Oleh Geremy Keeton & Joann Condie
Menyembuhkan perkahwinan selepas kerosakan yang disebabkan oleh ketagihan pornografi bukanlah perkara mudah. Perkahwinan yang sihat memerlukan komitmen yang mendalam daripada kedua-dua pasangan. Dan untuk memulihkan perkahwinan yang rosak, kedua-duanya mesti mengambil tindakan.
“Saya telah minta maaf, dan saya ikhlas.” Randy memberikan Marcia pandangan malu, kemudian beralih kepada ahli terapi. “Sudah sebulan saya tidak menonton pornografi. Kami telah menghadiri sesi ini selama tiga minggu sekarang. Berapa lama lagi proses ini?”
“Ia akan mengambil masa selama yang diperlukan,” kata ahli terapi itu. “Tetapi semakin anda menekan Marcia untuk mempercayai anda, semakin sukar untuk dilakukannya. Anda perlu melihat perkara ini dari perspektifnya. Tingkah laku awak telah melukai hati dia. Perubahan singkat dalam tabiat tidak mencukupi untuk memulihkan kepercayaannya. Anda perlu bersabar dan dengan rendah hati mengikut pelan pemulihan untuk menunjukkan perubahan hati anda.”
Ahli terapi memberi isyarat ke arah Marcia, “Untuk memberi Marcia peluang untuk sembuh, anda perlu mewujudkan akauntabiliti dan mendapatkan sokongan kumpulan lelaki yang dipercayai dan kaunselor. Adalah tidak selamat untuk dia meneruskan dengan hidupnya sehingga dia melihat hala tuju tingkah laku anda yang berubah dari segi jangka panjang.”
Marcia melipat tangannya dan mengangguk. Pandangan ahli terapi beralih ke arahnya.
“Bagi awak Marcia,” katanya, “sejauh yang saya tahu, Randy benar-benar insaf atas apa yang dia lakukan.
Ia memerlukan dua pihak
Menyembuhkan perkahwinan selepas kerosakan yang disebabkan oleh ketagihan pornografi bukanlah perkara mudah. Dari segi reka bentuknya, perkahwinan yang sihat memerlukan komitmen yang mendalam daripada kedua-dua pihak. Samalah untuk penyembuhan perkahwinan yang terjejas – kedua-dua pasangan mesti mengambil langkah khusus untuk memulihkan hubungan mereka.
Sebelum kita mengkaji langkah-langkah khusus itu, kita perlu memahami bagaimana ketagihan pornografi dapat merosakkan kepercayaan.
Kepercayaan boleh dipulihkan
Kepercayaan itu cair, seperti sungai. Ia mengalir berdasarkan seberapa konsisten ia dipupuk. Ia memerlukan pemberian input setiap hari untuk mengekalkan kepercayaan pada tahap yang sihat. Apabila suami mengaku mempunyai masalah dengan pornografi, kepercayaan menjadi kering. Untuk mengisinya semula, suami mesti menunjukkan sifat amanah melalui tindakan yang boleh diperhatikan.
Berita baik ialah sama seperti air boleh mengubah anak sungai kering menjadi sungai yang mengalir, memulihkan kepercayaan akhirnya akan membantu membina hubungan yang berkembang maju. Lama kelamaan, anda dan suami akan mengalami detik-detik kelegaan dan pembaharuan. Tetapi seperti yang Randy sedar, ia mengambil masa lebih daripada beberapa minggu sebelum kepercayaan itu dipulihkan. Selalunya, ia memerlukan usaha membina kepercayaan selama beberapa tahun untuk perkahwinan mencapai tahap di mana kepercayaan penuh dan tidak berbelah bahagi wujud. Apabila ini berlaku, ini adalah hasil daripada pelaburan dalam amalan akauntabiliti yang konsisten dan perkongsian hati melalui banyak perbualan yang telus.
Kekal di lorong anda
Randy dan Marcia terpaksa belajar bahawa kedua-duanya tidak boleh mengharapkan pasangannya melakukan semua kerja untuk memulihkan perkahwinan. Mereka perlu bekerja bersama-sama untuk memulihkan hubungan mereka.
Tanggungjawab suami adalah untuk memulakan tindakan yang membina kepercayaan, hidup dengan amanah dan menyakinkan isteri bahawa tingkah lakunya benar-benar telah menjadi stabil dan berubah. Ini termasuk pelbagai tindakan atau garis sempadan yang ditetapkan yang memastikan kesetiaannya dan membuktikan komitmen jangka panjangnya untuk pemulihan.
