top of page

Doa Orang Benar Berkuasa



Yakobus 5:16-18 (AVB)

Oleh itu, hendaklah kamu saling mengakui dosa serta mendoakan satu sama lain, supaya kamu disembuhkan. Doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat. Elia seorang manusia biasa seperti kita. Dia berdoa bersungguh-sungguh supaya hujan tidak turun, maka selama tiga tahun setengah hujan tidak turun di bumi. Selepas itu, dia berdoa lagi, lalu langit menurunkan hujan mencurah-curah dan tanah mengeluarkan hasil.



Allah bukan sekadar mahu mendengar doa kita, Dia sentiasa mahu mengabulkan permintaan doa kita. Pernahkah kamu berfikir, apakah perkara yang mungkin menghalang Allah daripada menjawab permintaan doa kita? Sebaliknya, apakah perkara yang dapat kamu lakukan supaya kamu dapat berdoa dengan kuasa yang besar?


Dalam perhubungan kita sesama manusia, pasti ada perselisihan faham yang berlaku. Hal ini perlu diurus dengan baik supaya perhubungan tidak renggang atau binasa akhirnya. Bagi memelihara perhubungan yang baik, kita perlu bersikap rendah diri dan sedia mencari jalan penyelesaian secara aman damai. Ada waktunya kita bersalah, ada waktunya orang lain yang bersalah terhadap kita. Yang penting, kita digesa untuk bersikap rendah diri, sanggup memohon ampun dan juga sedia mengampuni kesalahan orang lain. Dengan cara ini, perhubungan terpelihara dan kita pun hidup dalam kebenaran-Nya.


Firman Allah mengingatkan bahawa kita "harus saling mengampuni sebagaimana Tuhan sudah mengampuni" kita (Kolose 3:13). Yesus pula mengajarkan murid- murid-Nya berdoa: "Ampunkanlah kesalahan kami sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami." (Matius 6:12).


Firman Allah juga menegaskan bahawa doa orang yang benar mempunyai kuasa yang hebat. Untuk menjadi orang yang benar, kita wajib mentaati perintah Allah. Ini termasuk tidak berdendam dan sedia mengampuni kesalahan orang lain. Apabila kita mengampuni orang lain, kita hidup bebas dalam kebenaran-Nya. Kita dipulihkan secara rohani dan diupayakan-Nya untuk berdoa dengan yakin. Ingat, engkau juga mampu berdoa dengan kuasa yang besar kerana kamu memilih untuk hidup dalam kebenaran-Nya.


DOA: TUHAN, terima kasih atas pengampunan dosa yang Kaukurniakan kepada aku. Aku bersedia mengampuni orang lain dan mahu hidup dalam kebenaran-Mu selalu.


William Yeong

bottom of page