top of page

Forum Posts

tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Apr 17, 2024
In Keluarga
Oleh Deb Dearmond   Konflik tidak dapat dielakkan dalam perkahwinan dan boleh mengakibatkan kerosakan atau penemuan baru – kita memilih yang mana akan berlaku. Penemuan bermakna mempelajari idea, pendekatan dan penyelesaian baru jika kita berjuang bersama untuk memupuk perkahwinan kita.   “Saya tidak faham mengapa anda melakukan ini!” Saya menjerit kepada suami saya, Ron. “Kami bersetuju kami akan mengikuti belanjawan yang ditetapkan. Simpanan kami hilang apabila kereta anda rosak bulan lepas, dan kami perlu mengisi semula akaun bank tersebut secepat mungkin. Ia adalah perkara yang mudah difahami. Apa yang awak fikirkan?”   Kekecewaan saya terhadap Ron semakin memuncak. Begitu juga dengan kelantangan suara saya. Dia tidak bertanggungjawab. Dia tahu saya betul, fikirku.   Ron menggelengkan kepalanya dan memandang ke dalam mata saya: “Deb, awak bercakap lebih cepat daripada saya,” katanya dengan tenang. "Dan anda berfikir lebih cepat daripada saya. Dan jika anda mahu menang, anda akan berjaya. Tetapi jika anda mahukan penyelesaian terbaik – yang boleh kita berdua terima – anda perlu perlahan supaya kami dapat mendengar satu sama lain.”   Fikiran segera saya ialah, Adakah saya mahu menang atau adakah saya mahukan penyelesaian terbaik? Pendekatan saya adalah penyelesaian terbaik. Oleh itu saya menang!   Ini bukan saat terbaik saya.   Jika difikirkan semula, saya bersyukur saya tidak bersuara dengan lebih lantang. Suami saya dengan tepat menggambarkan pendekatan saya terhadap konflik, dan menahan sikap bangga saya bukanlah mudah.   Tanganinya Konflik tidak dapat dielakkan dalam perkahwinan dan boleh mengakibatkan kerosakan atau penemuan baru – kita memilih yang mana akan berlaku. Penemuan baru bermakna mempelajari idea, pendekatan dan penyelesaian baru jika kita berjuang bersama untuk memupuk perkahwinan kita.   Konflik bukan masalahnya. Bagaimana kita menguruskan konflik adalah masalahnya. DEAL ialah alat penyelesaian masalah yang bermaksud:   D – don’t take the bait (Jangan termakan umpan atau jatuh dalam perangkap) Terangkan impak tingkah laku dan nyatakan keperluan dan apa yang anda harapkan.   Tanyakan soalan untuk menarik pasangan anda untuk berdialog supaya mendapatkan pemahaman.   Hapuskanlah keperluan untuk mengawal tingkah laku pasangan anda. Kawal tingkah laku diri anda.   Mari kita terokai setiap bahagian proses ini dengan lebih terperinci. Jangan jatuh dalam perangkap Selalunya motif konflik adalah untuk menyebabkan orang lain melakukan perkara yang memanfaatkan diri kita, tanpa mengira kesannya kepada orang lain. Itu adalah manipulasi.   Setiap orang mempunyai ‘butang panas’ — perkara yang mendorongnya hilang kawalan. Dan apabila butang panas seseorang ditekan, dia sering bertindak balas tanpa berfikir dan bukannya bertindak dengan rasional. Perbezaannya ialah tindak rasional adalah proses yang mempunyai tujuan yang sudah dipertimbangkan. Reaksi tanpa fikiran ialah ujaran yang biasanya dikesali oleh penutur.   Berkomunikasi secara berhemah untuk membina dialog, bukan untuk berdebat. Berhenti sejenak dan pertimbangkan jawapan yang terbaik, kerana kata-kata boleh mewujudkan keamanan atau mencetuskan permainan kuasa, yang mendorong dua orang lebih jauh ke dalam konflik dan lebih jauh daripada persetujuan.   E – explain the impact of the behaviour and express your expectations Terangkan impak tingkah laku dan nyatakan apa yang anda mahu Langkah ini membantu pasangan anda memahami impak kelakuannya. Ia juga boleh membantu meredakan keadaan jika perbualan biasa telah menjadi pertengkaran sengit. Huraikan tingkah laku pasangan anda dan bagaimana ia mempengaruhi anda. Kemudian nyatakan apa yang anda mahu.   Misalnya, jika pasangan anda menjerit untuk menyatakan pendapatnya, mendesak anda dan tidak mengendahkan kebimbangan anda, adalah penting untuk bertindak balas dengan sewajarnya. Begini cara perbualan itu mungkin bermula: “Pembelian itu bukan sahaja melanggar perjanjian yang kami buat, tetapi saya juga berasa tidak diendahkan. Ia adalah isu kepercayaan. Kita perlu membincangkan perkara ini, dan saya meminta anda bercakap dengan hormat, tanpa menjerit.”   Setelah impak dijelaskan dan matlamatmu untuk meneruskan perbualan ditetapkan, anda sudah bersedia untuk melangkah ke depan.   A – ask questions to draw your spouse into dialogue Tanya soalan untuk menarik pasangan anda untuk berdialog Menanyakan soalan ya-atau-tidak kepada pasangan anda – “Adakah anda masih ingat perbualan kami tentang menabung wang? Adakah anda komited untuk berbuat demikian?” - bukan pembukaan yang baik. Ia cenderung untuk menamatkan perbincangan tanpa mengundang dialog.   Sebaliknya gunakan soalan terbuka bermula dengan “bagaimana” atau “apa”; soalan-soalan ini menarik pasangan anda untuk berbincang. Mereka mengalu-alukan dialog, dan di sinilah kesedaran terjadi. Apabila anda mengalu-alukan idea dan pemikiran suami atau isteri anda – dan kemudian mendengar dengan teliti – anda mungkin mencapai jalan penyelesaian yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.   L – Let go of the need to control your spouse’s behaviour and manage your own Hapuskan keperluan untuk mengawal tingkah laku pasangan anda dan uruskan diri anda Ingat peraturan ini: Perbualan ini bukan tentang saya mengawal anda. Saya berada di sini untuk mengawal diri saya. Walaupun anda tidak menyatakan ini secara lisan, jangan lupakannya. Anda sudah cukup sibuk menguruskan tingkah laku sendiri. Anda boleh menambah baik nada dan arah perbualan jika anda mengingati prinsip ini.   Jika pasangan anda bergelut dalam pengendalian emosinya semasa konflik, anda mungkin rasa hendak melakukan untuknya. Ingat bahawa keutamaan pertama adalah untuk memberi gambaran kepada pasangan anda tentang bagaimana tingkah lakunya memberi kesan kepada anda. Ia sebaiknya dilakukan dengan sikap yang menyatakan, saya berada di sini untuk memberi anda maklumat berguna tentang saya dan impak tingkah laku anda terhadap saya. Dan saya pasti jika anda tahu perasaan saya, anda tidak akan mahu saya mengalaminya. Pendekatan ini memberi pasangan anda kepercayaan walaupun terdapat kesangsian, yang menghadkan akibat kesalahan dan menggerakkan hubungan anda berdua ke hadapan.   Perkahwinan adalah usaha yang berterusan. Kami tidak boleh berkata, “Baiklah, kami telah sampai ke destinasi kami.” Alat yang diasah akan memudahkan usaha ini. Jadi bila konflik tercetus di rumah anda, tanganilahnya!   Deb DeArmond ialah pengarang bersama Don’t Go to Bed Angry. Stay up and Fight.   © 2018 Deborah DeArmond. Hak cipta terpelihara. Diterjemah dari Bahasa Inggeris dan digunakan dengan izin.
4 Langkah menangani Konflik dalam Perkahwinan anda content media
1
0
2
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Jan 03, 2024
In Keluarga
Oleh Bill Arbuckle Bukan mudah untuk melihat ketidaksempurnaan si-suami dan kemudian memilih untuk membiarkan dia memimpin keluarga anda. Tetapi menghormati suami anda boleh menjadikannya lelaki yang lebih baik. “Suatu ketika suami saya dan saya sedang berpacaran di sebuah restoran – kami suka duduk di sebelah bangku yang sama – dan kami melihat satu pasangan yang lebih tua masuk, dan mereka [juga] duduk di sebelah yang sama.” Deb Weakly, pengasas bersama The Help Club for Mums, tidak pernah menyangka dia akan mempelajari prinsip hidup yang berkesan semasa memesan makan malam. “Saya perasan bahawa mereka sudah berkahwin, dan isteri akan melihat [suaminya] apabila dia bercakap, dan dia akan menyentuh tangannya. Dia benar-benar memberi perhatian kepadanya. Dia tidak tergesa-gesa. Dia mendengar dan mengangguk dan menyentuhnya, dan saya fikir saya mahukan perkahwinan seperti itu ketika saya berusia 60-an.” Ia adalah detik yang mengubah hubungan Weakly dengan suaminya. “Saya berasa sangat bersalah,” kata Weakly, “Jadi, saya mulakan dengan cuba mendengar kata-kata suami saya dengan lebih teliti.” Semasa dia mengamalkannya, Weakly juga mendapati bahawa menghormati suaminya boleh menjadikannya pemimpin keluarga yang lebih baik. Dia juga mengetahui bahawa dia bukan satu-satunya wanita yang mempunyai soalan tentang cara menghormati dan mengikuti kepimpinan suaminya. “Terdapat ramai wanita yang bersungguh-sungguh mahu suami mereka memimpin, tetapi mungkin suami mereka tidak dididik atau mungkin suami mereka berasal dari rumah tangga yang berpecah belah. Mungkin suami mereka tidak tahu bagaimana memimpin, tetapi sebagai wanita, kita sepatutnya tunduk kepada suami. Bagaimana kita boleh melakukannya jika suami kita tidak tahu cara memimpin?” Jawabannya tidak mudah. Untuk Weakly, ini bermakna sengaja membuat pilihan yang betul. Inilah yang dipelajarinya: Berhenti Mengkritik “Bila saya bergaul dengan orang lain, saya mahu menyesuaikan diri dengan mereka. Mereka akan bergosip tentang suami mereka, dan akan mengkritik mereka. Saya mula menyertai gosip itu.” Tetapi semakin Weakly cuba menyesuaikan diri, dia semakin berasa tidak selesa. Dia dengan cepat menyedari kerosakan yang boleh diakibatkan oleh sifat negatif terhadap perkahwinannya. “Saya fikir, Tunggu, ini salah. Saya sayang suami saya dan saya tidak mahu bercakap buruk tentang dia.” Hanya ada satu pilihan untuknya: “Saya menarik diri daripada rakan-rakan itu. Adalah penting untuk kita berwaspada tentang pergaulan dengan orang lain,” katanya. Pilih untuk melihat kebaikan Bukan sahaja Weakly mengubah dengan siapa dia meluangkan masa, tetapi dia juga memilih untuk menghormati keputusan suaminya. Weakly menyatakan bagaimana suaminya menghabiskan masa bertahun-tahun bekerja lebih masa, menyimpan wang dan melabur untuk membina rumah baru untuk keluarganya. Tetapi, apabila Kemelesetan Besar melanda, dia kehilangan 11 tahun pelaburan. Ia memaksa keluarga itu menarik diri daripada perjanjian membina rumah dan berpindah ke rumah sewa kecil. Weakly berkata adalah mudah untuk mengkritik suaminya (walaupun isu ekonomi adalah di luar kawalannya), tetapi dia menghormati dan menggalakkan suaminya melalui masa yang sukar. Dia menggalakkan wanita lain melakukan perkara yang sama dengan suami mereka: “Saya rasa kita perlu membuka mata dan melihat betapa bersungguh-sungguh suami kita berusaha. Mereka cuba berkhidmat. Mereka cuba untuk mencintai. Mereka mempunyai begitu banyak tekanan. Berilah peluang kepada mereka … berikan mereka sedikit rahmat.” Elakkan perbandingan Weakly kerap berinteraksi dengan wanita melalui The Help Club for Mums. Semasa dia mendengar cerita mereka, dia mendapati orang lain berkongsi perjuangan mereka ketika mencari cara yang betul untuk mengimbangi rasa hormat terhadap suami dengan realiti bahawa dia bukanlah seorang pemimpin yang sempurna. Kuncinya, kata Weakly, ialah mengenali kekuatan dan kemahiran unik suami anda. “Suami kami tidak akan memimpin cara suami Sally memimpin atau cara suami Betty memimpin. Kita perlu ingat bahawa di rumah kita, kita perlu mencari kebaikan dalam apa yang suami kita lakukan dan biarkan dia memimpin.” Pilihlah sikap menghormati Walaupun dalam perkahwinan yang terbaik, bukan mudah untuk melihat ketidaksempurnaan suami anda dan biarkan dia memimpin keluarga anda. (Namun, jika suami anda sedang mendera anda, selamatkan diri anda dan dapatkan bantuan.) Tetapi Weakly mengatakan bahawa menghormati suami anda boleh menjadikannya lelaki yang lebih baik. “Awak ada kuasa untuk menaikkan status suami awak. Dia boleh menjadi pemimpin yang lebih baik dalam komunitinya. Dia boleh menjadi lebih baik di rumah anda apabila anda menghormatinya dan apabila anda menggalakkannya dan tidak membidasnya kerana kesalahan yang dilakukan. Dia akan mencapai apa yang diharapkan daripadanya." Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin. ​
Bagaimana Menghormati Suami Anda Boleh Menjadikan Dia Pemimpin Yang Lebih Baik Di Rumah content media
0
1
6
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Dec 14, 2023
In Keluarga
Sebagai ibu bapa, anda adalah orang yang terbaik untuk mendidik anak anda tentang keseksualan. Walau bagaimanapun, budaya anak-anak kita memberi ancaman kepada perspektif yang sihat tentang keseksualan. Selama beberapa dekad, media sosial dan budaya kita pada umumnya telah mempersembahkan karikatur lucu tentang perbualan tentang seks di mana si-Ayah tergagap-gagap dan telapak tangannya berpeluh sambil menerangkan mengenai seks secara berbelit-belit kepada anak pra-remaja – yang sebenarnya, sudah tahu semua butir terperinci perkara tersebut. Walau bagaimanapun, bercakap tentang seks dan akil baligh dengan anak-anak anda adalah lebih unik dan halus perbezaannya daripada imej biasa ini. Kelucuan itu timbul daripada ketegangan yang dirasakan oleh kebanyakan ibu bapa ketika berbincang tentang seks dengan anak-anak mereka. “Apa yang akan terjadi jika kita memberitahunya terlalu banyak?" “Adakah ini akan menghilangkan kesucian hatinya?” “Bagaimana jika dia mula bertanya tentang apa yang kita lakukan?” Apa yang tidak lucu ialah realiti bahawa terlalu ramai kanak-kanak belajar tentang seks daripada semua orang kecuali ibu bapa mereka. Bahasa kesat dari taman permainan dan kelucahan boleh memberi kanak-kanak permulaan dalam pemahaman baru tentang seks dan akil baligh. Lebih teruk lagi, melihat bahan lucah dengan tidak sengaja atau sengaja akan memberi gambaran seks pertama yang sumbang untuk kanak-kanak. Apa yang sepatutnya dilihat sebagai komunikasi yang paling indah, bermakna dan peribadi antara suami isteri menjadi perasaan ingin tahu yang boleh merosakkan dengan cepat. Pendidikan Seks atau Keutuhan Seksual? Usaha oleh sekolah awam untuk membetulkan maklumat yang salah akibat khabar angin dan kekurangan maklumat di rumah sering menyebabkan tertinggalnya perkara yang penting: rangka kerja moral di mana fakta tentang pembiakan harus dijelaskan. Tanpa konteks etika yang betul, pendidikan seks hanya menjadi pengetahuan asas dalam anatomi, fisiologi, penyakit berjangkit dan kontraseptif. Ramai orang telah cuba mengajar prinsip seksualiti kepada para belia dan usaha mereka harus dipuji. Tetapi konsep penting ini tidak selalu disertai dengan maklumat perubatan yang tepat atau kemahiran untuk menolak cadangan mengadakan hubungan seks. Tambahan pula, pemberian fakta kepada para belia biasanya bermula pada tahap yang lewat (iaitu, semasa remaja) dan jarang melibatkan perbincangan berterusan tentang subjek ini. Apa yang lebih menjolok mata ialah kegagalan bercakap tentang seks dan akil baligh dalam konteks kesucian. Dr Danny Huerta sering menasihati ibu bapa mengenai topik ini dalam usaha mempromosikan keutuhan seksual mengatasi kesucian seksual. Ringkasnya, kesucian menyampaikan mesej tiada kompromi dalam hal keintiman seksual. Jika gagal, anak muda mungkin putus harapan. Walau bagaimanapun, keutuhan seksual menggabungkan asas penebusan, penyembuhan, dan harapan sebagai ganti kehancuran sambil tetap menekankan nilai dan kepentingan keperawanan dan keintiman seksual. Perbualan tentang Seks dan Akil baligh harus bermula di Rumah Tempat terbaik untuk kanak-kanak belajar tentang seksualiti adalah di rumah daripada mereka yang paling mengambil berat tentangnya. Sesiapa sahaja boleh mengajar fakta asas tentang pembiakan dalam satu atau dua jam (atau ia boleh dibaca dalam mana-mana buku rujukan). Tetapi anda berada dalam kedudukan terbaik untuk meletakkan maklumat ini dalam konteks dan perspektif yang betul selama beberapa tahun. Tiada formula ringkas untuk menjalankan tugasan ini, tetapi ingati-lah prinsip-prinsip berikut: 1. Fakta Tidak Semestinya Buruk Memberi maklumat kepada kanak-kanak tentang pembiakan, termasuk butiran mengenai persetubuhan, tidak menghilangkan kemurniannya. Kesucian adalah berkait dengan sikap, bukan maklumat. Seorang kanak-kanak yang bersekolah yang memahami butiran seks, sambil melihatnya sebagai kelakuan yang, dalam konteks yang betul, menyatakan cinta dan memulakan kehidupan baru, masih mengekalkan kesucian hatinya. Tetapi seorang kanak-kanak yang tahu sedikit tentang seks sudah boleh mempunyai pemikiran yang rosak jika dia telah terdedah kepadanya dalam konteks yang menjatuhkan maruah, mengejek atau menghina. 2. Pertimbangkan Semula Pendapat dan Perasaan anda Jika anda berasa gagap atau berasa tertekan untuk membincangkan perkara ini dengan anak anda, fikirkan sejenak tentang sikap anda sendiri. Buku yang boleh dipercayai, bermaklumat dan menghormati seks dan perkahwinan juga boleh membantu. Tetapi bagi kebanyakan orang, kegelisahan tentang seks mungkin berpunca daripada pengalaman hidup, terutamanya jika ia melibatkan penderaan seksual yang dialami semasa zaman kanak-kanak, remaja atau dewasa. Masih belum terlambat untuk menangani isu sedemikian dengan individu yang mempunyai latihan dan pengalaman dalam bidang ini dan boleh membantu anda berusaha ke arah penyembuhan. 3. Ambil Masa Anda Jangan tunggu untuk memberitahu anak anda semua yang anda ketahui tentang seks semasa satu sesi maraton yang sengit. Ini menimbulkan bahaya bahawa sudah terlambat atau memberi terlalu banyak maklumat yang sukar ditangani kepada kanak-kanak. Sebaliknya, berikan maklumat secara beransur-ansur semasa perbualan selama tempoh beberapa tahun. Prinsip ini adalah sama untuk mana-mana bidang hidup yang lain. Topik seperti iman, nilai hidup, tanggungjawab, perhubungan, pengendalian wang memerlukan pelbagai perbualan berterusan. Sama seperti bercakap tentang seks dan akil baligh, subjek ini terlalu penting untuk satu perbualan sahaja. 4. Perlu atau Tidak Perlu Dalam banyak keadaan, anda akan memberikan maklumat berdasarkan keperluan untuk diketahui. Anak anda yang berumur lima tahun mungkin ingin mengetahui bagaimana bayi dalam kandungan Mak Cik Susie akan keluar. Tetapi anak anda mungkin tidak terfikir untuk bertanya bagaimana bayi itu sampai di sana. Dan anda tidak perlu membincangkan subjek pada masa itu. Sebaliknya, jika anda masih belum mengadakan sebarang perbincangan tentang pembiakan dengan anak anda yang berumur sepuluh tahun, anda perlu mengambil inisiatif untuk memulakannya. Dia perlu mendengar daripada sumber yang lebih berwibawa dan matang. 5. Anda Tidak Perlu Tahu Semua Jawaban Bagaimana jika anak anda bertanya soalan yang anda tidak boleh jawab? Beritahunya dengan jujur, dan kemudian lakukan penyelidikan. Kewibawaan anda akan meningkat di mata anak anda dengan sikap jujur dan bukan dengan menipu. Tambahan pula, anda mungkin tidak mempunyai pengetahuan terperinci tentang selok-belok kitaran haid atau peringkat perkembangan akil baligh. Tetapi anda tidak terlalu tua untuk belajar. Ke Mana Kita Pergi Dari Sini? Perbualan tentang keutuhan seksual, seperti yang dinyatakan sebelum ini, boleh dan harus berkekalan selagi anak-anak tinggal di rumah anda. Jadi, ke mana anda pergi dari sini? Bergantung pada pemahaman anak anda tentang topik rumit seperti seks dan akil baligh, anda mungkin mempunyai beberapa pilihan. Utamakan anak anda dan perkembangannya. Kemudian, anda boleh mengetahui cara mengendalikan perbualan penting dengan anak anda dengan sewajarnya. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin. Dipetik daripada The Complete Book of Baby and Child Care yang diterbitkan oleh Tyndale House Publishers.
Bercakap Tentang Seks Dan Akil baligh content media
1
1
11
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Oct 31, 2023
In Keluarga
Rumah anda tidak semestinya menjadi medan pertempuran yang melagakan ibu bapa dengan anak-anak. Berikut adalah beberapa idea untuk berdamai.   Saya pasti ibu bapa tidak akan terkejut apabila mendapati kanak-kanak boleh menjadi sangat berbakat dalam permainan kuasa. Pergelutan ini bermula dengan sengit apabila kanak-kanak berumur antara 12 dan 15 bulan. Ada yang bermula lebih awal. Jika anda pernah melihat kanak-kanak yang masih kecil terus mencapai soket elektrik atau alat kawalan televisyen sambil ibunya menjerit, "Tidak!" anda telah menyaksikan rebutan kuasa.   Ia mungkin bukan tindakan yang sengaja dilakukan pada peringkat ini, tetapi lambat laun, ia akan sengaja dilakukan. Saya yakin bahawa kanak-kanak berumur 3 tahun ke atas yang kuat semangatnya cenderung untuk mencabar ibu dan ayahnya apabila dia percaya dia boleh menang. Dia akan berhati-hati memilih senjata dan memilih medan di mana pergelutan itu akan diadakan. Saya memanggil arena ini sebagai "medan perang zaman kanak-kanak." Mari kita lihat beberapa pertempuran biasa yang sering berlaku dalam sejarah keluarga.   Waktu tidur Salah satu pertelagahan terawal bermula pada umur 18 bulan dan satu hari – lebih kurang beberapa jam sebelum atau selepas umur tersebut. Pada masa itu, kanak-kanak kecil yang biasanya tidur tanpa mengeluh sejak dia dilahirkan akan tiba-tiba berkata, “Saya tidak akan kembali tidur” atau “Saya tidak letih.”   Itulah tembakan pembukaan dalam apa yang mungkin menjadi pertempuran selama lima tahun. Ia berlaku begitu cepat dan tidak dijangka sehingga ibu bapa mungkin terpedaya. Mereka akan periksa sama ada terdapat masalah pertumbuhan gigi, demam bersuhu rendah atau ketidakselesaan lain. “Kenapa sekarang?” mereka bertanya. Saya tidak tahu jawabannya. Kanak-kanak kecil tiba-tiba memutuskan bahawa mereka tidak mahu tidur lagi, dan mereka akan melawan habis-habisan.   Walaupun taktiknya berubah sedikit, waktu tidur akan terus menjadi medan perang untuk tahun-tahun yang akan datang. Kanak-kanak berumur 6 tahun yang kreatif boleh menangguhkan waktu tidur sekurang-kurangnya 45 minit dengan sistem taktik penangguhan yang bertenaga dan disusun dengan baik. Selepas ibunya mengenakan baju tidur anak, membawanya enam gelas air, membawanya ke bilik mandi dua kali, membacakan cerita sebelum tidurnya, dan kemudian memarahinya kerana keluar dari bilik tidurnya sekali atau dua kali, dia sudah sangat letih. Ia berlaku setiap malam.   Seorang rakan kolej saya bernama Jim mendapati dirinya melalui langkah-langkah sebelum tidur sebegini ini setiap petang bersama anak lelakinya yang berusia 5 tahun, Paulie. Jim mengenali taktik itu sebagai permainan dan memutuskan bahawa dia tidak mahu bermain lagi. Apabila ibu bapa bermati-matian cuba mengelakkan menjatuhkan hukuman, tahap kerengsaan mereka akan mencapai tahap berbahaya. Dia duduk bersama anaknya pada petang itu dan berkata, “Paulie, keadaan akan berbeza malam ini. Saya akan mengenakan pakaian tidurmu; anda boleh minum air, dan kemudian kita akan membaca cerita bersama-sama. Bila selesai, saya berjalan keluar dari pintu, dan saya tidak mahu kembali. Jangan panggil saya lagi. Saya tidak mahu mendengar apa-apa daripada anda sehingga pagi. Faham?” Paulie berkata, "Ya, Ayah."   Apabila kerja rumah tangga dan bacaan cerita sebelum tidur selesai, pelukan terakhir diberi dan lampu dipadamkan. Jim mengucapkan selamat malam kepada anaknya dan keluar dari bilik. Rumah menjadi sunyi dan aman tetapi keadaan ini tidak berkekalan. Selepas kira-kira lima minit, Paulie memanggil bapanya dan meminta air minum sekali lagi. “Tidak boleh, Paulie,” kata ayahnya. “Awak tak ingat apa yang saya cakap? Sekarang pergi tidur.”   Selepas beberapa minit, Paulie merayu sekali lagi untuk mendapatkan segelas air. Jim lebih jengkel kali ini. Dia bercakap dengan keras dan menasihati anaknya supaya melupakannya. Tetapi budak itu tidak putus asa. Dia menunggu selama beberapa minit dan kemudian memanggil semula. Setiap kali Paulie menghubungi ayahnya, Jim menjadi lebih jengkel. Akhirnya, dia berkata, “Jika kamu meminta air sekali lagi, saya akan masuk ke sana dan memukul kamu!”   Itu menenangkan budak lelaki itu selama kira-kira lima minit, dan kemudian dia berkata, “Ayah, apabila kamu masuk ke sini untuk memukul saya bolehkah kamu membawakan saya segelas air?”   Kanak-kanak itu mendapat air tersebut. Dia tidak mendapat pukulan itu.   Makanan Meja makan adalah satu lagi medan perang utama zaman kanak-kanak, tetapi ia harus dielakkan. Saya menasihati ibu bapa supaya tidak terjebak dalam arena ini. Ia adalah suatu serangan hendap. Seorang jeneral sentiasa mahu bertempur dengan tentera musuh di medan yang boleh menghasilkan kemenangan, dan masa makan adalah bidang yang selalunya mengecewakan.   Seorang ibu yang meletakkan empat biji kacang hijau pada garpu dan bertekad untuk duduk di situ sehingga anak memakannya akan selalu kecewa. Kanak-kanak itu boleh bertahan lebih lama daripadanya. Oleh sebab masa makan adalah tiga kali sehari, dia akhirnya akan menang.   Sebagai ganti merayu, merasuah dan mengugut anak-anak, saya mengesyorkan agar anda meletakkan makanan yang baik di hadapannya dengan hati ceria. Jika dia memilih untuk tidak makan, maka senyum dan biar dia pergi. Dia akan kembali. Apabila dia kembali, keluarkan makanan yang sama dari peti sejuk, panaskan dan letakkan di hadapannya semula. Lambat laun, dia akan menjadi cukup lapar dan makan. Jangan benarkannya makan snek atau gula-gula sebagai ganti makanan berkhasiat. Tetapi juga jangan takut kesan fizikal kelaparan. Seorang kanak-kanak tidak akan kelaparan dengan adanya makanan yang baik untuk dimakan. Terdapat perasaan yang menggerogoti dalam diri yang mengubah sikap seseorang daripada “Yuck!” kepada “Yum!” biasanya dalam masa beberapa jam.   Kerja sekolah Mungkin kini tiada sumber konflik antara generasi yang lebih besar daripada kerja sekolah, dan terutamanya kerja sekolah yang perlu dibuat di rumah. Ini adalah satu lagi medan perang di mana anak muda mempunyai segala kelebihan.   Hanya dia yang tahu dengan pasti apa yang ditugaskan dan bagaimana kerja itu sepatutnya dilakukan. Kanak-kanak yang sukar ditangani akan mengambil kesempatan akibat jurang maklumat ini antara rumah dan sekolah, dengan mendakwa bahawa “Saya sudah menyelesaikan kerja rumah di sekolah,” atau “Tiada apa-apa yang perlu dilakukan malam ini.”   Ibu bapa harus tahu bahawa kebanyakan pelajar mengalami penurunan prestasi akademik antara Darjah 6 dan Tingkatan 3 di sekolah. Ada yang akan berhenti belajar sama sekali pada tempoh ini. Yang lain hanya akan mengalami kemerosotan produktiviti. Hanya segelintir yang akan kekal tidak terjejas sama sekali.   Sebabnya ialah serangan besar-besaran yang berlaku terhadap deria remaja oleh proses pembesaran. Keyakinan diri goyah hingga ke asasnya. ‘Hormon gembira’ mula bertindak, dan seks menjadi fokus utama. Siapa yang boleh berfikir tentang sekolah selepas perkembangan baru tersebut? Lebih-lebih lagi, siapa yang mahu berfikir tentang sekolah? Sebagai ibu bapa, anda harus berhati-hati terhadap gangguan ini dan jangan kecewa apabila ia datang.   Percutian dan Hari Istimewa Mengapakah kanak-kanak menjadi paling jelik dan menjengkelkan semasa bercuti dan pada masa lain apabila kita sedang cuba menggembirakan mereka? Secara adil dan munasabah, anda akan menjangkakan bahawa mereka akan berfikir, “Amboi! Ibu dan ayah sudah benar-benar melakukan sesuatu yang baik untuk kami. Kami dibawa untuk percutian ini yang mahal sedangkan mereka boleh memilih membelanjakan wang itu untuk diri mereka sendiri. Dan ayah mungkin lebih suka pergi memancing atau melakukan perkara lain. Tetapi mereka mengambil berat tentang kami dan telah memasukkan kami dalam rancangan mereka. Wah! Saya akan menunjukkan sikap dan kerjasama yang sebaik mungkin. Saya akan cuba berbaik dengan kakak saya, dan tidak akan membuat sebarang tuntutan yang luar biasa. Cuti ini memang akan menyeronokkan!”   Adakah kanak-kanak berfikir seperti itu? Memang tidak! Memang kurangnya perasaan syukur antara generasi.   Sebelum keluarga itu meninggalkan bandar, anak-anak sudah berebut tentang siapa yang boleh duduk di tepi tingkap dan yang siapa akan memegang kucing peliharaan. Kakak berteriak, “Saya akan laporkan kepada ayah!” setiap beberapa minit.   Ketegangan juga berlaku di tempat duduk hadapan. Apabila mereka sampai ke Pulau Pinang, ayah sudah hampir meletup. Cukup sukar untuknya menyiapkan kerja pejabat dan mengemas kereta. Tetapi pertengkaran ini akan membuat dia gila. Sepanjang lebih kurang 300 km, dia telah mengharungi pertengkaran, ejekan, jelingan, cubitan, air mata, cuitan dan lawatan ke bilik air yang tidak dijadualkan.   Kini dia mula hilang kawalan. Dua kali dia menghayun dengan liar ke arah badan yang menggeliat di tempat duduk belakang. Pukulannya terlepas dan bahunya berasa sakit. Dia memandu lebih laju pada masa ini, tetapi dia sudah berhenti bercakap. Satu-satunya petunjuk tentang apa yang dia rasakan ialah matanya yang merah dan kedutan di pipi kirinya. Selamat bercuti, Ayah. Tinggal 13 hari lagi.   Apabila ibu bapa bermati-matian cuba mengelakkan hukuman, tahap rasa jengkel mereka mencapai tahap yang berbahaya. Pada masa itu, apa sahaja boleh berlaku. Sebab itu saya berhujah bahawa mereka yang menentang hukuman dera (memukul) atas alasan ia membawa kepada penderaan kanak-kanak adalah salah. Dengan melucutkan keupayaan ibu bapa untuk menangani tingkah laku yang buruk pada peringkat awal, mereka sebenarnya meningkatkan kemungkinan mudarat akan tercetus apabila perasaan marah meningkat.   Sebelum kita meninggalkan isu urusan percutian keluarga, mari kita bincangkan mengapa kanak-kanak seolah-olah lebih menjengkelkan pada hari-hari istimewa itu. Terdapat dua sebab. Pertama, orang dewasa dan kanak-kanak akan saling menjengkelkan antara satu sama lain apabila mereka terkurung bersama untuk jangka masa yang panjang. Tambahan pula, seorang kanak-kanak yang sukar ditangani nampaknya terdorong untuk mencubai garis sempadan tingkah laku yang ditetapkan apabila dia fikir bahawa ia telah berubah.   Ini memang benar dalam kes anak-anak kita. Pada hari-hari apabila kita merancang perjalanan atau cuti lain, kita boleh menjangkakan mereka akan jadi panas baran. Seolah-olah mereka diwajibkan untuk bertanya, “Memandangkan ini adalah hari istimewa, apakah peraturannya sekarang?”   Kita kadangkala perlu menghukum atau memarahi mereka semasa kita sebenarnya ingin memupuk hubungan. Mungkin itulah sebabnya Erma Bombeck berkata, “Keluarga yang bermain bersama-sama akan saling menjengkelkan.”   Akibat Kuasa Kami menekankan idea bahawa masalah antara generasi bukan semata-mata masalah perbezaan pendapat. Jika konflik hanya sekadar perbezaan pendapat, maka rundingan dan kompromi akan menyelesaikannya dengan cepat. Sebaliknya, mereka merupakan medan di mana kewibawaan ibu bapa boleh dicabar dan terjejas.   Apa yang kami cadangkan? Patutkah ibu bapa mengekalkan setiap aspek kuasa selama mungkin? Tidak! Walaupun dengan risikonya, penentuan nasib sendiri adalah hak asasi manusia, dan kita mesti memberikannya secara sistematik kepada anak-anak kita. Untuk menahan kebebasan itu terlalu lama akan mencetuskan perang revolusi.   Maka, inilah matlamat kita sebagai ibu bapa: kita tidak boleh memindahkan kuasa terlalu awal, walaupun anak-anak kita membawa kita setiap hari ke medan perang. Ibu yang melakukan kesilapan itu adalah antara orang yang paling kecewa di atas muka bumi ini.   Namun demikian, kita juga tidak boleh mengekalkan kuasa ibu bapa terlalu lama. Kawalan akan dilucutkan dari genggaman jika kita enggan menyerahkannya secara sukarela. Pemberian penentuan nasib sendiri harus diberi langkah demi langkah bersesuaian dengan tahap kematangan, dengan pelepasan kawalan sepenuhnya semasa anak-anak sudah menjadi orang dewasa muda.   Nampaknya mudah, bukan? Kita semua tahu keadaan sebenarnya tidak begitu. Saya menganggap peralihan kuasa yang teratur ini sebagai salah satu tanggungjawab yang paling sensitif dan sukar dalam bidang keibubapaan. ________________________________________ Rencana ini diterjemah dari Bahasa Inggeris dan Soalan dan Jawapan dipetik daripada The Complete Marriage & Family Home Reference Guide dengan izin.
