Seks menyatukan dua insan dalam hubungan intim yang paling mendalam dan menyeluruh.
Kemesraan fizikal yang saling memuaskan melibatkan pengiktirafan bahawa seks adalah salah satu hadiah terbaik, jika bukan yang terbaik, untuk pasangan yang sudah berkahwin. Apabila ia dinikmati bersama keselamatan yang wujud dalam perkahwinan, seks seolah-olah syurga. Melaluinya, suami dan isteri boleh mengalami keintiman yang sedalam mungkin. Pasangan yang berjaya bersedia untuk membincangkan perkara yang mereka sukai dan tidak suka secara seksual dan membuat penyesuaian untuk memenuhi keperluan masing-masing. Hubungan intim mereka penuh dengan kasih sayang dan kemesraan, dan mereka faham bahawa membina hubungan seksual yang sihat adalah usaha sepanjang hayat yang memerlukan penyesuaian dan komunikasi.
Dalam perkahwinan yang kuat dan sihat, pasangan tidak menganggap seks sebagai “tugas” atau “kewajiban”. Sebaliknya, mereka melihatnya sebagai “tarian” yang menggembirakan di mana suami isteri mengutamakan keperluan dan minat pasangannya dan mengkaji cara memberi secara seksual kepada pasangannya.
Berikut adalah beberapa langkah penting yang membentuk corak asas tarian ini yang mempesonakan:
Meletakkan batu asas
Kita mulakan dengan anggapan bahawa seks dan seksualiti memang penting. Mereka adalah asas bagi seluruh makna hubungan perkahwinan. Kesatuan seksual sangat penting untuk proses kebersamaan dan ia harus dinikmati sepenuhnya dalam perkahwinan. Di samping itu, suami isteri harus menjaga kesucian “tempat tidur perkahwinan” dengan kelakuan yang setia terhadap pasangan mereka. Kecurangan seksual adalah pengkhianatan besar terhadap pasangan anda dan merupakan salah satu perkara yang paling menjejaskan perkahwinan.
Memupuk Keberahian
Budaya kita cuba meyakinkan kita secara terang-terangan atau secara tidak ketara bahawa seks paling seronok apabila ia dipisahkan dari pengalaman harian. Budaya tersebut memperdayakan kita untuk percaya bahawa hubungan yang paling mengujakan adalah yang berlaku di luar lingkaran rutin biasa. Keintiman dengan “perempuan tua” atau “laki tua” kita dianggap sebagai membosankan seperti semangkuk oatmeal yang sejuk. Tetapi, adakah ini benar? Sebenarnya tujuan seks ialah mengenali seseorang dengan mendalam dan dalam berbagai konteks. Seks dengan pasangan anda sebenarnya merangkumi persefahaman dan perkongsian yang sepenuhnya dalam setiap bidang kehidupan.
Semua ini menunjukkan bahawa anda harus ‘memupuk semangat’ dengan mengekalkan percintaan yang utuh di tengah-tengah hubungan anda. Anda boleh melakukannya melalui malam berpacaran, makan malam diterangi cahaya lilin, dan perbualan ikhlas dari “hati ke hati”. Ini adalah hakikat yang jarang dikenali atau diakui oleh masyarakat kita yang taksub dengan seks: sumber kehangatan seks yang paling menyeronokkan dan bermakna bukanlah dari hawa nafsu sembarangan tetapi dari sentuhan cinta romantik yang lemah lembut semasa interaksi harian.
“In-othering”
Kasihilah pasangan anda seperti anda mengasihi diri sendiri – ini adalah rahsia sebenar di sebalik cinta romantik antara lelaki dan wanita dan ikatan fizikal di mana ia mencapai kesempurnaan. Charles Williams, rakan C. S. Lewis dan anggota Inklings yang menjadi legenda, menyebutnya sebagai misteri “in-othering” atau “co-inherence”. Inilah keajaiban di mana saya ada dalam diri anda dan anda ada dalam diri saya. Istilah Williams merangkumi dengan sempurna bagaimana hubungan cinta tumbuh menjadi perkahwinan sejati, dan perkahwinan sejati diubah menjadi ikatan jiwa. Dua badan bersatu, dua jiwa terkunci dalam pelukan erat.
Pasangan yang membina hubungan mereka berdasarkan keakraban fizikal dan emosi yang sejati mempunyai salah satu penanda penting untuk perkahwinan yang berjaya dan bertahan lama. Pasangan ini tahu apa maksud dan tujuan hubungan seks dalam perkahwinan.
Menilai seks dalam konteksnya
Seks yang sangat bermakna umpama kek perkahwinan. Ini adalah sesuatu yang dicipta satu lapisan demi satu lapisan. Anda bermula pada tahap yang paling asas dan terus berusaha. Anda mulakan hubungan dengan cara yang kecil dan sederhana, kemudian mengekalkannya dan membangunkannya dari masa ke semasa. Hubungan seks boleh diibaratkan sebagai lapisan gula pada kek. Sentuhan akhir yang anda letakkan pada lukisan yang telah diusahakan dengan lama dan bertungkus-lumus untuk mencapai “kesempurnaan”.
Inilah yang dimaksudkan oleh Dr. Kevin Leman ketika memilih judul Sex Begins In The Kitchen untuk buku terlarisnya mengenai keintiman dalam perkahwinan. Judul tersebut bukanlah cubaan menciptakan gambaran yang penuh sensasi tentang pelukan penuh ghairah di atas kaunter dapur. Sebaliknya, dia berniat menyampaikan idea bahawa seks sebenarnya merupakan demonstrasi kasih sayang oleh pasangan untuk satu sama lain dalam semua bidang kehidupan – dalam berkomunikasi, berkongsi fikiran dan perasaan, bahkan dalam membantu membuat kerja rumah tangga. Beliau mengemukakan idea bahawa apa yang berlaku di bilik tidur sebenarnya adalah penghubung terakhir dalam rangkaian acara yang bermula beberapa jam dahulu ketika jari anda berdua tersentuh bila mencuci pinggan bersama-sama.
Dari laman web Focus on the Family di focusonthefamily.com. © 2016 Focus on the Family. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.