top of page

Anugerah Identiti (Bhg. 2)


1 Korintus 6:20 (TB) Sebab kamu telah dibeli dan harganya telah lunas dibayar: Karena itu muliakanlah Allah dengan tubuhmu!

Yohanes 1:13 (TB) orang-orang yang diperanakkan bukan dari darah atau dari daging, bukan pula secara jasmani oleh keinginan seorang laki-laki, melainkan dari Allah.


Perhatikan betul-betul bagaimana identiti diri kita sebagai orang percaya dinyatakan menurut 1 Kor 6:20; pertama, kita dibeli (ditebus) dengan harga yang lunas dibayar, kedua, barulah kita dapat bertindak untuk memuliakan Allah dengan tubuh kita. Tetapi berapa ramai di antara kita yang berusaha untuk memuliakan Allah terlebih dahulu dan selepas itu, barulah kita yakin bahawa kita menjadi milik Allah? Ini merupakan cara yang salah atau songsang dalam hal menyatakan identiti diri kita.


Kita menjadi milik Allah bukan dengan usaha kita tetapi dengan usaha Yesus Kristus di kayu salib. Usaha Yesus Kristus sampai kepada tahap Dia menyerahkan nyawa-Nya yang menuntut pencurahan darah-Nya sendiri. Mengapa? Ini disebabkan Allah serius mahu memberikan kita identiti yang baru yang tidak bersifat jasmani tetapi rohani. Maka, identiti kita yang baru tidak ada kaitan lagi dengan warisan nenek moyang secara darah dan daging (Yoh 1:13). Identiti kita sekarang berasal dari Allah yang kudus dan kekal. Semua ini dimungkinkan oleh anugerah Allah melalui Yesus Kristus.


Maksudnya, secara rohani, identiti kita tidak lagi berkaitan dengan dosa, penyakit, kutuk keturunan mahupun Iblis kerana identiti baru yang telah kita terima daripada Yesus Kristus adalah bersih dan bebas dari semua hal tersebut. Perkara jahat yang berlaku secara turun-temurun dalam generasi keluarga kita dapat dihentikan kerana hal tersebut tidak berhak untuk terus berkuasa mencuri, membunuh dan membinasakan kehidupan kita termasuklah orang yang kita sayangi.


Kita sudah dibeli dan harganya sudah lunas dibayar! Tidak ada hutang lagi! Tidak ada tuntutan lagi! Sudah selesai! Sekiranya ada, itu adalah taktik Iblis untuk menuduh kita supaya kita tidak mengetahui kebenaran tentang anugerah identiti yang kita miliki! Iblis tidak mahu kita memiliki damai sejahtera, sukacita dan kebenaran kerana apabila kita memilikinya, pekerjaannya dihancurkan!


Secara daging, kita masih berdosa, berpenyakit dan mewarisi hal-hal tertentu daripada jalur keturunan keluarga, namun itu tidak bermakna bahawa kita perlu menerima hal tersebut sebagai identiti kita. Kita masih berada di tubuh jasmani yang lama dan terbatas serta dipengaruhi oleh dosa; tubuh ini terdedah dengan semua perkara yang baik dan jahat di dunia ini. Namun, melalui tubuh tersebut, kita boleh memilih untuk memuliakan Allah kerana harganya sudah lunas dibayar!


Pr Roy Dinsim

1 commento


Sandra Tagal
Sandra Tagal
29 giu 2023

Amen!

Mi piace
bottom of page