top of page

Cari

3267 results found with an empty search

  • DOA NECF Hari 14: Tragedi yang Besar

    Kitab Suci: Ibrani 3:7-19 Hubungan yang kita terima di dalam Kristus sungguh menakjubkan. Dari penciptaan hingga rencana Tuhan yang kekal, umat manusia telah diberi tempat dan peranan penting dalam pemikiran dan rencana-Nya. Apa yang telah diberikan kepada kita penuh penghormatan dan keistimewaan meskipun kita jauh dari layak menerimanya. Inilah yang Alkitab gambarkan sebagai “kekayaan kasih karunia-Nya yang melimpah-limpah sesuai dengan kebaikan-Nya terhadap kita dalam Kristus Yesus” (Efesus 2:7). Hal ini seharusnya membuat kita sangat bersyukur dan bersukacita. Malangnya, tidak semua orang yang diberkati bersyukur. Penulis Ibrani memberi amaran kepada kita terhadap ketidakpercayaan dan kemunduran. Dia memberi amaran agar kita tidak mengikuti jejak bangsa Israel di padang gurun, yang memilih untuk ragu-ragu, merungut, dan mengeluh terhadap Tuhan meskipun Dia telah membebaskan mereka daripada perhambaan dan kekuasaan Firaun, serta menunjukkan kepada mereka pelbagai tindakan besar dari segi pemeliharaan dan kebaikan-Nya. Hal ini pada akhirnya mengakibatkan mereka gagal masuk ke Tanah Perjanjian. Ini benar-benar sebuah tragedi. Mari kita belajar dan bertaubat daripada kesilapan tragik bangsa Israel serta bersyukur atas semua yang telah Dia lakukan untuk kita. Doa: Tuhan Yesus, Engkau membayar harga yang mahal bagi setiap kami, untuk mendamaikan kami dengan Tuhan. Tolonglah kami supaya selalu diingatkan akan hati-Mu yang tertuju kepada kami agar kami tidak sesat, tersandung, atau jatuh. Lindungilah kami dalam tangan-Mu, kerana kami percaya pada tuntunan dan kuasa-Mu yang akan memulihkan kami setiap kali kami jatuh. Amin. Berdoa agar Kementerian Kesihatan melaksanakan cara kreatif untuk memupuk kesedaran kesihatan yang kukuh di kalangan rakyat Malaysia melalui media sosial dan program. Berdoa untuk pembaharuan sistem penjagaan kesihatan untuk memenuhi keperluan penjagaan perubatan yang semakin meningkat. Berdoa agar orang Kristian menjaga tubuh mereka yang merupakan bait Tuhan. Berdoa terutamanya untuk para pastor agar mereka dapat mengekalkan kesihatan mental dan fizikal mereka di samping kesejahteraan rohani mereka.

  • Jika Tuhan Berjanji, Pasti Dia Genapi

    “…Pada waktu yang tepat, Allah menyatakan janji itu dalam perkhabaran-Nya. Perkhabaran tersebut diamanahkan kepadaku dan aku mengisytiharkannya dengan perintah Allah Penyelamat kita....” Titus 1:3 Paulus berkata kepada kita bahawa Allah tidak pernah berdusta kepada kita tentang pengharapan akan kehidupan yang kekal yang telah dijanjikan oleh Tuhan kepada kita sejak dahulunya lagi. Segalanya telah dibuktikan oleh-Nya kepada kita melalui umat pilihan-Nya dimana Dia sentiasa menggenapi janji-Nya kepada mereka. Oleh itu sebagai orang yang percaya kepada Tuhan, maka kita tidak perlu kuathir dengan apa yang telah janjikan kepada, sebab Dia Tuhan yang tidak akan lupa janji-Nya kepada kita. Oleh kerana kita sudah percaya dan mengikuti ajaran-Nya, maka kita sangat yakin kehidupan yang kekal yang kita memiliki didalam-Nya. Oleh itu janganlah kita kuathir atau ragu dengan apa yang kita percaya pada hari ini, tetapi berpeganglah teguh dan kuat pada janji-Nya dan ajaran-Nya. Sebab hal ini yang akan menyebabkan keyakinan kita didalam-Nya semakin kuat dan tidak akan goyah. Ingat, jika Tuhan berjanji maka Dia pasti akan menggenapi-Nya bagi kita, oleh itu janganlah kita ragu akan janji-Nya, berjalanlah akrab dengan-Nya dengan berpegang pada janji dan ajaran-Nya. Doa: Bapa yang di syurga, saya datang kepadaMu, memohon kepada-Mu kekuatan dan hikmat, agar saya akan tetap kuat dan teguh berpegang pada janji-Mu, ajar saya untuk melihat kepadaMu dalam segala perkara. Didalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie

  • DOA NECF Hari 13: Yang Setia

    Kitab Suci: Ibrani 3:1-6 Reputasi dan perwatakan seseorang ditakrifkan daripada rekod prestasi dan konsistensinya. Inilah ukuran dalam menentukan kebolehpercayaan dan kebergantungan seseorang. Yesus dipanggil “Yang Setia dan Yang Benar” dalam Wahyu 19:11. Ini adalah reputasi yang telah Dia perolehi melalui ketaatan penuh-Nya kepada Bapa, seperti yang tertulis dalam Ibrani 3:1-2. Pada akhirnya, Dia telah membuktikan kesetiaan-Nya apabila Dia dipanggil untuk menyerahkan nyawa-Nya di kayu salib demi kehendak Bapa dan untuk mengasihi umat manusia. Di Taman Getsemani, di mana Dia boleh memilih untuk meninggalkan salib dan kematian yang pasti, Dia memilih untuk tetap taat dan setia walaupun sampai mati. Bahkan kematian tidak dapat memujuk Dia untuk meninggalkan kehendak Bapa. Itulah Tuhan dan Juruselamat yang kita percayai dan ikuti. Tidak ada yang dapat menggoyahkan keputusan dan tekad-Nya. Apa yang Dia isytiharkan, Dia akan melaksanakannya. Apa yang dijanjikan-Nya, akan ditepati-Nya. Dia bukan manusia sehingga Dia berdusta, bukan anak manusia sehingga Dia harus bertaubat. Pernahkah Dia berfirman dan tidak melakukannya? Atau pernahkah Dia berfirman dan Dia tidak menjadikannya baik? (Bilangan 23:19) Oleh kerana kesetiaan dan kepedulian-Nya yang terbukti kepada kita, kita boleh bersandar pada jaminan dan kedamaian yang manis, yakin bahawa semuanya akan baik-baik saja bagi kita. Oleh itu, janganlah kita digoncangkan oleh kehuru-haraan yang menyelubungi kita, dan yakinlah bahawa Dia yang kita percayai akan menjaga kita sehingga ke akhirnya, kerana Dialah Yang Setia! Doa: Tuhan Yesus, Engkau dengan setia mengikuti kehendak Bapa dan telah memerintahkan kami untuk mengikuti jejak-Mu. Tolonglah kami untuk memikul salib kami dengan setia dan menyelesaikan apa pun peranan dan tugas yang telah Engkau percayakan kepada kami juga. Amin. Berdoa agar Kementerian Kewangan menggubal dasar fiskal yang baik, strategik, boleh dicapai, dan mampan untuk pembangunan masa depan, serta menguruskan dana awam kita dengan telus, cekap, dan berkesan. Berdoa agar orang Kristian dan gereja menjadi pengurus dan bendahara yang setia kepada Tuhan, dan agar gereja tidak mengalami kekurangan, tidak kira betapa kecil pun mereka. Berdoa agar tidak ada percanggahan kewangan dan penyelewengan dalam akaun gereja supaya kita boleh menjadi kesaksian hidup kepada dunia. Rev Andy Chi

