Menjayakan Perkahwinan - Penyelesaian Konflik
Orang Cina mempunyai pepatah yang menyatakan bahawa gigi pun kadang-kadang tergigit lidah. Ini adalah ungkapan yang tepat untuk mengingatkan kita bahawa walaupun dalam hubungan manusia yang paling dekat dan paling mencintai, iaitu perkahwinan akan terjadi saat-saat konflik yang memerlukan penyelesaian.
Perselisihan faham sering kali menjadi sumber konflik. Suami isteri mungkin menganggap tindakan atau kegagalan bertindak atau kata-kata pasangan mereka sebagai sesuatu yang sangat tidak munasabah dan paling tidak wajar dalam keadaan tertentu. Kedua-dua pihak terlalu cepat mengambil suatu pendirian dan memberi alasan untuk pendirian dan kurang rela cuba memahami pihak lain.
Apa yang memburukkan perselisihan faham yang menimbulkan konflik adalah perasaan bangga dalam diri kita masing-masing yang enggan meminta maaf dan sikap angkuh yang menyatakan bahawa saya tidak akan merendahkan diri dan meminta ampun atau pendamaian. Perang dingin mungkin berlangsung selama beberapa hari sebelum konflik diselesaikan dan semasa itu, akan terdapat ketegangan dan banyak ketidakbahagiaan.
Dr James Dobson, secara terus terang menangani masalah ini yang sensitif dalam siri pertanyaan dan jawapan seperti berikut:
Soalan: Anda telah menyatakan bahawa setiap pasangan suami isteri yang sihat harus belajar bagaimana bertengkar. Apakah maksud kamu?
Jawapan: Apa yang saya katakan kita perlu belajar bagaimana bertarung dengan adil, kerana terdapat perbezaan besar antara pertempuran yang sihat dan tidak sihat dalam perkahwinan. Dalam perkahwinan yang tidak stabil, permusuhan ditujukan kepada suami atau isteri, disertakan dengan taktik kotor, dengan komen seperti "Anda tidak pernah melakukan sesuatu yang betul!" dan "Mengapa saya mengahwini awak?" dan "Anda semakin menyerupai ibu anda setiap hari!" Kenyataan seperti ini menjejaskan harga diri pasangan.
Sebaliknya, konflik yang sihat menumpukan perhatian kepada isu-isu yang menimbulkan perselisihan. Contohnya: "Saya berasa kecewa apabila anda tidak memberitahu saya bahawa anda akan lambat datang makan malam." Atau: "Saya berasa malu ketika anda membuat saya kelihatan bodoh di majlis malam kelmarin."
Bolehkah anda mendengar perbezaan dalam dua pendekatan ini? Yang pertama menyerang martabat pasangan sementara yang kedua ditujukan kepada sumber konflik. Apabila pasangan mengetahui perbezaan penting ini, mereka dapat mengatasi perselisihan mereka tanpa saling menyakiti dan menghina.
Soalan: Saya dan isteri kadang-kadang bertengkar ketika kami tidak mahu berbalah. Saya tidak pasti bagaimana ia berlaku. Kami mendapati diri kita berbalah dan lepas itu, kami berasa tidak senang. Mengapa kita tidak dapat berbaik antara satu sama lain walaupun itu yang kami mahu?
Jawapan: Untuk menjawab soalan ini, saya perlu mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan yang mencetuskan konflik antara kamu berdua. Yang terbaik yang boleh saya lakukan adalah menerangkan tentang salah satu sumber konflik utama antara orang yang saling berkomitmen. Saya menamakannya pengalaman "andaian berbeza." Biar saya jelaskan.
Apabila suami dan isteri terlibat dalam pertempuran sengit, mereka sering berasa sakit hati, ditolak, dan diserang oleh pihak lain. Tetapi ketika pertempuran ini dikaji secara objektif, kita sering melihat bahawa tidak ada pihak yang benar-benar mahu melukai pihak lain. Rasa sakit itu bukan disebabkan oleh penghinaan yang disengajakan tetapi merupakan akibat semula jadi dari tanggapan berbeza.
