top of page

Berita


Setiap kali apabila saya membaca ataupun mendengar berita-berita tentang masyarakat tempatan mahupun dunia, tidak ada satupun berita yang benar-benar merupakan berita yang baik yang membawa kebaikan dan kebahagiaan kepada manusia sejagat. Kalau adapun itu hanyalah sekadar sementara dan ianya tidak kekal lama. Ianya pasti akan berubah mengikut musim dan arus perubahan zaman. Berita-berita yang kita baca mahupun dengar pada hari ini sarat dipenuhi dengan kejadian-kejadian kejahatan yang mencerminkan kerosakan akhlak moral manusia yang membawa kepada kebinasaan. Dan oleh kerana nafsu rakus manusia yang tidak ada kunjung padamnya, hubungan sesama manusia bahkan sesama alam semulajadi juga semakin hari semakin binasa.


Namun ada satu berita yang benar-benar memberikan lebih daripada sekadar berita baik yang membawa kebaikan dan kebahagiaan. Berita yang memberikan kebebasan dan kemerdekaan total terhadap jiwa dan rohani kita. Berita yang memberi harapan baru untuk hidup yang lebih baik serta hidup kekal. Berita yang menyemangati dan menghidupkan jiwa rohani kita. Berita yang memberitahu kita bahawa kita boleh bebas daripada cengkaman kuasa dosa yang menghancurkan. Berita yang memberikan kita pilihan untuk memilih masa depan kita. Kita boleh memilih untuk hidup bebas daripada cengkaman kuasa dosa dan merdeka total. Sesungguhnya inilah berita yang sangat baik; iaitu Berita Baik Yesus Kristus.


“Malaikat itu berkata kepada mereka, ‘Jangan takut! Aku membawa kepadamu berita baik yang akan memberikan sukacita besar kepada seluruh umat. Pada malam ini di kota Daud telah lahir seorang Penyelamat bagimu, iaitu Kristus Tuhan. (Lukas 2:10-11)


Yesus berkata, “Roh Tuhan ada pada-Ku kerana Dia telah memilih Aku untuk mengkhabarkan berita yang baik kepada orang miskin; Dia telah mengutus Aku untuk mengumunkan pelepasan kepada orang tawanan, penyembuhan kepada orang buta, pembebasan orang tertindas, dan mengisytiharkan tibanya masa yang Tuhan berkenan!” (Lukas 4:18-19)


“Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal” (Yoh 3:16)


Yesus berkata, “Pencuri datang hanya untuk mencuri dan membunuh dan membinasakan; Aku datang, supaya mereka mempunyai hidup, dan mempunyainya dalam segala kelimpahan.” (Yoh 10:10)


“Sebab upah dosa ialah maut; tetapi karunia Allah ialah hidup yang kekal dalam Kristus Yesus, Tuhan kita.” (Rom 6:23)


Kita, orang-orang yang percaya kepada Tuhan Yesus kristus mempunyai Berita Baik ini. Dan setiap kali apabila kita membaca Berita Baik ini, kita dapati ianya adalah benar-benar berita baik dan tidak ada satu pun yang tidak baik di dalamnya. Berita Baik ini ialah Firman Tuhan yang datang daripada Tuhan yang baik dan tidak berubah mengikut arus zaman. Ia kekal baik untuk selama-lamanya. Kata-kata-Nya yang penuh dengan cinta kasih syurgawi dan rahmat-Nya yang luarbiasa menyembuhkan dan memulihkan hati, menghiburkan serta memberi harapan untuk hidup dan memiliki masa depan yang jauh lebih baik. Bukankah ini berita baik? Namun adakah kita sentiasa membaca dan merenungkan Berita Baik yang membebaskan jiwa dan menghidupkan rohani kita ini? Terkadang saya terfikir, ramai di antara kita yang lebih tertarik membaca berita-berita yang viral pada masa kini padahal berita-berita itu tidak membina insan jati diri kita, berita-berita yang palsu dan yang membuatkan hati kita mengeluh kesal daripada membaca Berita Baik yang membebaskan dan menghidupkan kita. Bukan sahaja kita teruja dengan berita-berita sedemikian bahkan tidak segan silu dengan laju share dengan orang lain. Kalaulah sikap itu kita terapkan terhadap Berita Baik Yesus Kristus, alangkah bahagianya.


Ada satu peribahasa yang mengatakan, “you are what you eat”. Begitu juga dengan jiwa dan rohani kita. Pertanyaan buat diri kita; hari-hari ini apakah pengisian jiwa dan rohani kita? Apakah jiwa dan rohani kita diisi dengan FIRMAN TUHAN YANG HIDUP atau dengan kata-kata yang hanya membawa kepada kesia-siaan dan tanpa makna? Tuhan Yesus berkata, “manusia hidup bukan dengan roti sahaja tetapi dengan setiap Firman yang keluar daripada mulut Allah” (Mat 4:4). “Langit dan bumi akan lenyap, tetapi kata-kata-Ku tidak akan lenyap” (Mat 24:35). Saya ingin mendorong kita semua untuk merenungkan kata-kata Firman Tuhan yang Hidup yang merupakan Berita yang begitu Baik buat kita. Kerana di dalamnyalah terdapat kunci-kunci jawapan bagi setiap persoalan dan permasalahan hidup serta kebebasan dan masa depan yang penuh gemilang.


Saya berdoa semoga Allah kita Tuhan Yesus Kristus, iaitu Bapa Kemuliaan, memberikanmu Roh Kebijaksaan dan Wahyu untuk mengenali-Nya. Semoga Allah menerangkan mata hatimu untuk mengetahui harapan daripada panggilan-Nya, limpah kemuliaan warisan-Nya, dan betapa besar kuasa-Nya bagi kita yang beriman, serta mengerti betapa lebarnya, panjangnya, tingginya dan dalamnya kasih Kristus, dan mengetahui kasih Kristus ini yang tidak terjangkau oleh pengetahuan manusia supaya kamu dipenuhi dalam keseluruhan kepenuhan Allah. Dalam nama Tuhan Yesus, Amen.


Tuhan Memberkati,

Sue

bottom of page