top of page

Cari

3267 results found with an empty search

  • Ditubuhkan!

    'Allah telah menentukan kami bersama kamu dalam Kristus.' (2 Korintus 1:18-24, ayat 21). Ayat seterusnya dalam 2 Korintus di mana kita menemui frasa 'dalam Kristus' adalah serupa dengan 1 Korintus 15:58 kecuali di sini Paulus memberitahu kita mengapa kita dapat berdiri teguh dalam iman. Ia adalah kerana Kristus. Alkitab versi Borneo berbunyi: 'Oleh itu, saudara-saudara yang kukasihi, teguhkan pendirian, jangan berganjak, dan bersungguh-sungguhlah [dalam pengabdianmu] kepada Tuhan. Kamu tahu bahawa dalam Tuhan, jerih lelahmu tidak akan sia-sia.' Hanya ada satu tempat di mana kita boleh ditubuhkan dan dibuat teguh - dalam Kristus. Jika anda cuba berdiri teguh dalam satu doktrin, anda tidak akan berjaya. Jika anda cuba berdiri teguh dalam seorang pengkhotbah kegemaran, anda tidak akan berjaya. Jika anda cuba berdiri teguh dalam satu denominasi, anda tidak akan berjaya. Cuba berdiri teguh dalam mana-mana ini dan anda akan terhuyung-hayang di antara pendapat yang bertentangan. Hanya dalam Kristus anda boleh berdiri teguh. Adakah anda 'ditubuhkan'? Saya suka perkataan yang kuat dan meyakinkan itu - ditubuhkan. Dalam Mazmur 78:69 pemazmur berkata, ‘Dan Dia membina tempat suci-Nya seperti di syurga, seperti bumi yang telah ditapakkan-Nya untuk selama-lamanya..' Kemudian, dalam Mazmur 112:8, kita membaca, 'Hatinya tenteram, dia tidak akan gentar; dan dia akan melihat kehendaknya berlaku ke atas musuhnya..' (Maz.112:1,8 AVB). Ini adalah ciri yang ketara dari hati yang komited kepada Tuhan dan Anak-Nya Yesus Kristus: ia ditubuhkan. Kestabilan yang sama dapat ditemui dalam Kristus yang jelas dalam bumi. Walaupun terdapat gempa bumi dari masa ke semasa, namun bumi tetap tetap. Kita berdiri, atau harus berdiri, seperti tebing tinggi di kaki air yang menghempas dengan buih yang tidak berkesan. Mengapa, sering saya ditanya, begitu banyak orang Kristian dibolak-balikkan secara emosi ketika Tuhan berkata bahawa kita ditubuhkan dalam Kristus? Pasti jawapannya ialah walaupun Dia tidak pernah melepaskan kita, kita tidak berpegang teguh kepada-Nya. Renungan Lanjut: Ef.3:14-21; Kol.1:21-2:7 Doa: Bapa, masalahnya bukanlah bahawa Engkau lupa untuk berpegang kepada saya, tetapi saya lupa untuk berpegang kepada Engkau. Jika saya hendak ditubuhkan, usaha berpasukan diperlukan: sewaktu Engkau berpegang kepada saya, saya akan berpegang kepada Engkau. Bantulah saya melakukan bahagian saya. Dalam nama Yesus. Amin. Rev Gerawat Maran Diterjemahkan oleh: Emily

