Daud Dan Nebukadnezar
- Jan 16
- 2 min read

Raja Daud ialah raja bangsa Israel. Raja Nebukadnezar ialah raja empayar Babilon. Selang masa antara mereka adalah sekitar 900–1100 tahun.
Daud memerintah Israel pada zaman kegemilangannya, manakala Nebukadnezar dibangunkan Tuhan untuk menghukum Israel yang telah menjauh daripada-Nya, dan dalam masa yang sama “menyelamatkan” sisa umat Tuhan melalui pembuangan ke dalam empayarnya. (2 Samuel 5; Yeremia 27:5–7).
Apakah persamaan antara dua raja ini? Saya tidak menyenaraikan semua persamaan, tetapi pagi ini ketika merenung tentang pemimpin dan kepimpinan dalam Alkitab, satu persamaan utama muncul dengan jelas.
Pada titik kemuncak kejayaan, kedua-duanya bergelut dengan kesombongan hati. Mereka mula melihat pencapaian sebagai hasil kekuatan sendiri. Daud menghitung jumlah tenteranya (2 Samuel 24:1–4), manakala Nebukadnezar bermegah dengan kebesaran kota Babilon yang dibangunkannya (Daniel 4:29–30).
Akibatnya amat serius. Disebabkan kesombongan Daud, murka Tuhan turun dan 70,000 orang mati (2 Samuel 24:15). Terhadap Nebukadnezar pula, Tuhan merendahkannya sehingga dia hilang kewarasan dan hidup seperti binatang untuk suatu tempoh, sehingga dia mengakui bahawa Tuhanlah yang berdaulat (Daniel 4:31–34).
Alkitab jelas menyatakan bahawa Tuhan membenci kesombongan.
“Kecongkakan mendahului kehancuran, dan tinggi hati mendahului kejatuhan.”
(Amsal 16:18)
Dan firman Tuhan juga mengingatkan kita: “Jika bukan TUHAN yang membangun rumah, sia-sialah usaha orang yang membangunnya.” (Mazmur 127:1)
Oleh itu, apabila seorang pemimpin mula merasakan dirinya terlalu penting, dan menganggap segala pencapaian berlaku kerana kekuatan, kebijaksanaan, atau kelebihannya sendiri, itu adalah tanda amaran rohani. Itulah masa untuk berhenti seketika dan mengambil masa untuk menyembah, berdoa, dan berserah kepada Tuhan.
Jika kesombongan hati sukar dibendung, dan kita masih berpegang pada fikiran bahawa diri kita hebat dan tidak tergantikan, maka kadang-kadang langkah yang lebih sihat ialah berundur sementara untuk berdoa, berpuasa, dan mencari kehendak Tuhan, sama ada untuk terus memimpin atau dengan rela dan hormat memberi laluan kepada orang lain. Prinsip ini berlaku bukan sahaja dalam gereja, tetapi juga dalam dunia kepimpinan dan politik.
Kiranya Tuhan memelihara hati kita supaya sentiasa rendah di hadapan-Nya, kerana kepimpinan yang sejati lahir daripada kebergantungan kepada Tuhan, bukan daripada kebesaran diri. Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook @jubilie apin

Comments