Apabila Anak-Anak Kecil membuat anda Gila content media
0
0
29
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Sep 13, 2023
In Keluarga
Soalan: Bagaimanakah saya boleh mengetahui sama ada anak remaja saya sedang mengalami kecenderungan untuk membunuh diri atau fikiran yang membinasakan diri? Saya bertanya kerana bimbang bahawa anak says mungkin menuju ke arah ini. Adakah terdapat sebarang tanda-tanda amaran yang perlu diberi perhatian? Adakah kemurungan selalunya membawa risiko bunuh diri?   Jawaban: Walaupun kemurungan tidak selalunya mengakibatkan bunuh diri, ia adalah salah satu sebab utama yang membawa kepada perasaan ingin membunuh diri dan oleh itu, ia harus dipandang berat. Sekiranya anda mempunyai sebab untuk mengesyaki bahawa anak anda sedang mengalami kemurungan klinikal, anda harus prihatin dan memerhati sama ada terdapat apa-apa tanda dan penunjuk yang biasanya berlaku. Anda harus melihat sama ada terdapat penilaian diri yang menyakitkan, imej diri yang negatif, perubahan emosi yang dramatik, tingkah laku bermuram dan menangis, mengasingkan diri dan bersendirian, perasaan letih dan lain-lain penyakit fizikal yang tidak boleh dijelaskan, prestasi sekolah yang buruk, dan kejadian tiba-tiba naik berang dan tingkah laku buruk yang terang-terangan. Jika terdapat gejala tersebut yang berterusan selama lebih daripada dua minggu, anda harus segera mendapat bantuan yang sewajarnya. Anda mungkin mahu menghubungi doktor untuk nasihat dan rujukan kepada seorang pakar. Walaupun mungkin tiada bahaya bunuh diri pada masa tersebut, anda masih perlu menangani kemurungan tersebut.   Anda tidak menyatakan mengapa anda percaya bahawa anak remaja mungkin berasa ingin membunuh diri, tetapi tanpa maklumat spesifik tentang situasi anda, kami masih boleh membuat kenyataan ini: selalunya adalah lebih baik berjaga-jaga untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini. Terutamanya, sebarang percakapan tentang bunuh diri oleh anak anda – kenyataan-kenyataan seperti “Lebih baik saya mati,” atau “Mungkin hidupmu akan lebih senang jika saya tiada lagi” – harus dipandang berat dan diberi penuh perhatian.       Faktor risiko yang boleh dikenalpasti untuk bunuh diri di kalangan orang muda termasuk yang berikut: gangguan perasaan, penyalahgunaan dadah atau alcohol, beberapa jenis penyakit personaliti, taraf sosio-ekonomi yang rendah, penderaan kanak-kanak, perpisahan atau perceraian ibu bapa, konflik dengan orang lain atau kehilangan sesuatu yang berharga. Anda harus sangat berhati-hati sekiranya terdapat faktor-faktor peramal berikut untuk bunuh diri:    • Percubaan membunuh diri sebelum ini. • Sejarah keluarga membunuh diri. • Kehadiran sakit kronik, penyakit degeneratif, atau beberapa penyakit mental yang serius seperti gangguan bipolar. • Luahan rasa bersalah atau putus asa. • Mengugut, bercakap atau bergurau tentang bunuh diri. • Seorang remaja yang telah bergelut dengan kemurungan, tekanan, kebimbangan atau kekecewaan yang mendalam tiba-tiba kelihatan lebih gembira dan tenang. Ini mungkin petanda bahawa dia telah membuat keputusan untuk menamatkan hidupnya. • “Pembersihan rumah” – iaitu, dorongan tiba-tiba untuk memberikan harta benda peribadi kepada orang lain. • Bunuh diri di kalangan remaja lain dalam komuniti anda. • Kehilangan atau penghinaan yang mendadak dan besar. Ibu bapa harus berwaspada untuk memastikan anak mereka tidak menjadi mangsa buli fizikal atau sosial. Putus cinta dengan teman lelaki atau teman wanita yang dramatik adalah satu lagi situasi yang harus dipandang berat. Elakkanlah kecenderungan memandang remeh perasaan remaja. Tidaklah penting jika masalah itu kelihatan remeh atau mudah diselesaikan. Apa yang penting ialah bagaimana dia melihatnya.   Anda boleh menilai tahap risiko dan kemungkinan bahaya dengan mengingati akrostik berikut: S-L-A-P:   • S = Rancangan spesifik. Adakah anak remaja anda sedang mempertimbangkan tindakan tertentu untuk mengambil nyawanya sendiri (sama ada dimaklumkan kepada anda secara langsung atau dengan cara lain)? Jika jawabannya ya, teruskan ke soalan seterusnya. • L = Pelan yang boleh membawa maut (lethal). Adakah rancangan khusus ini benar-benar boleh membawa maut? Jika ya, dia kini menghadapi risiko lima puluh peratus. Teruskan ke “A.” • A = Adanya pelan. Bolehkah rancangan itu dilaksanakan? Adakah dia mempunyai akses kepada cara dan/atau bahan yang diperlukan untuk melaksanakan niatnya? Sebagai contoh, adakah mudah baginya untuk mendapat sejumlah besar ubat preskripsi? Jika ya, dia berada dalam bahaya yang besar, dan anda harus mengambil tindakan segera. Pastikan anda membaca soalan akhir yang berikutnya. • P = Kedekatan (proximity) bantuan. Adakah terdapat orang yang cukup rapat untuk menghalangnya daripada melaksanakan rancangan spesifik, yang membawa maut dan tersedia ini? Dia mungkin tidak akan mencuba apa-apa semasa rakan, keluarga atau orang lain yang dia hormati berada di sekelilingnya. Kebanyakan kes bunuh diri berlaku apabila individu yang tertekan itu bersendirian atau bersama orang lain yang berasa hendak membunuh diri. Jika tiada bantuan berdekatan, bawa anak anda ke tempat di mana dia boleh dijaga dengan selamat. Jika anda tidak boleh menempatkannya di bawah pengawasan keluarga, hubungi 999 atau bawa dia terus ke Bilik Kecemasan tempatan.   Jika anda tidak pasti tentang jawaban kepada soalan ini, langkah seterusnya yang bijak ialah duduk dan berbicara hati ke hati dengan anak remaja anda. Jangan takut untuk mendesaknya. Desakkannya dengan beberapa soalan. Anda mungkin bermula dengan soalan seperti, “Dari manakah perasaan negatif ini datang?” atau “Apakah yang menyebabkan anda bercakap begitu banyak tentang menamatkan hidup anda?” Soalan “Apa yang perlu diubah untuk anda berasa lebih baik?" mungkin dapat membantu dan mendedahkan maklumat yang penting. Anda juga mungkin harus mendapatkan diagnosis psikiatri untuk menentukan perkara sebenarnya di sebalik kemurungan dan percakapan tentang bunuh diri. Anak anda mungkin bergelut dengan perasaan cemas, penyakit bipolar, atau penyalahgunaan dadah atau akohol.   Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.
Soalan dan Jawaban: Tanda-tanda amaran bunuh diri di kalangan Remaja content media
1
0
38
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Jul 19, 2023
In Keluarga
Komitmen dan kesetiaan adalah asas perkahwinan yang berkembang maju dan bertahan lama; hormatilah perkahwinan anda dan anda akan menerima pahala dalam bentuk keselamatan, kestabilan dan kepuasan hidup.   Apabila dua orang menyatakan bahawa mereka bersikap komited terhadap perkahwinan seumur hidup, mereka berikrar bahawa perkahwinan mereka adalah keutamaan dalam hidup dan mereka akan berbuat apa sahaja untuk menjayakannya. Pasangan yang sihat percaya bahawa perkahwinan adalah kekal dan perceraian bukan pilihan yang betul. Mereka mengharapkan masa depan yang cerah, saling mencintai dan melaburkan masa dan usaha dalam hubungan mereka. Dalam perkahwinan yang sihat, para pasangan menjangka bahawa mereka akan menghadapi cabaran bersama-sama dan rela melepaskan hak peribadi untuk menjayakan perkahwinan mereka. Bagaimana ini dapat dilaksanakan dalam kehidupan seharian? Marilah kita perhatikannya dengan lebih teliti.   Perkahwinan adalah anugerah yang tidak ternilai Komitmen seumur hidup mencerminkan dan berkembang dari kesedaran bahawa perkahwinan adalah hadiah yang tidak ternilai yang harus dinikmati dalam kekekalan yang selamat. Pasangan yang kekal bersama untuk jangka masa panjang faham bahawa perkahwinan bukan sekadar perkongsian kontrak atau hubungan seksual antara dua orang; ia adalah penyatuan yang suci dan penuh takzim antara dua jiwa yang mencapai kesempurnaan dalam hubungan satu sama lain.   Cinta adalah suatu keputusan Komitmen seumur hidup bermakna bahawa anda mencintai pasanganmu sehingga sanggup membuat keputusan untuk kekal berkahwin sehingga ‘maut memisahkan kita’. Dalam kata lain, perceraian bukanlah suatu pilihan. Kadangkala, suami isteri perlu membuat keputusan untuk mencintai – walaupun mereka berasa kurang rela. Perkataan ‘keputusan’ datang dari kata dasar ‘putus’. Anda tidak dapat membuat komitmen tanpa memutuskan segala pilihan lain yang bersaing dengan apa yang paling penting.   Bakarlah kapal-kapal (yakni hapuskan pilihan lain)! Ungkapan ini merujuk kepada salah satu peristiwa yang paling dramatik dalam sejarah penaklukan benua Amerika oleh pihak Sepanyol. Pada tahun 1519, si penakluk Hernando Cortés mendarat di pantai Yucatan di Mexico, dan berazam untuk merampas harta khazanah orang Aztec. Dia sedar bahawa dia dan tenteranya menghadapi rintangan yang amat besar dan oleh itu, dia telah menukar sifat kempen penaklukan dengan memberi arahan untuk ‘membakar kapal-kapal’. Dengan ketiadaan jalan keluar atau pilihan lain, tenteranya terpaksa terus mara ke depan.   Para pasangan yang mempunyai perkahwinan yang berjaya telah ‘membakar kapal-kapal mereka’ dengan menghapuskan perkataan ‘perceraian’ dari perbendaharaan kata mereka. Secara ringkasnya, ia berkait dengan komitmen (walaupun komitmen bukanlah tugasan yang mudah). Oleh itu, hapuskanlah pilihan untuk bercerai kerana melarikan diri dari masalah adalah mudah sekiranya anda masih mempunyai pilihan tersebut.    Anda suka hubungan perkahwinan-mu Satu lagi aspek komitmen seumur hidup ialah anda mampu berkata, “Saya memang suka hubungan ini dan mahunya kekal berpanjangan. Dan untuk memastikan perkahwinan anda berpanjangan, anda mesti memberikannya kemuliaan dan penghormatan yang tertinggi.   Membuat keputusan untuk kekal tinggal bersama adalah salah satu cara untuk memuliakan perkahwinan anda. Namun demikian, penghormatan dan komitmen juga melibatkan emosi dan perasaan. Sekiranya anda dapat berkata, “Saya menghargai dan suka perkahwinan ini” dan benar-benar serius, anda sedang menuju ke arah membina hubungan yang akan berkekalan. Berikut adalah beberapa jawaban yang diberi oleh peserta seminar perkahwinan tentang persoalan “Apakah yang anda suka tentang perkahwinan anda?”      ·           Bersantai dan ketawa bersama-sama. ·           Sinergi – 1 + 1 =3 ·           Nilai-nilai yang dikongsi bersama ·           Membesarkan anak-anak kita (sebagai sebuah pasukan) ·           ‘Mencipta’ kenangan ·           Saya mempunyai orang untuk meraikan bersama ·           Berkongsi keintiman yang paling mendalam ·           Seks ·           Bersama-sama berkhidmat kepada masyarakat ·           Mencintai dan dicintai ·           Berkahwin dengan sahabat saya yang paling akrab ·    Bersama-sama mengalami pasang surut kehidupan (suatu pengembaraan yang mengujakan)   Kamu mengambil tindakan Akhir sekali tetapi tidak kurang pentingnya, komitmen bukan sekadar ‘membuat keputusan’ (kehendak) atau ‘menyukai’ hubungan perkahwinan (perasaan). Sebaliknya, komitmen adalah terutamanya berkait dengan mengambil tindakan aktif untuk memupuk perkahwinan anda. Anda tidak hanya bercakap (cakap sahaja tetapi tiada tindakan); anda menunjukkan betapa pentingnya perkahwinan anda dengan melaburkan masa dan wang ringgit secara proaktif untuk memajukannya. Semasa musim yang mencabar, anda berjuang untuk perkahwinan anda. Pada setiap musim, anda menunjukkan bahawa anda rela untuk membuat apa sahaja untuk mengekalkan keutuhan hubungan tersebut.   Mempraktikkannya Kajian telah menunjukkan bahawa komitmen terhadap perkahwinan menghasilkan hubungan yang memuaskan dalam kesemua segi. Kaum wanita memberi sambutan yang baik bila mereka tahu bahawa suami sanggup mengenepikan ego kerana isteri. Kaum lelaki teragak-agak untuk melaburkan masa dan tenaga melainkan mereka tahu bahawa akan terdapat ganjaran. Salah seorang penyelidik membuat kesimpulan bahawa “seorang lelaki akan berusaha bersungguh-sungguh untuk seorang wanita bila dia telah memutuskan bahawa, Dia masa depanku.”   Bagaimanakah anda boleh membuat konsep ini jadi realiti dan praktikal untuk kehidupan harian? Anda boleh bermula dengan aktiviti Malam Berpacaran yang menimbulkan keterujaan dan rangsangan dari komitmen bersama. Fikirkan beberapa aktiviti yang tidak akan berjaya melainkan anda berdua memutuskan terlebih dahulu untuk melakukannya sampai tahap terakhir. Misalnya aktiviti menari – memang perlu ‘dua orang untuk menari’ – tetapi terdapat permainan dan aktiviti sukan yang lain – contohnya tenis, badminton dan aktiviti pendakian – yang mungkin sesuai. Projek seni juga boleh memenuhi keperluan ini.      Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.
Mengekalkan Komitmen Seumur Hidup content media
2
0
62
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Jul 05, 2023
In Keluarga
Pergaduhan bukanlah perkara yang harus membimbangkan pasangan yang berkahwin; sebaliknya apa yang harus dikhuatiri ialah perkara yang akan berlaku selepas tamatnya pertengkaran. Hampir kesemua pasangan suami isteri mengalami persengketaan, dan ini tidak semestinya memudaratkan hubungan mereka. Perang mulut yang terbatas boleh ‘merangsangkan hubungan’, memberi pasangan peluang untuk meluahkan perasaan kecewa dan melepaskan geram dan tekanan. Namun demikian, persoalan penting ialah apa yang menyusul selepas tamatnya pergaduhan. Dalam hubungan yang sihat, konfrontasi berakhir dengan kemaafan, hubungan yang lebih akrab dan sikap saling menghormati dan memahami yang lebih mendalam. Sebaliknya, dalam perkahwinan yang tidak stabil, konflik selalunya tidak diselesaikan dengan sempurna. Bila akibat suatu pertempuran bertindih dengan permulaan konflik yang seterusnya, keadaan berbahaya akan timbul. Para pasangan seharusnya menilai apa yang berlaku selepas konfrontasi berakhir. Adakah terdapat perbuatan atau percakapan yang telah menyakitkan hati pasangan anda? Haruskah anda meminta maaf kerana menjatuhkan harga diri pasangan dan mengabaikan isu-isu yang memisahkan anda berdua? Adakah wujudnya perkara-perkara besar yang belum diselesaikan? Tangani-lah isu-isu ini sebelum mereka menjadi lebih teruk dan menjejaskan hubungan anda berdua. Ingatilah pepatah lama – jangan biar mentari terbenam sebelum perasaan marah hilang. Ini adalah nasihat yang baik untuk perkahwinan. Cubalah The Couple Checkup™ (https://family.org.my/store/personal-growth/relationships-all/couple-checkup-voucher/) yakni suatu kaedah atas talian yang dicipta untuk mengenalpastikan kekuatan unik dan bidang yang harus dipupuk bagi pasangan yang sedang berpacaran atau yang sudah bertunang atau berkahwin. Selepas mendapat tahu tentang peringkat hubunganmu, keputusan yang dibuat adalah relevan. Ini adalah kerana ia dibentuk khas untuk peringkat dan struktur hubungan setiap pasangan. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.
