top of page

Mesej Paskah: Ditebus Dengan Harga Yang Sangat Mahal


1 Korintus 6:20 (TSI3) Ingatlah bahwa kamu sudah ditebus dengan harga yang sangat mahal, yaitu darah Kristus. Oleh sebab itu, muliakanlah Allah dengan tubuh dan rohmu, karena tubuh dan rohmu adalah milik Allah.


Saya masih ingat ibu saya pernah membeli mesin penapis air ketika saya masih berada di bangku sekolah. Pada waktu itu, produk penapis air merupakan sesuatu yang sangat baru dan permintaannya dari kalangan masyarakat meningkat secara mendadak ekoran daripada manfaat serta sistemnya yang ternyata sangat bagus. Disebabkan pasarannya meningkat naik, ramai agen penapis air yang mempromosikan produk ini dari rumah ke rumah sehingga ibu sayalah salah seorang yang telah berjaya ditawan. Namun, latar belakang keluarga saya bukanlah daripada keluarga yang mampu. Ibu saya terpaksa membeli produk itu dengan membayar secara ansuran.


Setiap bulan, agen tersebut akan datang ke rumah untuk menuntut pembayaran bulanan. Oleh sebab keadaan kewangan yang tidak menentu, ibu saya tidak berjaya membuat pembayaran secara konsisten. Seringkali, agen yang datang ke rumah tidak berjaya menerima pembayaran. Saya masih ingat agen tersebut tidak dibayar dalam 2 hingga 3 bulan secara berturut-turut dan keadaan ini berterusan selama beberapa kali. Hal ini masih segar di ingatan saya kerana sayalah yang seringkali diharapkan oleh ibu bapa yang sedang bekerja untuk berhadapan dengan agen tersebut ketika tidak ada wang untuk membuat pembayaran.

Kadangkala, saya merasa terjepit dalam keadaan itu. Saya merasakan kekecewaan agen itu ketika tidak menerima pembayaran yang sepatutnya. Agen itu berhak membuat tuntutan kerana ibu saya telah bersetuju untuk mengambil produknya. Pada masa yang sama, saya mengerti rasa malu dan keterdesakan ibu bapa saya dalam hal kewangan. Saya tahu niat baik ibu saya membeli produk itu, supaya kami anak-anaknya mendapat bekalan air yang bersih pada masa itu. Oleh sebab merasa tertekan, saya pernah mengatakan dalam hati, "alangkah baiknya ibu saya membayar lunas penapis air itu!"


Saudara-saudari, pengalaman hidup saya di atas telah membantu saya memahami penebusan Tuhan. Tahukah anda bahawa Allah telah menebus anda dan saya dengan harga yang sangat mahal iaitu dengan darah anak-Nya sendiri Yesus Kristus? Allah tidak membeli kita secara ansuran, Dia membeli kita secara lunas dan tanpa tunggakan, tanpa hutang serta tanpa cacat cela! Mengapa? Supaya tidak ada orang lain, kuasa lain, pihak lain atau apa pun makhluk yang mampu membuat tuntutan terhadap saudara dan saya lagi! Tidak ada lagi yang berhak terhadap saudara dan saya selain daripada Tuhan yang telah menebus kita. Kita menjadi milik Allah sepenuhnya melalui Yesus Kristus! Allah itu kudus, dan Dia tidak mungkin mahu kongsikan anda dan saya dengan sesiapa pun! Dapatkah anda merasakan kasih-Nya yang besar terhadap anda sekarang ini?

Iman kita terhadap Yesus Kristus telah menjadikan tubuh dan roh kita seutuhnya menjadi milik Tuhan. Kalau Allah saja tidak mahu kongsikan anda dengan sesiapa pun, mahukah anda kongsikan tubuh dan roh anda dengan yang lain? Oleh sebab itu, marilah kita memuliakan Allah dengan tubuh dan roh kita.


Pr Roy Dinsim


bottom of page