top of page

Keseksaan Besar


Ayat: Matius 24: 15-22


15 "Oleh itu, apabila kamu melihat 'kekejian yang membawa kebinasaan' yang disebut oleh nabi Daniel di tempat suci (biarlah para pembaca memperhatikan ertinya), 16 ketika itu orang yang di Yudea mesti lari ke pergunungan. 17 Orang yang di atas bumbung ketika itu janganlah masuk ke rumah mengambil apa-apa. 18 Orang yang di ladang usahlah pulang mengambil jubah. 19 Malanglah ibu yang mengandung dan menyusui anak. 20 Berdoalah semoga kamu tidak terpaksa melarikan diri pada musim dingin atau hari Sabat. 21 Ketika itu akan berlaku kesengsaraan yang belum pernah berlaku sejak dunia dicipta sampai sekarang, dan yang tidak akan pernah berlaku lagi. 22 Kalaulah masa itu tidak disingkatkan, tiada seorang pun akan selamat. Namun demikian, demi umat pilihan-Nya, masa itu disingkatkan.”


Nubuatan akhir zaman kelima adalah keseksaan atau kesengsaraan besar yang menimpa bumi. Yesus merujuk kepada nubuatan Daniel tentang “Si pembinasa akan datang di atas sayap kekejian” (Dan.9:27) yang akan melakukan keseksaan terhadap umat Allah menjelang akhir zaman. Nubuat ini secara sejarah sudah digenapi dengan kehancuran Yerusalem pada tahun 70, tetapi akan digenapi lebih dahsyat lagi pada akhir zaman.


Yesus menggambarkan kedahsyatan keadaan ini dimana orang “melarikan diri ke pergunungan, orang di atas bumbung dilarang masuk ke rumah mengambil apa-apa, orang di ladang tidak usah pulang, malangnya ibu yang mengandung dan menyusui anak.” (ayat 16-22). Apa yang penting adalah menyelamatkan nyawa daripada harta. Kesengsaraan seperti ini dikatakan belum pernah berlaku sejak dunia diciptakan. Kalaulah masa itu tidak disingkatkan, tidak ada seorangpun yang mampu bertahan.


Walaupun gambaran keadaan ini amat dahsyat dan mengerikan, tetapi bagi orang percaya ianya tidak menakutkan. Malah kita di dorong dalam ayat 20, untuk berdoa supaya terhindar daripada kesengsaraan ini. Semoga nubuatan ini membuat kita sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga, tidak leka dan tidak terlena.


Doa: Bapa di syurga, kami memohon kekuatan untuk bertahan di dalam masa kesusahan dan seksaan besar di akhir zaman. Tolong kami untuk bersikap rendah hati, tidak lengah, sentiasa waspada dan hanya bergantung pada perlindungan-Mu. Dalam Nama Tuhan Yesus Kristus. Amen.


Eddy M. Yasir

bottom of page