top of page

Tiada Berpakaian Hari Ini?

Renungan: Mazmur 119 Bahagianku ialah Tuhan, aku telah berjanji untuk berpegang pada firman-firman-Mu. (ayat 57)

Pengkhutbah kesukaan saya, Charles Haddon Spurgeon pernah berkata, “Pagi ialah gerbang hari kita, dan perlu diawali dengan doa. Pagi ibarat benang di mana segala aktiviti kita bergantung dan harus diikat dengan doa. Kalau kita ingin merasai keagungan hidup, kita perlu berhati-hati dengan cara kita memulakan pagi kita. Dia yang tergesa-gesa ke perniagaan dari katilnya tanpa berdoa dan meneliti firman Tuhan, sungguh bodoh kerana dia bagai tiada berpakaian, belum mencuci mukanya, dan tidak bijak kerana dia tergesa-gesa berperang tanpa kris atau perisai.”


Setiap hari menjanjikan pengharapan dan pelangi kalau kita bangun setiap hari dengan seruan, “Tuhan, Engkaulah bahagianku!” Sebelum melangkah dari rumah kita, kita mesti terlebih dahulu berdoa dan mencari wajah-Nya. Berjanjilah dengan Tuhan bahawa pada pagi ini kita akan berpegang pada firman-Nya walaupun apa yang terjadi. Mintalah Roh Kudus untuk memenuhi dan menyinari kalbu kita pada hari ini.


Berapakah insan di permukaan bumi ini melangkah setiap hari dengan kesedaran bahawa Tuhanlah bahagian mereka? Dengan bermula pagi kita dengan doa, kita mengundang Tuhan untuk berjalan bersama kita setiap hari. Serahkan hari ini kepada Tuhan serta kuduskan hari ini demi Tuhan kita yang Mahakudus. “Maka kamu harus menguduskan dirimu, dan kuduslah kamu, sebab Akulah Tuhan, Allahmu.” (Imamat 20:7) Biarlah hari ini hari yang kudus kerana Tuhanmu ialah bahagianmu dan pengharapanmu.


Jangan hanya membawa gincu dalam beg setiap hari. Apakah Tuhan sudah menjadi bahagianmu pada pagi ini sebelum anda menuju ke tempat kerjamu? Bermulalah setiap hari dengan Tuhan dan Tuhan akan mengemukakan rahsia-Nya. Kita dapat merasai jejari Tuhan dalam setiap persitiwa kehidupan kita serta mengerti peristiwa yang terjadi dari sudut pandangan Tuhan. Kita akan menghembus pengharapan yang baru kepada orang yang kita kenali.


“Berdiamlah, berdiamlah, sembah sujud DiaBerdiamlah, berdiamlah terimalah sabda-Nya yang mulia Berdiamlah, berdiamlah, di tempat kudusDengarlah, Firman-Nya yang suci hidupBerjalan, perlahan, Tuhan di sini,Berjalan, perlahan, sujud berbakti” (Fanny Crosby)


Doa: Tuhan, Engkaulah bahagianku pada pagi ini.

bottom of page