  • Perbuatan Menyatakan Dalaman Diri

    “...Mereka mengaku mengenal Allah, tetapi perbuatan mereka tidak membuktikannya. Mereka terkutuk dan tidak taat kepada Allah; mereka tidak dapat melakukan apa yang baik...” Titus 1:16 Paulus memperingatkan jemaah di Kreta tentang mereka yang menganggap diri mereka layak untuk mengajar, tetapi mereka mengajar ajaran sesat. Mereka mengaku bahawa mereka percaya kepada Tuhan Yesus dan mengenal Allah, tetapi sebenarnya mereka mencampuradukkan ajaran agama Yahudi dengan ajaran iman Kristian mereka. Mereka tidak hidup tertib, namun mereka menyesatkan, mengacaukan, tidak sihat dalam iman, berpaling dari kebenaran, dan perbuatan mereka tidak mencerminkan bahawa mereka sesungguhnya mengenal Tuhan Yesus secara peribadi; kerana mereka keji, durhaka, dan tidak sanggup berbuat baik. Oleh itu, Paulus menasihati Titus supaya menegur mereka dengan lebih tegas terhadap pelanggaran aturan dan hukum yang benar. Titus harus berani untuk menegur mereka demi kebaikan dan mengembalikan dasar kebenaran yang sejati. Perbuatan mereka akan membuktikan dalaman diri mereka, sama ada mereka sesungguhnya mengenal Tuhan Yesus dalam hidup mereka atau tidak. Dalaman seseorang akan dipamerkan melalui perbuatannya. Oleh itu, jalani kehidupan yang berkenan di hadapan Tuhan. Doa: Bapa yang di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon pengampunan daripada-Mu. Sekiranya saya tidak mengikuti kehendak-Mu, ajarlah saya untuk berpegang teguh pada-Mu. Ciptakanlah dalam diri saya hati yang murni. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • DOA NECF Hari 12: Tidak Malu Memanggil Kita Saudara

    Kitab Suci: Ibrani 2:10-18 Sungguh istimewa dan penuh penghormatan rasanya apabila mengetahui Tuhan dan Juruselamat yang kekal menerima kita, umat manusia, sebagai saudara-saudara-Nya. Dia adalah Tuhan yang kekal, tiada bandingan, dan tiada tandingan. Namun, Dia memilih untuk menjadi sama dengan manusia yang berdosa dan lemah seperti kita. Lebih daripada sekadar memanggil kita saudara, Dia telah menjadi satu dalam daging, dengan meninggalkan kemuliaan-Nya dan mengambil ke atas diri-Nya rupa manusia serta hidup di antara manusia. Dalam bentuk manusia, Dia telah menjadi satu dengan kita dan satu seperti kita. Sungguh suatu pengorbanan yang merendahkan hati dan besar ketika Dia mengambil jalan itu. Dia juga terus membuktikan bahawa Dia adalah seorang saudara sejati. Siapakah saudara sejati? Seseorang yang membela dan mendukung saudara-saudaranya dalam kesusahan. Dalam Amsal 17:17, Salomo menulis, “Seorang sahabat menaruh kasih setiap waktu, dan menjadi seorang saudara dalam kesukaran.” Maksudnya adalah seseorang yang menjadi atau membuktikan dirinya adalah saudara sejati apabila dia membela dan bersama dengan rakan-rakannya ketika dalam kesusahan. Dan itulah yang Yesus lakukan untuk kita dan banyak lagi. Ketika manusia berada dalam keadaan yang paling mendesak, Yesus meninggalkan kemuliaan-Nya dan datang ke bumi untuk menyelamatkan mereka dengan nyawa-Nya sendiri supaya mereka dibebaskan. Inilah ungkapan persaudaraan yang paling tinggi—seseorang itu sanggup menyerahkan nyawanya bagi orang lain oleh kerana kasih. Dan sedalam itulah kasih dan perhubungan yang Dia miliki untuk setiap kita yang telah menjadi saudara-Nya! Doa: Tuhan Yesus, sungguh indah sekali mengetahui bahawa kami dianggap sebagai saudara-saudara-Mu di hadapan takhta Tuhan, Bapa. Terima kasih, melalui tubuh-Mu yang hancur, kami dapat datang kepada Tuhan bukan hanya tanpa rasa malu dan rasa bersalah tetapi juga dengan sukacita dan kedamaian. Kiranya kasih karunia ini dilimpahkan kepada semua orang yang saya kasihi. Amin. Berdoa untuk sekolah awam, swasta, antarabangsa, dan pendidikan di rumah yang menawarkan kurikulum yang berbeza untuk anak-anak kita. Berdoalah agar anak-anak kita dipupuk dan disiapkan dalam persekitaran yang membina karakter yang kuat, budi pekerti yang baik, dan intelek yang mantap. Berdoa agar pusat pendidikan yang dikendalikan oleh gereja mempunyai bilangan tenaga pengajar yang komited dan alkitabiah yang mencukupi untuk menyahut seruan pemuridan. Berdoa agar kesannya melangkaui bilik darjah dan meresap ke dalam semua aspek kehidupan pelajar mereka. Rev Andy Chi

  • DOA NECF Hari 11: Ingat Diri Kita

    Kitab Suci: Ibrani 2:5-9 Umat manusia sangat istimewa di hati Tuhan. Jika dibandingkan dengan malaikat, manusia dalam banyak hal lebih rendah dari segi bentuk dan prestasi. Namun, Tuhan tidak menjadikan dunia ini di bawah taklukan malaikat, melainkan di bawah taklukan umat manusia. Beberapa waktu kemudian, Tuhan memberi kita teladan dalam diri Yesus. Yesus telah menjadi manusia untuk menunjukkan bahawa Tuhan tidak melupakan atau berputus asa terhadap kita. Yesus telah menjadi manusia agar kita dapat ditebus melalui penderitaan dan kematian-Nya. Dan sebagai manusia, Yesus telah dimahkotai dengan kemuliaan dan kehormatan untuk menunjukkan kepada kita bahawa, meskipun martabat kita rendah dan gagal sebagai manusia, kita akan dimurnikan untuk memerintah bersama-sama dengan Dia di dunia yang akan datang. Betapa irinya hati para malaikat. Mereka ditugaskan untuk melayani orang-orang yang akan mewarisi keselamatan dan bukannya dipanggil untuk memerintah dunia (lihat Ibrani 1:14). Betapa bahagia dan bersyukurnya kita seharusnya. Walaupun adanya ketidaktaatan dan dosa kita, Tuhan selalu mengingati kita, bahkan sampai mengorbankan Anak-Nya yang tunggal agar kita dapat diselamatkan. Nabi Yesaya telah mengisytiharkan, “Dapatkah seorang perempuan melupakan bayinya, sehingga ia tidak menyayangi anak dari kandungannya? Sekalipun dia melupakannya, Aku tidak akan melupakan engkau.” Doa: Tuhan Yesus, kami tahu kami berharga di mata-Mu kerana kami diingatkan akan kasih karunia penyelamatan-Mu. Terima kasih kerana mencurahkan kasih dan hidup-Mu untuk kami supaya kami dapat disebut sebagai ahli waris Tuhan. Amin. Berdoa agar ramai rakyat Malaysia yang memerlukan dan kurang mampu akan menerima bantuan yang berpatutan dan nyata daripada kerajaan sedia ada yang membolehkan mereka keluar dari kesusahan mereka secara kekal dan bukan hanya sementara. Berdoa agar gereja dapat mencontohi Kristus yang telah menunjukkan belas kasihan kepada orang yang terpinggir, dan melayani masyarakat kita dengan kasih Yesus yang tidak berbelah bahagi dan tanpa syarat. Rev Andy Chi

