Support Us
Support Us
Cari
3265 results found with an empty search
- Jangan Menduga Tuhan Kita
Tetapi Yesus menjawab, “Ada dikatakan, ‘Janganlah engkau menduga Tuhan, Allahmu.’ ” Lukas 4:12 AVB Setelah Iblis gagal menggoda Yesus untuk kali kedua, dia membawa Yesus ke Yerusalem dan meletakkan Yesus di puncak Bait Suci. Lalu dia berkata kepada Yesus, “Jika Engkau Anak Allah, terjunlah dari sini kerana telah tersurat, ‘Allah akan memerintahkan malaikat-malaikat-Nya untuk menjaga-Mu dan mereka akan menatang-Mu supaya kaki-Mu tidak terhantuk batu.’ ” Dalam percubaan ketiga untuk “menduga” Tuhan (Luk 4:4-12), Iblis sangat licik dan bertaktik memutarbalikkan kebenaran Firman Tuhan dengan mengutip ayat daripada kitab Mazmur 91:11,12 yang berkata bahawa Allah berjanji untuk memberikan pemeliharaan kepada hamba-Nya. Dengan berpandukan ayat Firman Tuhan ini (Mazmur 91:11,12), Iblis sewenang-wenangnya meminta Yesus untuk terjun dari puncak tinggi itu, kerana menurut ayat tersebut, Tuhan berjanji untuk menjaga dan memelihara semua hambanya. Bagaimanapun, Yesus tahu bahawa permintaan Iblis ini merupakan satu tindakan menduga Allah untuk melakukan keajaiban bagi kepentingan diri-Nya. Oleh itu, Yesus menolak permintaan Iblis kepada-Nya untuk terjun dari puncak tinggi. Sesungguhnya, sikap menduga bukanlah sikap seorang yang sudah percaya kepada Tuhan Yesus. Sebab menduga Tuhan bererti seseorang itu secara sengaja memaksa Tuhan untuk melakukan suatu perkara besar dalam hidupnya. Dengan itu, sebagai seorang yang percaya kepada Tuhan Yesus dan sudah mempercayakan seluruh hidup kepada-Nya, kita tidak boleh menduga Tuhan dengan memaksa Tuhan untuk mengerjakan keajaiban bagi diri kita. Sikap ini merupakan sikap seorang yang tidak mengenal Tuhan. Oleh itu, janganlah kita menduga Tuhan. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Tuhan memberi aku hati yang ingin memuliakan nama-Mu. Ajarlah aku untuk tunduk dan taat kepada pimpinan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Sikap Terhadap Tawaran Dunia Ini
Tetapi Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ” Lukas 4:8 AVB Setelah Iblis gagal menggoda Yesus buat kali pertama, dia tidak berhenti begitu sahaja dalam percubaannya. Dia pun mengubah cara dia menggoda Yesus. Dengan itu, Iblis membawa Yesus ke sebuah tempat yang tinggi lalu dalam sekelip mata, dia menunjukkan kepada-Nya semua kerajaan di dunia. Lalu dia berkata kepada Yesus: “Segala kekuasaan ini dengan kemuliaannya akan kuberikan kepada-Mu kerana semuanya itu telah diserahkan kepadaku dan aku boleh memberikannya kepada sesiapa jua yang aku suka. Jadi, jika Engkau menyembahku, semuanya itu akan menjadi kepunyaan-Mu.” Setelah mendengar tawaran Iblis kepada-Nya, maka Yesus pun berkata kepada Iblis “Telah tersurat, ‘Hendaklah engkau menyembah Tuhan, Allahmu dan kepada-Nya sahaja engkau beribadat.’ ”. Yesus sama sekali tidak tergoda dengan tawaran Iblis kepada-Nya kerana Dia tahu apa yang harus dilakukan dalam hidup-Nya. Segala kekuasaan bukanlah apa yang dikehendaki oleh Yesus di dunia, kerana apa yang hendak dilakukan-Nya adalah untuk menyembah dan memuliakan nama Tuhan. Itulah sebabnya Dia menolak tawaran Iblis untuk menyembahnya. Demikianlah pada hari ini kita juga ditawarkan pelbagai kebendaan dunia ini, agar kita melepaskan iman kita dan menyerah hidup kita kepada dunia ini. Seperti apa yang terjadi kepada Esau, demi semangkuk masakan kacang merah dia sanggup menyerahkan hak kesulungannya kepada Yakub. Apakah iman kita kepada Tuhan Yesus menjadi luntur hanya disebabkan hal-hal dunia ini? Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan daripada-Mu. Berilah aku hikmah untuk menghadapi tawaran dunia ini, agar aku tidak akan menyerahkan imanku kerana dunia ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Perintisan Jemaat Filipi
Oleh Pr Ong Boon Cheang