Selepas Tamatnya Pergaduhan content media
2
0
22
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Jul 05, 2023
In Keluarga
Soalan:   Ketagihan pornografi suami saya sedang memusnahkannya serta perkahwinan dan keluarga kami. Para sahabat yang mengambil berat tentang kami menasihati saya menggunakan ‘kasih tegas’ dengannya. Namun demikian, saya telah membaca makalah yang menyatakan bahawa ini adalah pendekatan yang salah – dan belas kasihan dan kesabaran adalah cara yang lebih baik. Apa yang harus saya buat?   Jawaban:   Konsep tough love atau ‘kasih tegas’ sudah lama wujud – dan ia juga sekian lama disalahertikan dan disalahgunakan. Masalah dengan kasih tegas selalunya berkait dengan sebab seseorang menggunakannya dan bagaimana ia dilaksanakan. Inilah hakikatnya: Kasih tegas bukanlah formula atau penyelesaian mudah untuk perasaan sakit hati yang dialami-mu. Namun demikian, ia adalah tindakan yang betul dalam setengah situasi – dan satu-satunya pilihan yang sihat – walaupun perubahan yang dibawanya bukanlah apa yang anda harapkan. Kami berbesar hati menghuraikan dengan terperinci apa itu kasih tegas, apa bukan kasih tegas dan bagaimana mempraktikkannya.   Apa bukan kasih tegas    Bila orang yang dikasihi sedang mencederakan dirinya dan orang-orang lain, kami mempunyai tiga pilihan:   ·           Berputus asa, mengalah dan memainkan peranan mangsa atau orang yang mengorbankan dirinya. ·           Merayu, meleter, mendesak atau menjadi orang yang terlalu bergantung kepada orang lain. ·           Memberikan kata dua dengan menetapkan batasan tingkah laku berasaskan kaedah kasih tegas.   Petua: Hanya pilihan ketiga ialah keputusan yang sihat. Namun demikian, untuk memahami bagaimana kasih tegas berfungsi yakni keberkesanannya – kita mesti tahu apa yang bukan kasih tegas.   Kasih tegas BUKAN perkara-perkara yang anda utamakan Keutamaan berbeza daripada tanda-tanda amaran. Manusia memang menghadapi kekecewaan dari masa ke semasa dan ada perkara yang mudah mengjengkelkan kita. Namun demikian, situasi seperti tidak suka bagaimana pasanganmu memuatkan mesin pembasuh pinggan, tidak bersetuju dengan cara anak perempuan mengemaskan rumahnya, atau berurusan dengan rakan sekerja yang malas, marah kerana kawan melupakan hari jadi anda, berbeza pendapat bagaimana membelanjakan bonus akhir tahun bukan situasi yang sesuai dengan kaedah kasih tegas. (Situasi sebegini adalah peluang untuk mencari cara penyelesaian konflik yang sihat atau mempelajari bagaimana bertolak ansur.)   Kasih tegas BUKAN cara penyelesaian untuk segala masalah Tingkah laku yang sangat memudaratkan adalah kompleks – dari segi puncanya, impak dan pemulihan. Isu-isu seperti penderaan (fizikal, lisan, emosi dan seksual), ketagihan, kecurangan, sikap tidak bertanggungjawab dari segi kewangan dan lain-lain lagi tidak dapat diselesaikan dengan cepat. Kasih tegas adalah salah satu pendekatan yang sesuai dalam kes-kes sebegini dan boleh menjadi bahagian yang penting dalam usaha pemulihan.   Namun demikian, setiap situasi adalah berlainan kerana setiap individu adalah berlainan. Ambillah sikap terbuka kerana kesudahannya mungkin bukan apa yang anda jangkakan.   Kasih tegas TIDAK dilaksanakan atas sebab hukuman atau membalas dendam   Jangan tersilap: Perasaan marah kerana ketidakadilan atau kezaliman adalah perasaan yang sihat. Masalah timbul apabila kita lupa bahawa kita semua melakukan kesilapan. Bila ini berlaku, kita mengalih dari sikap rendah diri kepada sikap bahawa kita lebih baik dari orang lain dan akibatnya, kasih tegas dilaksanakan kerana perasaan marah yang tidak sihat. Kita mungkin akan cuba menjatuhkan hukuman kerana kerosakan yang dilakukan oleh orang lain tanpa mempertimbangkan kebahagiaan mereka atau kesejahteraan jiwa kita. Kasih tegas tidak seharusnya diamalkan dengan sikap aku akan membalas dendam terhadap engkau kerana melukai aku.    Kasih tegas BUKAN memanipulasi atau mengawal orang lain Tidak mengapa jika kita mengharapkan penyembuhan atau menginginkan kesejahteraan untuk semua orang yang terlibat. Tetapi manipulasi merupakan cubaan menghapuskan kebebasan memilih dan menggantikannya dengan kemahuan anda. Kasih tegas tidak dapat mengubah seseorang secara paksa, walaupun hidup mereka terancam. Kami memang tidak dapat mengawal hati atau tingkah laku orang lain.   Kasih tegas TIDAK menafikan kepentingan garis sempadan tingkah laku Tanggapan salah yang sering berlaku ialah kasih tegas bersifat tindakan yang terlalu keras, bersikap dingin dan mengasingkan diri dari orang lain. Sesetengah orang tersangkut dengan ‘ketegasan’ dan gagal menyedari bahawa ‘kasih’ juga termasuk dalam proses tersebut. Mereka menyangka bahawa anda hanya perlu menetapkan garis sempadan tingkah laku walaupun dalam situasi yang berbahaya. Malangnya, pendekatan ini tidak berkesan dalam kes terbaik dan dalam kes terburuk, ia mendatangkan lebih banyak kemudaratan. Ya, garis sempadan tingkah laku adalah sebahagian besar kasih tegas. Namun demikian, tingkah laku yang merosakkan perlu ditangani dengan tegas – dan ini boleh dilakukan tanpa kekerasan.     Kasih tegas BUKAN mudah Suatu lagi andaian yang salah ialah bahawa orang menggunakan kasih tegas kerana ia adalah jalan keluar yang mudah. Namun demikian, kasih tegas mungkin lebih sukar untuk orang yang melaksanakannya daripada orang yang menerimanya. Misalnya, orang yang memerlukan kasih tegas mempunyai garis sempadannya sendiri (walaupun ia tidak sihat) dan mereka biasa dengan keadaan di mana tiada orang yang mengganggunya. Sekiranya situasi semasa berubah, mereka mungkin bertindak balas dengan keras kerana cuba mengekalkan ilusi bahawa situasi adalah di bawah kawalan. Pergelutan ini akan dirasai oleh setiap orang.   Kasih tegas bukanlah suatu cara penyelesaian mudah yang akan serta merta membetulkan hidup seseorang dan membaiki kelakuannya. Sebaliknya, ia adalah rancangan yang difikirkan dengan teliti untuk jangka masa panjang dan besar kemungkinannya adalah pedih untuk kedua-dua pihak sesuatu hubungan. Kasih selalunya menyatakan kebenaran, walaupun ia sukar. Dan walaupun ia adalah tindakan yang betul, ia tidaklah mudah.   Apanya kasih tegas Salah satu fakta tentang kasih tegas ialah ia adalah terutamanya berkaitan dengan anda – bukan tentang orang yang melakukan kesalahan. Nanti. Apa?! Bukankah matlamat kasih tegas ialah membantu orang lain menyedari kemudaratan yang mereka lakukan dan mengubah tingkah laku mereka? Ya, tetapi satu-satunya cara untuk menggunakan kasih tegas dengan bijak – satu-satunya cara kasih tegas akan membawakan kesudahan sihat yang diharapkan – ialah menyedari siapakah diri anda. Untuk menjadi orang yang mempunyai keyakinan diri, teguh dan yang menyedari apa garis sempadan tingkah laku, keperluan dan tanggungjawab anda.   Kasih tegas adalah cara menangani tingkah laku yang benar-benar memudaratkan  Kecurangan. Pornografi. Penyalahgunaan dadah dan alkohol serta ketagihan. Penderaan emosi, lisan, fizikal, rohani dan seksual. Kemarahan yang bertindak ganas. Ketidajujuran. Sikap yang langsung tidak bertanggungjawab dalam hal kewangan. Keengganan mengakui kesilapan atau dosa. Itu adalah setengah tanda amaran yang tidak seharusnya diabaikan atau diterima semasa berpacaran, berkahwin atau memainkan peranan ibu bapa atau dalam apa-apa hubungan lain. Mereka mesti ditangani dan biasanya kasih tegas adalah jalan yang terbaik.   Kami bukannya menyatakan bahawa anda seharusnya berlagak seperti anda tiada cacat cela dan itu bukan dosa yang anda tangani. Apa yang kami maksudkan ialah anda harus telus dan berterus terang tentang kerosakan yang didatangkan kepada hubungan anda.   Kasih tegas adalah berkait dengan menambah keyakinan diri Menjadi lebih yakin diri bermakna bahawa anda tidak perlu bergantung kepada perkenan orang lain. Walaupun dalam keadaan sukar, anda masih boleh bergerak balas dengan yakin kerana jati diri. Dalam erti kata lain, anda mempunyai kekuatan ego – kesedaran diri yang kukuh bahawa harga diri anda tidak bergantung kepada orang lain.   Kasih tegas adalah berkait dengan pembelajaran penerimaan diri Penerimaan diri berkait rapat dengan keyakinan diri. Misalnya, setengah orang menganggap pasangan seperti mentari hidup mereka. Namun demikian, orang lain tidak dapat menjana cahaya. Mereka boleh mencerminkan sesuatu kebenaran mengenai seseorang tetapi mereka tidak dapat mencipta kebenaran tersebut. Itulah sebabnya penerimaan diri adalah sangat penting: Suatu perkahwinan yang sihat sepatutnya berkait rapat dengan keutuhan pasangan – bukannya situasi kebergantungan di mana satu atau kedua-dua pihak bertindak dengan sikap, Saya bukanlah diri saya tanpamu.   Kasih tegas adalah berkait dengan sifat berlandaskan realiti Anda harus mempunyai pertimbangan realistik tentang dirimu dan situasi yang dihadapi. Bukan sikap terlalu menekankan sifat kerohanian atau keengganan menghadapi realiti dengan anggapan bahawa situasi akan membetulkan diri. Sebaliknya, anda bertapak atas realiti (anda memberi fokus kepada) keadaan sebenar. Kamu tidak memandang remeh kerosakan yang sedang berlaku.   Kasih tegas adalah berkait dengan pemahaman sebenar tentang garis sempadan Kita diajar mengambil berat dan membantu orang lain. Dan kita dikehendaki membantu mereka yang menanggung beban yang amat berat (balu, anak yatim, orang miskin dan kurang upaya). Tetapi ini tidak bermakna bahawa kita seharusnya diperhambakan kepada keperluan yang dirasakan penting oleh seseorang. (Ini adalah kehendak dan keinginan yang dirasakan penting – dan bukannya kekurangan keperluan asas yang sebenarnya.) Manusia harus menangani tanggungjawab kehidupan harian diri mereka.   Kasih tegas adalah berkait dengan pengetahuan batasan dan tanggungjawab anda Batasan peribadi adalah tempat di mana anda berakhir dan bermulanya orang lain. Batasan menentukan siapa diri anda, melindungi apa yang berharga untuk anda, menunjukkan tanggungjawab anda dan menjaga keselamatan anda. Anda mempunyai hak dan tanggungjawab menjaga kesejahteraan diri anda. Anda seharusnya bersikap jujur tentang diri anda dan apa anda boleh tangani dan sebaliknya, apa tanggungjawab anda dan sebaliknya, dan anda mungkin perlu membetulkan halatuju interaksi hubungan anda dengan orang lain.   Kasih tegas adalah berkait dengan belas kasihan tetapi bukan sebagaimana yang difikirkan oleh setengah orang Para pengkritik kasih tegas selalu menganggap bahawa belas kasihan bermakna bahawa kita mesti bertolak ansur dengan orang yang melakukan kesalahan. Malah mereka yang terperangkap dalam hubungan yang memudaratkan mungkin percaya bahawa mereka menunjukkan belas kasihan dengan memberi satu lagi peluang kepada pesalah laku (dan banyak lagi peluang selepas setiap kesalahan). Mereka salah anggap bahawa sikap tegas akan memburukkan lagi keadaan orang yang bermasalah. Tetapi ini bukannya maksud kasih yang sebenar.   Kasih yang ikhlas bukan bermakna tidak mengendahkan kelakuan seseorang. Sebaliknya, kasih yang ikhlas berbelas kasihan terhadap kelemahan seseorang (dan kita semuanya ada kelemahan) tetapi memahami bahawa membolehkan kelakuan buruk tidak akan membantu seseorang. Kasih yang ikhlas membuat tuntutan supaya seseorang berkelakuan baik, hidup dengan bijaksana dengan sikap berterima kasih dan berkhidmat kepada orang lain. Kasih dan perkenan bukanlah perkara yang sama. Anggaplah ketegasan sebagai kebenaran. Kasih tegas yang dilaksanakan dengan berkesan adalah kasih sejati. Kasih tegas mengiktiraf pilihan bebas Kita mesti membenarkan orang lain membuat pilihan dengan bebas walaupun mereka membuat pilihan yang buruk dan menerima akibatnya. Dengan cara yang sama, walaupun menyaksikan orang yang dikasihi memusnahkan hidup mereka adalah sangat menyakitkan – walaupun tindakan mereka mencederakan kita – kita mesti mengiktiraf hak mereka untuk memilih. Kasih tegas adalah berkait dengan proses menjadi orang yang kuat Apakah yang anda rela hilang sekiranya garis sempadan yang anda tetapkan dalam sesuatu hubungan tidak dihormati? Adakah anda rela kehilangan hubungan tersebut demi keselamatan dan kesejahteraan anda? Adalah penting untuk memupuk kekuatan rohaniah, emosi dan fizikal. Bidang-bidang ini akan terjejas dalam sesuatu hubungan yang rosak. Dan jika penderaan rumah tangga berlaku, si pendera akan sengaja menjejaskan identiti dan kekuatan pasangan mereka. Apakah yang anda lakukan untuk menjaga diri supaya anda tidak akan membuat keputusan yang terlalu dipengaruhi oleh emosi? Adakah anda sedang berjumpa dengan kawan yang dipercayai atau kaunselor berlesen untuk membantu anda menjadi kuat? Seseorang yang telah dilukai, diasingkan atau dipinggirkan oleh tindakan orang lain memerlukan orang yang bijaksana dan prihatin yang akan memupuk kesihatan dan keseimbangan dalam hidupnya. Kekuatanmu tidak perlu sempurna untuk membolehkan anda melaksanakan kasih tegas; kamu hanya perlu cukup kuat untuk melakukannya. Anda perlu kekuatan dalaman untuk menghadapi ribut yang bakal tiba bila anda menuntut akauntabiliti dari orang yang disayangi.    Kasih tegas adalah berkait dengan keberanian mengambil tindakan – walaupun anda berasa takut Kasih tegas adalah berkait dengan menjaga kesejahteraan dirimu sambil mempertimbangkan kepentingan orang lain. Apabila anda memahami garis sempadan tingkah laku dan tanggungjawab anda, anda dapat berkata dengan berani, Tidak, kelakuanmu tidak boleh diterima. Anda tidak patut melayani saya (atau orang lain) sebegini. Kamu mungkin berasa takut tetapi masih cukup berani untuk mengambil tindakan yang sihat. Inilah masanya sistem sokongan anda menjadi sangat penting. Anda memerlukan orang-orang yang menyokong keputusan anda untuk bertindak. Dan anda memerlukan pendapat mereka yang tidak berat sebelah sama ada orang yang anda kasihi sedang membuat perubahan baik yang konkrit dan berkekalan. Langkah-langkah asas kasih tegas: 1.       Pastikan bahawa anda mempunyai sistem sokongan yang baik yang termasuk kawan-kawan yang dipercayai dan kaunselor yang berlesen.   2.       Kamu harus menguatkan dirimu untuk menghadapi tingkah laku yang memudaratkan. (Anda akan memerlukan kekuatan tersebut untuk meneruskan komitmen terhadap kasih tegas walaupun kesudahannya bukan apa yang anda harapkan.)   3.       Anda harus bersikap jujur dengan dirimu sama ada anda sedang membantu atau saling bergantung dengan pesalah laku dan bagaimana anda harus berubah supaya anda dapat menggunakan kasih tegas dengan berkesan. (Berundinglah dengan kaunselor yang bertauliah.)   4.       Buatlah keputusan terlebih awal apa yang tindakan yang anda inginkan dari orang lain. Tuliskannya. Sekiranya anda terpaksa menanggung sesuatu akibat, suatu rancangan yang sudah ditetapkan akan mengurangkan tekanan kerana anda tidak perlu berfikir dengan cepat.   5.       Beritahulah orang lain dengan jelas bagaimana tindakan mereka memudaratkan. Gunakan perkataan ‘saya’ bila menerangkan garis sempadan anda dengan jelas, jujur dan dengan sikap hormat. Jelaskan apa langkah-langkah yang mesti diambil untuk mengubah tingkah laku mereka – dan akibatnya jika perubahan yang diharapkan tidak berlaku.       6.       Berhenti seketika dan perhatikan tindak balas orang lain dalam bentuk tindakan yang diambil. Jangan mengejarnya, menekan, merayu, menghinakan diri, memanipulasi atau menuntut pematuhan. Sebaliknya, biarkan orang tersebut membuat keputusan sama ada dia akan bertanggungjawab atas apa yang boleh dikawalnya. 7.       Terima-lah pilihan bebas orang lain dan jawaban mereka (dalam bentuk tindakan yang diambil) – sama ada jawaban (atau tindakan) itu adalah apa yang diharapkan. 8.       