top of page

Sejahtera Allah Memelihara Hati Dan Fikiran Kita

  • 11 hours ago
  • 1 min read

 

Dan sejahtera Allah yang melebihi pengertian manusia akan memelihara hati dan fikiranmu dalam Kristus Yesus.  Filipi 4:7 AVB

 

Rasul Paulus telah menggesa saudara saudari dalam Kristus di Filipi supaya tidak bimbang akan apa-apa pun. Dalam segala hal, mereka boleh memberitahukan hasrat mereka kepada Allah dengan berdoa dan memohon sambil mengucapkan kesyukuran kepada-Nya. Apabila mereka berpaling daripada kebimbangan kepada doa dan kesyukuran, janji indahnya ialah Allah akan memberi mereka sejahtera-Nya yang akan memelihara hati dan fikiran mereka dalam Kristus Yesus.

 

Sejahtera Allah diberikan kepada mereka yang telah berdamai dengan Allah melalui Tuhan Yesus Kristus. Sejahtera Allah melebihi pengertian manusia dan bertindak sebagai sentri untuk memelihara hati dan fikiran mereka daripada ketakutan, kebimbangan dan keraguan. Dengan demikian, ketenangan dalam naungan dan perlindungan Allah pasti akan diterima mereka yang sudah hidup bersatu dengan Tuhan Yesus.

 

Bagaimanakah dengan diri kita? Inginkah kita mengalami sejahtera Allah? Sejahtera ini sesungguhnya ditinggalkan oleh Tuhan Yesus bagi kita. Sejahtera Tuhan Yesus sendiri diberikan-Nya kepada kita. Sejahtera yang diberikan Yesus bukan seperti yang disogokkan oleh dunia yang bergantung pada keadaan yang baik, sempurna dan senang. Kita boleh mendapatkan sejahtera ini daripada-Nya.

 

 Oleh itu, marilah kita datang kepada Allah, sumber segala kesejahteraan, yang akan sentiasa mengurniai kita kesejahteraan dalam segala hal untuk memelihara hati dan fikiran kita. Kesejahteraan ini sesungguhnya tidak ternilai. Bersyukurlah kita kerana Allah akan memberikan kekuatan kepada umat-Nya dan Dia akan memberkati umat-Nya dengan kesejahteraan.

  

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku bersyukur kerana dalam-Mu hatiku akan tenang walaupun banyak dugaan yang harus aku lalui dalam hidup. Ajarlah aku untuk sentiasa beroleh sejahtera yang datang daripada-Mu untuk memelihara hati dan fikiranku. Dalam nama-Mu yang mulia aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page