- Panggilan Untuk Kasih Tanpa Mementingkan Diri Sendiri
Oleh Adonis dan Joanna
- Keutamaan Dalam Hidup Kita
Yesus menjawab, “Telah tersurat, ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.’ ” Lukas 4:4 AVB Lukas mengisahkan Yesus digoda oleh Iblis setelah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam. Setelah tidak makan minum selama 40 hari dan 40 malam, Yesus pun kelaparan. Secara manusiawi Yesus sangat memerlukan makanan supaya tenaga-Nya dapat dipulihkan. Dalam keadaan yang sangat lapar dan lemah, Yesus amat memerlukan makanan untuk memulihkan tenaga-Nya. Pada saat Yesus sangat memerlukan makanan, Iblis datang untuk menggoda-Nya dengan berkata “Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti." Secara manusiawi tidak dinafikan bahawa Yesus sangat memerlukan roti untuk dimakan bagi memulihkan tenaga-Nya, namun Dia memilih untuk menolak perintah Iblis supaya mengubah batu menjadi roti. Secara ilahi, mengubah batu menjadi roti bukanlah sesuatu yang sukar bagi Yesus, kerana Dia menciptakan dunia ini daripada tiada menjadi ada. Akan tetapi, Dia memilih untuk tidak mengikut perintah Iblis, iaitu mengubah batu menjadi roti. Lebih-lebih lagi, Yesus berkata kepada Iblis “Telah tersurat, ‘Manusia hidup bukan dengan roti sahaja.’ ” Hal ini memperlihatkan perkara yang terutama dalam hidup kita sebagai orang yang percaya kepada Tuhan Yesus. Secara manusiawi kita memerlukan semua keperluan tubuh badan kita setiap hari. Namun begitu, apakah hal itu sebegitu penting bagi diri kita sehingga kita akan mengalami kerugian besar sekiranya kita menolak untuk memperolehnya? Marilah kita membuat renungan kendiri pada saat ini. Apakah kita selama ini telah memusatkan seluruh fikiran kita untuk memenuhi keperluan jasmani kita sahaja, tanpa memikirkan hal kerohanian kita, iaitu hal-hal yang boleh mendatangkan kebahagiaan, ketenangan dan kedamian dalam hidup ini? Dengan itu, kita harus lebih mengutamakan hidup rohani kita daripada hidup jasmani kita. Hidup kita perlulah diseimbangkan antara keperluan jasmani dengan keperluan rohani bagi mengekalkan keberlangsungan hidup kita di dunia ini. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dan memohon agar Tuhan mengajar aku untuk menjalani hidupku menurut kehendak-Mu, agar aku akan mengenal keutamaanku dalam hidup ini. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Melangkah Masuk Ke Musim Baru
Oleh Elder Ann Wan Kuan
- Iblis Menyasarkan Keperluan Segera Kita
Lalu Iblis berkata kepada-Nya, “Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti.’’ Lukas 4:3 AVB Setelah Yesus berpuasa selama 40 hari dan 40 malam, Dia pun berasa lapar dan lemah. Dia sangat memerlukan makanan untuk memulihkan tenaga-Nya. Dalam keadaan yang sangat lapar dan lemah, Iblis datang kepada Yesus dan menyuruh Dia untuk mengubah batu menjadi roti. Iblis menggunakan roti sebagai muslihat untuk menggoda Yesus, kerana dia tahu bahawa pada saat itu Yesus sangat memerlukan makanan bagi diri-Nya memandangkan Dia telah berpuasa selama 40 hari dan 40 malam. Maka Iblis menggunakan makanan sebagai sasaran untuk menggoda Yesus. Lalu dia berkata kepada Yesus: "Jika Engkau Anak Allah, perintahkan batu ini supaya menjadi roti." Namun begitu, Yesus menolak permintaan Iblis untuk mengubah batu menjadi roti, walaupun secara peribadi Yesus boleh sahaja melakukan hal itu. Sebab Dialah Tuhan Pencipta yang telah menjadikan bumi dan segala isinya daripada tidak ada menjadi ada. Bagaimanapun, Dia menolak untuk bertindak mengikut permintaan Iblis. Iblis seperti singa yang mengaum-aum dan mencari orang yang dapat dibahamnya. Oleh itu, kita harus berjaga-jaga kerana Iblis merayau-rayau di sekeliling kita dan menunggu peluang untuk menyerang kita. Dia mencari setiap keperluan segera dalam hidup kita sebagai sasaran untuk menggoda kita. Dengan itu, berjaga-jagalah dengan melengkapkan diri kita dengan kebenaran Firman Tuhan agar kita tidak mudah melakukan dosa. Doa: Ya Tuhan Yesus, aku datang kepada-Mu demi memohon hikmah dan kekuatan daripada-Mu. Apabila aku menghadapi godaan Iblis yang datang silih berganti, kuasailah hidupku dan bimbinglah aku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Patuhi Masanya Tuhan