Tuntutlah akauntabiliti dari orang lain dari segi akibat yang anda sudah nyatakan terlebih awal. Melihat kasih tegas dengan lebih dekat Suami Sarena*, Nick*, mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain – dan Sarena tahu bahawa kasih tegas adalah diperlukan. Beliau menyatakan apa yang mesti dibuat: Nick mesti menamatkan hubungan sulit tersebut dan sebarang perhubungan dengan wanita tersebut dan mendapat kaunseling. Apakah yang akan berlaku sekiranya Nick enggan berbuat sedemikian? Dia mesti meninggalkan rumah. Ya, Nick terus berkata, saya sudah tamatkan hubungan sulit itu. Namun demikian, Sarena mendapati bahawa ini tidak benar dan beliau telah menukar kunci rumah mereka. Walaupun keputusan tersebut memedihkan, Sarena telah menghasilkan akibat yang telah dinyatakan terlebih dahulu kepada Nick. Ia bukannya mudah; beliau percaya pada Nick bila dia memberitahunya bahawa hubungan sulit tersebut telah berakhir. Namun demikian, kaunselor Sarena mengingatinya bahawa kata-kata sahaja tidak boleh diambil kira; apa yang penting adalah tindakan yang diambil. Dan apabila dia ‘mendengar’ tingkah laku Nick, dia menyedari bahawa ia bukanlah seperti yang diberitahu kepadanya. Oleh itu, dia mengambil tindakan susulan dengan akibat yang dijanjikan – dan komitmennnya terhadap kasih tegas. Tindakan sebagai balasan kepada sesuatu tindakan adalah penting dalam pelaksanaan kasih tegas.   Sebagai penjelasan, kasih tegas bukanlah bertindak balas dengan cara yang sama dengan salah laku. Dalam kata lain, anda tidak melayan seseorang dengan cara mereka melayani anda. (Ingat, kasih tegas bukan hukuman atau membalas dendam; ia adalah berkaitan dengan garis sempadan tingkah laku.) Sebaliknya, anda mengambil tindakan susulan yang telah dirancang terlebih dahulu (akibat) sebagai tindak balas terhadap kelakuan (pilihan) orang lain.   Kasih tegas adalah umpama permainan dam. Apakah gerakan permainanmu? Dalam kes Nick dan Sarena, Nick telah membuat ‘gerakan’ (iaitu tidak mengubah kelakuannya). Walaupun dia tidak melakukan apa yang dikehendaki tetapi Sarena bertindak bijak dengan tidak merayu untuk perubahan. Sebaliknya, Sarena melakukan gerakannya dengan tenang untuk menghindarinya dari memasuki rumah seperti yang dinyatakan terlebih dahulu.       Anda mesti dapat melihat bahawa orang yang dikasihi mengambil langkah yang perlu untuk disembuhkan – bukannya semata-mata percaya pada janji bahawa mereka tidak akan melakukannya lagi. Niat yang baik tidak penting jika tidak disertai dengan tindakan. Ini adalah penting dalam kes penderaan fizikal atau emosi dalam sesuatu hubungan. Pendekatan yang proaktif tidak bermaksud bahawa langkah yang betul adalah menghalau pesalah laku dengan segera dari rumah. Mungkin ia adalah Jika saya tidak melihat perubahan, saya akan berjumpa dengan kaunselor – atau memanggil pihak polis. Walau bagaimanapun, anda harus mengambil langkah-langkah berjaga-jaga tambahan untuk melindungi dirimu dan anak-anak sekiranya anda berada dalam suatu hubungan yang bersifat penderaan. Buatlah panggilan telefon 999 sekiranya anda berada dalam keadaan berbahaya. Akauntabiliti juga penting Melarikan diri ke arah kesihatan adalah istilah yang digunakan dalam profesion kaunseling untuk menggambarkan ‘pemulihan’ mendadak seseorang yang enggan berusaha untuk pemulihan jangka panjang. Misalnya seorang penagih alkohol mungkin berkata, saya sudah tidak mabuk selama dua minggu dan oleh itu, saya harus dibenarkan pulang ke rumah. Sebenarnya, mereka menipu diri mereka (dan orang lain) untuk menganggap bahawa terdapat penyelesaian yang mudah untuk masalah yang sudah berakar umbi dengan mendalam. Adalah mudah untuk mengatakan bahawa keadaan telah bertambah baik. Tetapi anda mesti dapat melihat bukti perubahan yang sebenar ke arah penyembuhan. Kasih tegas tidak boleh bersifat lemah. Pesalah laku mungkin berkata, Berilah saya sedikit penghargaan! Saya sudah jarang melakukan ‘xyz’! Walaupun demikian, tingkah laku mereka masih tidak boleh diterima. Anda telah menetapkan batasan tingkah laku. Anda telah memberitahu orang yang disayangi, Ini tidak boleh diterima. Ia mesti berakhir dan jika tidak, akibat buruk akan menyusul. Pertimbangkanlah semula garis sempadan peribadi anda. Jika orang lain dalam hubungan itu berkeras dalam pilihan mereka tanpa menghiraukan garis sempadan yang telah ditetapkan, anda terpaksa memilih: Sama ada menuntut akauntabiliti untuk kelakuan mereka, atau jangan ambil peduli tingkah laku mereka dan kekalkan status quo. Perlu diingati bahawa pilihan kedua tidak akan membantu sesiapa dan mungkin merupakan tanda kebergantungan bersama (motivasi yang bercelaru untuk membantu).   Kasih tegas dalam perkahwinan mungkin memerlukan pencetusan krisis  Kami tidak menyarankan anda memburukkan keadaan. Sebaliknya, anda mesti memberi motivasi kepada pasangan anda untuk mengakui masalahnya dan bersetuju untuk dirawati. Katakan sesuatu seperti Kamu mesti mengakui masalahmu dan bersetuju menerima pertolongan yang perlu atau kamu mesti mencari tempat tinggal yang lain sehingga masa anda bersedia untuk bekerjasama.  Bukan sekadar tidak membenarkan seseorang pulang ke rumah, anda perlu berpisah dengannya secara terapeutik. Perpisahan terapeutik ialah perpisahan rasmi yang mempunyai garis sempadan yang jelas dan khusus mengenai hubungan sulit, kaunseling professional, keintiman seksual, peraturan komunikasi, susunan hidup, anak-anak dan kedudukan kewangan. Perceraian bukanlah matlamatnya; anda hanya mahu menghapuskan penafian realiti. Jika perpisahan diperlukan, dapatkan nasihat guaman yang bijak. Keadaan yang paling baik ialah pasangan anda keluar dari rumah. Namun demikian, jika dia tidak bersetuju, anda mungkin terpaksa berpindah bersama-sama dengan anak-anak. Jika ini berlaku, pastikan bahawa anda mempunyai sistem sokongan dan tempat tinggal. (Buatkan rancangan, sediakan sumber kewangan dan buat persediaan terlebih dahulu supaya anda tidak payah bertindak balas terhadap kelakuannya dan berpindah dengan tergopoh-gapah.) Beritahu pasanganmu bagaimana dia dapat berhubung dengan anda dan jelaskan kepadanya bahawa anda akan menyambung semula rundingan jika dia rela bekerjasama. Perpisahan terapeutik mungkin apa yang diperlukan untuk mendorong mereka mengakui betapa seriusnya keadaan semasa. Seperti yang sudah kami nyatakan, perhatikan kelakuannya. Kerapkali pasangan akan menabur janji-janji manis supaya dibenarkan pulang ke rumah tetapi kata-kata tidak sama dengan perubahan tingkah laku.    AMBIL PERHATIAN: Perpisahan terapeutik semasa krisis berbeza dari beberapa segi dari perpisahan untuk tujuan pemulihan. Dalam kes perpisahan untuk tujuan pemulihan, terdapat andaian bahawa kedua-dua pasangan berniat untuk memulihkan perkahwinan mereka – dan ini tidak selalu begitu bila seorang pasangan sedang terjebak dalam kelakuan yang memudaratkan. Bagaimana kasih tegas berfungsi Kami tidak mempunyai ruang yang cukup untuk menggambarkan secara terperinci semua situasi yang memerlukan kasih tegas. Dan usaha mencari kemajuan memerlukan khidmat seorang kaunselor berlesen yang pakar dalam bidang ini untuk mengenal pasti isu-isu yang tersirat dan corak hubungan yang mencetuskan kemelut ini.   Namun demikian, kami ingin menyentuh dengan ringkas dua hubungan yang selalunya akan mendapat manfaat dari kasih tegas: perkahwinan dan penjagaan membimbing anak-anak yang sudah dewasa.   Kasih tegas dalam perkahwinan Kasih tegas memang merupakan pendekatan yang betul jika pasangan anda terjebak dengan pornografi dan enggan berubah. Penagihannya tidak menghormati-mu, menghina janji-janji yang dibuat bila berkahwin, dan menyakitkan hati semua anggota keluarga. 1.       Pertimbangkanlah apa garis sempadan tingkah laku yang boleh diterima oleh anda. Bincang dengan sistem sokongan anda bagaimana anda akan menjaga dirimu semasa proses ini. 2.       Bentukkan suatu rancangan bagaimana anda akan mendekati isu ini. (Ingat: Suatu rancangan yang dibentuk terlebih dahulu akan menghindari anda daripada bertindak balas berlandaskan emosi semata-mata.) 3.       Tetapkan masa untuk memberitahu suami anda pendapat anda mengenai isu ini dan apa perubahan yang dikehendaki olehmu – perubahan yang anda harapkan – dan akibatnya jika dia memilih untuk tidak mematuhi keputusan anda. Misalnya: ·           Penglibatanmu dalam pornografi menghindari keintiman sejati dalam perkahwinan kita, ia memalukan saya dan memberi teladan yang buruk kepada anak-anak. ·           Saya mahu kamu berhenti menggunakan pornografi. ·           Saya mahu melihat anda memadamkan segala yang tidak baik dari semua peranti. ·           Mulai sekarang, saya akan diberi akses kepada semua peranti dan kata laluan mereka. ·           Anda akan mendapat kaunseling. ·           Sekiranya anda enggan mengambil langkah-langkah ini, anda perlu mencari tempat tinggal yang lain sehingga anda membuat keputusan tentang masa depan kita. ·           Anda diberi tempoh satu hari untuk mengendalikan peranti-peranti anda. Dan satu minggu untuk mula mendapat kaunseling. Tiada kompromi. Tindakan anda akan menjadi jawabanmu. 4.       Tunggu, perhatikan dan tuntut akauntabiliti dari pasangmu untuk tindakan yang telah dipersetujui. Teruskan dengan keputusanmu, minta kebijaksanaan dan kekuatan dari Tuhan dan terus berhubung dengan sistem sokongan anda. Kasih tegas dalam bimbingan anak yang telah dewasa Apabila anak anda semakin membesar, corak hubungan anda berdua harus bertukar dari ibu bapa-anak kepada orang dewasa dengan orang dewasa. Mereka bukan sekadar anak kecil yang telah dewasa tetapi merupakan anak lelaki atau perempuan dewasa. Mereka seolah-olah telah menjadi rakan sebaya anda. Namun demikian, memang sukar menghapuskan sentimen saya akan selalu merupakan ibu / bapa anda. Itulah sebabnya melihat anak lelaki atau perempuan anda bergelut – dan memilih supaya tidak menyelamatkan mereka – adalah keputusan yang menyakitkan. Mungkin mereka mempunyai masalah dengan dadah atau alkohol. Mungkin mereka meminta duit atau bantuan untuk masalah dengan pihak berkuasa. Mungkin mereka enggan menerima nasihat anda tetapi selalu meminta anda menyelesaikan masalah untuk mereka. Mungkin mereka telah memilih gaya hidup yang akan memusnahkan mereka. Mungkin mereka menggunakan cucu anda sebagai ‘perisai’ atau ‘alat rundingan’, melumpuhkan dan menghindari-mu dari mengambil tindakan yang betul kerana bimbang memudaratkan cucu. Ini memang menyakitkan. Dan ia pedih kerana anda sayang anak-anak anda. Namun demikian, kasihmu untuk mereka – dan hati anda yang baik yang mahukan yang terbaik untuk mereka – boleh diperalatkan. Memilih kasih tegas akan melindungi hati anda supaya tidak tertipu. Memilih kasih tegas tidak bermakna anda tidak mengasihi mereka; ia bermakna kasihmu tidak dapat digunakan sebagai senjata terhadap anda.  Dengan mengikuti langkah-langkah asas yang telah digambarkan di atas, mari kita lihat bagaimana melaksanakan kasih tegas terhadap anak lelaki dewasa yang enggan mencari kerja.   ·           Kami sayang padamu dan anda akan sentiasa menjadi anak kami. Tetapi anda sekarang sudah dewasa dan mesti mendapat pekerjaan supaya anda dapat mencapai potensi anda dengan sepenuhnya. ·           Seorang lelaki sejati boleh berdikari. Dia tahu bagaimana bekerja dengan orang lain dan dia tidak bergantung kepada orang lain untuk kebajikannnya. ·           Kami tidak akan membayar bil anda lagi. ·           Kamu akan mula membayar sewa kepada kami. ·           Jika anda enggan mencari kerja, anda mesti mencari tempat tinggal yang lain, dan anda akan bertanggungjawab untuk sebarang bayaran lewat dan pemungut bil. Bagaimana dengan anak yang menyalahgunakan dadah atau alkohol? ·           Pilihanmu untuk menyalahgunakan dadah dan alkohol memudaratkan anda dan keluarga. ·           Kami mahu melihat anda membuang kesemua botol dan pil. ·           Kami akan mendapatkan rakan untuk anda bagi tujuan akauntabiliti dan kami akan memintanya pada bila-bila masa untuk meneliti keadaanmu dan membuat carian di tempat tinggal anda. ·           Anda diberi tempoh satu minggu untuk pergi ke program pemulihan atau kami akan mencari program untukmu. ·           Sekiranya anda enggan mengambil langkah-langkah ini, anda akan bertanggungjawab terhadap apa-apa akibat buruk dari segi undang-undang, kesihatan atau kewangan. Anda tidak akan dibenarkan kembali bersama kami. Tiada ibu bapa yang mahu menghalau anak-anak mereka dari rumah, tetapi ini mungkin merupakan tindakan yang paling penyayang.   Bagaimana kalau kasih tegas tidak berkesan?   Kasih tegas bukanlah suatu formula. Walaupun terdapat keadaan yang paling baik, doa bersungguh-sungguh dari keluarga dan para sahabat, atau nasihat yang paling bijak dari pakar terapi yang terlatih, pesalah laku adalah satu-satunya orang yang boleh memilih untuk berubah.   Ya, kita akan sentiasa mengasihi mereka dan berdoa untuk pemulihan. Dan ya, kita berharap mereka akan sedar bahawa gaya hidup mereka berbahaya dan akan memilih untuk berubah. Tetapi apa yang boleh dibuat jika mereka enggan berbuat demikian? Adakah ini bermakna bahawa kasih tegas telah gagal – atau kita telah gagal? Tidak sama sekali.   Kasih tegas selalunya berkesan dalam erti kata bahawa ia memberikan kita sesuatu cara bertindak balas yang jelas dari orang lain, dan ini bermakna bahawa kita tidak lagi berada dalam keadaan kebuntuan. Dalam kata lain, kita menjadi lebih yakin tentang diri kita dan kita tidak ragu-ragu tentang pendirian orang lain. Malangnya ini tidak menjaminkan kesudahan yang bahagia.   Salah satu keadaan yang paling memedihkan ialah apabila orang yang dikasihi memilih gaya hidup yang memudaratkan walaupun kita sudah cuba sedaya upaya untuk membantunya. Ia menyakitkan hati. Ia sukar diterima, dan itulah sebabnya kita mahu memberi peluang kedua (ketiga, keempat – kesepuluh) – walaupun kita tahu dengan mendalam bahawa memberi peluang berulang kali tidak berkesan.    Itulah sebabnya keyakinan diri dan kesedaran tentang identiti kita sendiri amat penting. Sekiranya anda percaya bahawa nilai diri anda adalah berdasarkan penerimaan orang lain, anda akan mengambil tindakan yang tidak berkesan. Walaupun penolakan dari orang lain mungkin sangat memedihkan, satu-satunya pilihan anda untuk masa depan yang sihat ialah kesedaran bahawa anda bernilai tidak kira apa yang mereka kata atau buat.   Walau apa pun, tabahkan hati anda. Berpegang teguh kepada garis sempadan yang anda tetapkan, jaga dirimu, dan berhubung rapat dengan sistem sokongan anda. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.
‘Kasih yang Tegas’ dalam Hubungan antara Orang Dewasa: Apa sifatnya, apa yang bukan kasih tegas dan bagaimana melaksanakannya content media
1
0
13
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
May 05, 2023
In Keluarga
Pergaduhan bukanlah perkara yang harus membimbangkan pasangan yang berkahwin; sebaliknya apa yang harus dikhuatiri ialah perkara yang akan berlaku selepas tamatnya pertengkaran. Hampir kesemua pasangan suami isteri mengalami persengketaan, dan ini tidak semestinya memudaratkan hubungan mereka. Perang mulut yang terbatas boleh ‘merangsangkan hubungan’, memberi pasangan peluang untuk meluahkan perasaan kecewa dan melepaskan geram dan tekanan. Namun demikian, persoalan penting ialah apa yang menyusul selepas tamatnya pergaduhan. Dalam hubungan yang sihat, konfrontasi berakhir dengan kemaafan, hubungan yang lebih akrab dan sikap saling menghormati dan memahami yang lebih mendalam. Sebaliknya, dalam perkahwinan yang tidak stabil, konflik selalunya tidak diselesaikan dengan sempurna. Bila akibat suatu pertempuran bertindih dengan permulaan konflik yang seterusnya, keadaan berbahaya akan timbul. Para pasangan seharusnya menilai apa yang berlaku selepas konfrontasi berakhir. Adakah terdapat perbuatan atau percakapan yang telah menyakitkan hati pasangan anda? Haruskah anda meminta maaf kerana menjatuhkan harga diri pasangan dan mengabaikan isu-isu yang memisahkan anda berdua? Adakah wujudnya perkara-perkara besar yang belum diselesaikan? Tangani-lah isu-isu ini sebelum mereka menjadi lebih teruk dan menjejaskan hubungan anda berdua. Ingatilah pepatah lama – jangan biar mentari terbenam sebelum perasaan marah hilang. Ini adalah nasihat yang baik untuk perkahwinan. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.
Selepas Tamatnya Pergaduhan content media
2
0
44
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
May 05, 2023
In Keluarga
Soalan dan Jawaban: Membantu Anak kami mengharungi kepedihan Perceraian Soalan: Saya seorang ibu tunggal dengan dua orang anak. Bekas suami saya tidak mempunyai sebarang hubungan dengan anak-anak kami dan ini amat menyedihkan mereka. Bila anak perempuan saya yang berusia 8 tahun menghadapi masalah, dia berkata, “Saya benci diriku” dan “Saya memang tak bernilai”. Saya berpendapat bahawa ini adalah kerana dia tidak mempunyai kedua-dua ibu bapa yang mengambil berat tentangnya. Bagaimanakah saya dapat membantunya bersikap lebih positif tentang dirinya? Jawaban: Kami amat bersimpati terhadap anda dan anak-anak kerana menghadapi situasi ini yang sukar. Reaksi kanak-kanak terhadap perceraian berbeza dan ia bergantung kepada umur dan pelbagai factor yang boleh menjejaskan perasaan harga diri mereka. Kanak-kanak yang sangat muda mungkin menyalahkan diri mereka. Jika ini berlaku, adalah penting untuk menyakinkan mereka bahawa persengketaan anda dengan pasangan tiada kaitan dengan mereka. Sebaliknya, para remaja atau orang dewasa muda mungkin berasa lega kerana perbalahan akibat perceraian telah tamat. Namun demikian, mereka mungkin berasa bersalah kerana mempunyai pandangan positif terhadap perkara yang buruk, umpamanya perceraian. Bagaimanakah anda boleh mengurangkan kepiluan yang dirasai anakmu? Pertama, beri galakan kepadanya untuk berbincang tentang perasaannya dan pendapatnya mengapa dia berasa sedemikian. Bantulah dia sedar bahawa walaupun hidupnya telah berubah secara dramatik, keadaan akan beransur-ansur pulih. Berikannya harapan untuk masa depan, dan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan keadaan normal dan rutin hidup seharian. Selain itu, yakinkan-nya bahawa dia amat berharga bagimu dan kasihmu untuknya adalah tidak bersyarat. Bantulah dia berhubung dengan orang dewasa yang matang yang akan menjadi mentor dan tempat meluahkan perasaan. Beritahu para guru, kaunselor sekolah dan pemimpin belia tentang situasi ini. Akhir sekali, kami juga menggalakkan anda dan anak-anak mendapat khidmat pakar terapi keluarga untuk membantu mengharungi badai kehidupan ini. Soalan dan Jawaban: Menjalinkan Hubungan Peribadi selepas Perceraian Ibu Bapa. Soalan: Saya sedang berpacaran dengan seorang gadis dan hubungan kami sudah menjadi lebih serius. Namun begitu, masalah saya ialah perceraian ibu bapa ketika saya masih remaja. Saya telah melihat apa yang mereka alami dan saya masih cuba mengatasi perasaan sakit hati – dan juga kebimbangan saya secara amnya terhadap perkahwinan. Saya tidak mahu kehilangan pasangan saya dan kami tidak boleh tunggu selama-lamanya. Apakah cara melepaskan diri dari masa lalu yang menyayat hati dan menjayakan hubungan saya? Jawaban: Anda harus dipuji kerana menyedari bahawa anda masih menanggung kesan ‘luka lama’ akibat perceraian ibu bapa dan terutamanya kerana bersikap proaktif menangani luka tersebut. Pertama, uruskanlah isu anda sendiri. Kamu harus menghadapi ‘sampah dari zaman silam’ secara realistik dan berusaha menjadi orang yang sihat, tidak kira sama ada anda mempunyai hubungan peribadi atau tidak. Proses ini mungkin termasuk kaunseling oleh seorang pakar untuk mengubati luka dari masa muda. Kedua, anda mesti berterus terang dengan pasanganmu. Beritahu-lah dia tentang keadaan anda – keraguan, ketakutan dan halangan emosi yang anda sedang hadapi (ini berkait rapat dengan perceraian ibu bapa dan tiada kena-mengena dengan hubungan anda berdua). Beritahunya bagaimana menyokong anda. Hubungan anda akan menjadi lebih kukuh sekiranya anda melibatkannya dalam proses pemulihan dan memberikannya maklumat secara jujur. Akhir sekali, berikan perhatian kepada hubungan dengan pasangan. Bila masa yang sesuai tiba, dapatkan khidmat kaunseling pranikah. Lapan puluh peratus pasangan yang menerima sekurang-kurangnya 6 hingga 8 jam kaunseling pranikah yang berkualiti akan kekal hidup bersama. Itulah cara anda berusaha menjadikan perkahwinan anda menjadi ‘kalis cerai’ sebelum ia bermula! Soalan dan Jawaban: Membantu Cucu mengharungi kepedihan akibat Perceraian Ibu Bapa. Soalan: Apakah yang boleh dibuat oleh datuk nenek untuk membantu cucu-cucu yang menghadapi perceraian ibu bapa? Situasi ini sangat menyedihkan mereka. Jawaban: Kami berasa kesal bila mendapat tahu tentang situasi ini yang sukar. Namun demikian, niatmu untuk membantu cucu menangani kesusahan ini amatlah menggalakkan. Mengetahui apa cara terbaik untuk membantu bergantung kepada beberapa faktor termasuk umur anda, sama ada anda tinggal dekat atau jauh dari mereka dan lain-lain lagi. Berikut adalah beberapa prinsip am yang mungkin boleh membantu anda. Menurut Dr. Archibald Hart, pengarang Helping Children Survive Divorce, kesan perceraian berbeza mengikut umur kanak-kanak. Selalunya kanak-kanak yang berusia antara 5 hingga 8 tahun akan jadi mundur dari segi tingkah laku. Mereka juga cenderung mengalami perasaan bahawa mereka bertanggung jawab atas perceraian dan ketakutan yang tidak munasabah bahawa mereka akan ditinggalkan. Oleh itu, para pakar berpendapat bahawa usia ini adalah masa yang sangat genting semasa perceraian kerana kanak-kanak tersebut cukup tua untuk memahami apa yang terjadi tetapi belum cukup matang untuk mempertimbangnnya secara mendalam. Dalam hal ini, anda sebagai datuk atau nenek boleh mendatangkan impak yang positif. Sekiranya anda meluangkan masa satu demi satu dengan mereka, anda boleh membantu mereka menangani perasaan marah yang dialami dan juga perasaan bersalah yang tidak sewajarnya berlaku. Jika cucu-cucu lebih tua dan tidak mempunyai masalah seperti ini, anda boleh menjadi seorang kawan dan tempat mengadu. Rumah anda boleh menjadi tempat perlindungan dan peluang untuk kembali ke keadaan normal. Soalan dan Jawaban: Adakah Perkahwinan Semula keputusan yang bijak? Soalan: Beberapa tahun dahulu, saya dan bekas suami telah bercerai. Selepas perceraian, dia telah mengubah hidupnya secara menyeluruh. Oleh itu, kami telah berpacaran semula dan saya berfikir bahawa dia mungkin akan melamar saya pada Malam Tahun Baru. Adakah perkahwinan semula sesuatu yang baik dalam kes saya? Jawaban: Pada zaman di mana perceraian berleluasa dan perdamaian antara pasangan jarang berlaku, situasi anda memang menakjubkan. Oleh itu, kami berpendapat bahawa perkahwinan semula adalah idea yang bagus – dengan syarat kamu dapat mengelakkan masalah yang menyebabkan perceraian berlaku suatu ketika dahulu. Anda menyatakan bahawa bekas suami anda telah “mengubah hidupnya dengan menyeluruh” dan ini membayangkan bahawa punca terbesar perceraian ialah kelakuannya yang buruk. Sikapnya yang berubah adalah situasi yang mengagumkan tetapi ini tidak bermakna bahawa anda tidak perlu berhati-hati. Proses perubahan sikap dan tingkah laku mungkin memakan masa yang lama. Berdasarkan sejarah hubungan anda berdua, anda mesti yakin bahawa terdapat bukti kukuh bahawa hati nalurinya sudah berubah untuk jangka masa yang panjang sebelum anda membuat keputusan. Jangan tetapkan jadual masa untuk mara ke depan sehingga anda benar-benar yakin tentang perkara ini. Selain itu, lihatlah hati naluri dan motivasi diri anda dan pertimbangkan-lah peranan anda, walau bagaimanapun kecil, dalam perceraian anda. Sudahkah anda selesaikan isu-isu tersebut dengan lengkap? Tambahan pula, jika anak-anda telah dilukai oleh perceraian, anda tentu tidak mahu memburukkan keadaan dengan berkahwin dan bercerai semula jika perkahwinan semula itu gagal. Apa yang paling diperlukan olehmu ialah bantuan dan bimbingan seorang kaunselor perkahwinan yang berpengalaman. Beliau boleh membantu anda berdua mempertimbangkan dengan mendalam sama ada anda berdua bersedia berkahwin semula dan apakah tindakan yang paling bijak. Cuba dapatkan kaunselor yang mahir dalam alat membaiki hubungan yang dipanggil PREPARE/ENRICH. Ini adalah ujian yang dapat membantu anda dan bekas suami mengenalpastikan isu-isu yang mesti diselesaikan sebelum berkahwin semula. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.
PERCERAIAN content media
0
0
6
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Apr 18, 2023
In Keluarga
Tingkah Laku dan Akibatnya Oleh Bill Maier Adakah anda boleh menilai keadaan yang sebenar? Berikut adalah suatu kuiz: Bob memandu kereta lumbanya yang berwarna merah dengan kelajuan 145 kilometer sejam di lebuh raya. Dia ditahan oleh anggota polis trafik yang memberi Bob: · Ucapan salam yang ramah · Biskut · Saman kerana memandu terlalu cepat Susan lebih suka tidur lewat daripada menepati waktu apabila pergi bekerja. Selepas tiba di pejabat dua hingga tiga jam lewat selama dua minggu berturut-turut, bos mengarahkan Susan: · Tidur lebih awal · Bercuti supaya dia dapat berehat · Cari pekerjaan lain Kedua-dua Bob dan Susan akan mengalami akibat yang pedih kerana kelakuan mereka. Kita hanya berharap bahawa mereka akan belajar dari pengalaman pahit dan menyebabkan Bob menjadi pemandu yang lebih berhemah dan Susan menjadi pekerja yang lebih bertanggungjawab. Latihan untuk Keadaan Dunia yang Sebenar Akibat buruk dari tingkah laku boleh digunakan sebagai alat berkesan apabila membesarkan anak-anak. Bila anak-anak kita melanggar peraturan atau bersikap tidak bertanggungjawab, kita boleh menggunakan alat tersebut atau membenarkan berlakunya kejadian buruk yang menyusul dari salah laku. Lambat laun, kesudahan dari tingkah laku adalah umpama guru yang mengajar anak kita tentang bagaimana dunia sebenarnya beroperasi. Malangnya, terlalu ramai ibu bapa mengambil jalan mudah, iaitu tidak mengambil tindakan sewajarnya atau mereka menyelamatkan anak dari akibat yang kurang menyenangkan. Ibu bapa sedemikian percaya bahawa mereka menunjukkan kasih sayang dengan melindungi anak-anak dari akibat buruk. Pada hakikatnya, mereka akan menyebabkan kekecewaan dan kegagalan dalam hidup anak di kemudian hari. Kesemua tindakan kita ada kesudahannya dan selalunya kita ‘menuai apa yang kita semai’. Anak-anak akan mendapat manfaat bila mereka belajar bahawa dalam hidup mereka, tindakan berkait rapat dengan akibat yang menyusul – akibat yang dialami oleh mereka adalah pedih. Kalau anak kecil menyentuh cerek yang panas, dia mengalami lecuran – itu akibat semulajadi. Bila tindakan anak-anak tidak mempunyai akibat yang jelas, ibu bapa masih boleh menggunakan kesudahan yang secara logiknya berkait rapat dengan salah laku. Misalnya bila anak tidak mematuhi arahan menyimpan kereta mainan dengan kemas, akibat yang sepatutnya terjadi ialah dia dilarang bermain dengan alat mainan tersebut pada keesokan hari. Macam mana rupanya Kaedah ‘Tingkah Laku dan Akibatnya’ Akibat tingkah laku mungkin positif atau negatif. Ibu bapa boleh menggunakan kesudahan positif bila mereka mahu menggalakkan kelakuan baik dan kesudahan negatif bila mahu menghindari salah laku. Kaedah disiplin ini hanya berkesan jika ia dilaksanakan dengan serta merta. Kanak-kanak mempunyai rentang perhatian yang sangat singkat. Anda boleh mempercepatkan masa berlakunya akibat sesuatu perbuatan dengan menggunakan sistem ‘token’ atau sistem ‘mata’. Berikan anakmu mata atau token dengan segera untuk kelakuan baik. Sebaliknya, potongkan token atau mata untuk kelakuan negatif. Mata atau token yang diperolehi boleh ditukar menjadi hak istimewa atau ganjaran yang tidak mahal. Anda harus konsisten. Jika tidak, anak anda akan menyedari dengan cepat bahawa anda bukan serius tentang apa yang anda katakan. Oleh itu, anda mesti menepati janji (atau amaran yang diberi) walaupun berasa letih. Akhirnya, akibat yang dijanjikan mestilah memberi kesan yang besar kepada kanak-kanak. Jika kesudahan positif dan negatif tidak diambil berat oleh anakmu, ia tidak akan mengubah kelakuannya. Misalnya, memperolehi bilangan mata yang cukup untuk baju baru untuk anak patungnya mungkin merupakan dorongan kuat untuk gadis berusia 7 tahun. Namun demikian, ia mungkin tidak berkesan setahun kemudian. Apabila kamu belajar bagaimana menggunakan teknik ‘tingkah laku dan akibat’ dengan berkesan – dan bukan meleter, menjerit atau mengugut – interaksi dengan anak akan bertambah baik. Anak-anak akan faham dengan jelas apa yang diharapkan dari mereka, dan anda akan jadi lebih yakin tentang peranan anda sebagai ibu bapa. Sudah tentu, anda harus melaksanakan kaedah disiplin ini dalam persekitaran hubungan yang mesra dan menyokong anak anda. Buku Dr. Dobson berjudul Dare to Discipline memberi arahan terperinci tentang cara melaksanakan kaedah ‘tingkah laku dan akibat’ dalam peranan anda sebagai ibu bapa dan bagaimana memulakan sistem ‘mata’ atau ‘token’. Jika anda memilih pilihan ketiga untuk dua soalan yang diajukan di atas, tahniah – anda betul-betul faham kebenaran prinsip ‘tingkah laku dan akibat’. Kini anda boleh menggunakan hikmah ini untuk membantu anak-anak anda menjadi orang dewasa yang matang dan bertanggungjawab yang membuat pilihan yang bijak – dan juga mempunyai pekerjaan mantap dan yang mengelakkan saman dari polis trafik. Soalan dan Jawaban: Membiarkan anak saya menanggung akibat perbuatannya Soalan: Anak saya yang berusia 13 tahun mempunyai kecenderungan terhadap tingkah laku yang tidak bertanggungjawab dan yang mementingkan diri. Pada suatu hari, saya bertolak awal dari tempat kerja supaya dia boleh pergi ke sesi uji bakat bagi tujuan mengambil bahagian dalam drama pentas muzikal. Namun demikian, dia tidak datang dan kawannya memberitahu bahawa dia sedang melepak dengan kawan-kawan kelasnya di bilik pancaragam. Saya cuba menhubunginya melalui telefon dan menunggu selama 15 minit dan lepas itu, saya balik kerja. Dia terlepas sesi uji bakat dan terpaksa menunggu di sekolah hingga pengakhiran hari bekerja. Saya berpendapat bahawa keputusan saya adalah betul tetapi ibu bapa yang lain berpendapat bahawa saya terlalu tegas. Sekarang saya berasa ragu-ragu. Apa pendapat anda? Jawaban: Tindakan anda memang berani dan dapat memberi galakan yang besar kepada ibu bapa yang memerlukan inspirasi. Malangnya, kita sedang menyaksikan kecenderungan beberapa tahun belakangan ini di mana ibu bapa ‘berfungsi berlebihan’ bagi pihak anak-anak. Contoh biasa ialah ibu bapa menjalankan tugasan yang sepatutnya dilakukan oleh anak. Contoh yang lain ialah tidak membenarkan anak mereka melalui pengalaman tidak selesa atau yang tidak menyenangkan yang dapat membina akhlak anak-anak. Apa yang disangka sebagai ‘membantu’ sebenarnya ‘membantut’ pembesaran anak-anak dari segi menyediakan mereka menjadi orang dewasa yang bertanggungjawab dan boleh berdikari. Malangnya, bila ibu bapa ‘berfungsi berlebihan’, mereka akan mendapat anak-anak yang menjadi orang dewasa yang ‘kurang berfungsi’. Oleh itu, kuatkan pendirianmu! Tindakan anda membiarkan anak anda mengalami akibat yang menyusul dari kelakuan yang buruk dan mementingkan diri adalah tindakan yang bersifat penyayang. Terus berusaha sebegini dan besar kemungkinannya, dia akan berterima kasih kepada anda pada suatu hari kelak. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.
Tingkah Laku dan Akibatnya content media
2
0
61
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Apr 06, 2023
In Keluarga
Soalan: Apakah penyelidikan memberitahu kita tentang keperibadian bayi baru lahir? Jawapan: Salah satu kajian terbesar yang pernah dijalankan memakan masa tiga dekad. Kajian tersebut diberi nama New York Longitudinal Study dalam kertas kajian para sarjana dan diketuai oleh pakar psikologi Stella Chess dan Alexander Thomas. Chess dan Thomas mencatatkan kesimpulan mereka dalam buku berjudul Know Your Child, yang ditujukan kepada para ibu bapa. Mereka mendapati bahawa bayi yang baru dilahirkan bukan sahaja berbeza secara ketara, tetapi perbezaan tersebut cenderung untuk kekal sepanjang zaman kanak-kanak. Lebih menarik lagi, mereka memerhati bahawa ada tiga golongan besar atau corak perangai untuk mengklasifikasikan kebanyakan kanak-kanak. Golongan pertama ialah ‘kanak-kanak yang sukar ditangani’. Sifat semulajadi mereka ialah reaksi negatif terhadap orang lain, perubahan ‘angin’ yang sengit, corak tidur dan pemakanan yang tidak teratur, selalu menangis dan ‘buat perangai’ dengan ganas bila marah. Bukankah ini keadaan yang biasa? Beberapa tahun dahulu, saya menggambarkan mereka sebagai kanak-kanak yang mempunyai ‘keazaman tegas’. Golongan kedua dipanggil ‘kanak-kanak mesra’ yang menunjukkan pendekatan positif terhadap orang lain, mudah menyesuaikan diri kepada persekitaran baru, mempunyai masa tidur dan makan yang tetap dan rela mematuhi peraturan. Chess dan Thomas membuat kesimpulan bahawa anak-anak sedemikian selalu membahagiakan ibu bapa, doktor pediatrik dan guru-guru mereka. Saya memberi istilah ‘pematuh’ kepada kanak-kanak sedemikian. Golongan ketiga diberi gelaran ‘lambat panas’ atau ‘pemalu’. Kanak-kanak ini bertindak balas secara negatif terhadap situasi yang baru, dan menyesuaikan diri dengan perlahan. Namun demikian, mereka jarang bersikap keterlaluan seperti kanak-kanak yang sukar ditangani dan biasanya masa tidur dan makan adalah teratur. Bila mereka susah hati atau kecewa, mereka biasanya berundur dari situasi yang mengecewakan dan tindak balas mereka adalah sederhana (dan bukan menjadi marah atau memberontak). Sudah tentu, bukan setiap kanak-kanak yang termasuk dalam salah satu kategori yang disebutkan di atas, tetapi klasifikasi tersebut boleh diguna pakai oleh lebih kurang 65% kanak-kanak. Chess dan Thomas juga menekankan bahawa bayi adalah manusia yang lengkap bila dilahirkan, boleh menjalinkan hubungan dengan ibu bapa dan belajar daripada persekitaran. Saya yakin bahawa ini bukan berita mengejutkan untuk kebanyakan ibu, yang memang tidak percaya kepada teori blank slate yakni manusia umpama batu tulis kosong tanpa kandungan mental dan oleh itu, kesemua pengetahuan datangnya dari pengalaman dan persepsi. Bukan sukar memahami mengapa kesimpulan yang dibuat oleh penyelidikan itu (yang memakan masa yang sangat panjang) telah menaikkan semangat saya. Ia mengesahkan pemerhatian saya sebagai seorang doktor, bukan hanya tentang hakikat bahawa manusia adalah sangat kompleks dalam cara yang menakjubkan tetapi tentang kategori perangai yang dikenal pasti oleh Chess dan Thomas Rencana ini dipetik dengan izin dari Complete Family and Marriage Home Reference Guide. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.
Memahami Sifat Kanak-Kanak content media
1
0
35
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Mar 27, 2023
In Keluarga
Kamu masih ingat malam-malam tanpa tidur, rasa pening selepas melihat dan senyuman lebarnya yang indah dan menyerikan sebuah bilik. Kamu masih ingat suatu ketika dahulu bila hanya fikiran tentang dia memegang tanganmu menyebabkan sesak nafas dan perut mual. Di setengah negara, ia dipanggil malaria. Dalam budaya kita, ia dipanggil cinta romantik. Malah, beberapa tahun dahulu, dua orang doktor menyebut tentang “Liebeskummer” di Kongres Perubatan Dalaman di Wiebasden, Negara Jerman. “Liebeskummer” – sakit cinta – adalah suatu penyakit yang penuh dengan gejala fizikal. Pada ketika ini, adakah kamu tertanya-tanya ke mana hilangnya ‘gejala-gejala’ tersebut? Mengekalkan keterujaan emosi ‘dilamun cinta’ adalah sukar dan meletihkan. Kilaun berpacaran sering diganti dengan realiti seperti kesempitan kewangan dan kain lampin yang kotor. Dorothy Tennov, pakar psikologi yang mengubati beribu-ribu pasangan, menyatakan bahawa cinta romantik secara purata bertahan selama tiga tahun. Adakah ini fakta yang menyedihkan? Jika benar apa yang dikatakannya, dan jika perkahwinan adalah komitmen seumur hidup, kita perlu mengubah pendekatan kita terhadap cinta romantik. Cinta romantik hanya salah satu jenis kasih yang penting dalam perkahwinan. Jika perkahwinan diibaratkan sebagai sebuah rumah, empat jenis kasih melengkapkan rumah tersebut. 1. Batu asas rumah adalah kasih tak bersyarat. Bila agen rumah mengiklankan sebuah rumah, dia jarang mengulas tentang mutu batu asasnya. Tetapi itulah tempat pertama yang dilihat oleh pakar pemeriksa bangunan bila membuat penilaian sama ada sebuah rumah boleh bertahan lama. Kasih tak bersyarat memberi kestabilan untuk perjanjian yang berkekalan. 2. Bingkai rumah melambangkan kasih persahabatan. Komunikasi terbuka, aktiviti yang dilakukan bersama, gelak ketawa, malah air mata memberi ruang untuk cinta pasangan berkembang. Sebenarnya, pasangan berkahwin yang bahagia paling sering menggambarkan hubungan mereka sebagai persahabatan yang paling akrab. 3. Bila batu asas dan bingkai rumah siap dibina, bumbung – atau cinta romantik – ada tempat bertapak. Bumbung melambangkan cinta romantik kerana ia adalah ‘kemuncak’ pengalaman. Ia adalah kasih yang dijana oleh sifat orang yang dicintai, dan penuh dengan keterujaan. Namun demikian, perkahwinan yang berasaskan cinta romantik semata-mata adalah seperti memunggah bahan binaan bumbung ke tapak kosong dan memikirkan bahawa anda mempunyai sebuah rumah. Bila bumbung bocor, kamu tidak menyingkirkan rumahmu; kamu buat kerja pembaikan yang perlu. 4. Akhirnya, perabot yang dibawa masuk ke dalam rumah yang lengkap melambangkan kasih seksual selepas perkahwinan. Kesemua empat jenis kasih ini perlu untuk perkahwinan anda. Tetapi dalam setengah budaya, cinta romantik telah ditinggikan sehingga mengatasi jenis kasih yang lain. Lagu, drama dan puisi telah mendendangkan keindahan cinta romantik sepanjang sejarah. Kini filem dan iklan membuat perkara yang sama. Cinta romantik adalah serba kekurangan bila dibandingkan dengan kasih tak bersyarat yang cirinya adalah pengorbanan diri. Cinta romantik mencari apa yang boleh ia terima; sebaliknya, matlamat kasih tak bersyarat ialah pemberian kepada orang yang dikasihi. Jika cinta romantik dalam perkahwinanmu telah pudar, pertimbangkanlah keadaanmu dengan bijak. Usahakan-lah pembaharuan cinta romantik tersebut. Adakan malam pacaran yang kerap walaupun anda perlu membayar untuk membayar pengasuh menjaga anak-anak. Tulislah surat cinta kepada suamimu. Beli bunga ros untuk isterimu. Anda harus kreatif dalam cara menunjukkan kasih sayang kepada satu sama lain. Buatlah satu senarai ciri-ciri pasanganmu yang pada mulanya membuat anda tertarik kepadanya. Ciri-ciri itu mungkin sudah kurang berseri, tetapi anda boleh mencarinya dengan sedikit ‘penggilapan’. Jika konflik antara anda berdua telah melenyapkan cinta romantik, carilah bantuan untuk menyelesaikan konflik. Selepas beberapa tahun perkahwinan, Donna dan Pete sedar bahawa cinta romantik sudah hilang. Cabaran kerja, pertengkaran yang kerap dan edaran masa telah memudarkan kilauan yang pada mulanya menyinari hubungan mereka. Mereka tidak berputus asa tetapi melihat cinta romantik dengan lebih realistik. Kemudian mereka mengorak langkah ‘membaiki bumbung’. Mereka membuat komitmen untuk berpacaran dua kali sebulan, meluangkan masa setiap hari untuk komunikasi dan berusaha menyelesaikan isu mertua yang sudah bertahun-tahun mengecewakan mereka. ‘Simtom’ cinta romantik tidak sama kuat seperti dahulu kala. Namun demikian, cinta mereka mendalam bila mereka berusaha memajukan perkahwinan mereka. Jika kamu fikir bahawa kamu sudah putus cinta, ia mungkin kerana perkahwinan memerlukan usaha yang gigih. Ingat: lebih sukar pendakian gunung, lebih bagus pemandangannya! Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin. Dipetik dari Focus on the Family’s Complete Guide to the First Five Years of Marriage, diterbitkan oleh Tyndale. Hak cipta © 2006. Focus on the Family. Hak cipta terpelihara. Mempelajari bagaimana menumpukan perhatian kepada kasih sejati oleh pasangan yang berkahwin bila mengharungi dugaan hidup adalah suatu komitmen. Sila ambil Focus on Marriage Assessment (percuma) untuk memahami kekuatan hubungan anda dan bidang yang harus dipupuk dalam setiap musim perkahwinanmu.
Adakah kita sedang Putus Cinta? content media
2
0
73
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Feb 07, 2023
In Keluarga
Oleh Kaylee Cameron Terdapat banyak komplikasi pengguguran dari segi fizikal dan psikologi yang perlu diketahui oleh setiap wanita. “Saya telah menggugurkan kandungan pada usia 17 tahun, dan ia adalah perkara paling teruk yang pernah saya lakukan….” kata Sharon Osbourne, isteri Ozzy Osbourne dan personaliti TV anti-konservatif yang lantang bersuara, dalam rancangan televisyen The Rock of the Osbournes. “Masa itu saya sangat takut. [Klinik pengguguran kandungan] penuh dengan gadis-gadis muda yang lain, dan kami semua dalam ketakutan dan berpandangan antara satu sama lain, dan semua orang berbisu. Saya melolong sepanjang pengalaman pahit tersebut, dan ia amat dahsyat.” Dia memperincikan komplikasi selepas pengguguran dengan berkata, “Saya tidak akan mengesyorkan [pengguguran] kepada sesiapa kerana ia kembali menghantui anda. Apabila saya cuba melahirkan anak, saya kehilangan tiga orang. Saya fikir ia adalah kerana sesuatu telah berlaku pada serviks saya semasa pengguguran. Bukan hanya Osborne yang menghadapi keadaan sedemikian. Kajian menunjukkan peningkatan risiko keguguran untuk wanita yang pernah menggugurkan kandungan, dan ini hanya merupakan permulaan pelbagai komplikasi yang mungkin berlaku. Walaupun bilangan wanita yang menjalani pengguguran agak tinggi, terdapat banyak kesan negatif yang jarang disentuh dalam perbincangan peribadi dan politik. Begitu ramai wanita yang menderita, namun suara mereka terus disenyapkan. Mereka tidak harus menyerahkan diri kepada risiko fizikal dan psikologi yang diakibatkan oleh pengguguran tanpa pengetahuan yang penuh. Komplikasi Fizikal Pengguguran Pengguguran dilation and curettage (D&C) adalah antara pembedahan yang paling kerap dilakukan di Amerika Syarikat. Namun, kekerapan tidak menghapuskan potensi komplikasi fizikal yang serius untuk wanita. Kesan sampingan mungkin termasuk pendarahan, penembusan rahim, jantung berhenti secara mengejut, kejutan endotoksik, kecederaan pada organ bersebelahan, jangkitan yang mengakibatkan kemasukan ke hospital, konvulsi, kehamilan ektopik, luka pada serviks, pecah rahim dan juga kematian. 20 peratus wanita selepas pengguguran mengalami gejala-gejala tersebut dan kesan sampingan yang lain yang ringan atau yang lebih serius. Kajian lain menunjukkan bahawa tanda-tanda jangkitan terjadi dalam lebih daripada 29 peratus pengguguran. Adalah penting untuk mengambil perhatian bahawa undang-undang tidak mewajibkan pelaporan pengguguran, dan oleh itu data itu mungkin tidak lengkap. Sebagai rujukan, Pertubuhan Kesihatan Sedunia menggunakan pengganda dua apabila membincangkan komplikasi dan statistik pengguguran. Risiko Prosedur Walaupun nampaknya kurang berbahaya, kajian yang dilakukan oleh Food and Drug Administration (FDA), Amerika Syarikat menyimpulkan bahawa pengguguran yang menggunakan ubat mempunyai kadar komplikasi empat kali ganda berbanding dengan pengguguran melalui pembedahan. Maknanya dua pertiga wanita yang melakukan pengguguran awal lebih berkemungkinan mengalami kesan sampingan yang negatif. 10 hingga 15 peratus pesakit akan mengalami pengguguran yang tidak lengkap atau hanya pembuangan sebahagian daripada tisu bayi. Jika tisu yang tinggal tidak keluar dari badan wanita, ia biasanya memerlukan doktor dengan forsep yang memulakan hemostasis (penguncupan yang mirip proses bersalin). Tidak termasuk kaedah penyingkiran, pengguguran yang tidak lengkap menyebabkan pelbagai komplikasi, seperti renjatan, rahim pecah atau tertebuk, kegagalan organ pelbagai sistem, ketidaksuburan dan pendarahan teruk. Kesan pada Kehamilan Masa Depan Pengguguran juga boleh menjejaskan kesuburan dan kehamilan pada masa hadapan. Pertama, wanita selepas pengguguran adalah 2.7 kali lebih berkemungkinan untuk melahirkan anak dengan berat lahir yang sangat rendah. Kemungkinan kehilangan bayi semasa bersalin, atau kelahiran mati, adalah 3.3 kali lebih tinggi untuk kehamilan berikutnya bagi wanita yang pernah melakukan pengguguran, dan peluang untuk bersalin pramatang meningkat dua kali ganda. Placentia previa, di mana plasenta bayi meliputi serviks, meningkat 70 peratus selepas satu pengguguran dan 200 peratus selepas pengguguran berganda. Pengguguran juga mengakibatkan kemungkinan 30 hingga 99 peratus lebih tinggi untuk pendarahan semasa kehamilan berikutnya, meningkatkan risiko kematian perinatal. Kemungkinan kehamilan ektopik iaitu implan telur yang disenyawakan dan berkembang di luar rahim, adalah 1.8 kali lebih tinggi. Komplikasi Pengguguran dari segi Psikologi Kajian Finland pada tahun 2011 menyatakan kesan psikologi negatif pengguguran menunjukkan “pengabaian yang besar” iaitu sekurang-kurangnya satu pertiga daripada responden mengalami gejala seperti kemurungan, ketakutan tentang ketidaksuburan, tabiat pemakanan yang tidak normal, penurunan harga diri, mimpi buruk, rasa bersalah dan penyesalan. Dalam salah satu kajian pasca pengguguran yang paling lama dijalankan, penyelidik mendapati bahawa emosi negatif meningkat dan kepuasan tentang keputusan yang dibuat merosot dalam tempoh 5 tahun. Fakta membuktikan bahawa terdapat risiko dua kali ganda untuk bunuh diri dan skor kebimbangan Hospital Anxiety and Depression Scale (HADS) yang jauh lebih tinggi untuk mereka yang menggugurkan kandungan berbanding mereka yang mengalami keguguran. Penyalahgunaan dadah atau alkohol adalah perkara biasa juga; wanita yang menamatkan kehamilan mereka adalah 5 kali lebih berkemungkinan menyalahgunakan dadah atau alkohol berbanding mereka yang melahirkan anak. Di samping itu, apabila membandingkan wanita yang kehilangan bayi melalui keguguran, kehamilan ektopik atau kelahiran mati, wanita selepas pengguguran adalah 4 kali lebih berkemungkinan mengakui penyalahgunaan dadah atau alkohol. Bukan sahaja 30 peratus wanita bimbang bahawa pengguguran akan menjejaskan kesuburan, tetapi kebahagiaan kekeluargaan mungkin lebih sukar dicapai. Kajian ini mendapati kekerapan keagresifan terhadap kanak-kanak yang lebih tinggi. Kesan kepada keluarga tidak berakhir di situ; kajian menunjukkan bahawa pengguguran dan/atau sebarang kejadian perancangan keluarga luar tabii meningkatkan kemungkinan perceraian sehingga dua kali ganda. Oleh sebab kurang perhatian media dan kurang pelaporan komplikasi pengguguran, ramai wanita tidak menyedari bahaya yang berkait dengan pengguguran. Ia bukan sahaja mungkin mendatangkan kemudaratan kepada wanita, tetapi ia memberi impak yang ketara kepada orang-orang di sekelilingnya dan generasi akan datang. Walaupun pengguguran mengambil satu nyawa, ia juga memusnahkan orang lain. Sudah tiba masanya untuk memaklumkan wanita tentang apa sebenarnya pengguguran – kemusnahan kehidupan yang menyamar sebagai ‘pilihan’. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan izin.
