Oleh Danny Huerta, PSYD, MSW, LCSW, LSSW
Bunuh diri adalah masalah di kalangan belia dan orang dewasa muda. Terdapat harapan untuk penyembuhan apabila ibu bapa dan orang lain membantu secara terancang.
Apa itu Bunuh Diri?
Perbuatan sengaja menyebabkan kematian sendiri, yang dikenali sebagai bunuh diri, adalah masalah yang merupakan punca kedua utama kematian di kalangan mereka yang berumur antara 10 hingga 34 tahun. Ia adalah tragedi yang bukan sahaja meragut nyawa seseorang individu tetapi juga menyebabkan rakan-rakannya, ahli keluarga dan masyarakat secara amnya dilanda kesedihan, kekeliruan dan kesengsaraan. Syukurlah, ada harapan untuk sembuh apabila ibu bapa dan orang lain mengambil langkah yang terancang untuk membantu.
Isu Bunuh Diri
Walaupun ia mungkin nampak begitu, bunuh diri bukanlah sesuatu yang berlaku secara tiba-tiba. Banyak faktor yang menyumbang kepada keputusan seseorang untuk menamatkan kehidupannya. Namun demikian, pakar telah mendapati bahawa terdapat lebih banyak keinginan untuk bunuh diri pada zaman remaja.
Kajian menunjukkan bahawa 90 peratus remaja yang cuba membunuh diri mempunyai beberapa jenis masalah kesihatan mental. Kemurungan, kebimbangan, gangguan bipolar, dan skizofrenia semuanya dikaitkan dengan keinginan dan tindakan membunuh diri. Beberapa isu lain mungkin menjadikan belia dan orang dewasa muda lebih cenderung kepada fikiran bunuh diri. Buli, trauma, kekosongan, kesunyian, penolakan oleh rakan sebaya atau penderaan adalah isu yang mungkin menyumbang kepada perbuatan mencederakan diri.
Bunuh diri adalah masalah yang boleh menular. Jika seorang remaja mendengar tentang suatu kejadian bunuh diri, dia mungkin melihatnya sebagai penyelesaian kepada masalahnya. Ahli keluarga, rakan atau selebriti yang cuba membunuh diri boleh seolah-olah “memberi izin” kepada seseorang yang sedang berfikir-fikir hendak membunuh diri. Terdapat harapan untuk penyembuhan bila komunikasi terbuka diwujudkan, dan pendedahan kepada media dikurangkan ke tahap minimum.
Hiburan dan media sosial memberikan mesej atau persepsi tentang bunuh diri yang positif tetapi ia sebenarnya sangat memudaratkan dalam banyak kes,. Media massa sedemikian ini memberi kesan kepada emosi dan menyebabkan kanak-kanak terdedah kepada pengaruh mereka. Remaja sangat dipengaruhi oleh emosi mereka, menyebabkan mereka bertindak balas terhadap situasi yang sukar sebelum otak mereka dapat berfikir dan mempertimbangkannya dengan jelas.
Bersikap Proaktif!
Bukan satu isu sahaja yang akan menyebabkan anak anda mengambil nyawanya, tetapi terdapat beberapa pengaruh yang boleh menyumbang kepada risiko bunuh diri. Keadaan kesihatan mental dan peristiwa hidup yang menimbulkan tekanan – seperti penderaan atau penyakit serius – adalah faktor risiko yang mungkin terjadi.
Kehadiran salah satu faktor risiko ini tidak bermaksud anak anda berfikir untuk membunuh diri. Ia menunjukkan bahawa anda mesti perhatikan sama ada terdapat pelbagai tanda amaran. Sebahagian daripadanya termasuk kegelisahan, putus asa, kekosongan, penarikan diri, kemarahan dan perubahan emosi atau tingkah laku yang ketara. Bunuh diri adalah masalah yang memerlukan tindakan proaktif. Walaupun anda tidak melihat apa-apa tanda amaran, ada langkah pencegahan yang boleh diambil untuk mengurangkan risiko kepada anak anda.
Jadilah Rumah yang Bergaya
Jadikan rumah anda tempat anak remaja anda dan rakan-rakannya melepak. Ini mungkin bermakna anda membeli piza dan menganjurkan malam menonton filem. Anda akan mengalami kekacauan dan kos tambahan – tetapi ini akan membolehkan anda mengikuti perkembangan terkini dalam kehidupan anak anda. Selain itu, kenali-lah keluarga yang anak anda pilih untuk bergaul.
Kebertanggungjawaban
Wujudkan suatu perjanjian bertulis yang jelas yang meliputi keterbukaan dan ketelusan. Dalam dokumen itu, nyatakan apa yang diharapkan tentang bagaimana teknologi, media sosial dan penghantaran pesanan teks akan digunakan di rumah anda. Pantau dengan aktif masa yang diluangkan di depan skrin alat elektronik supaya anda dapat perasaan apa-apa aktiviti yang merisaukan.
Komunikasi dan Hubungan
Adakan pertemuan setiap minggu, dua minggu atau bulan atau pertemuan satu sama satu dengan anak anda. Tanya soalan, seperti: Bagaimana rasanya menjadi seorang yang berusia __ tahun di rumah kita? Bolehkah anda memberitahu saya apa yang berjalan lancar? Adakah terdapat sesuatu yang tidak begitu baik?
• Pastikan anda mendengar dan elakkan daripada “memberi syarahan”. Beritahu mereka bahawa anda menyayangi mereka – bahawa mereka cukup baik – sambil mereka terus berkembang. Beritahu mereka bahawa mereka boleh mengatasi pengalaman dan emosi yang sukar yang merupakan sebahagian daripada kehidupan. Terdapat harapan untuk sembuh apabila ibu bapa dan anak-anak mereka terlibat dalam komunikasi yang penuh kasih sayang dan jujur.
Menangani Isu Lain
Minda yang Sihat
Jika anak remaja anda bergelut dengan kemurungan, kebimbangan, cenderung terlalu mementingkan kesempurnaan atau penyakit mental, tanganilah masalah tersebut dengan gigih. Kajian menunjukkan bahawa kaunseling memberi perbezaan yang ketara untuk membantu kanak-kanak mengatasi dan menguruskan penyakit mental. Senaman, pemakanan yang baik, rehat, dan sokongan positif adalah penyumbang kepada minda yang sihat.
Masalah Pembelajaran
Tangani-lah masalah pembelajaran dan dapatkan bantuan profesional jika perlu. Ini boleh membantu anak anda menyedari harga dirinya dan cara orang lain melayannya. Bantulah anak anda mencari kekuatannya.
Tindak balas terhadap Tanda-tanda Amaran
Jika anda melihat tanda-tanda amaran bunuh diri pada anak anda, cakaplah dengannya. Tanya dia apa yang dia fikirkan dan rasakan dan gunakan perkataan bunuh diri. Sesetengah ibu bapa takut bahawa dengan menggunakan perkataan itu mereka akan menimbulkan fikiran tersebut. Itu tidak benar. Sebaliknya, anak anda akan lebih faham bahawa anda mengambil berat dan ingin melindunginya. Garis panduan yang baik ialah: Jika anak remaja anda bercakap tentang bunuh diri dengan kesedaran dan rasa hormat, maka dia lebih selamat daripada mereka yang tidak bercakap mengenainya. Bunuh diri adalah masalah yang membawa kepada pengasingan dan oleh kerana itu, perbincangan boleh mengatasinya.
Cara Membantu Anak Anda
Apakah yang perlu dilakukan jika anak anda mengatakan dia telah berfikir tentang bunuh diri? Akrostik S-L-A-P boleh membantu anda menilai tahap bahaya:
S = Pelan yang Spesifik. Adakah anak remaja anda sedang mempertimbangkan tindakan spesifik untuk mengambil nyawanya sendiri? Lebih terperinci seseorang bercakap tentang bunuh diri dan lebih banyak butiran yang mereka berikan, lebih besar risikonya.
L = Pelan yang Letal (boleh membawa maut). Adakah rancangan khusus ini benar-benar berbahaya? Jika jawapannya ya, dia kini menghadapi risiko 50 peratus.
A = Adakah pelan ini dapat dilaksanakan? Bolehkah rancangan itu dipraktikkan? Adakah dia mempunyai akses kepada cara dan/atau bahan yang diperlukan untuk melaksanakan niatnya? Jika jawapannya ya, dia berada dalam keadaan yang sangat berbahaya: Hapuskan cara membunuh diri dan ambil tindakan segera.
P = Pembantuan yang berdekatan. Adakah terdapat orang yang rapat untuk menghalangnya daripada mengikuti rancangannya? Dia mungkin tidak akan mencuba apa-apa semasa rakan, keluarga atau orang lain yang dia hormati berada di sekelilingnya. Jika anda tidak boleh meletakkan seorang remaja di bawah pengawasan keluarga, hubungi 911 atau bawa dia terus ke bilik kecemasan tempatan.