Oleh Pr Rommie Marung
- Nantikan Tuhan Demi Mendapat Kekuatan Baru
“Tetapi mereka yang menanti-nantikan TUHAN akan mendapat kekuatan baru. Mereka akan terbang tinggi dengan sayap seperti burung rajawali. Mereka akan berlari dan tidak menjadi penat, mereka akan berjalan dan tidak menjadi lesu. Yesaya 40:31 AVB Pemazmur memberikan peringatan kepada setiap kita agar kita tidak sesekali terburu-buru untuk membuat apa-apa keputusan dalam hidup kita. Sebaliknya, kita haruslah sentiasa sabar dan tabah menghadapi segala sesuatu dalam hidup ini, tanpa membuat sesuatu keputusan mengikut emosi sendiri. Sebab setiap orang yang menanti-nantikan Tuhan dalam hidupnya akan memperoleh kekuatan baru daripada Tuhan. Mereka bagaikan burung rajawali yang terbang tinggi dengan menggunakan sayapnya. Mereka akan berlari dan tidak menjadi letih, mereka juga akan berjalan dan tidak menjadi lelah, kerana Tuhan membaharui kekuatan mereka. Oleh itu, kita haruslah bergantung sepenuhnya pada Tuhan untuk memperoleh kekuatan baru. Dengan mengandalkan kekuatan daripada Tuhan, kita akan tetap kuat dan bersemangat dalam perjalanan iman kita. Sebab apabila kita mengandalkan kekuatan dan hikmah manusiawi, kita akan mudah sahaja menjadi lemah dan letih. Marilah kita menantikan Tuhan dengan tetap berharap sepenuhnya kepada Tuhan untuk memberi kita kekuatan. Kita hanya bersandar pada Tuhan untuk bertindak bagi pihak kita, kerana dalam Dia kita pasti kuat. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan daripada-Mu. Ajarlah aku untuk menantikan-Mu, agar dalam setiap perkara aku akan bertindak menurut pimpinan dan kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Masa Hadapan Orang Yang Tidak Bercela
“Perhatikan orang yang tidak bercela, teliti orang yang tulus; kerana masa hadapannya adalah kesejahteraan.” Mazmur 37:37 AVB Pemazmur memberikan peringatan yang sangat tegas kepada setiap umat Tuhan supaya tidak membiarkan apa-apa kejahatan menguasai hidupnya. Sebaliknya, umat Tuhan hendaklah mengamalkan kejujuran, ketulusan dan perbuatan yang baik kerana Tuhan berjanji bahawa umat-Nya yang sentiasa mengamalkan kejujuran, ketulusan dan perbuatan yang baik akan mewarisi kerajaan-Nya. Tujuan utama umat Tuhan harus mengamalkan kejujuran, ketulusan dan perbuatan yang baik adalah untuk mendatangkan kesejahteraan kepada semua umat manusia. Sekiranya umat Israel terus mengamalkan kejujuran, ketulusan dan perbuatan yang baik, maka mereka akan tetap memiliki tanah perjanjian atau mewarisi negeri yang dimiliki mereka pada hari ini. Jika umat Tuhan semakin mengamalkan kejujuran, ketulusan dan perbuatan yang baik terhadap orang lain, maka pelaku kejahatan semakin tidak ada tempat dalam kalangan mereka. Semua orang hendaklah menolak kejahatan kerana kejahatan hanyalah mendatangkan kekacauan dan perpecahan. Dengan itu, amalkanlah kejujuran, ketulusan dan perbuatan yang baik selama kita masih hidup agar kita akan ada kesejahteraan dan masa depan yang lebih baik. Marilah kita terus berbuat baik, jangan jemu-jemu atau berletih lesu, kerana apabila tiba masanya setiap apa yang telah kita tabur pasti akan kita tuai pada satu hari nanti. Oleh itu, teruslah berbuat baik….. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu terhadap hidupku. Ajarlah aku sentiasa berbuat baik selama aku masih hidup. Tidak kira apa jua keadaan, aku akan terus berbuat baik. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Tuhan Tetap Dengan Janji-Nya Dan Tidak Berubah
"Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu. Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau. Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran." Yesaya 41:10 AVB Nabi Yesaya menegur umat Tuhan pada masa itu, yang sangat mudah melupakan Tuhan sepanjang perjalanan hidup mereka. Walaupun mereka sentiasa mengalami penyertaan dan pertolongan Tuhan dalam hidup mereka, namun kasih mereka kepada Tuhan sering kali berubah mengikut keadaan. Ketika mereka dalam kesenangan dan kelimpahan, kasih mereka suam-suam sahaja. Namun begitu, ketika mereka dalam kesusahan, mereka datang mencari Tuhan. Kasih umat Tuhan ketika itu berubah-ubah menurut keadaan, iaitu keadaan sekeliling mereka mempengaruhi kasih dan tindakan mereka terhadap Tuhan. Apabila kasih mereka terhadap Tuhan berubah, mereka mulai memberontak terhadap pemimpin mereka. Meskipun mereka acap kali memberontak terhadap Tuhan, kasih-Nya terhadap mereka tetap tidak berubah. Itulah sebabnya Tuhan berfirman kepada mereka: “Jangan takut, kerana Aku berserta denganmu. Jangan cemas, kerana Akulah Allahmu. Aku akan menguatkan, bahkan akan menolong engkau. Ya, Aku akan menopang engkau dengan tangan kanan-Ku yang penuh kebenaran.” Walaupun umat Tuhan tidak setia kepada-Nya, kasih Tuhan tetap tidak berubah. Dialah Tuhan yang setia dan mengasihi umat-Nya tanpa syarat. Oleh itu, kita harus mendekati Tuhan setiap hari dalam hidup kita, agar di dalam Dia hidup kita aman dan tenteram. Kasih dan janji Tuhan terhadap kita tetap tidak berubah, walaupun hati kita sering berubah. Marilah kita bersandar pada-Nya untuk memperoleh pertolongan dan bimbingan, kerana di dalam Dia, hidup kita terjamin. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk mengucapkan syukur atas kasih dan janji-Mu yang sama sekali tidak akan berubah dalam hidupku. Walaupun hatiku mudah berubah terhadap-Mu, Engkau tetap Tuhan yang penuh kasih yang sentiasa menyertai dan menolong aku. Terima kasih, ya Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Terus Berusaha Dengan Berlari Terus Ke Hadapan
"Saudara-saudara, aku tidak menganggap diriku telah dapat mengambilnya, tetapi satu perkara kulakukan: Melupakan segala yang di belakang dan cuba mendapatkan segala yang di hadapan," Filipi 3:13 AVB Paulus, meskipun telah melakukan banyak pekerjaan luar biasa, secara peribadi menyedari bahawa dia belum sepenuhnya mencapai matlamat hidupnya. Oleh itu, dia terus berusaha dengan gigih, melupakan apa yang di belakangnya, dan menumpukan perhatian kepada apa yang di hadapannya. Kesedaran ini lahir daripada hubungan peribadinya yang mendalam dengan Tuhan Yesus Kristus. Pengenalan akan Kristus membuat Paulus menyedari siapa dirinya di hadapan Tuhan dan siapa Tuhan dalam hidupnya. Dengan rendah hati, Paulus mengakui bahawa dia "tidak menganggap diriku telah dapat mengambil [ganjaran itu]." Bagaimanapun, satu perkara yang dilakukan Paulus ialah melupakan masa lalu dan terus berusaha dengan segenap tenaganya untuk mencapai matlamat hidupnya. Paulus tahu bahawa ganjaran tersebut, iaitu hidup kekal dalam Kristus, sudah tersedia bagi orang percaya yang taat setia. Paulus mengibaratkan hidup ini sebagai satu perlumbaan, dan garis akhirnya ialah ketika kita meninggalkan dunia ini. Oleh itu, dia mengarahkan fokusnya kepada ganjaran yang telah disediakan oleh Tuhan di syurga. Sebagai orang percaya, marilah kita juga mengarahkan perhatian kita sepenuhnya kepada matlamat yang telah ditetapkan Tuhan. Janganlah cepat berpuas hati dengan pencapaian kita di dunia ini, tetapi terus berusaha dan berlari terus sehingga akhir perlumbaan hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu demi memohon kekuatan, kerendahan hati, dan bimbingan-Mu. Jangan biarkan aku lupa akan Engkau dalam perjalanan hidup ini, dan tidak sekali-kali menjadi sombong atas apa yang aku lakukan. Ajarlah aku untuk terus melihat-Mu sebagai sumber segala-galanya. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie












