
1 Samuel 2:20-21 (BM)
Kemudian Eli memberkati Elkana dan isterinya, serta berkata kepada Elkana, "Semoga TUHAN mengurniai kamu anak-anak lain daripada isterimu ini, untuk menggantikan anak yang sudah kamu serahkan kepada TUHAN." Selepas itu mereka pulang ke Rama. Hana diberkati oleh TUHAN, lalu Hana melahirkan tiga orang anak lelaki dan dua orang anak perempuan. Samuel pun bertambah besar sementara dia mengabdi kepada TUHAN.
Pengajaran/Refleksi
Eli memberkati Elkana dan Hana dengan ucapan, "Semoga TUHAN mengurniai kamu anak-anak lain untuk menggantikan anak yang sudah kamu serahkan kepada TUHAN." TUHAN benar-benar memberkati mereka dengan lima orang anak, tiga lelaki dan dua perempuan.
Dalam kehidupan kita, kita juga percaya bahawa TUHAN akan menggantikan atau membalas segala yang kita persembahkan kepada-Nya. DIA tahu apa yang kita perlukan, dan pada saat yang tepat, DIA akan menyediakan bagi kita. Oleh itu, janganlah kita enggan memberi kepada TUHAN, baik dalam persembahan hidup, waktu, atau sumber daya kita.
Doa
Terima kasih TUHAN, untuk Firman-Mu hari ini yang mengajar kami untuk berserah sepenuhnya kepada-Mu dan melakukan kehendak-Mu. Ajarlah kami untuk selalu taat dan setia kepada-Mu. Kiranya Engkau memberkati kami secara jasmani dan rohani. Amin!
Rev. Ali Langgit
Comentarios