Mengatasi Masalah Belanja Berlebihan
Oleh Jen Weaver
Saya suka membelanjakan wang. Ya, saya sudah mengaku.
Masalah belanja berlebihan telah lama menjadi masalah dalam perkahwinan saya. Tidak kira sama ada saya membeli perkakas rumah, sepasang kasut atau hadiah baru untuk rakan. Ada sesuatu tentang meninggalkan kedai dengan beg barang yang membuat saya berasa hangat dan 'pusing kepala'.
Masalahnya bertambah hebat kerana suami saya, Jared, juga gemar membeli-belah ... dan kedai-kedai tidak memerlukan wang sebenar. Bank akhirnya datang untuk mendapatkan wang, tetapi amat mudah untuk mendapatkan pinjaman dengan menandatangan dengan pen elektronik.
Jared dan saya menghabiskan bulan pertama perkahwinan kami dengan perbelanjaan yang tinggi. Hujung minggu dianggap sebagai hari untuk membelanjakan wang. Kami tidak pandai memasak, jadi kami akan makan dalam perjalanan ke pusat membeli-belah dan menonton wayang. Kami bukan boros – selalu membeli jenama terkenal atau barang berharga tinggi – tetapi membeli-belah berulang kali membawa kepada jumlah yang besar, walaupun kami memburu "tawaran yang menarik."
Kira-kira setahun selepas perkahwinan, kami menilai keadaan kami dan mendapati kami menghadapi masalah besar akibat perbelanjaan kami. Kami hampir tidak dapat membuat pembayaran minimum untuk kad kredit kami yang banyak. Kami hidup dari gaji ke gaji. Tetapi yang paling teruk ialah hubungan kita yang tidak sihat dengan wang berasa normal. Kami melihatnya sebagai barang untuk digunakan, bukan sumber untuk diurus dengan baik. Hasilnya, kitaran pendapatan-perbelanjaan kami tidak pernah berakhir kerana (tiada kejutan di sini) kami selalu menemui sesuatu yang baru untuk dibeli. Syukurlah, setelah menyedari gaya hidup ini menyekat matlamat jangka panjang kami, kami mula membina tabiat kewangan yang sihat:
Kami menghadapi masalah perbelanjaan kami bersama-sama
Tekanan kewangan selalunya boleh menyebabkan masalah yang mendalam untuk perkahwinan. Kekurangan dana, perbelanjaan yang buruk, matlamat kewangan yang berbeza atau pertengkaran mengenai isu-isu ini boleh menyebabkan tekanan. Berbincang mengenai masalah ini adalah penting supaya anda dapat mengelakkan tekanan yang berkaitan dengan masalah perbelanjaan. Jared dan saya merancang belanjawan kami bersama-sama dan selalu berbincang mengenai impian dan keputusan kewangan. Kami menyedari tabiat tidak sihat kami, mengaku tanggungjawab kami yang menimbulkan masalah tersebut dan berusaha untuk mencari jalan penyelesaian bersama-sama.
Kami menetapkan objektif strategik dengan ganjaran jangka panjang yang menyeronokkan
Pada saat kami menyedari bahawa kami mempunyai masalah perbelanjaan, kami terpaksa berhadapan dengan pinjaman sekolah dan pembayaran kereta. Tidaklah mudah untuk berubah, jadi kita mengatur langkah kami dan mengambil langkah perlahan-lahan – seperti langkah bayi – untuk mengawal perbelanjaan kami. Tetapi kami juga menyedari bahawa belanjawan yang ketat tidak akan bertahan tanpa ganjaran yang menggembirakan.
Jared dan saya telah membentuk sebuah belanjawan yang membolehkan kami hidup di dalam kemampuan kami, melunaskan hutang dan menabung wang cukup untuk bercuti sebulan di luar negara. Selepas dua tahun perancangan dan disiplin kewangan, kami akhirnya mencapai matlamat kami.
Kami menemui kaedah murah (atau percuma) untuk mengawasi matlamat kami
Mengatasi masalah hutang memerlukan masa. Tetapi semasa anda berusaha mengatasinya, jangan lupa menikmati hidup. Jared dan saya menggunakan musim ini untuk membina daya kreatif kami dengan merancang malam temu janji dan makan angin yang percuma atau murah:
Menghadiri aktiviti percuma di pusat komuniti, acara kejiranan atau tutorial dalam talian
Meluangkan masa dengan rakan-rakan dan bukannya keluar malam
Menelaah buku pengembaraan atau buku panduan memasak di perpustakaan tempatan atau di kedai buku
Menonton filem atas talian yang mana penggambarannya dibuat di tempat percutian impian kami
Meraikan kemenangan kecil - seperti membayar kad kredit
Kami juga memperuntukkan dana untuk upacara khas untuk memperingati hari jadi dan ulang tahun tanpa meninggalkan matlamat kami.
