Teks
Rut 1:18-21 (BM)
Apabila Naomi melihat bahawa Rut berkeras hendak mengikut dia, Naomi tidak mengatakan apa-apa lagi. Mereka meneruskan perjalanan sehingga mereka sampai di Betlehem. Apabila mereka tiba, segenap penduduk kota itu heboh. Kaum perempuan di situ berkata, "Betulkah dia itu Naomi?" Naomi menjawab, "Janganlah panggil saya Naomi. Panggillah saya Mara, kerana Allah Yang Maha Kuasa telah menjadikan kehidupan saya pahit. Dahulu ketika saya meninggalkan tempat ini saya berkecukupan, tetapi sekarang TUHAN membawa saya balik dengan tidak mempunyai apa-apa. Oleh itu, janganlah panggil saya Naomi lagi, kerana TUHAN Yang Maha Kuasa telah menghukum saya dengan banyak penderitaan."
Pengajaran/Refleksi
Firman Tuhan hari ini mengajar kita tentang kehidupan manusia. Ada yang hidup bermula dari kesusahan dan akhirnya menjadi senang, dan ada kalanya hidup manusia bermula dari kesenangan dan akhirnya menjadi susah. Seperti yang dikatakan Naomi, "Jangan panggil saya Naomi lagi, kerana Tuhan telah menghukum saya dengan banyak penderitaan." Dia meminta untuk dipanggil Mara, kerana Allah telah menjadikan kehidupannya pahit. Dahulu dia berkecukupan, tetapi sekarang Tuhan membawanya kembali ke Betlehem tanpa apa-apa.
Kehidupan kita seperti roda yang berputar, dari bawah ke atas, dan dari atas ke bawah. Hai manusia, jangan menyombongkan dirimu, kerana segala yang ada padamu adalah dari izin Tuhan. Tuhan yang memberi, dan Dia juga yang mengambilnya.
Ayub 1:21b
"Tuhan yang memberi, Tuhan yang mengambil, terpujilah nama Tuhan!”
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Mereka yang sakit, Engkau sembuhkan; yang lemah, dikuatkan; dan yang ada masalah, dibebaskan dalam nama Yesus Kristus! Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments