BREAKHTROUGH (TEROBOS)
- Komuniti Digital 03
- Jun 5
- 3 min read
Sebuah kisah yang menyentuh jiwa tentang identiti, penerimaan dan kasih sejati.
Kisah TEROBOS mengetengahkan pengalaman Sathiya, seorang lelaki yang pernah hidup dalam dunia LGBTQ dan bergelut dengan kekosongan serta persoalan tentang makna kasih yang sebenar. Dalam pencarian identiti dan penerimaan, beliau terpaksa berdepan dengan luka silam, kebenaran yang menyakitkan, dan suara kasih yang datang dari tempat yang tidak disangka-sangka.
"Apakah pandangan Tuhan terhadap insan seperti kita?"
Ketika segalanya kelihatan gelap, kasih sejati telah menembusi kegelapan hidupnya. Bukan dengan penghakiman, tetapi dengan kasih yang memulihkan.
__________________________________________________________________
Langkah-langkah untuk keluar daripada belenggu dosa, menerima hidup baharu dalam Kristus dan mendapat pemulihan bermula dengan:
Mengakui Diri Kita Yang Sebenar Bahawa Kita Memerlukan Pertolongan Dan Pengampunan Tuhan.
“Jika kita mengakui dosa kita kepada Allah, Dia akan menepati janji-Nya dan berlaku adil. Dia akan mengampunkan dosa kita dan menyucikan kita daripada segala kesalahan.”
— 1 Yohanes 1:9
Percaya akan Kuasa Kasih & Pengampunan Tuhan
Kerana.. tiada dosa yang terlalu besar untuk tidak diampuni. Kasih Tuhan melampaui segala kelemahan kita.
“Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal, supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal.”
— Yohanes 3:16
Meninggalkan Identiti Lama & Menerima Identiti Baharu Dalam Kristus.
Dalam Kristus, kita dijadikan ciptaan yang baharu dan kita hidup dalam tujuan-Nya.
“Sesiapa yang ada dalam Kristus adalah ciptaan baharu. Hal- hal lama telah lenyap dan segala-galanya baru.”
— 2 Korintus 5:17
Menyertai Komuniti yang Sihat secara Rohani
Pemulihan tidak dilakukan secara bersendirian. Komuniti yang berteraskan kasih dan kebenaran dapat membimbing dan menyokong pertumbuhan iman.
"Besi menajamkan besi, demikian juga orang menajamkan sesamanya."
— Amsal 27: 17
Mengisi Hidup dengan Firman & Doa Secara Berterusan
Hanya melalui hubungan yang mendalam dengan Tuhan, kita akan menemui kekuatan untuk bertahan dan berubah.
“Berbahagialah orang yang lapar dan dahaga akan kebenaran, kerana mereka akan dipuaskan.”
— Matius 5:6
Berkongsi Kesaksian & Menjadi Saksi Kasih Tuhan
Kesembuhan yang dialami bukan untuk disimpan, tetapi untuk menjadi saksi kepada orang lain yang sedang bergelut dalam kegelapan.
"Inilah peluang bagimu untuk memberikan kesaksian." — Lukas 21:13
Harapan Masih Ada
Kesaksian TEROBOS ialah bukti bahawa tiada sesiapa pun yang terlalu jauh untuk diselamatkan oleh kasih Kristus.
Jika anda sedang berjuang dengan identiti, kesunyian, atau belenggu dosa, ketahuilah bahawa Tuhan memanggil anda pulang.
Kasih sejati masih tersedia.
__________________________________________________________________
Doa Penutup Peribadi: Doa Pemulihan dan Terobosan
Ya Bapa di syurga,
Saya bersyukur atas kasih-Mu yang tidak pernah berubah.
Kasih-Mu mencari saya walaupun saya tersesat. Kasih-Mu menembusi kegelapan hati saya dan menyentuh bahagian paling dalam yang terluka.
Hari ini, saya datang ke hadapan-Mu dengan hati yang terbuka.
Saya mengakui segala kelemahan dan dosa saya. Saya mengakui bahawa saya telah mencari kasih dan penerimaan di tempat yang salah. Tetapi hari ini, saya memilih untuk kembali kepada-Mu — kepada sumber kasih yang sejati.
Tuhan Yesus, Engkaulah yang telah mati dan bangkit untuk membebaskan saya.
Bebaskanlah saya daripada setiap belenggu dosa, daripada rasa malu, kebingungan identiti, dan luka masa silam.
Saya menyerahkan seluruh hidup saya ke dalam tangan-Mu.
Roh Kudus, penuhilah hati saya.
Berikanku penghiburan, kekuatan, dan keberanian untuk melangkah keluar daripada kegelapan kepada terang kasih Kristus.
Bentuklah saya menjadi ciptaan baharu. Biarlah hidup saya menjadi kesaksian tentang kuasa-Mu yang memulihkan dan menyelamatkan.
Terima kasih, Tuhan, kerana Engkau tidak pernah menyerah terhadap saya.
Hari ini, saya memilih untuk percaya kepada-Mu dan berjalan bersama-Mu, selamanya.
Di dalam nama Tuhan Yesus Kristus yang mengasihi saya tanpa syarat,
Amin.
Comments