top of page

Jadikan Kristus Sebagai Pusat Kehidupan

Teks: Matius 6:33

“Utamakanlah kerajaan Allah serta perbenaran-Nya; dan semuanya itu akan diberikan kepadamu.”


Renungan

Tahun baharu lazimnya dimulakan dengan pelbagai perancangan dan harapan, termasuk impian baharu, sasaran kewangan, perkembangan kerjaya, kehidupan keluarga, serta pelayanan. Semua perancangan ini tidaklah salah. Namun demikian, Yesus mengingatkan kita tentang satu keutamaan yang paling utama, iaitu mencari terlebih dahulu Kerajaan Allah dan kebenaran-Nya. Hal ini bermaksud Kristus harus dijadikan pusat kehidupan kita, bukan sekadar pelengkap di pinggir kehidupan.


Menjadikan Kristus sebagai pusat kehidupan bererti meletakkan kehendak Tuhan mengatasi kehendak diri sendiri. Dalam setiap keputusan yang dibuat, kita perlu bertanya: Adakah perkara ini memuliakan Tuhan? Adakah tindakan ini selaras dengan firman-Nya? Apabila Kristus benar-benar menjadi pusat kehidupan, nilai dan cara hidup kita akan berubah. Kita tidak lagi dikuasai oleh kebimbangan duniawi, kerana kita menaruh kepercayaan sepenuhnya kepada penjagaan dan pemeliharaan Tuhan.


Doa

Ya Tuhan yang setia dan penuh kasih, ajarlah kami untuk menjadikan Engkau sebagai pusat kehidupan kami. Pimpinlah setiap langkah yang kami ambil agar kehidupan kami sentiasa memuliakan nama-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, kami berdoa. Amin.


Rev. Ali Langgit

Comments


bottom of page