Sebagai contoh, seorang lelaki mungkin menganggap bahawa hari Sabtu adalah hari untuk bermain golf atau menonton sukan di televisyen kerana dia bekerja keras sepanjang minggu dan berhak mendapat cuti. Siapa yang boleh menyalahkannya? Tetapi isterinya dengan wajar menganggap bahawa dia harus tolong menjaga anak-anak selama beberapa jam kerana dia telah menyapu hidung berhingus dan menukar lampin sepanjang minggu. Dia berhak mendapat rehat sehari dan berharap suami akan memberikannya. Sekali lagi, ini adalah andaian yang cukup masuk akal. Apabila kedua-dua perspektif unik ini bertembung pada kira-kira jam lapan pagi pada hari Sabtu, percikan api konflik akan terjadi.
Bagaimana anda boleh mengelakkan tekanan dari andaian yang bercanggah di rumah? Dengan memastikan bahawa anda dan isteri tidak mendapat kejutan. Sebilangan besar daripada kita dapat mengatasi apa sahaja sekiranya kita dapat meramalkannya tepat pada waktunya.
Soalan: Saya dan isteri sangat menyayangi satu sama lain, tetapi kita sedang melalui zaman sikap ‘acuh tak acuh’. Kami tidak berasa dekat antara satu sama lain. Adakah ini perkara biasa, dan apakah caranya untuk mengembalikan api percintaan?
Jawapan: Lambat laun ini akan berlaku dalam setiap perkahwinan. Sepasang lelaki dan wanita seolah-olah ‘hilang momentum’ dalam hubungan romantis mereka untuk satu jangka masa.
Nasib mereka mengingatkan saya kepada pelaut pada zaman kapal kayu. Pelaut pada zaman itu mempunyai banyak perkara yang sangat ditakuti, termasuk lanun, ribut, dan penyakit. Tetapi apa yang paling ditakuti ialah kapal itu mungkin menghadapi suatu kawasan di lautan yang dikenali sebagai ‘Doldrums’. Doldrums adalah kawasan lautan berhampiran khatulistiwa di mana angin tenang dan bertiup ringan. Ini boleh membawa maut bagi seluruh anak kapal. Bekalan makanan dan air kapal akan habis kerana mereka akan hanyut selama berhari-hari, bahkan berminggu-minggu, menunggu angin mengembalikan mereka ke perjalanan mereka.
Sebenarnya, perkahwinan yang dulunya mengujakan dan penuh kasih sayang juga boleh terjebak dalam kebuntuan percintaan, menyebabkan kematian yang perlahan dan menyakitkan bagi hubungan itu. Pengarang Doug Fields, dalam bukunya Creative Romance (Percintaan Kreatif), menyatakan, “Bercinta dan berpacaran dengan pasangan anda dapat mengubah corak itu, dan ia mungkin sangat menyeronokkan. Memang tidak ada penyelesaian cepat untuk perkahwinan yang buntu tetapi anda boleh mengelak dari memberi alasan untuk masalah dan mulai berpacaran dengan kekasih anda. " Sebenarnya, anda mungkin ingin cuba berfikir seperti remaja lagi. Biar saya jelaskan.
Ingat sejenak ‘kegilaan’ masa percintaan anda berdua – sikap pemalu, menggoda, khayalan, mengejar gadis atau jejaka impian. Ketika kita beralih dari pacaran ke perkahwinan, kebanyakan kita berasa kita harus ‘jadi dewasa’ dan meninggalkan ‘permainan’ itu. Tetapi kita mungkin belum matang seperti yang kita fikirkan.
Dari berbagai sudut, hubungan romantis kita akan sentiasa mempunyai ciri-ciri seksualiti remaja. Orang dewasa masih menyukai keseronokan mengejar, daya tarikan ‘impian yang tak mungkin dimakbulkan’, keterujaan dengan benda baru dan kebosanan dengan yang lama. Impuls yang tidak matang memang dikawal dan diminimumkan dalam hubungan yang berkomitmen tetapi ia tidak lenyap sepenuhnya.
Ini dapat membantu mengekalkan kecergasan dalam perkahwinan anda. Apabila keadaan menjadi membosankan antara anda dan pasangan, mungkin anda harus ingat beberapa ‘muslihat lama’. Bagaimana dengan sarapan di tempat tidur? Ciuman dalam hujan? Atau membaca semula surat cinta lama bersama-sama? Malam di hotel berdekatan? Panggilan telefon di tengah hari? Mawar merah dan nota cinta? Terdapat puluhan cara menghidupkan hubungan.
Sekiranya anda berasa adalah agak tidak matang untuk bertindak seperti remaja sekali lagi, ingatlah ini: Dalam perkahwinan yang terbaik, ‘pengejaran impian’ memang belum berakhir.
Soalan: Anda telah menyatakan bahawa kecenderungan perkahwinan adalah hubungan akan menjadi lebih renggang daripada lebih intim. Mengapa itu benar?
Jawapan: Kecenderungan semula jadi segala di alam semesta adalah untuk berubah kepada keadaan yang tidak teratur. Sekiranya anda membeli kereta baru, ia akan semakin merosot sejak anda memandunya pulang. Badan anda semakin tua. Rumah anda mesti dicat semula dan diperbaiki selepas beberapa musim panas. Perniagaan yang tidak diuruskan dengan teliti akan terungkai dan runtuh. Batu-bata yang diletakkan di tempat kosong dan dibiarkan cukup lama akhirnya akan bertukar menjadi debu. Malah, matahari dan semua bintang perlahan-lahan membakar diri. Kita berada, dalam kata lain, di alam semesta yang akan mati di mana segala yang tidak dilindungi dan ditingkatkan secara khusus akan merosot.
‘Prinsip kemerosotan’ ini yakni dari keadaan tertib kepada kecelaruan boleh disebut sebagai "hukum perpecahan." (Jurutera dan saintis kadang-kadang menamakannya "undang-undang entropi.") Satu-satunya cara menangguh atau memerangi pengaruhnya untuk sementara waktu adalah dengan melaburkan tenaga kreatif dan kepintaran dalam perkara yang ingin dipelihara.
Tidak menghairankan kalau hubungan manusia juga mematuhi prinsip perpecahan. Kecenderungan semula jadi adalah untuk hubungan suami isteri lambat laun menjadi renggang kecuali mereka berusaha untuk terus tinggal bersama-sama. Sebagai analogi, ia seolah-olah mereka duduk di perahu yang terpisah di tasik berombak. Sekiranya mereka tidak mendayung dengan bersungguh-sungguh untuk tinggal di kawasan yang sama, satu akan hanyut ke utara tasik dan yang satu lagi ke selatan. Itulah yang berlaku bila pasangan terlalu sibuk atau tidak menumpu perhatian untuk mengekalkan cinta mereka. Sekiranya mereka tidak meluangkan masa untuk aktiviti romantis dan pengalaman yang menyatukan mereka, sesuatu yang berharga mula hilang. Tak seharusnya begitu tetapi arus kehidupan akan memisahkan suami isteri melainkan usaha dilakukan untuk tetap bersama.
Saya berharap setiap pasangan yang baru berkahwin tahu tentang undang-undang perpecahan dan melindungi hubungan mereka daripadanya.
Artikel ini ditulis oleh Focus on the Family Malaysia dan Soalan dan Jawapan diambil dari Panduan Rujukan Rumah Keluarga dan Perkahwinan Lengkap oleh Dr James Dobson dengan izin.
Amen.