  • Kita Tidak Akan Bersendirian

    “…Tidak seorang pun mendampingi aku ketika aku membela diriku kali pertama; semuanya meninggalkan aku. Semoga Allah tidak menyalahkan mereka dalam hal ini!...” 2 Timotius 4:16 Paulus berkata kepada kita bahawa sewaktu pertama kali dia diminta untuk membela dirinya di pengadilan, tidak ada seorang pun yang hadir untuk menolong dan mendampingi dirinya. Semua orang telah meninggalkan dirinya, namun demikian Tuhan tetap bersama-sama dengan dirinya. Walaupun orang-orang yang bersamanya pada masa lalu meninggalkan dirinya (Paulus), dia tidak menyalahkan mereka yang telah meninggalkannya sewaktu dia di dalam pengadilan, tetapi dia tetap berdoa kepada Tuhan untuk mereka agar Tuhan akan mengampuni mereka. Dalam kesulitan yang sedang dilalui oleh Paulus, Tuhan memberikan kekuatan kepadanya sehingga dia dapat memberitakan Berita Baik di mana-mana dia berada. Sebab dia tahu bahawa Tuhan Yesus mahu semua orang, terutamanya orang bukan Yahudi, untuk mendengar Berita Baik agar mereka diselamatkan daripada hukuman dosa iaitu kematian kekal. Bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Adakah orang yang dekat dengan kita sudah meninggalkan kita sewaktu kita sedang melalui keadaan yang sangat sukar dalam hidup kita? Ingatlah pengalaman Paulus ini, walaupun dia ditinggalkan oleh orang-orang yang dekat dengannya dahulu, tetapi Tuhan tetap bersama-sama dengannya, memberikan kekuatan kepadanya. Demikian juga dengan diri kita, sekiranya kita setia dan tetap hidup akrab dengan Tuhan, Dia akan tetap menolong dan memberikan kekuatan kepada kita, walaupun orang di sekeliling kita meninggalkan kita. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon kekuatan daripada-Mu. Tuhan, kuatkan dan teguhkan hati saya. Biarlah Roh-Mu sentiasa membimbing hidup saya. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Hidup Ini Sebuah Perlumbaan

    “…Aku sudah berusaha dengan sebaik-baiknya dalam perlumbaan dan aku sudah sampai di garis akhir. Aku tetap setia kepada Kristus sampai akhir...” 2 Timotius 4:7 Paulus berkata kepada kita pada hari ini bahawa dia telah mengikuti perlumbaan dengan sebaik-baiknya, dan dia mengakui bahawa dia sudah mencapai garis akhir dengan baik. Sebab dia tetap setia kepada Tuhan Yesus Kristus sampai akhir hidupnya. Paulus berkata bahawa dia sudah lama berjuang dalam hidupnya dengan gigih bagi Tuhan Yesus sepanjang perjuangannya. Dia sangat yakin bahawa dia sudah mengakhiri perlumbaannya dengan baik kerana dia tetap setia kepada Tuhan Yesus. Oleh itu, dia mengatakan bahawa sudah tiba waktunya untuk berhenti daripada perjuangannya dan tiba saatnya untuk beristirahat. Bagaimana dengan diri kita pada hari ini, apakah kita sudah mengakhiri perlumbaan kita selama ini dengan baik dan akan mengakhirinya dengan baik? Marilah kita menyelidiki hati kita dan hidup kita. Hidup ini adalah sebuah perlumbaan yang bererti “…ada permulaan dan ada pengakhiran.” Kita dilahirkan di dunia ini adalah permulaan perlumbaan kita, dan pengakhiran perlumbaan kita adalah saat kita meninggal. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon agar Tuhan memberikan saya Roh yang setia. Ajar saya untuk berjalan dalam jalan-Mu setiap langkahku. Pakailah hidup saya, Tuhan, untuk memuliakan nama-Mu selama hidup saya. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Kedatangan Yesus untuk Menghakimi Orang yang Hidup dan yang Mati

    “…Kristus Yesus akan datang lagi untuk menghakimi orang yang hidup dan yang mati. Dia akan datang untuk memerintah sebagai Raja. Oleh itu, di hadapan Allah dan Kristus Yesus, dengan sepenuh hati aku menggesa engkau supaya mengkhabarkan berita daripada Allah dan sentiasa bertekun untuk mengisytiharkannya baik masanya tepat atau tidak. Hendaklah engkau meyakinkan orang, menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ajarlah orang dengan segala kesabaran.” 2 Timotius 4:1-2 Paulus berkata kepada kita pada hari ini bahawa Tuhan Yesus Kristus akan datang ke dunia ini untuk kedua kali, untuk mengadili orang-orang yang hidup dan yang mati; Dia akan datang untuk memerintah sebagai Raja. Oleh itu, Paulus menggesa setiap kita pada hari ini di hadapan Tuhan dan Yesus Kristus: Supaya kita memberitakan berita yang datang daripada Allah dengan ketekunan, baik pada masa yang tepat atau tidak. Kita harus dengan segala kesabaran terus meyakinkan mereka, dengan menunjukkan kesalahan mereka dan memberikan galakan kepada mereka. Ingatlah, kedatangan Tuhan Yesus Kristus ke dunia ini untuk kedua kali adalah untuk mengadili orang yang hidup dan yang mati. Oleh itu, kita harus bersiap sedia secara rohani, kerana kita tidak tahu bila kedatangan-Nya, tetapi kita tahu bahawa Tuhan Yesus akan datang seperti pencuri. Yesus datang untuk menyelamatkan orang yang percaya kepada-Nya daripada hukuman dosa. Apakah anda sudah siap untuk kedatangan-Nya pada hari ini? Marilah kita siapkan hidup kita dengan menjalani kehidupan yang suci dan berkenan kepada Tuhan. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, menyerahkan seluruh hidup saya kepada-Mu. Sucikan dan kuduskan hati saya, Tuhan, agar saya layak di hadapan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Alkitab Melengkapi Kita dengan Pekerjaan Baik

    “…Dengan Alkitab, orang yang mengabdikan diri kepada Allah dapat dilengkapi dengan sempurna untuk melakukan segala macam pekerjaan yang baik..” 2 Timotius 3:17 Paulus meneruskan peringatannya kepada Timotius tentang kebaikan menjadikan Alkitab sebagai dasar hidupnya, sebab melalui Firman Tuhan, seorang hamba Tuhan dapat diberikan kemampuan dan diperlengkapi untuk menjalankan setiap tugas yang baik yang diberikan Tuhan kepadanya. Oleh itu, jadikanlah Firman Tuhan sebagai dasar kehidupan kita, kerana melalui Firman Tuhan kita boleh melayani Tuhan dengan lebih baik, kerana melalui Firman Tuhan kita boleh dilengkapi dengan sempurna untuk segala macam pekerjaan yang baik. Janganlah menjauhkan diri kita daripada belajar, menyelidiki, menghayati, dan melakukannya dalam kehidupan kita. Seluruh Alkitab diilhami oleh Allah dan semuanya isinya berguna untuk mengajarkan yang benar, menegur dan membetulkan yang salah, serta mengajar manusia supaya hidup menurut kehendak Allah. Apabila Alkitab membentuk diri kita, hidup kita akan menjadi luar biasa, kerana pemikiran kita, perkataan kita, dan perbuatan kita akan dibebaskan daripada segala yang jahat dan berubah menurut pemikiran Tuhan. Adakah anda mahu dilengkapi dengan pekerjaan yang baik? Mari lengkapilah diri kita dengan Firman Tuhan sentiasa. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon bimbingan-Mu dalam semua yang saya lakukan. Pakailah hidup saya untuk memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Setiap Perkataan Alkitab Baik Untuk Hidup Kita

    “…Semua yang tertulis di dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajar apa yang benar, untuk menegur dan membetulkan apa yang salah, dan untuk mengajar orang supaya hidup menurut kehendak Allah....” 2 Timotius 3:16 Paulus memperingatkan Timotius tentang masa lalunya, di mana sejak kecil lagi dia telah dibimbing dan diajar oleh Lois (neneknya) dan Eunike (ibunya), untuk mengenal Kitab Suci yang telah memberi dia hikmat untuk keselamatan melalui iman dalam Tuhan Yesus Kristus. Oleh itu, Paulus mendorong Timotius untuk berpegang teguh pada keyakinan yang telah dimilikinya sejak kecil lagi. Timotius harus terus berpegang teguh pada Firman Tuhan yang telah diterimanya sejak kecil kerana semua yang tertulis dalam Alkitab diilhami oleh Allah dan berguna untuk mengajarkan yang benar, menegur dan membetulkan yang salah, serta mengajar manusia supaya hidup menurut kehendak Allah. Alkitab sepenuhnya diilhamkan oleh Allah, yang bermaksud nafas Allah sendiri, keluar dari mulut-Nya. Oleh kerana Alkitab sepenuhnya diilhamkan oleh Allah, ia menolong setiap orang yang percaya untuk mendapat pengajaran yang benar, menolak ajaran yang salah, memperbetulkan kehidupan moral yang keliru, dan menolong orang untuk hidup dalam kesucian. Oleh itu, biarlah kehidupan kita dikuasai dan dibimbing oleh kebenaran Firman Tuhan setiap hari. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon agar Roh-Mu mengajar saya akan jalan-Mu. Biarlah Firman-Mu membimbing hidup saya, Tuhan. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Melayani Tuhan, Hal yang Dibenci Iblis

    “…Semua orang yang mahu hidup beribadat dan bersatu dengan Kristus akan dianiaya...” 2 Timotius 3:12 Paulus memperingatkan Timotius tentang akibat apabila dia memberikan dirinya untuk melayani Tuhan, bahawa dia pasti akan mengalami penderitaan penganiayaan daripada orang-orang yang membenci Tuhan Yesus. Tetapi dia harus tetap berpegang pada kebenaran yang telah dia terima dan yakini. Sebab orang jahat dan penipu akan semakin bertambah jahat; mereka akan menipu orang lain, tetapi mereka sendiri akan tertipu. Oleh itu, Timotius harus mengingati segala yang telah diajar kepadanya selama ini oleh nenek dan ibunya, terutamanya Paulus. Dengan berpegang pada kebenaran yang dia terima dan yakini ini, Timotius dapat bertahan dan mengatasi segala ancaman dan tentangan dalam pelayanannya. Demikian juga dengan diri kita pada hari ini. Sewaktu kita mulai giat dalam melayani Tuhan, pada saat itulah Iblis akan bangkit dan berusaha untuk memusnahkan pelayanan kita dengan mendatangkan berbagai penderitaan, kesusahan, dan kesulitan sepanjang pelayanan kita. Sebab keinginan hatinya adalah agar kita berhenti daripada melayani Tuhan. "…Jika dunia membenci kamu, ingatlah bahawa dunia sudah membenci Aku lebih dahulu. Jika kamu milik dunia, dunia akan mengasihi kamu seolah-olah kamu anak-anaknya sendiri. Tetapi Aku sudah memilih kamu supaya tidak menjadi milik dunia, dan kamu sekarang bukan lagi milik dunia. Itulah sebabnya dunia membenci kamu...” Yohanes 15:18-19 Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon kekuatan daripada-Mu. Berikanlah saya kesabaran dan ketabahan, agar saya tidak menyerah dalam melayani-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Siapkan Hati Melalui Masa Akhir Zaman

    “…Ingatlah hal ini! Pada hari-hari terakhir akan timbul banyak kesusahan....” 2 Timotius 3:1 Paulus memperingatkan Timotius tentang apa yang akan terjadi pada hari-hari terakhir, di mana tanda-tanda ini akan menjadi petunjuk baginya, iaitu banyak kesulitan akan terjadi, seperti orang yang akan mengasihi diri sendiri, tamak akan wang, pembual, sombong, pemfitnah, tidak patuh terhadap ibu bapa, tidak tahu berterima kasih, tidak peduli terhadap agama, tidak mengasihi orang lain, tidak mahu mengampuni, memfitnah orang, tidak dapat menguasai diri, garang, membenci yang baik, berbalik melawan teman-temannya, melakukan perkara bodoh tanpa berfikir panjang, angkuh, dan suka akan kesenangan dunia. Orang tidak lagi mengasihi Allah. Mereka kelihatan seperti melayani Tuhan, tetapi cara hidup mereka tidak menunjukkan bahawa mereka sungguh-sungguh melayani Dia. Oleh itu, Paulus menasihati Timotius agar menjauhkan dirinya daripada orang-orang ini. Beberapa di antara mereka pergi ke rumah-rumah dan menjerat perempuan yang lemah pendirian, yang hidupnya penuh dengan dosa dan dibawa ke dalam dosa oleh segala keinginan mereka. Oleh itu, Timotius harus mengikuti segala yang diajar oleh Paulus kepadanya, kerana Timotius telah melihat bagaimana Paulus sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus Kristus dan mengasihi sesama manusia. Kelakuan dan tujuan hidup Paulus telah menjadi teladan bagi Timotius. Timotius harus belajar untuk sabar dan tabah seperti Paulus. Bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita sudah siap untuk menghadapi semua keadaan ini? Segala hal ini pasti kita akan lalui sebelum waktunya. Oleh itu, marilah kita bina iman kita dalam Kristus. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, menyerah seluruh hidup saya, memohon kekuatan dan hikmat sewaktu melalui keadaan yang sukar hari ini, agar saya mengakhiri hidup saya dengan baik. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Nasihat Orang Yang Suka Melawan Dengan Lemah Lembut

    “…Dia mesti menasihati lawannya dengan lemah lembut. Mudah-mudahan Allah memberi mereka peluang untuk bertaubat daripada dosa dan untuk mengenal ajaran yang benar. Lalu mereka akan insaf dan terlepas daripada perangkap Iblis yang telah menawan dan memaksa mereka mengikut kehendaknya.....” 2 Timotius 2:25-26 Paulus menasihati Timotius sebagai hamba Tuhan supaya mengajar dan menunjukkan kesalahan mereka yang suka melawan dengan lemah-lembut. Dengan harapan agar Tuhan bekerja dalam hati mereka sehingga memimpin mereka untuk bertaubat dan menerima ajaran yang benar. Dengan ajaran dan teguran Timotius, mereka akan insaf kembali dan dapat melepaskan diri dari jerat Iblis yang telah menawan hati mereka untuk melakukan keinginannya. Mereka yang suka melawan bukanlah kerana keinginan diri mereka sendiri, tetapi kerana mereka membiarkan Iblis menipu dan mengikat diri mereka sehingga mereka menjadi kaki-tangannya. Oleh itu, marilah kita membiarkan Roh Tuhan menguasai hidup kita dengan terus mengajar, menegur, dan menunjukkan kesalahan mereka yang suka melawan kita dengan kebenaran Firman Tuhan dan bukan mengikut emosi dan perasaan kita. Dengan campur tangan Tuhan, kita mampu untuk menolong mereka. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon hikmat dan kekuatan agar saya sentiasa peka dengan Roh-Mu untuk menolong mereka yang suka melawan. Tuhan, kuasailah saya agar perkataan dan ajaran saya sesungguhnya daripada-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Berhentilah Daripada Bertengkar

    “…Hamba Tuhan tidak sepatutnya bertengkar. Dia mesti ramah dengan semua orang dan dapat mengajar orang dengan baik dan sabar....” 2 Timotius 2:24 Paulus menasihati Timotius sebagai seorang hamba Tuhan, dia harus menghindarkan dirinya daripada pertengkaran dengan orang lain. Sebaliknya, dia harus dengan lemah-lembut dan bersabar mengajar orang-orang yang salah, agar melalui pengajarannya, dengan pertolongan Tuhan, dia boleh terlepas daripada pendirian yang salah. Dengan itu, Timotius haruslah menghindarkan dirinya daripada terlibat dalam pertengkaran dengan orang lain, sebab pertengkaran merupakan perangkap Iblis yang digunakan olehnya untuk menjerat dirinya masuk ke dalam perbuatan dosa. Dengan itu, Timotius menghindarkan dirinya daripada bertengkar. Oleh itu, janganlah kita bertengkar dengan sesiapa pun, sebab pertengkaran tidak pernah dapat menyelesaikan sesuatu masalah yang kita sedang hadapi. Sebaliknya, pertengkaran hanya akan menghancurkan persahabatan yang kita bina selama ini. Doa: Bapa di syurga, saya datang kepada-Mu, menyerahkan hidup saya kepada-Mu. Ajar saya untuk menjauhkan diri daripada pertengkaran. Ampunilah saya dan bersihkanlah saya. Dalam nama Tuhan Yesus, saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Hiduplah Berpadanan Pada Kebenaran Tuhan