  • Menjadi Duta Kristus di Dunia Maya

    Untuk generasi ini, Media sosial boleh menjadi teman atau musuh anda; ia boleh memanfaatkan anda atau merosakkan anda. Anda mungkin mendapati diri anda membandingkan musim kehidupan anda dengan pertumbuhan orang lain. Anda akan merasa tidak selamat di media sosial jika anda terus melihat nilai dan harga diri anda berdasarkan likes, komen, atau pengikut yang anda miliki. Anda boleh dengan mudah mengintip kehidupan orang lain dan merasa cemburu jika anda tidak memiliki apa yang orang lain miliki. Anda mungkin memaparkan kehidupan estetik, matlamat perjalanan hidup, dan wajah tersenyum dalam selfie anda, tetapi pada hakikatnya, anda mungkin merasa kosong di dalam. Namun, pada masa yang sama, apabila kita melihat media sosial sebagai alat untuk memberitahu orang tentang kasih Tuhan dan penebusan-Nya, kita tidak akan pernah tahu impak dan pengaruh yang kita tinggalkan dalam kehidupan seseorang. Profil media sosial anda banyak menceritakan tentang siapa anda. Apa yang anda katakan dan ambil berat akan mencerminkan keadaan hati anda. Adakah kita mewakili Yesus dalam akaun media sosial kita? Atau adakah kita hanya seorang Kristian pada hari Ahad sahaja? Tidak kira musim apa yang anda lalui, sama ada anda seorang pelajar, profesional muda, sudah berkahwin, atau seorang ibu bapa. Berikut adalah beberapa soalan untuk ditanya sebelum anda melayari, memuat naik, mengulas, atau menyukai di laman media sosial: 1. Adakah saya akan memuliakan Tuhan jika saya melakukan ini atau adakah ini akan memberikan kemuliaan kepada saya? 2. Adakah saya akan memberi inspirasi kepada seseorang jika saya melakukan ini atau adakah saya akan menyebabkan seseorang tersandung jika saya memuat naik/menyukai komen ini? 3. Adakah saya mengutamakan likes atau kemas kini status orang lain lebih daripada masa tenang peribadi saya dengan Tuhan? 4. Adakah saya mendapati diri saya sering merungut, menghakimi, dan membandingkan kehidupan saya dengan orang lain? 5. Adakah kandungan yang saya dengar atau tonton membantu pertumbuhan peribadi dan rohani saya atau adakah ini mengarahkan saya kepada dosa? Saya berharap sebagai orang Kristian, kita mendengar keinsafan ini dalam hati kita tentang bagaimana kita boleh menggunakan media sosial dengan bijaksana. Kita adalah duta Kristus, orang ramai memerhatikan kita berdasarkan bagaimana kita berjalan dalam iman kita. Dan kepada mereka yang telah terluka oleh beberapa Kristian dalam talian, sama ada anda menerima kenyataan hipokrit, maklum balas yang menghakimi, atau manipulasi emosional, kami mohon maaf. Kita sepatutnya menyerupai Kristus, namun kadang-kadang orang yang terluka, melukakan orang lain. Kita harus menarik orang kembali kepada Kristus, bercakap kebenaran dengan kasih. Menangkan hati orang, bukan berdebat. Jemimah Ramos

  • DOA NECF Hari 10: Isytiharkan Lagi

    Kitab Suci: Ibrani 2:2-4 Ibrani 2:2 berbicara tentang “mesej yang disampaikan oleh malaikat-malaikat.” Beberapa ahli sarjana Alkitab percaya bahawa ini merujuk kepada Taurat – lima kitab pertama Perjanjian Lama. Tradisi Ibrani mengatakan bahawa Taurat telah disampaikan kepada Musa di Gunung Sinai oleh para malaikat. Mesej ini terbukti dapat dipercayai. Setiap berkat atas ketaatan dan penghukuman atas ketidaktaatan yang tertulis dalam Taurat terjadi ke atas umat Israel. Walaupun diberikan Tanah Perjanjian, mereka menyerahkannya melalui ketidaktaatan. Mereka kehilangan warisan mereka. Sebuah “pembalasan yang adil” telah menimpa mereka. “Tetapi cukuplah mengenai mereka,” penulis kitab Ibrani seakan-akan katakan. Tumpuan kini tertuju kepada pembaca. Kita telah diberi mesej yang jauh lebih besar daripada mereka. Mesej yang diisytiharkan tersebut bukan hanya oleh para malaikat tetapi juga oleh Tuhan Yesus sendiri ketika Dia menjadi manusia. Mesej pengampunan bahawa meskipun kita tidak taat, Kristus telah mati untuk kita. Mesej keselamatan bahawa setiap orang yang percaya kepada-Nya akan memperoleh hidup yang kekal. Mesej pengharapan bahawa semua orang yang bertahan bersama-Nya akan menerima warisan yang tidak dapat binasa. Hal ini jauh lebih besar dari apa pun yang dapat difikirkan atau dibayangkan oleh bangsa Israel. Dan di sinilah prinsip kepengurusan diterapkan. Tuhan kita Yesus berkata, “Setiap orang yang kepadanya banyak diberi, dari padanya akan banyak dituntut” (Lukas 12:48). Jadi apakah yang dituntut daripada kita? Saya percaya ini adalah untuk mengisytiharkan Mesej dengan berani sekali lagi—dalam perkataan dan dalam perbuatan. Bagaimana? Ibrani 2:4 memberi petunjuk kepada kita. Ia memberitahu kita tentang peranan penting Roh Kudus dalam memberikan kesaksian tentang Mesej yang Tidak Tergoncangkan. Seperti pada awalnya, demikian juga pada akhirnya. Datanglah, Roh Kudus! Doa: “Datanglah, Roh Kudus, penuhilah hati umat-Mu dan nyalakanlah api kasih-Mu dalam mereka.” Biarlah kami diberi kuasa oleh-Mu untuk mengisytiharkan mesej Kristus yang tidak tergoncangkan kepada kota-kota kami, bangsa kami, dan kepada bangsa-bangsa di dunia. Amin. Berdoa agar kepercayaan antara rakyat dan kerajaan serta antara kumpulan etnik dan kaum akan dipulihkan secara beransur-ansur di bawah usaha Madani supaya kerjasama di kalangan rakyat Malaysia menjadi lebih baik. Berdoa agar kepercayaan gereja-gereja Malaysia kepada Pencipta dan Penyempurna iman kita akan menjadi tidak tergoncangkan ketika menghadapi masa yang penuh kesusahan dan mencabar ini.

  • Tuhan Sumber Kesejahteraan Kita

    Hakim-Hakim 6:17-18, 22-24 (BM) Gideon berkata, "Jika aku betul-betul diperkenan oleh Tuhan, berilah aku bukti bahawa TUHAN yang memberikan perintah itu kepada aku. Tolong jangan pergi sebelum aku membawa persembahan untuk Tuhan." Dia menjawab, "Aku akan menunggu sehingga engkau kembali." Gideon menyedari bahawa yang telah datang kepadanya itu malaikat TUHAN. Dengan takut Gideon berkata, "Ya TUHAN Raja, aku telah berhadapan muka dengan malaikat-Mu!" Tetapi TUHAN berfirman kepadanya, "Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati." Gideon membina sebuah mazbah untuk TUHAN di sana dan menamakannya "TUHAN Sumber Kesejahteraan". Sampai sekarang mazbah itu masih ada di Ofra, kota milik puak Abiezer. Pengajaran/Refleksi 1. Gideon meminta bukti jika dia betul-betul diperkenan oleh TUHAN dan menyedari bahawa yang datang kepadanya itu adalah malaikat TUHAN. 2. TUHAN berfirman kepada Gideon, "Janganlah takut. Bertenanglah. Engkau tidak akan mati." Ingatlah bahawa TUHAN yang kita sembah adalah TUHAN, sumber kesejahteraan umat manusia. Maka itu, bertenanglah dan jangan takut, sebab Dia ada bersama dengan kita. Jika saudara ada pergumulan dan masalah saat ini, datanglah kepada TUHAN mohon kesejahteraan daripada-Nya. Doa Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Berkati setiap umat-Mu di mana saja kami berada hari ini. Beri kepada setiap kami kesejahteraan-Mu. Dalam nama Yesus. Haleluyah dan Amen. Rev. Ali Langgit

  • DOA NECF Hari 9: Beri Perhatian!

