Teks
Rut 1:1, 3-5 (BM)
Pada zaman sebelum umat Israel mempunyai raja, kebuluran berlaku di tanah Kanaan. Pada waktu itu ada seorang lelaki bernama Elimelekh. Dia daripada puak Efrata, dan tinggal di Betlehem di wilayah Yehuda. Oleh sebab kebuluran itu, dia pergi ke negeri Moab bersama dengan isterinya Naomi, serta dua orang anak lelakinya, Mahlon dan Kilyon. Mereka tinggal di Moab untuk sementara waktu. Semasa mereka di sana, Elimelekh meninggal, maka tinggal Naomi bersama dengan dua orang anak lelakinya. Anak-anak lelakinya itu berkahwin dengan perempuan Moab, yang bernama Orpa dan Rut. Setelah mereka tinggal di Moab selama sepuluh tahun, Mahlon dan Kilyon pula meninggal, maka tinggal Naomi seorang diri. Dia kehilangan suaminya dan kedua-dua orang anaknya.
Pengajaran/Refleksi
Jika saat ini kita hidup dalam kesusahan atau penderitaan kerana sesuatu yang berlaku di dunia ini, dalam Firman Tuhan hari ini, kehidupan Naomi mungkin jauh lebih susah daripada kehidupan kita. Dia kehilangan orang yang disayanginya, iaitu suami dan anak-anaknya.
Nama Naomi tercatat dalam Alkitab supaya setiap kita yang percaya kepada Tuhan yang Naomi sembah tetap percaya kepada-Nya, sebab semuanya telah direncanakan oleh Tuhan sendiri demikian. Apakah Tuhan menyertai kehidupan Naomi atau membiarkannya sendiri? Kisah seterusnya kita akan lihat esok lusa. Kiranya Tuhan memberkati kehidupan semua kita yang percaya dan bersandar kepada-Nya.
Doa
Terima kasih Tuhan, untuk Firman-Mu hari ini bagi kami. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Mereka yang sakit Engkau sembuhkan, yang lemah dikuatkan, dan yang ada masalah dibebaskan dalam nama Yesus Kristus! Amin.
Rev. Ali Langgit
Comentarios