Jangan Membalas Madu dengan Racun
- Komuniti Digital 05
- 2 days ago
- 2 min read

2 Samuel 10:2-6 (AVB)
2Daud berkata, “Aku hendak menjalin persahabatan dengan Hanun anak Nahas, sebagaimana ayahnya menjalin persahabatan denganku.” Maka Daud mengirimkan beberapa orang utusannya untuk menyampaikan takziah kepada Hanun kerana perihal ayahnya itu. Para utusan Daud pun sampai di negeri bani Amon. 3Akan tetapi, para pembesar bani Amon berkata kepada Hanun, tuan mereka, “Adakah tuanku sangka Daud hendak memberikan penghormatan kepada ayah tuanku, sehingga dia mengutus orang untuk menyampaikan takziah kepada tuanku? Bukankah Daud mengutus para pegawainya kepada tuanku untuk menyiasat kota ini, untuk mengintip dan menggulingkannya?” 4Oleh sebab itu Hanun menangkap para utusan Daud itu. Lalu dia mencukur separuh janggut mereka dan memotong pakaian mereka di bahagian tengah sampai pangkal paha. Setelah itu, disuruhnya mereka pergi. 5Ketika hal itu diberitahukan kepada Daud, dia mengutus orang untuk menemui mereka, kerana mereka berasa sangat malu. Kata raja, “Tinggallah di Yerikho sehingga janggutmu tumbuh lagi. Setelah itu, barulah kamu pulang.”6Ketika bani Amon menyedari bahawa mereka telah membangkitkan kebencian Daud, mereka mengupah orang Aram dari Bet-Rehob dan dari Zoba seramai dua puluh ribu orang pasukan berjalan kaki, raja Maakha dengan seribu orangnya, serta dua belas ribu orang Tob.
PENGAJARAN/ REFLEKSI.
1. Firman Tuhan hari ini mangajar kita supaya tidak membalas perbuatan baik dengan kejahatan, seperti orang memberi madu di balas dengan racun. Raja Daud mengirim beberapa orang utusan untuk menyampaikan takziah kepada Raja Hanun.
2. Tetapi para pemimpin Amon menuduh Raja Daud mengirim para utusan itu sebagai pengintip untuk menyelidik kota mereka, supaya Raja Daud dapat menakluki mereka. Oleh kerana tuduhan atau fitnah itu, Raja Hanun menangkap para utusan Raja Daud, mencukur sebahagian daripada janggut mereka, memotong pakaian mereka pada pangkal paha, lalu menyuruh mereka pergi.
3. Perkara itu membuat para utusan Raja Daud itu menjadi malu, sehingga mereka tinggal di Yerikho sampai janggut mereka tumbuh semula. Orang Amon sedar bahawa mereka sudah menjadikan Raja Daud musuh mereka.
Kiranya kita tidak membalas madu dengan racun iaitu, perbuatan baik yang orang berikan kepada kita, dibalas dengan kejahatan! Ajar kami sentiasa melakukan segala perbuatan yang baik yang TUHAN telah siapkan bagi kami. Halleluya dan amen!!
DOA
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini ya Bapa. Berkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani ya TUHAN terutamanya mereka yang membaca renungan ini. Amen!
Rev. Ali Langgit
Comments