Jika tahap risiko anak anda cukup rendah sehingga bunuh diri nampaknya tidak akan berlaku, anda masih perlu menangani isu tersebut. Anda harus mempertimbangkan untuk menghantar anak remaja anda untuk penilaian oleh pakar kesihatan mental yang berlesen. Jika ubat dicadangkan, cuba dapatkan nasihat pakar psikiatri. Masalah seperti kemurungan klinikal adalah akibat ketidakseimbangan kimia dalam otak. Sehingga keadaan kimia otak anak anda diseimbangkan semula, kemurungannya mungkin tidak akan sembuh. Pakar psikiatri lebih faham tentang faedah dan risiko pelbagai ubat dan adalah pihak yang terbaik untuk memantau dan menyesuaikan ubat di mana perlu. Tetapi ingat, ubat dengan sendirinya tidak mencukupi untuk kanak-kanak yang bergelut dengan penyakit mental. Terdapat harapan untuk penyembuhan dalam terapi dengan pakar kesihatan mental yang bertauliah dan berlesen.
Mendekati Orang Lain
Jika anak anda mempunyai rakan yang bercakap tentang membunuh dirinya sendiri, berikut ialah beberapa perkara yang boleh dia lakukan untuk membantu:
• Beritahu seseorang. Menyelamatkan nyawa rakan lebih penting daripada menyimpan rahsia.
• Beritahu rakannya bahawa dia perlu bercakap dengan ibu bapa atau orang dewasa lain yang boleh dipercayai dan menyayanginya. Jika boleh, dia harus pergi bersama dan tidak meninggalkannya sehingga pasti bahawa rakannya berada di tangan yang baik.
• Hubungkan rakannya dengan Focus on the Family Malaysia di talian 03-3310 0792.
Sedarilah bahawa anak remaja anda mungkin mempunyai pelbagai emosi mengenai masalah rakannya. Dia mungkin bimbang atau tertanya-tanya sama ada masalah rakannya berpunca dari kesalahan anak anda. Atau, dia mungkin merasakan bahawa dia bertanggungjawab menyelamatkan nyawa rakannya. Beri anak remaja anda ruang yang selamat untuk meluahkan perasaannya. Ingatkan dia bahawa dia tidak dapat mengawal pemikiran atau tindakan rakannya. Beritahu dia bahawa ada harapan untuk sembuh dan mendekati rakannya adalah langkah pertama yang penting. Anak remaja anda perlu memperkenalkan rakannya kepada pembantu dewasa yang profesional. Dia perlu bebas daripada beban tanggungjawab dan rasa bersalah yang tidak berasas. Dia hanya boleh melakukan yang terbaik untuk menunjukkan rakannya ke arah yang betul.
Bunuh diri adalah masalah yang patut diberi perhatian
Bercakap mengenainya. Mulakan perbualan dengan soalan-soalan ini.
Jadilah pemerhati
• Adakah sesiapa memberitahu anda bahawa mereka mahu membunuh diri? Pernahkah anda mempunyai fikiran sedemikian?
• Mengapakah anda fikir seseorang mahu membunuh dirinya?
Jadilah pembina
• Pada pendapat anda, apakah yang telah hilang dalam kehidupan seseorang jika mereka ingin melangkau ke tahap “permainan tamat”? Bagaimanakah anda boleh membantu seseorang mempunyai perasaan harga diri?
• Bolehkah anda memikirkan cara untuk mendekati kanak-kanak yang kelihatan terasing?
• Bagaimana anda tahu anda disayangi oleh keluarga? Bilakah anda berasa disayangi di rumah kami?
Jadilah penyambung
• Siapa yang anda rasa selamat untuk memberitahunya tentang pengalaman dan perasaan anda? Mengapa anda rasa mereka adalah orang yang terbaik untuk memahamimu?
• Apakah yang boleh anda lakukan jika rakan mula bercakap tentang bunuh diri? Adakah anda percaya bahawa guru, kaunselor sekolah atau pengetua anda akan mengendalikan perkara ini dengan baik?
© 2019 Focus on the Family. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin. Asalnya diterbitkan di focusonthefamily.com.
𝟕 𝐓𝐫𝐚𝐢𝐭𝐬 𝐨𝐟 𝐄𝐟𝐟𝐞𝐜𝐭𝐢𝐯𝐞 𝐏𝐚𝐫𝐞𝐧𝐭𝐢𝐧𝐠 𝐀𝐬𝐬𝐞𝐬𝐬𝐦𝐞𝐧𝐭 (https://family.org.my/home/resources-all/resources-assessments/resources-assessment-parenting/take-free-parenting-assessment/) memberikan anda penilaian yang jujur tentang kekuatan unik yang harus diraikan dan bidang yang memerlukan tumpuan yang lebih. Ambil-lah penilaian percuma kami sekarang.
Tq. Satu artikel yang sangat bagus.