![](https://static.wixstatic.com/media/f9523a_8404df0cab364d419b691af58d11bd5f~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/f9523a_8404df0cab364d419b691af58d11bd5f~mv2.jpg)
1 Samuel 13:9-10,13-14 (Alkitab Berita Baik)
Oleh itu Raja Saul bertitah kepada mereka, "Bawalah ke mari korban untuk menyenangkan hati TUHAN dan korban untuk memohon berkat TUHAN." Kemudian Raja Saul sendiri mempersembahkan korban itu, tetapi sebaik sahaja Raja Saul selesai mempersembahkannya, Samuel tiba. Raja Saul menemui Samuel untuk menyambutnya, Samuel menjawab, "Perbuatan tuanku itu tindakan yang bodoh. Tuanku tidak mentaati perintah TUHAN, Allah tuanku, kepada tuanku. Jika tuanku taat, TUHAN pasti membenarkan tuanku dan keturunan tuanku memerintah Israel sampai selama-lamanya. Tetapi sekarang kerajaan tuanku tidak akan tahan lama. Oleh sebab tuanku tidak taat kepada-Nya, TUHAN akan mencari orang lain yang dikehendaki-Nya untuk dilantik menjadi raja umat-Nya."
Pengajaran/Refleksi:
Raja Saul mempersembahkan korban kepada TUHAN dengan tujuan untuk menyenangkan hati-Nya dan memohon berkat, namun dia melakukannya tanpa menunggu waktu yang ditetapkan TUHAN dan tanpa sabar menunggu Samuel, yang seharusnya melaksanakan persembahan itu.
Kesalahan yang dilakukan oleh Raja Saul di sini ialah tindakan mempersembahkan korban kepada TUHAN tanpa menunggu ketibaan Nabi Samuel, yang seharusnya melakukan upacara mempersembahkan korban tersebut. Samuel menyatakan bahawa perbuatan Saul itu bodoh kerana ia melanggar perintah TUHAN.
Akibat ketidaktaatan Raja Saul, TUHAN tidak mengizinkan keturunan Saul untuk memerintah umat-Nya selama-lamanya. TUHAN akan mencari orang lain yang dikehendaki-Nya untuk dilantik menjadi raja.
Jangan cuba melakukan sesuatu pelayanan tanpa izin TUHAN atau yang tidak mematuhi perintah-Nya. Hendaklah kita memiliki hati yang mentaati segala perintah TUHAN sepanjang hidup kita.
Doa:
Ya TUHAN, berkati firman-Mu hari ini dalam hidup kami, supaya kami tetap taat melakukan segala perintah-Mu. Pimpin dan kuasailah hidup kami setiap waktu. Kiranya Engkau memberkati setiap umat-Mu hari ini secara jasmani dan rohani. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comments