    Kitab Suci: Ibrani 2:1 Sebuah kereta terkeluar dari jalan, masuk ke dalam parit dan mengorbankan nyawa seluruh keluarga di dalamnya. Pemandu kereta itu tidak memberi perhatian. Seorang pesakit hospital segera meninggal setelah tersalah diagnosis. Doktor tidak memberi perhatian kepada perkara yang sepatutnya. Sebuah perkahwinan berakhir dengan perceraian. Amaran ada di sana tetapi tiada sesiapa yang mengendahkannya. Memberi perhatian itu penting; teruk akibatnya jika kita tidak memberi perhatian. Dan di sini kita diingatkan kembali dalam Kitab Suci bahawa “kita harus lebih memperhatikan apa yang telah kita dengar.” Ada kalanya dalam kehidupan anda, Injil dikongsi kepada anda. Anda mendengarnya, menerimanya, mempercayainya, dan memulakan hidup baharu anda di dalam Kristus. Namun pertanyaan di sini adalah: Adakah anda masih memberi perhatian terhadapnya? Atau adakah anda terhanyut kepada hal-hal yang lain? Berhati-hatilah kerana banyak perkara di luar sana yang berebut mendapatkan perhatian anda. Kuasa yang ada sanggup menghabiskan berbilion-bilion hanya untuk mendapatkan perhatian anda walaupun sedikit. Mereka memahami bahawa perhatian anda sangat berharga. Mengapa? Kerana perhatian anda adalah pintu masuk ke fikiran dan hati anda. Dan apa-apa pun yang memikat hati anda akhirnya akan mempengaruhi keinginan anda. Kita tidak boleh terlalu berhati-hati di sini. Perhatian anda adalah sumber daya yang terbatas. Sekali diberikan, ia akan hilang. Jadilah bijak kepada siapa dan kepada apa anda memberikannya. Jadi apa penapisnya? Perkataan “hanyut” sangatlah penting. Jika apa-apa yang anda berikan perhatian menyebabkan anda semakin menjauhi Kristus, maka hal itu tidak ada gunanya. “Potonglah,” seperti yang Yesus pernah katakan (Matius 5:30). Kejadian sebuah kereta yang terkeluar dari jalan dan masuk ke dalam parit adalah sebuah tragedi, namun yang lebih buruk lagi adalah kehidupan yang terhanyut ke dalam kekekalan tanpa Tuhan. Doa: Bapa Syurgawi yang terkasih, Engkau memanggil kami untuk mendekat kepada-Mu meskipun kami sangat mudah terhanyut. Bersihkanlah tangan kami, sucikanlah hati kami, dan ampunilah keragu-raguan kami. Kami merendahkan diri kami di hadirat-Mu. Arahkanlah pandangan kami kepada-Mu. Amin. Berdoa agar semua rakyat Malaysia mengamalkan budaya hormat-menghormati dalam kalangan kepelbagaian kaum kita, menghormati satu sama lain dengan ucapan, tingkah laku, dan sikap kita. Berdoa agar gereja-gereja dan organisasi Kristian memupuk semangat hormat-menghormati antara satu sama lain, tanpa sebarang rasa saingan, perbandingan, atau kritikan, kerana mengetahui bahawa masing-masing telah dipanggil untuk melayani dalam peranan dan tugas yang diberikan Tuhan. Rev Lee Yew Meng

  • Tuhan Memakai Orang yang Lemah dan Tidak Penting

    Hakim-Hakim 6:12, 14-16 (BM) Malaikat TUHAN menampakkan diri kepada Gideon di situ dan berkata, "TUHAN menyertai engkau, hai pemuda yang gagah berani!" Kemudian TUHAN memberikan perintah ini kepada Gideon, "Dengan segenap tenagamu, pergilah bebaskan orang Israel daripada orang Midian. Akulah yang mengutus engkau." Gideon menjawab, "Tetapi Tuhan, bagaimana mungkin aku menyelamatkan umat Israel? Puakku yang paling lemah di kalangan suku Manasye. Lagi pun, akulah yang paling tidak penting dalam keluargaku." TUHAN berfirman kepadanya, "Aku akan menolong engkau, kerana itu engkau pasti berjaya. Engkau akan mengalahkan orang Midian seolah-olah engkau berhadapan dengan satu orang sahaja." Pengajaran/Refleksi 1. Walaupun Gideon mengaku bahawa puaknya adalah yang paling lemah dan dia sendiri adalah yang paling tidak penting dalam keluarganya. 2. Tetapi TUHAN berfirman kepadanya bahawa TUHAN akan menyertai dia dan mengatakan bahawa dia adalah seorang pemuda yang gagah berani. TUHAN juga yang mengutus dia dan akan menolong dia sehingga dia berjaya mengalahkan orang Midian, seolah-olah dia berhadapan dengan satu orang sahaja walaupun mereka ramai sekali. Kita harus memiliki hati yang rendah seperti Gideon, yang mengaku kelemahannya di hadapan TUHAN, supaya TUHAN dapat memakai kehidupan kita untuk melakukan pekerjaan-Nya dan membebaskan umat TUHAN daripada kuasa kegelapan serta masalah-masalah yang kita hadapi. Isytiharkan Firman TUHAN ini dalam kehidupan kita! Doa TUHAN, berkati setiap umat-Mu di mana saja kami berada hari ini. Pakailah hidup kami untuk melakukan kehendak-Mu di dunia ini. Hamba berdoa, supaya Engkau memberkati setiap jemaat-Mu yang membaca dan melakukan Firman-Mu ini. Dalam nama Yesus. Haleluyah dan Amen. Rev. Ali Langgit