    “…Di dalam rumah yang besar ada bermacam-macam pinggan mangkuk. Ada yang dibuat daripada perak dan emas, ada juga yang dibuat daripada kayu dan tanah. Ada yang digunakan untuk keperluan istimewa, ada juga yang digunakan untuk keperluan biasa...” 2 Timotius 2:20 Paulus menggunakan sebuah gambaran tentang dalam sebuah rumah yang mewah, terdapat bermacam-macam pinggan mangkuk, yang diperbuat daripada berbagai bahan-bahan yang berharga seperti emas dan perak. Terdapat juga yang diperbuat daripada kayu dan tanah liat. Semuanya dibuat bagi pelbagai tujuan, seperti benda yang diperbuat daripada bahan yang berharga akan digunakan untuk keperluan yang istimewa, manakala yang diperbuat daripada kayu dan tanah liat akan digunakan untuk keperluan sehari-hari yang biasa. Dengan itu, fungsi setiap pinggan mangkuk disesuaikan dengan keberadaannya. Paulus menggunakan gambaran ini untuk menceritakan tentang keberadaan seorang yang hidup selaras dengan kebenaran Tuhan sehingga dia berkenan di mata-Nya. Kesetiaan mereka terhadap firman Tuhan akan mempersiapkan hati mereka bagi pekerjaan Tuhan. Manakala seorang yang tidak setia terhadap kebenaran firman Tuhan adalah orang yang tidak menghargai Tuhan. Walaupun mereka sangat ingin terlibat dalam pelayanan, mereka ini adalah guru palsu. Oleh itu, bagaimana dengan diri kita pada hari ini? Apakah kita seperti pinggan mangkuk yang diperbuat daripada bahan yang berharga atau sebaliknya? Marilah kita selidiki hati kita di hadapan Tuhan. Doa: Bapa yang di syurga, saya datang kepada-Mu, memohon pengampunan sekiranya saya seorang yang tidak menghargai kebenaran Firman-Mu, ampunilah saya. Tuhan, ajarlah saya untuk menghargai kebenaran Firman setiap hari. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Jauhkan Diri Dari Percakapan Yang Sia-Sia

    “…Jauhkanlah dirimu daripada percakapan yang sia-sia dan menghina Allah. Percakapan seperti itu hanya membuat orang semakin jauh daripada Allah.......” 2 Timotius 2:16 Paulus menasihat Timotius supaya menjauhkan dirinya daripada orang yang sentiasa bercakap tentang hal yang tidak berguna, yang bukan berasal dari Allah. Sebab perbualan atau percakapan yang seperti ini, hanya akan memimpinkan diri mereka untuk semakin jauh daripada Tuhan dan menentang Allah. Oleh itu marilah kita menjauhkan diri kita daripada melibatkan diri kita didalam percakapan yang tidak memberikan apa-apa keuntungan untuk iman kita. Tetapi sebaliknya marilah kita bercakap lebih banyak tentang hal-hal yang membangun dan membina iman kita dan orang yang ada di sekeliling kita. Sebab hati Tuhan hanya senang apabila kita melibatkan diri kita didalam percakapan yang memuliakan nama-Nya dan bukan percakapan yang tidak memuliakan nama-Nya. Oleh itu selagi ada kesempatan berilah kata-kata yang mendorong dan membangun. Sebab percakapan yang tidak memuliakan Tuhan hanya akan memberi ruang kepada iblis untuk memusnahkan keyakinan orang akan diri kita bahkan kepada Tuhan. Dengan itu hindarilah diri kita daripada segala percakapan yang sia-sia dan tidak membangun. Kata-kata yang diucapkan mempunyai kuasa untuk menyelamatkan ataupun membinasakan. Orang harus merasakan kesan kata-kata mereka. Amsal 18:21 ‬ Doa: Bapa yang di syurga, saya datang kepadaMu, memohon agar Tuhan memberikan saya hati yang sentiasa bercakap tentang FirmanMu kepada semua orang. Didalam nama Tuhan Yesus saya berdoa, amin. Pr Patrick Taie

bottom of page