top of page

Menjawab doa, Pencipta, Tidak Berdoa



Shalom saudara,

Sekarang kita, lihat Sifat Keilahian Yesus, iaitu Yesus menjawab doa.


Dalam Injil Yohanes, 14:14, Yesus berkata begini, “Jika kamu meminta sesuatu kepada-Ku dalam nama-Ku, Aku akan melakukannya.” inilah janji daripada Yesus,


Ya, untuk membuktikan Yesus adalah Tuhan dari ayat ini, kita tanyalah soalan ini, Apakah sifat yang Yesus perlu ada, supaya Ia dapat mendengar semua doa, dari semua orang, setiap masa, dan melakukannya? Bermaksud, Yesus tidak boleh tidur. Dan harus mendengar doa dari semua orang, dari Utara, Selatan, Timur, Barat.


Ya, dan bukan saja dengar doa. Tapi harus juga faham bahasa doa mereka. Iaitu bahasa Jepun, bahasa Korea, Annyeong haseyo, Tuhan Yesus tahu itu. Dan bahasa Sepanyol, bahasa Arab, bahasa Perancis, dan bahasa Mexico dan sebagainya. Dan bukan saja mendengar doa-doa kita, tetapi juga harus melakukannya.


Maka, Apakah sifat-sifat yang Yesus perlu ada, supaya Ia dapat menggenapi janji ini?


Ya, Mahatahu, Mahakuasa, dan Mahahadir. Maka dengan janji-Nya menjawab doa, Yesus dapat membuktikan bahawa Yesus adalah Tuhan. Sebab, Yesus harus menjadi Mahatahu, Mahakuasa, dan Mahahadir untuk menggenapi janji-Nya menjawab doa.


Sifat Ilahi yang seterusnya ialah, Yesus adalah Pencipta.


Mencipta di sini, bukan sekadar mencipta benda-benda biasa. Tetapi mencipta seluruh alam.


Ya, di dalam Perjanjian Lama Yang menciptakan seluruh alam semesta, langit dan bumi adalah Allah. Tetapi di dalam Perjanjian Baru, dikatakan bahawa segala sesuatu diciptakan melalui Yesus, oleh Yesus, dan untuk Yesus.


Contohnya dalam Yohanes 1:3 “Segala sesuatu dijadikan oleh Dia, iaitu Yesus dan dan tanpa Dia tidak ada suatu pun yang telah jadi dari segala yang telah dijadikan.”


Kolose 1:16 berkata begini “Kerana di dalam Dialah, iaitu Yesus telah diciptakan segala sesuatu yang ada di syurga dan yang ada di bumi, yang kelihatan dan yang tidak kelihatan, baik singgahsana, mahupun kerajaan, baik pemerintah, mahupun penguasa. Segala sesuatu diciptakan oleh Dia, dan untuk Dia, iaitu Yesus.”


Dalam surat Ibrani 1:2 pula berkata begini “Maka pada zaman akhir ini, Ia telah berbicara kepada kita dengan perantaraan Anak-Nya, yang telah Ia tetapkan sebagai yang berhak menerima segala yang ada, oleh Dia, iaitu Yesus Allah telah menjadikan alam semesta”


Ayat-ayat ini, ditulis oleh tiga penulis yang berbeza dan mereka sangat percaya Yesus adalah Pencipta segala sesuatu. Maka ini sangat membuktikan, Yesus adalah Tuhan, bukan manusia biasa. Kerana manusia biasa tidak boleh mencipta langit baru dan bumi baru.


Nah, sifat seterusnya ialah Yesus tidak berdosa.

Nah, semua manusia pasti telah berbuat dosa, sejak manusia pertama, iaitu Adam dan semua nabi-nabi, dan orang-orang yang ternama, orang biasa semuanya adalah orang yang berdosa.


Kerana surat Roma 3:23 berkata “Kerana semua orang telah berbuat dosa dan telah kehilangan kemuliaan Allah.” Surat Efesus 2:3 berkata “Pada dasarnya kami adalah orang-orang yang harus dimurkai.”


Tapi dalam Alkitab, mencatat bahawa Yesus tidak berdosa. Dalam Injil Lukas 23:4 “Maka kata Pilatus kepada imam-imam kepala dan orang banyak itu. Saya tidak mendapat satu kesalahan pun pada orang ini untuk menghukum Dia”, iaitu Yesus.


Dalam Lukas 23:47 “Ketika perwira pasukan melihat apa yang sudah terjadi, Ia memuji Allah, lalu ia berkata sungguh Dia tidak bersalah.” Ya, Yesus tidak bersalah.


Dalam Injil Lukas 23:41 berkata begini “Ada 2 penjahat di atas kayu salib itu dan satu daripada penjahat itu berkata: Hanya hukuman kita berdua memang setimpal dengan perbuatan kita, tetapi Dia iaitu Yesus, sama sekali tidak bersalah.”


Nah, perhatikan tiga ayat ini, musuh-musuh Yesus dan penjahat-penjahat mengakui bahawa tidak ada kesalahan atau dosa dalam Yesus. Wow! Dan tambah lagi dalam 2 Korintus 5:21 “Paulus berkata Kristus tidak berdosa tetapi Allah membuat Dia menanggung dosa kita.”


Dalam Surat Ibrani pula, dalam 4:15 “Yesus itu sudah dicobai dalam segala hal sama seperti kita sendiri, hanya Ia tidak berbuat dosa.” Dalam Surat 1 Yohanes 3:5 berkata begini “Kalian tahu bahawa Kristus datang untuk menghapuskan dosa-dosa manusia dan bahawa tidak ada dosa dalam Diri-Nya.”


Pernahkah anda dengar seorang Yang tak pernah berdosa? Tidak kan? Ya! Begitu juga tak pernah anda dengar ada orang yang memberi komen atau bersaksi tentang orang lain bahawa orang itu tidak berdosa.


Ya, sememangnya kita semua telah berdosa, dan harus meminta ampun dari Tuhan. Tetapi Yesus tidak berdosa, dan kalau Yesus tak pernah berdosa, maka Yesus bukan sekadar manusia biasa. Yesus adalah sempurna, dan kesempurnaan dan tidak berdosa adalah sifat yang hanya dimiliki oleh Tuhan. Dan kedua-dua sifat ini, iaitu sempurna dan tak berdosa, dimiliki oleh Yesus.


Haleluya! Sesungguhnya kita boleh bersorak dan mengisytiharkan, Yesus adalah luar biasa. Amen!


Maka bersama-sama, dengan malaikat-malaikat di syurga kita boleh berkata, “Anak Domba yang disembelih itu layak untuk menerima Kuasa dan kekayaan dan hikmat dan kekuatan dan hormat dan kemuliaan dan puji-pujian Haleluya!”


Sekian terima kasih, dan Tuhan memberkati.


Komuniti Digital

Comments


bottom of page