top of page

Kelelahan Rohani Adalah Isyarat, Bukan Kegagalan

  • May 1
  • 2 min read

Ada satu musim dalam pelayanan di mana jadual sangat padat, lawatan lapangan, mesyuarat, dan keperluan di lapangan yang datang tanpa henti.


Secara luaran semuanya berjalan baik, tetapi di dalam hati saya mulai terasa letih. Bukan letih fizikal semata-mata, tetapi letih yang membuat doa terasa pendek dan hati mudah gelisah.


Pada waktu itu ayat Yesaya 40:29 “Ia memberi kekuatan kepada yang lelah” seakan menegur saya dengan lembut. Saya sedar kelelahan itu bukan tanda saya gagal melayani, tetapi isyarat bahawa saya sudah terlalu lama berjalan dengan kekuatan sendiri.


Saya teringat seperti lampu amaran minyak kereta ia bukan untuk menakutkan, tetapi untuk menyelamatkan enjin sebelum rosak. Begitu juga kelelahan rohani. Ia adalah cara Tuhan menarik perhatian kita supaya kembali kepada sumber kekuatan yang sebenar, iaitu Dia sendiri.


Apa yang saya pelajari dalam musim itu sangat sederhana tetapi mengubah cara saya melayani: Saya berhenti cuba menjadi “kuat sepanjang masa” dan mulai belajar datang kepada Tuhan dengan jujur mengakui bahawa saya letih dan memerlukan pemulihan.


Sejak itu, saya sengaja menetapkan waktu rehat rohani masa doa tanpa agenda pelayanan, hanya berdiam di hadapan Tuhan. Anehnya, bukan produktiviti yang hilang, tetapi damai yang kembali.


Kebenaran yang Saya Pegang: Tuhan tidak pernah meminta saya untuk sentiasa kuat. Dia mengundang saya untuk sentiasa bergantung kepada-Nya.


1. Ambil satu waktu untuk berhenti. Tetapkan 10–15 minit setiap hari minggu ini hanya untuk diam, berdoa, dan menyerahkan keletihan kepada Tuhan.


2. Kenal pasti satu perkara untuk dilepaskan: Apa yang saya pegang terlalu kuat sehingga membuat saya letih?


Lepaskan satu perkara itu kepada Tuhan sama ada beban, ekspektasi, atau jadual yang terlalu padat.


Saya belajar bahawa kelelahan rohani bukan kegagalan iman, tetapi undangan untuk kita kembali kepada hadirat Tuhan.


Kadang, tanda kita masih berjalan bersama Tuhan bukan kerana kita tidak pernah letih, tetapi kerana setiap kali letih kita tahu ke mana harus kembali.


Oleh Pr Jerry Ignacio

Sumber : Whatsapp channel @ jerry ignacio


Comments


bottom of page