Serahkan Semua Perancangan Kepada Tuhan Dan Izinkan Dia Memimpin
- Komuniti Digital 05

- 4 hours ago
- 1 min read

Teks: Mazmur 37:5
“Serahkan jalan hidupmu kepada TUHAN; percayalah kepada-Nya maka Dia akan bertindak”
Menyerahkan hidup dan segala perancangan kepada Tuhan tidak bermaksud kita berhenti berusaha. Sebaliknya, penyerahan ini bermaksud kita meletakkan kepercayaan sepenuh hati bahawa Tuhanlah yang memimpin setiap langkah kehidupan kita. Penyerahan sedemikian menuntut iman — iman untuk percaya walaupun jalan di hadapan belum jelas, dan iman untuk taat walaupun pimpinan Tuhan berbeza daripada kehendak serta perancangan kita sendiri.
Apabila kita merelakan Tuhan memimpin kehidupan kita, kita belajar untuk tidak bergantung kepada kekuatan dan kebijaksanaan diri sendiri, tetapi bersandar sepenuhnya kepada hikmat Tuhan. Firman Tuhan memberi jaminan bahawa Dia akan bertindak menurut waktu-Nya yang sempurna. Tuhan tidak pernah lalai, dan setiap rancangan-Nya sentiasa membawa kebaikan bagi mereka yang percaya dan bersandar kepada-Nya.
Kesimpulan:
Oleh itu, marilah kita melangkah setiap hari dengan doa, menyerahkan segala perancangan kepada Tuhan, serta hidup dalam ketaatan kepada-Nya. Di situlah kita akan mengalami damai sejahtera, keyakinan yang teguh, serta berkat pimpinan Tuhan dalam setiap musim kehidupan.
Doa
Kami mengucap syukur kepada-Mu, ya Tuhan, kerana Engkau telah menyertai serta memberkati setiap usaha dan pekerjaan, perniagaan, persekolahan anak-anak kami, pelayanan, serta segala kegiatan kami sepanjang tahun 2025.
Dengan iman kepada Yesus Kristus, kami melangkah sepanjang tahun 2026 ini dengan keyakinan bahawa Engkau akan terus menjaga dan memelihara kehidupan kami, mulai hari ini dan untuk selama-lamanya. Amin.
Rev. Ali Langgit




Comments