Oleh Katy Koch
Miranda sudah bosan berleter dengan anak perempuannya yang pra-remaja untuk melakukan kerja rumah harian. Jack tidak tahu bagaimana memotivasikan anaknya untuk mematikan alat permainan video dan menyelesaikan kerja sekolahnya. Amanda bersusah-payah menolong anak yang sensitif dan berada di tadika bagaimana menangani emosinya yang mencabar.
Apakah titik persamaan di kalangan ibu bapa ini? Mereka perlu mengetahui cara menggalakkan anak-anak untuk menolong mereka menjadi lebih berjaya.
Sekiranya anda mengkaji perkataan Inggeris “encourage” (menggalakkan), anda akan mendapat akar katanya: “courage” (keberanian). Menggalakkan anak-anak kita bermaksud memberi mereka keberanian. Setiap hari anak-anak kita memerlukan keberanian untuk mempertahankan apa yang betul dan membuat pilihan yang baik di rumah, di sekolah dan bersama rakan mereka.
Galakan tidak seharusnya dikelirukan dengan disiplin. Ibu bapa wajib mendisiplinkan anak-anak mereka, tetapi disiplin adalah berbeza daripada galakan. Disiplin adalah sesuatu yang kita lakukan; Galakan adalah suatu sifat dalam peribadi kita.
Saya suka memikirkan galakan seperti berada di udara yang kita hirup. Ia adalah suasana rumah kami. Ia adalah dalam kilauan mata dan nada suara kita. Apabila digunakan dengan betul, galakan membawa kepada kecemerlangan dan kepatuhan. Ini membuka pintu untuk sikap optimis dan pendekatan positif terhadap kerja dan tugasan yang mencabar. Galakan membenarkan pengambilan risiko, sifat yang diperlukan untuk pertumbuhan dan kepatuhan.
Mainkan peranan yang betul
Saya pernah melatih pasukan bola keranjang sekolah menengah perempuan. Seperti ahli sukan lain, pemain dalam pasukan saya mengalami pengajaran, bimbingan, sorakan dan pengadilan. Selama beberapa tahun, saya memerhati bagaimana setiap peranan memberikan bentuk galakan dan motivasi yang unik - dan masing-masing sangat penting untuk kejayaan pasukan.
Semasa anda berusaha untuk memberi motivasi kepada anak-anak anda, anda akan paling berjaya apabila memainkan peranan yang paling sesuai untuk perjuangan yang mereka lalui. Tetapi anda mesti prihatin dan fleksibel untuk mengetahuinya.
Jadilah guru
Strategi motivasi terbaik dan semua mesej positif di dunia tidak akan meningkatkan motivasi jangka pendek dan jangka panjang kanak-kanak jika mereka benar-benar keliru dan tidak pasti tentang halatuju mereka. Mereka harus tahu apa yang perlu dilakukan untuk berjaya. Dan ibu bapa boleh menjadi orang yang mengajar mereka.
Ibu bapa mesti menjelaskan dan menunjukkan cara-cara yang betul dalam melakukan sesuatu, dan juga membezakan antara tindakan tersebut dengan cara yang salah. Contohnya, apabila seseorang memberi layanan buruk kepada anda, membalas dendam adalah cara yang salah untuk menangani keadaan itu.
Jadilah jurulatih
Pelatih memecahkan tugas-tugas yang rumit menjadi bahagian kecil, mengajar tiap-tiap satu, dan meminta anak-anak berlatih satu demi satu. Ini membantu anak-anak bermula, tetap tabah dalam tugas mereka dan belajar dengan lebih cekap. Semasa saya melatih bola keranjang, gadis-gadis saya perlu menggelecek dengan baik semasa berdiri sebelum mereka dapat menggelecek bola ketika berjalan. Kemudian mereka berlari. Kemudian mereka berlari dan menggelecek bola dengan gadis lain yang cuba mencuri bola.
Fikirkan permintaan mudah: "Bersihkan bilik anda." Seorang ibu bapa yang melatih akan bercakap dengan anaknya mengenai pelbagai tugas kecil (misalnya, kemaskan katil anda, letakkan pakaian di tempat sesuai, cari tempat untuk menyimpan semua mainan), bahkan membimbing anak itu melalui prosesnya. Semasa anak anda membesar dan berkembang, beberapa proses ini akan menjadi lebih rumit, tetapi anda telah membentuk amalan untuk melatihnya dengan menggunakan proses membuat keputusan dan menjalankan tugas yang berlainan.
Jadilah pemandu sorak
Sesetengah kanak-kanak tahu apa yang harus dilakukan dan bagaimana melakukannya, tetapi mereka ragu-ragu, berasa tidak selamat dan takut kerana kegagalan pada masa lalu atau reaksi dari ibu bapa atau orang lain Mereka memerlukan ibu dan ayah untuk menjadi pemandu sorak yang terus terlibat sepanjang "seluruh permainan."
Pemandu sorak terbaik tahu bila hendak menukar bentuk sorakan. Sekiranya pasukan bola sepak ketinggalan 28 mata pada suku keempat permainan, pemandu sorak mereka tidak berteriak, "K-E-M-E-N-A-N-G-A-N!" Mereka masih menyokong pasukan mereka, tetapi mereka telah bertukar sorakan menjadi seruan untuk menghabiskan permainan dengan gigih. Sekiranya tidak, peminat, pemain dan jurulatih akan tahu bahawa pasukan sorak tidak menumpu perhatian kepada permainan. Ibu bapa yang bersorak perlu memerhatikan dengan teliti, mengenali anak-anak mereka dan bersorak dengan betul.
Jadilah pengadil
Kadang-kadang ibu bapa perlu memberitahu anak-anak mereka ketika mereka melampaui batas, bertindak keterlaluan atau perlu menjaga tingkah laku mereka sendiri. Sekiranya ibu bapa gagal melakukan ini, anak-anak tidak akan mengetahui kelemahan apa yang harus diperbaiki atau tidak akan sedar bagaimana mereka telah menyakiti orang lain. Semakin banyak usaha yang dilakukan oleh ibu bapa untuk mengajar dan membimbing, semakin sedikit mereka perlu menghabiskan untuk menjadi pengadil. Semakin lama anda bersorak dengan betul, semakin besar kemungkinan anak yang tingkah-lakunya lebih baik akan bertindakbalas dengan betul apabila anda perlu “meniup wisel”.
Semasa anda memerhatikan anak-anak, anda dapat memastikan mana dari empat peranan sebagai penggalak yang sesuai dengan situasi tertentu. Anak di tadika yang sangat beremosi mungkin memerlukan pemandu sorak sepenuh masa, sementara remaja mungkin memerlukan jurulatih atau pengadil.
Anda juga mungkin mendapati bahawa anak memberi tindak balas yang lebih baik terhadap satu peranan daripada yang lain. Saya lebih suka dilatih; sedangkan sedikit sorakan sangat membantu saya. Ingatlah bahawa untuk pasukan memenangi suatu permainan, pengajaran, bimbingan, sorakan dan pengadilan semuanya perlu berlaku pada tahap yang sesuai.
Menggunakan nada yang betul
Semasa anda memikirkan empat peranan galakan ini, pertimbangkan juga nada yang anda guna untuk berkomunikasi dengannya. Sekiranya anda berkecil hati atau terbeban, anda mungkin berkomunikasi dengan cara yang mematahkan semangat - seperti kritikan, mengadu atau berleter - tanpa menyedarinya.
Mengubah gaya komunikasi dapat mendorong anak-anak mendengar dan mematuhi anda.
Ketiga-tiga gaya komunikasi ini dapat membantu:
Bersikap optimis
Orang yang bersikap optimis rela menerangkan sesuatu, mempercayai anak-anak akan belajar dan bertambah baik. Mereka menjangka semuanya akan berjalan lancar dan percaya yang terbaik tentang anak-anak mereka. Orang yang bersikap optimis melihat apa yang betul sebelum mereka melihat apa yang salah, dan mereka hanya melihat yang negatif apabila perlu. Mereka tidak akan panik ketika kanak-kanak melakukan kesalahan atau menjangkakan mereka akan terus melakukan kesalahan. Seorang yang optimis tidak akan mengatakan, "Anda tidak pernah belajar" atau "Berapa kali saya perlu memberitahu anda ini?"
Bersikap positif
Ibu bapa yang bersikap positif lebih banyak bercakap tentang apa yang mereka mahukan daripada tingkah laku yang mereka lihat. Contohnya, jika anda kecewa kerana anak-anak anda selalu lupa tugas atau membawa bekalan, anda mungkin berkata, "Jangan lupa." Ini mengingatkan mereka tentang apa yang mereka lakukan salah. Sebagai gantinya, anda boleh cuba mengatakan, "Pastikan bahawa anda ingat." Anda dapat mengatakan, "Tepat pada waktunya", bukan "Jangan terlambat", dan "Tolong diam kerana kakak anda tidur siang," dan bukan "Saya mahu anda menghentikan semua teriakan itu." Adakah anda dapat melihat sifat positif mesej ini? Peralihan bahasa yang sederhana dapat memberikan nada yang menggalakkan.
Bersemangatlah
Sikap tidak peduli mungkin merupakan salah satu perasaan paling menyakitkan yang diterima oleh kanak-kanak dari ibu bapa dan orang dewasa yang lain. Keadaan sebaliknya adalah rasa bersemangat, ditakrifkan sebagai "minat yang meriah." Apabila anak-anak anda tahu bahawa anda benar-benar berminat terhadap mereka, apa yang mereka lakukan dan bagaimana mereka lakukan, mereka akan lebih mudah mempercayai anda, menjaga pendapat anda dan mendengar apa yang anda katakan.
Semasa anda berusaha untuk bersikap positif dan bersemangat, anda akan mengetahui bahawa anak-anak anda akan lebih bermotivasi, lebih cenderung untuk meminta pertolongan anda dan lebih bersedia untuk mengaku bahawa mereka keliru dan memerlukan pengajaran atau bimbingan.
Galakan memberi motivasi kerana ia berkait dengan kemajuan, bukan kesempurnaan. Semasa anda memberi semangat kepada anak-anak anda dengan mencari yang terbaik dalam diri mereka dan bertindak balas terhadap kesalahan mereka dengan belas kasihan, mereka akan berani mengambil risiko yang sihat kerana mereka percaya bahawa anda menyokong mereka.
© 2019 Celebrate Kids, Inc. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin. Asalnya diterbitkan di focusonthefamily.com.