Kami membuat pembelian yang menyumbang kepada ganjaran kami
Kami sangat menikmati pengalaman membeli barang-barang yang kami perlukan untuk percutian Eropah kami. Kami telah mencipta senarai barang perjalanan yang berguna – beg galas, pakaian perjalanan, kamera dan pas muzium. Kemudian, kami mencari tawaran terbaik. Ketika kami membeli item, ia adalah kerana kami telah merancang dan menganggarkan untuk menyumbang ke arah ganjaran muktamad kami dan bukannya mengumpulkan barang-barang yang dibeli sesuka hati.
Kami menggantikan keseronokan perbelanjaan dengan keseronokan menabung
Walaupun saya tidak menyedarinya, "keseronokan memburu" telah menyebabkan kebanyakan masalah perbelanjaan saya. Saya ingin mencari barang yang paling sesuai dengan harga terbaik, mencapai kemenangan dan kemudian menikmati keterujaan di otak saya.
Oleh kerana saya sekarang menumpukan perhatian pada belanjawan saya, saya kini gemar mencari kaedah kreatif untuk berjimat. Saya telah membuat sampul surat "simpanan rahsia" dan apabila saya tidak membelanjakan sepenuhnya wang yang diperuntukkan dalam satu kategori, saya akan memindahkan wang yang berlebihan ke dalam fail simpanan rahsia kami dan meraikan kejayaan tersebut.
Kami mengambil pandangan terhadap wang yang lebih sihat
Saya memulakan rencana ini dengan mengaku bahawa saya gemar membelanjakan wang, dan itu masih benar. Namun demikian, lambat laun saya telah belajar memberi penjelasan munasabah mengenai sikap berbelanja. Saya suka membelanjakan wang dengan bijak, jadi itu bermaksud saya juga suka mengurus wang dengan cermat. Walaupun saya telah berkongsi nasihat mengenai cara praktikal untuk berbelanja dan berjimat, saya juga perlu menyatakan bahawa perjalanan keluarga saya bermula dengan memahami mengapa kami mahu menguruskan wang kami dengan lebih baik.
Jared dan saya mahukan tabungan untuk menghadapi krisis dan wang simpanan untuk mencipta kenangan keluarga yang manis. Kami tidak mahu berasa tertekan apabila bil yang besar tiba atau merasakan ‘tekanan dompet’ yang membebankan dengan kad kredit yang ada hutang maksimum. Kami mahu wang simpanan yang mencukupi untuk mengejar impian dan melabur dalam masa depan anak-anak kami. Oleh itu, untuk menjadikannya suatu kenyataan, kita harus menganggap wang sebagai sumber untuk diurus secara jangka masa panjang dan bukan hanya sesuatu yang boleh dibelanjakan dalam jangka masa terdekat.
Perspektif baru ini juga membantu kami menyesuaikan gaya hidup kita. Sebagai pasangan suami isteri berusia 20-an, kami telah berbelanja jauh di luar kemampuan kami. Sekarang kami melihat matlamat jangka masa panjang dan hidup dengan sederhana agar kita dapat hidup dengan selesa kelak. Pilihan ini menjadikannya lebih mudah untuk berjimat untuk salah satu ganjaran kami iaitu cuti di Eropah – kejimatan yang berpunca dari pengubahan tempat penginapan dari hotel ke asrama dan restoran mewah ke tempat persinggahan yang mempunyai reputasi yang baik.
Walaupun saya ingin dapat memberitahu anda bahawa langkah-langkah ini merupakan penyelesaian lengkap untuk masalah perbelanjaan kami yang tidak sihat, hakikatnya ia hanya suatu permulaan. Saya juga dapat memberitahu anda bahawa:
• Kami tidak pernah menyesali tabiat kewangan jangka panjang kami. Perkahwinan kami menjadi lebih baik oleh kerananya.
• Menghapuskan kad kredit yang sudah dibayar membebaskan saya dari beban yang tidak disedari.
• Perjalanan ‘backpacking’ kami ke Eropah menjadikan kenangan itu lebih manis.
Sama ada tujuan anda ialah bercuti, mencapai matlamat keluarga atau dompet yang bebas dari kad kredit, ingat: Anda boleh lakukannya. Saya dan suami dulunya menikmati membelanjakan wang. Kami masih begitu. Tetapi sekarang, masalah perbelanjaan digantikan dengan rancangan perbelanjaan kami. Dan kami tahu bahawa rancangan itu menimbulkan perbezaan yang besar dalam hidup kami.
© 2020 Jen Weaver. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin. Asalnya diterbitkan di focusonthefamily.com.
Amen … amen. Satu tip pengurusan wang yang sangat baik. Juga pelaburan yang paling baik, ialah untuk melabur di dalam pekerjaan Tuhan, seperti misi, dsb. “Jangan kumpulkan harta di dunia, kerana di sini gegat dan karat merosakkannya serta pencuri memecah masuk untuk mencurinya. Kumpulkan harta di syurga, kerana di situ gegat dan karat tidak dapat merosakkannya serta pencuri tidak memecah masuk untuk mencurinya.” (Matius 6:19-20 AVB)