Matius 6:5-15 (AVB)
5 "Apabila kamu berdoa, janganlah seperti orang munafik. Mereka suka berdoa sambil berdiri di saumaah dan di simpang jalan supaya dilihat orang. Sesungguhnya, Aku berkata kepadamu, mereka itu sudah pun mendapatkan ganjaran mereka. 6 Tetapi kamu, masuklah ke dalam bilik, tutup pintu dan berdoalah kepada Bapamu yang tidak dapat dilihat dengan mata. Dia mengetahui apa yang kamu lakukan secara tersembunyi dan akan memberikan ganjaran kepadamu.
7 Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8 Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
9 Berdoalah demikian:
'Ya Bapa kami yang di syurga,
sucilah nama-Mu.
10 Datanglah kerajaan-Mu.
Terlaksanalah kehendak-Mu
di bumi sebagaimana di syurga.
11 Berilah kami makanan untuk hari ini.
12 Ampunkanlah kesalahan kami
sebagaimana kami mengampuni mereka yang bersalah terhadap kami.
13 Janganlah biarkan kami tergoda,
tetapi selamatkanlah kami daripada yang jahat.
Engkaulah yang empunya kerajaan, kekuasaan dan kemuliaan selama-lamanya. Amin.'
14 Jika kamu mengampuni orang yang bersalah terhadapmu, Bapamu yang di syurga akan mengampunkan kesalahanmu juga. 15 Tetapi jika kamu tidak mengampunkan kesalahan orang, Bapamu yang di syurga juga tidak akan mengampunkan kesalahanmu."
Ayat 7-8
7Ketika berdoa, jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna, seperti orang yang tidak mengenal Allah. Mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang. 8Jangan berbuat seperti mereka. Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.
Sebagai orang Kristian, kita memang memuji orang yang cenderung berdoa dan kuat berdoa., Tetapi terdapatnya satu kesilapan yang sering dilakukan oleh mereka yang kuat berdoa iaitu mereka suka berdoa berpanjangan! Memang kita memahami kenapa mereka melakukan demikian. Walaubagaimanapun hanya kerana kita memahami tidak bererti ia adalah sesuatu keadaan yang baik atau harus dibiarkan berterusan atau tidak perlu diperbetulkan.
Oleh sebab itu, teguran dan peringatan yang dibuat oleh Tuhan Yesus di dalam ayat 7 dan 8 sangat sesuai dan tepat .Tuhan Yesus mengingatkan kepada pengikutNya supaya berjaga-jaga dan mengelakkan dua kesilapan yang sering dilakukan dalam doa
a) jangan curah-curahkan kata-kata yang tidak bermakna
b) jangan berdoa berpanjangan
Tuhan Yesus mengatakan kedua kesilapan yang disebut di atas sering dilakukan oleh orang yang tidak kenal Tuhan kerana “mereka menyangka Allah akan mengabulkan permintaan mereka kerana doa mereka itu panjang”. Ini jelas adalah satu sangkaan yang salah kerana ia berasal daripada fikiran manusia. Mereka sangka lebih kuat suara mereka , lebih panjang doa mereka, lebih banyak perkataan mereka yang berbunga bunga semasa mereka berdoa maka lebih mungkin Allah Bapa akan ambil perhatian, mendengar doa mereka dan mengabulkan doa mereka
Samada Allah Bapa akan mengabulkan permintaan kita dalam doa bukanlah bergantung kepada berapa lancar bahasa kita, berapa banyak perkataan kita atau berapa panjang doa kita. Tidak perlu untuk kita ceritakan secara terperinci keadaan kita, kesusahan kita atau kekurangan kita. Tuhan memang sudah tahu dan lebih memahami sesuatu keadaan daripada kita sendiri. Tuhan Yesus menegaskan bahawa “Bapamu tahu apa yang kamu perlukan sebelum kamu memohonnya.”
Sebaliknya apa yang perlu dari kita dan penting bagi Allah Bapa bila kita mendekati Dia dalam doa kita ialah hanya perkataan kita padat, hati kita murni dan niat kita ikhlas.
Oleh itu, marilah kita sebagai anak Tuhan belajar untuk berdoa sedemikian rupa dan mempunyai keyakinan bahawa Allah Bapa kita tahu, ambil peduli dan akan mengabulkan doa kita mengikut caraNya dan masaNya tersendiri
DOA
Allah Bapa , aku bersyukur Engkau adalah Bapa yang sangat mengasihi aku sebagai anakMu. Engkau tahu segala kerinduan hatiku, keperluan hidupku dan kesusahan keadaanku. Aku tidak perlu berdoa seperti orang yang tidak kenal Engkau dengan kata kata yang tidak bererti dan berbunga bunga. Aku hanya perlu berdoa dengan hatiku yang murni dan kata kataku yang jujur. Dan aku tahu dan yakin bahawa Engkau tahu, Engkau ambil peduli dan Engkau akan mengabulkan doaku
Dalam Nama Tuhan Yesus, Amin
Ps. Lam Kee Hing
Comments