1 Samuel 14:35-36, 41-43 (BM)
Selepas itu Raja Saul membina sebuah mazbah untuk TUHAN. Itulah mazbah pertama yang dibina oleh Raja Saul. Kemudian Raja Saul bertitah kepada anak buahnya, "Mari kita pergi menyerang orang Filistin pada malam ini, dan merompak mereka sehingga fajar, serta membunuh mereka semua." Mereka menjawab, "Buatlah apa saja yang terbaik menurut pendapat tuanku." Tetapi imam berkata, "Baiklah kita lebih dahulu memohon petunjuk daripada Allah."
Raja Saul berkata kepada TUHAN, Allah Israel, "Ya TUHAN, Allah Israel, mengapakah Engkau tidak menjawab aku hari ini? Ya TUHAN, jawablah aku melalui batu-batu yang suci ini. Jika Yonatan atau aku yang bersalah, jawablah dengan batu Urim; tetapi jika umat Israel yang bersalah, jawablah dengan batu Tumim." Jawapan TUHAN menunjuk kepada Yonatan dan Raja Saul; dengan demikian rakyat dinyatakan tidak bersalah. Kemudian Raja Saul berkata, "Sekarang tunjukkanlah, sama ada Yonatan atau aku yang bersalah." Yonatan dinyatakan bersalah. Raja Saul bertanya kepada Yonatan, "Apakah yang sudah engkau lakukan?" Yonatan menjawab, "Saya telah makan sedikit madu yang saya ambil dengan hujung tongkat saya. Saya bersedia untuk mati."
Pengajaran/Refleksi
Raja Saul mendirikan sebuah mezbah yang pertama dalam kerajaannya. Dia mendirikan mezbah tersebut supaya dia dapat bertanya kepada TUHAN sebelum dia melakukan sesuatu perkara. Pada kali ini Raja Saul bertanya kepada TUHAN mengenai siapa yang telah berbuat dosa.
Setelah Raja Saul bertanya kepada TUHAN, TUHAN menjawab bahawa Yonatan telah berdosa kerana telah makan sedikit madu yang diambil dengan hujung tongkatnya. Yonatan mengaku di hadapan ayahnya, Raja Saul.
Apa yang dikatakan oleh TUHAN pasti sesuatu yang benar. Oleh itu, apabila kita mahu melakukan sesuatu, adalah sangat baik jika kita bertanya kepada TUHAN yang Maha Kuasa dalam doa.
Doa
Tuhan, kami mohon pengampunan daripada Engkau sekiranya kami mengambil tindakan atau keputusan yang berdasarkan keinginan manusiawi kami. Biarlah kami bertindak menurut kehendak-Mu, ya TUHAN. Kiranya Engkau memberkati setiap kami umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments