu bapa harus mempertimbangkan kemungkinan anak mereka menderita kemurungan. Gejalanya bukan hanya “dalam minda anak anda”. Malah, mereka adalah gejala-gejala kemurungan yang sangat nyata.
Punca Kemurungan Kanak-kanak
Mungkin anak anda menunjukkan beberapa gejala ini, dan anda yakin dia berasa murung. Anda mungkin tertanya-tanya, “Mengapa?” Bagaimana ini berlaku?” Anda juga mungkin menyalahkan diri kerana berpendapat bahawa anda gagal sebagai ibu bapa.
Tetapi janganlah bersikap terlalu tegas terhadap diri sendiri. Faktor-faktor yang menyumbang kepada kemurungan adalah pelbagai dan kompleks. Setengah factor berada di luar kawalan anda, sementara yang lain mungkin mendedahkan beberapa aspek kehidupan keluarga di mana perubahan proaktif dapat dilakukan. Berikut adalah beberapa faktor utama yang menyebabkan kemurungan dalam kanak-kanak dan remaja:
• Genetik dan biokimia – Kemurungan sering dikaitkan dengan neurotransmitter dan tindakbalas kimia semula jadi dalam otak. Kadangkala kemurungan berpunca dari gen dan ini adalah sebabnya mengapa kemurungan seolah-olah diwarisi turun-temurun dalam sesetengah keluarga.
• Krisis dalam kehidupan peribadi dan keluarga – Penderaan, pengabaian dan kehidupan keluarga yang huru-hara jelas boleh menyebabkan kemurungan di kalangan kanak-kanak. Pengalaman awal yang menyakitkan juga dapat menyebabkan kemurungan di kemudian hari.
• Tekanan dan kegagalan terkini – Penyakit serius atau kronik, kematian orang yang disayangi (bahkan kematian haiwan kesayangan), perceraian, perkahwinan semula, pindah rumah, penderaan seksual, bencana alam, putus cinta yang menyakitkan, menjadi mangsa buli dan pengalaman lain yang mengganggu fikiran boleh mengakibatkan kemurungan reaktif, yang lebih berpanjangan dan mendalam daripada proses berduka yang biasa.
Jangan jadi seperti Lucy
Kini sudah jelas bahawa kemurungan boleh memberi kesan kepada anak-anak anda. Ini perkara yang harus dipandang serius. Institut Kesihatan Mental Nasional melaporkan bahawa pada tahun 2016, kira-kira 3.1 juta remaja (berumur 12-17) mempunyai sekurang-kurangnya satu episod kemurungan serius. Angka ini merupakan hampir 13 peratus populasi remaja.
Sekiranya anda mengesyaki anak anda mengalami kemurungan klinikal, jangan bersikap seperti Lucy dengan Charlie Brown dan hanya mengalakkannya supaya “Atasi-lah sahaja masalah-mu!” Berikut adalah beberapa cara untuk mengasihi dan menyokong anak anda jika dia bergelut dengan kemurungan:
Waspada-lah terhadap tanda-tanda kemurungan
Ramai ibu bapa terkejut ketika anak mereka didiagnosis sebagai mengalami kemurungan. Oleh itu, pastikan mata anda sentiasa terbuka. Akan tetapi, jangan fikir terlalu banyak tentang setiap sikap negatif atau hari buruk yang diharunginya. Namun begitu, jika anda perasan corak atau halatuju hidup yang membimbangkan, jangan abaikannya juga.
Dengarlah anak anda dan ambil berat terhadap masalahnya
Suatu kajian menunjukkan bahawa 90 peratus remaja yang mahu bunuh diri berpendapat bahawa mereka tidak difahami oleh keluarga. Sekiranya anda mengesyaki apa yang berlaku bukan sekadar perubahan keadaan emosi atau pemberontakan remaja, jangan bertindakbalas dengan sikap acuh tak acuh atau memalukannya. Bayangkan dirimu dalam situasi-nya, perhatikan dia dan luangkan masa untuk mendengar dan memahami cara pemikirannya.
Dapatkan penilaian doktor
Seorang doktor dapat membantu anda menolak kemungkinan penyakit fizikal dan mengenal pasti sama ada kemurungan adalah masalah yang dihadapi oleh anak anda.
Dapatkan kaunseling
Cari kaunselor dengan nilai hidup yang sama dan yang pakar dalam pengubatan pesakit muda. Ambil bahagian dalam sesi kaunseling anak anda. Corak interaksi dalam keluarga sering menjadi sebahagian daripada masalah kemurungan dan juga adalah cara penyelesaiannya.
Bersedia untuk makan ubat
Walaupun iman mungkin merupakan sumber kekuatan yang sangat penting bagi anda dan anak semasa proses ini, penggunaan ubat bukan tanda kelemahan atau kompromi. Ubat antidepresan dapat membantu neurotransmitter berfungsi secara normal dan tidak akan menimbulkan ketagihan dan bukanlah “melepaskan diri dari kenyataan.”
Waspada-lah terhadap tanda-tanda keinginan bunuh diri
Walaupun sukar dibincangkan, ketahuilah bahawa kemurungan klinikal sering meningkatkan risiko bunuh diri, terutama di kalangan remaja.
Fahami isu bunuh diri di kalangan remaja, dan jika anda mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa anak anda seolah-olah mempunyai rancangan bunuh diri, segera dapatkan bantuan. Anda boleh menghubungi kami di 03-3310 0792.
Pokoknya ialah: Anda paling memahami anak anda, dan anda berada dalam kedudukan terbaik untuk campur tangan sekiranya berpendapat bahawa dia menghadapi kemurungan klinikal. Oleh itu, berhati-hatilah, bukalah mata anda, jadilah tempat perlindungan yang selamat untuk anak anda.
© 2018 Focus on the Family. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin. Asalnya diterbitkan di focusonthefamily.com.