  • DOA NECF Hari 8: Di Atas Setiap Malaikat

    Kitab Suci: Ibrani 1:5-14 Malaikat – makhluk misteri yang muncul di seluruh Kitab Suci. Seorang malaikat dapat melenyapkan seluruh pasukan yang berjumlah 185,000 orang dalam satu malam (lihat 2 Raja-raja 19:35). Seorang malaikat dapat mengambil nyawa setiap anak sulung daripada seluruh bangsa (lihat Keluaran 12:29). Penampakan malaikat begitu mulia sehingga bahkan orang-orang kudus yang paling suci sekalipun tidak dapat bertahan tetapi tersungkur dalam penyembahan (lihat Wahyu 19:10). Kegiatan malaikat sangat memberi kesan sehingga dapat mempengaruhi seluruh bangsa-bangsa (lihat Daniel 10). Ini bermakna malaikat-malaikat tidak boleh dipermainkan. Mereka bukanlah ‘cupid’ gemuk kecil yang berterbangan seperti yang difikirkan oleh sesetengah orang. Tidak, mereka adalah makhluk yang sangat berkuasa yang diutus oleh Tuhan untuk menyampaikan mesej-mesej-Nya. Roh-roh yang melayani ini adalah nyala api Tuhan (lihat Ibrani 1:8). Namun, penulis kitab Ibrani ingin kita tahu, jika dibandingkan dengan Kristus, nyala api ini hanyalah lilin bagi Matahari. Sinaran Sang Anak jauh lebih terang dari segala ciptaan. Bagaimanapun juga, malaikat Gabriel yang sangat dihormati hanyalah seorang utusan yang menyampaikan Mesej yang Tidak Tergoncangkan tentang “berita baik dan sukacita besar bagi semua orang” – bahawa bagi kita telah lahir Juru Selamat (Lukas 2:10-11). Walaupun kita tidak layak, kita adalah penerima mesej yang menakjubkan ini. Tetapi itu tidak berakhir di situ. Pada akhir zaman, Kitab Suci mengatakan bahawa kita yang mewarisi keselamatan suatu hari nanti akan menghakimi bahkan para malaikat (lihat 1 Korintus 6:3). Cuba fikirkan lagi betapa kuat dan agungnya makhluk-makhluk malaikat ini. Pertimbangkan juga betapa kecil dan lemahnya kita. Hal ini tidak masuk akal kecuali mesej Kristus yang tidak tergoncangkan. Sebab di dalam Dialah yang lemah dijadikan kuat, yang fana dijadikan abadi, yang berdosa dijadikan benar, dan yang rendah hati ditinggikan. Dan demikianlah adanya: Kami akan menghakimi para malaikat. Biarkan hal itu terpahat dalam fikiran kita. Doa: Ya Tuhan Bapa, “Apakah manusia itu sehingga Engkau memperhatikannya, dan anak manusia yang Engkau kunjungi?” Fikiran kami tidak dapat memahami kasih dan perkenanan tersebut. Engkau telah melimpahkan kepada kami. Biarlah hal itu menjadikan kami rendah hati namun yakin akan Mesej Kristus yang Tidak Tergoncangkan. Amin. Berdoa agar rakyat Malaysia dari semua lapisan masyarakat menjadi inovatif dalam bidang kepakaran dan profesion mereka supaya kita, sebagai sebuah negara, akan maju dengan pesat dengan idea baharu, proses yang dipermudahkan, perkhidmatan yang lebih baik, dan kualiti produk. Berdoa agar Gereja menjadi inovatif dalam menyampaikan mesej Injil dalam zaman perubahan yang pesat ini supaya kita boleh kekal relevan dan mengikuti keperluan dunia tanpa menjejaskan mana-mana bahagian mesej Injil. Rev Lee Yew Meng

bottom of page