Sebagai contoh, banyak kumpulan pemulihan lelaki membantu suami mencipta senarai garis sempadan tingkah laku dan akibat pelanggaran untuk membantu mereka mengelakkan godaan yang melampau. Mereka bersetuju untuk mematuhi dan menyemak perkara khusus ini dengan kaunselor dan lelaki yang menyokong mereka dalam kumpulan itu. Jika mereka tergelincir atau mengalami godaan yang kuat, mereka membincangkannya dengan rakan pemulihan mereka dan memutuskan cara untuk bertindak balas dengan lebih baik pada masa hadapan. Perjalanan untuk memahami punca dosa ketagihan mereka ini tidak berlaku dalam sekelip mata.
Menentukan apa tindakan yang membina kepercayaan
Para isteri, dengan pemberian pendapat anda, suami boleh mempelajari tindakan mana yang paling bermakna kepada anda dan membantu membina kepercayaan. Ini mungkin termasuk suami anda membuat panggilan telefon pantas atau menghantar swafoto yang membuktikan keberadaannya di sesuatu tempat. Ia mungkin bermakna menggunakan teknologi yang tidak begitu canggih dan sekatan komputer atau telefon tertentu untuk seketika waktu. Langkah lain mungkin merupakan menutup akaun media sosial yang bermasalah, memutuskan atau meminimumkan hubungan berisiko dan menukar pekerjaan. Biasanya, suami memerlukan bantuan dan sokongan yang mencukupi untuk mempelajari langkah-langkah ini dan berani mengambilnya.
Saya biasanya mengesyorkan agar isteri bertegas dengan tindakan membina kepercayaan yang tidak boleh dirunding ini: suami anda memberi anda akses kata laluan kepada semua peranti dan akaun, dia mendapatkan sokongan dan akauntabiliti lelaki dan dia mendapatkan kaunseling profesional.
Bagi anda sebagai isteri, tanggungjawab anda ialah bersedia menerima usaha membina kepercayaan dari pihak suami. Lakukannya tanpa bersikap lembut atau mudah tertipu. Tetapi anda perlu mengakui jika dia memberikan usaha yang benar dan ikhlas dalam perkahwinan anda. Walaupun rekodnya tidak sempurna, anda boleh yakin bahawa hubungan anda adalah penting baginya jika dia ikhlas dan pada umumnya konsisten dalam mengikuti rancangan pemulihannya.
Jika anda tidak rela mengampuni atau berdamai, usaha suami untuk mendapatkan kepercayaan anda tidak akan bermakna kepada anda. Begitu juga, jika anda tidak menjaga diri anda secara fizikal, emosi dan rohani, anda tidak akan dapat mengenali atau menerima usaha perdamaian suami anda. Anda tidak akan mempunyai tenaga untuk melihat perubahan dalam tingkah lakunya. Pada ketika itu, anda berdua akan lebih cenderung untuk menyerah kalah dalam perkahwinan anda.
Sudah tentu, anda telah melalui banyak cabaran. Anda akan memerlukan masa untuk memproses kesakitan dan apa yang hilang sebelum anda boleh berharap untuk berdamai. Tetapi apabila anda bersedia untuk bergerak ke arah pemulihan, langkah yang perlu diambil termasuk memperkayakan hidup anda, bekerja dengan kaunselor profesional, menjaga keperluan fizikal anda dan mendapatkan bantuan kumpulan sokongan.
Anda menghadapi jalan yang sukar dan panjang, tetapi ia boleh dilakukan dan sebenarnya mempunyai ganjaran sepanjang perjalanan. Semasa anda berdua mengambil langkah ke arah pemulihan, anda akan dapat menyaksikan kerja keras dan dedikasi satu sama lain untuk membaiki hubungan anda, dan itu akan memberi anda harapan.
Pelbagai isu boleh mencetuskan kebiasaan penggunaan pornografi. Memahami keperluan yang lebih mendalam bagi individu yang terjejas oleh masalah biasa ini adalah penting. Hubungi pembantu yang terlatih, dan jika anda pasangan suami isteri, lakukan bersama-sama. Perubahan boleh dilakukan! Kami boleh membimbing anda semasa anda mengambil langkah pertama anda ke arah pemulihan. Anda boleh menghubungi kami di 03-3310 0792 atau e-mel support@family.org.my
© 2018 Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.