Komplikasi Pengguguran content media
2
0
17
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Nov 30, 2022
In Keluarga
Oleh Mark A. Mayfield Terdapat perbezaan yang ketara antara interaksi yang tidak sihat dan penderaan secara lisan atau emosi. Pasangan suami isteri perlu faham dan mengenali perbezaan tersebut. Apakah tanda-tanda penderaan? Isteri saya, Sarah, dan saya berada di dapur pangsapuri kami yang seluas 800 kaki persegi. Saya sedang bersiap untuk pergi kerja apabila dia bertanya tentang jadual saya untuk hari itu. “Betul ke? Saya telah memberitahu anda jadual saya semalam!” saya mengherdik. Ketika itu, saya dan Sarah baru berkahwin selama 10 bulan dan dikurniakan cahaya mata. Saya sedang menangani dua pekerjaan di samping belajar di beberapa kelas seminari. Tekanan, malam tanpa tidur dan kekurangan komunikasi yang sihat mengakibatkan persekitaran yang tegang. Kami tidak sering bergaduh, tetapi apabila kami melakukannya, ia adalah perang habis-habisan. Pagi itu saya membentak kerana saya telah berasa diketepikan, diabaikan dan tidak penting, tetapi apa yang diharapkan saya tidak realistik. Sarah tidak ingat perbualan kami dari malam sebelumnya kerana kurang tidur dan kabut mental kerana menjaga bayi yang baru lahir. Walaupun reaksi saya adalah tidak bertimbang rasa, defensif dan negatif, ia tidak bersifat mendera. Pada petang itu saya mengenali perkara yang mencetuskan reaksi saya dan menyedari betapa buruknya saya mengendalikan situasi itu. Saya mengakui kelakuan saya dan meminta maaf kepada Sarah. Orang sering bertanya kepada saya, “Bilakah corak komunikasi negatif menjadi penderaan?” dan “Bagaimanakah anda mengenali tanda-tanda penderaan emosi dan secara lisan dalam perkahwinan?” Ramai orang menunjukkan gaya komunikasi yang lemah yang tidak boleh diterima, dan kaunseling boleh membantu. Tetapi terdapat perbezaan yang jelas antara komunikasi yang tidak sihat dan penderaan. Pertengkaran atau perselisihan faham boleh menyebabkan orang berasa sedih, tetapi itu tidak semestinya penderaan. Sebaliknya, seorang pasangan mungkin menunjukkan kecenderungan untuk mendera, tetap pasangan yang lain boleh menganggap atau memaafkannya sebagai sebahagian daripada pertengkaran atau perselisihan faham. Pasangan suami isteri perlu mengenali dan memahami perbezaan tersebut. Mari kita lihat apakah penderaan emosi dan secara lisan: Tanda-tanda penderaan lisan Para kaunselor sering menggunakan istilah penderaan emosi dan lisan untuk menggambarkan hubungan yang berunsur penderaan yang tidak melibatkan kecederaan fizikal. Ramai orang menggunakan istilah-istilah tersebut secara bergantian. Walaupun terdapat sedikit perbezaan antara kedua-dua istilah tersebut, saya biasanya menganggap penderaan lisan sebagai sebahagian penderaan emosi kerana penderaan secara lisan (misalnya, panggilan nama yang menjatuhkan martabat seseorang dan cakap-cakap yang merendahkan maruah) menjejaskan emosi secara mendalam. Berikut adalah beberapa contoh penderaan lisan: • Ugutan secara lisan: “Jika anda tidak melakukan ………… untuk saya, saya akan pastikan hidup anda sengsara, (nama yang merendahkan maruah) bodoh.” • Sifat agresif secara lisan: “Apa yang kamu katakan? Ingat apa yang berlaku lepas awak cakap macam tu?” • Penghinaan secara lisan : “Wah! Itu benar-benar bodoh. Apa yang awak fikirkan? Oh tunggu! Awak memang tidak berfikir.” Ini adalah panggilan nama yang menjatuhkan martabat seseorang dan sering berlaku di khalayak ramai atau di hadapan keluarga. Dalam hubungan yang berunsur penderaan yang teruk, interaksi pasangan boleh menjadi lebih jelas. Apabila seorang suami memanipulasi isterinya dengan intimidasi lisan, sifat agresif dan penghinaan, dia memperkecilkan identiti, tujuan, harga diri dan maruah isteri. Jenis penderaan ini mungkin berkembang secara halus dari semasa ke semasa dengan tingkah laku seperti menyalahkan, memalukan, sindiran sengit, sabotaj, penghinaan dan panggilan nama yang merendahkan maruah. Si suami boleh mengancam keselamatan isteri, mengasingkannya atau enggan berpuas hati dengan apa sahaja yang dikatakan atau dilakukannya. Sudah tentu, isteri juga boleh menjadi pendera dalam hubungan itu juga. Penderaan lisan boleh menjadi terang-terangan dan agresif, dicirikan dengan menjerit atau membuat ugutan. Atau ia boleh berlaku secara halus, menghasilkan satu bentuk manipulasi yang dipanggil gaslighting (lihat berikutnya). Tanda-tanda penderaan emosi Walaupun penderaan emosi dan lisan berjalan seiring, beberapa tanda amaran hubungan yang berunsur penderaan emosi adalah jika pasangan anda: • Menggunakan sindiran untuk menyakiti anda. Dalam hubungan yang berunsur penderaan emosi, pasangan akan menggunakan sindiran untuk merendahkan, menghina dan mengkritik tetapi menyamarkannya sebagai “bergurau”. • Berkeras ingin tahu lokasi anda 24 jam setiap hari. Terdapat perbezaan antara mengetahui di mana pasangan anda berada dan menguruskan secara terperinci setiap pergerakannya. Saya dan Sarah sering menghantar mesej teks untuk kekal berhubung, tetapi masa itu kami melampaui batas. Kini kami menggunakan aplikasi telefon pintar yang menjejaki lokasi hanya untuk memastikan pasangan selamat. • Fokus pada kelemahan dan memperkecilkan pencapaian. Makanan tidak pernah dimasak dengan betul, tuala tidak dilipat dengan betul, rumah tidak pernah cukup bersih, anda tidak pernah mendapat gaji yang cukup. Tidak ada yang cukup baik. Apabila anda mencapai sesuatu, ia akan segera diketepikan, diperkecilkan atau diabaikan. Tuduhan bahawa anda tidak pernah melakukan apa-apa yang betul adalah ciri perhubungan yang menderakan emosi. • Enggan memberi benda yang baik untuk menghukum anda. Dalam perkahwinan yang sihat, seorang pasangan tidak menghukum yang lain dengan keengganan memberi atau menggunakan kasih sayang, seks atau wang sebagai alat tawar-menawar. Sudah tentu, ia tidak bermakna pasangan tidak bergelut dengan perbezaan dalam bidang ini. • Berubah dari panas ke sejuk tanpa sebab. Jika pasangan anda mengalami perubahan ‘angin’ yang ketara dan tidak mengalami gangguan bipolar, dia mungkin seorang pendera. Anda mungkin menggambarkan tingkah lakunya sebagai watak Jekyll–and–Hyde iaitu kadangkala berkelakuan baik dan kadangkala buruk. Selain dari tindakan dan komunikasi pasangan anda, tingkah laku dan emosi anda sendiri boleh menunjukkan bahawa anda berada dalam hubungan yang berunsur penderaaan emosi: Anda sangat berhati-hati untuk mengelakkan konflik. Anda cuba untuk tidak menimbulkan masalah atau mencipta masalah. Tingkah laku anda mungkin kelihatan baik, berbelas kasihan dan bertimbang rasa dari luar, tetapi anda mengorbankan keperluan dan identiti anda sendiri untuk mengelak menyusahkan pasangan anda. Anda meminta maaf walaupun tidak melakukan apa-apa kesalahan. Pembelajaran bagaimana mengakui kesilapan dan meminta maaf adalah kunci kepada perkahwinan yang sihat. Tetapi dalam perkahwinan yang bersifat penderaan, ia adalah berat sebelah. Selalunya, anda yang meminta maaf untuk segala-galanya, walaupun anda tidak melakukan apa-apa kesalahan. Anda berasa kasihan kepada pasangan walaupun dia menyakiti anda. Jika anda mengenali dan bersetuju dengan perkara ini, tetapi masih memberi alasan dan mempertahankan kelakuan pasangan, anda mungkin berada dalam perkahwinan yang berunsur penderaan. Perasaan kasihan terhadap pasangan anda adalah gejala yang sukar untuk difahami dan diproses. Tanda-tanda penderaan emosi yang halus Walaupun penderaan emosi yang terang-terangan mudah dikenali, sesetengah tingkah laku penderaan sukar dikesan. Satu jenis penderaan emosi yang halus dikenali sebagai gaslighting. Ini adalah apabila seseorang memanipulasi orang lain untuk mempersoalkan kewarasannya sendiri. Berikut adalah beberapa tanda gaslighting: • Pasangan anda memberi kasih sayang tetapi kemudian tiba-tiba menarik baliknya. • Pasangan anda menegaskan perkara tidak berlaku seperti yang anda lihat, dan dia sentiasa mempunyai pandangan yang berbeza tentang realiti. • Pasangan mengaitkan motif tindakan anda dengan perkara yang bertentangan dengan niat anda. • Anda cuba untuk menjelaskan perasaan anda, tetapi pasangan anda meremehkan dan menyalahkan anda kerana bertindak balas secara berlebihan. • Anda mempersoalkan kepercayaan dan pendapat anda. • Anda menyunting setiap perkataan sebelum anda bercakap, menukar apa-apa yang mungkin disalah ertikan oleh pasangan anda. • Hubungan anda mengalami ketidakseimbangan kuasa: Pasangan anda membuat semua keputusan dalam hubungan itu. • Kebanyakan interaksi membuatkan anda berasa tidak penting atau malu. Ini bukan senarai yang lengkap, dan sebenarnya, gaslighting mungkin sukar untuk dikenali. Contohnya, dalam perhubungan yang bersifat penderaan, anda mungkin sering meminta maaf tanpa mengetahui apa kesalahan anda. Tetapi apabila pasangan yang menganiaya sedang melakukan gaslighting, dia akan memutarbelitkan situasi untuk menjadikannya kelihatan seperti itu salah anda. Anda tidak sedar anda sedang dimanipulasi sehingga boleh mendapatkan perspektif yang betul tentang masalah anda. Sila dapatkan bantuan profesional jika anda atau seseorang yang anda kenali berada hubungan yang disyaki berunsur gaslighting. Dapatkan bantuan untuk sebarang penderaan Kami sering menilai pelbagai jenis penderaan mengikut tahap keselamatan atau keterukan tetapi kadangkala memandang remeh penderaan yang bukan fizikal. Sebarang bentuk penderaan – sama ada fizikal, emosi atau lisan – tidak boleh dipandang ringan. Jangan gunakan artikel ini sebagai senarai diagnostik untuk membantu anda menyifatkan pasangan anda sebagai pendera jika dia hanya bergelut dengan komunikasi atau penyelesaian konflik. Gunakannya untuk membantu anda mengenal pasti sama ada anda atau seseorang yang dikenali berada dalam perkahwinan yang berunsur penderaan emosi atau lisan dan memerlukan sokongan. Sokongan boleh datang daripada mentor, rakan, kaunselor bertauliah atau kumpulan sokongan individu yang sedang pulih daripada situasi penderaan yang serupa. Jika tingkah laku pasangan anda bertambah buruk dan anda mula berasa tidak selamat secara fizikal, pertimbangkanlah semua pilihan anda untuk memastikan keselamatan anda. Tanya kaunselor tentang sumber di kawasan anda. Rujuk kepada ahli terapi bertauliah untuk membantu anda menilai keadaan. Dapatkan sokongan dan keselamatan untuk membantu menamatkan kitaran penderaan dalam perkahwinan anda. © 2019 Mark Mayfield. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.
Tanda-tanda Penderaan Emosi content media
1
0
25
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Oct 24, 2022
In Keluarga
Oleh Glen T. Stanton Ramai yang tersilap anggap bahawa bersekedudukan adalah cara berkesan untuk menguji kemungkinan suatu bakal perkahwinan akan berjaya. Tetapi adakah perbuatan bersekedudukan langkah bijak untuk pasangan yang inginkan perkahwinan yang sihat dan bertahan lama? Bersekedudukan – tinggal bersama tanpa berkahwin – telah menjadi lebih popular sejak enam dekad yang lalu. Sejak 1960, bilangan pasangan yang bersekedudukan telah meningkat hampir dua puluh kali ganda di Amerika Syarikat. Dua dekad yang lalu telah menyaksikan penambahan yang pesat, dengan peratus pasangan bersekedudukan bertambah kira-kira 50 peratus sejak pertengahan tahun 1990-an. Dari segi angka, ini adalah pertambahan lebih daripada dua kali ganda. Kini, lebih daripada 60 peratus perkahwinan adalah terdiri daripada orang yang pernah bersekedudukan dengan pasangan mereka atau dengan orang lain pada suatu masa dahulu. Kebanyakan orang tersilap percaya bahawa bersekedudukan adalah cara berkesan untuk menguji suatu bakal perkahwinan untuk menentukan sama ada pasangan itu serasi. Tetapi adakah bersekedudukan langkah bijak untuk pasangan yang inginkan perkahwinan yang sihat dan bertahan lama? Adakah ia ujian yang baik? Adakah ia membantu membina hubungan yang lebih kukuh dan sihat? Berita baik ialah kita tidak payah tertanya-tanya tentang jawaban kepada soalan-soalan penting ini. Banyak kajian yang berwibawa dalam bidang sains sosial dari universiti terkemuka di dunia telah menjawab soalan-soalan ini. Keputusannya muktamad. Kajian tersebut membenarkan kita belajar dari pengalaman berjuta-juta orang yang telah bersekedudukan tanpa berkahwin. Marilah kita meneliti soalan-soalan penting yang diajukan tentang bersekedudukan. Bukankah perkahwinan dan bersekedudukan pada asasnya adalah perkara yang sama iaitu seorang lelaki dan seorang wanita mengadakan perkongsian hidup? Para penyelidik memberitahu kita bahawa bersekedudukan tidak sama sekali dengan perkahwinan. Mereka adalah hubungan yang sangat berbeza. Malah, para penyelidik mendapati bahawa tingkah laku orang yang bersekedudukan cenderung menyerupai cara orang bujang hidup dan menangani hubungan mereka. Ahli sosiologi terkemuka, James Q. Wilson menjelaskan, “Para sarjana semakin menganggap bersekedudukan sebagai pengganti keadaan bujang dan bukan alternatif kepada perkahwinan.” Secara ringkasnya, pasangan yang bersekedudukan tidak berkelakuan seperti orang yang berkahwin. Kebanyakan orang tidak sedar bahawa terdapat ketidaksamaan komitmen antara dua jenis hubungan ini yang mewujudkan perbezaan yang penting dan boleh dikesan. Walaupun pasangan mungkin serupa dari segi sosio-ekonomi, pasangan bersedudukan – berbanding dengan pasangan yang berkahwin – cenderung mempunyai: · Hubungan yang kurang sihat dan tidak menentu. · Kadar perpisahan lima kali ganda lebih tinggi. · Dua hingga lima kali ganda lebih tinggi tahap keganasan fizikal dan penderaan emosi yang serius. · Pengurangan perasaan bahagia dan keadilan dalam hubungan mereka. · Dua hingga lapan kali ganda lebih tinggi kadar kecurangan seksual. · Perkongsian kewangan yang kurang saksama. · Kadar kelakuan berisiko yang jauh lebih tinggi, misalnya memandu secara merbahaya dan penyalahgunaan dadah dan alkohol. Tambahan pula, kemungkinan kaum lelaki yang bersekedudukan membantu membuat kerja rumah tangga adalah lebih rendah. Bukankah tinggal bersama suatu ‘pandu uji’ yang bijak untuk bakal perkahwinan? Kamu tidak akan membeli sebuah kereta sebelum memandunya terlebih dahulu, bukan? Jadi, kenapakah anda mahu mengahwini seseorang tanpa melihat bagaimana anda berdua dapat hidup bersama? Ini nampaknya munasabah pada zahirnya, tetapi jawabannya bukanlah apa yang dijangka. Pakar sains sosial jarang mendapat kesimpulan yang begitu muktamad dan konsisten seperti yang dicapai tentang bersekedudukan iaitu ia berkait rapat dengan kemungkinan perceraian yang lebih tinggi. Mereka yang kahwin dengan pengalaman bersekedudukan mempunyai kemungkinan 50 hingga 80 peratus lebih tinggi bercerai, berbanding dengan pasangan berkahwin yang tidak pernah bersekedudukan. Hakikatnya, akibat paling konsisten yang ditunjukkan dalam kajian ialah kaitan antara bersekedudukan sebelum berkahwin dan peningkatan risiko perceraian yang mendadak. Keputusannya sama untuk pasangan yang bersekedudukan pada tahun 80-an, 90-an dan 2000-an, dan juga untuk pasangan yang bersekedudukan pada tahun 60-an dan 70-an. (Ada yang menyatakan bahawa pasangan yang bersekedudukan mempunyai lebih banyak masalah dalam hubungan dengan orang lain kerana stigma budaya. Ini bukanlah satu faktor kerana pada masa kini, hampir tiada stigma untuk mereka yang tinggal bersama tanpa berkahwin.) Suatu rencana yang diterbitkan di Journal of Marriage and Family telah meninjau banyak kajian tentang bersekedudukan serta kejayaan perkahwinan. Kesimpulannya: “Bertentangan dengan kepercayaan yang berleluasa, bersekedudukan secara amnya ada kaitan dengan kesudahan negatif dari segi kualiti dan kestabilan perkahwinan.” Adakah ‘memandu uji’ suatu bakal perkahwinan langkah yang bijak? Dua sarjana terkemuka di University of Denver telah membuat ringkasan tentang isu ini: “Kepercayaan bahawa bersekedudukan sebelum berkahwin mengurangkan kemungkinan perceraian tidak mempunyai apa-apa bukti; namun demikian, ia adalah kepercayaan yang dipegang dengan teguh.” Bukankah bersekedudukan lebih adil, memberikan lebih banyak pengaruh dan kebebasan kepada wanita daripada perkahwinan? Perkahwinan secara amnya memanfaatkan lelaki dan wanita dengan sama rata. Namun demikian, buku saya The Ring Makes All the Difference adalah salah satu sumber pertama yang menunjukkan bagaimana dan kenapa bersekedudukan cenderung menjejaskan kaum wanita dengan lebih mendalam daripada kaum lelaki. Seorang wanita yang berkahwin mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dan berpengaruh dalam hubungannya daripada seorang teman wanita yang tinggal bersama. Marilah kita lihat beberapa sebabnya. Harapan palsu: Tidak kira kaum, etnik atau taraf sosio-ekonomi, wanita secara konsisten lebih berkemungkinan percaya bahawa hubungan bersekedudukan adalah langkah menuju perkahwinan. Para lelaki lebih berkemungkinan hanya bersuka ria dan mereka puas hati mengekalkan keadaan sedemikian. Ini bermakna kaum wanita adalah pihak yang mengimpikan sesuatu yang besar kemungkinannya tidak akan berlaku. Komitmen yang tidak sama: Kajian mendapati lelaki yang bersekedudukan kurang komited terhadap hubungan dengan pasangannya sebelum dan selepas perkahwinan, berbanding dengan wanita. Keadaan ini lebih jarang wujud untuk lelaki yang tidak pernah bersekedudukan. Pengkaji University of Denver yang disebutkan di atas memberi amaran, “Wanita mungkin berada dalam keadaan merugikan dari segi kuasa dalam hubungan sebab merekalah yang lebih komited.” Mereka menjelaskan, “Lelaki yang bersekedudukan dengan isteri sebelum berkahwin, secara amnya kurang sikap dedikasi terhadap isteri, walaupun selepas perkahwinan.” Para wanita sekalian, sekiranya anda inginkan suami yang kurang komited, bersekedudukan dengannya sebelum berkahwin adalah salah satu cara yang paling baik untuk mencapai matlamat tersebut. Lebih kuasa untuk lelaki: Walaupun lelaki kurang komited kepada hubungan dan kurang minat berkahwin, dia “mempunyai lebih banyak kuasa untuk menentukan sama ada hubungan tersebut bertukar menjadi perkahwinan,” jelaskan pengkaji-pengkaji dari Bowling Green University di Bowling Green, Ohio. Wanita adalah pihak yang terpaksa bermimpi tentang hari kedatangan cincin pertunangan. Oleh itu, bersekedudukan dengan seseorang adalah cara yang sangat berkesan untuk meningkatkan kemungkinan mendapat pasangan yang: · Kurang komited terhadap perkahwinan anda. · Mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah yang kurang sihat. · Kemungkinan yang lebih tinggi berlaku curang. · Kemungkinan yang lebih rendah menyokong anda dari segi praktikal dan emosi. · Pada keseluruhannya, lebih bersikap negatif dalam hubungan. · Berkelakuan ganas terhadap anda. · Kurang adil dalam perkongsian membuat kerja rumah tangga. Tetapi jika anda ingin mengelakkan gejala buruk tersebut dan mempunyai perkahwinan yang lebih bahagia dan stabil, anda harus menolak bersekedudukan. Soalan dan Jawaban: Tinggal bersama sebelum berkahwin Soalan: Adakah tinggal bersama sebelum berkahwin ujian yang bagus untuk keserasian pasangan? Teman lelaki dan saya berasal dari keluarga yang berpecah belah, dan kami mahu memastikan bahawa hubungan kami tidak akan berakhir dengan perceraian seperti hubungan ibu bapa. Jawaban: Banyak pasangan yang berniat baik percaya bahawa tinggal bersama sebelum berkahwin adalah cara yang baik untuk mengetahui sama ada mereka boleh membina perkahwinan yang teguh. Gerak hati kita seolah-olah menyatakan bahawa ‘pandu uji’ akan memberi semua maklumat yang perlu untuk meramalkan sama ada perkahwinan akan berjaya atau gagal. Malangnya, keadaan sebaliknya yang ditunjukkan bila fakta diteliti. Kajian terbaik menunjukkan bahawa pasangan yang tinggal bersama sebelum berkahwin mempunyai kadar perceraian 50 peratus lebih tinggi dari mereka yang tidak bersekedudukan. Pasangan sedemikian juga mempunyai kadar keganasan domestik yang lebih tinggi dan lebih berkemungkinan terjebak dalam hubungan sulit. Jika terdapat kehamilan dalam pasangan bersekedudukan, lelaki berkebarangkalian lebih tinggi akan meninggalkan hubungan tersebut dalam tempoh dua tahun, meninggalkan seorang ibu tunggal yang terpaksa membesarkan anak tanpa ayah. Pilihan yang lebih baik ialah kaunseling sebelum perkahwinan. Cara terbaik menguji keserasian anda untuk berkahwin ialah berpacaran sekurang-kurangnya setahun sebelum pertunangan. Pada masa yang sama, anda harus mengambil bahagian dalam program kaunseling yang berstruktur yang mempunyai unsur ujian psikologi. Diterjemahkan dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.
Tinggal Bersama sebelum Berkahwin membina Perkahwinan yang lebih kukuh? content media
1
0
32
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Sep 28, 2022
In Keluarga
Oleh Danny Huerta Kasih karunia dan kemaafan perlu untuk rumah tangga yang sihat. Ketahuilah bagaimana kasih karunia dan kemaafan adalah sebahagian tujuh ciri yang perlu dalam keibubapaan. Memberi kasih karunia memang sukar. Otak manusia seolah-olah magnet yang menarik sikap negatif. Kita selalu “tersangkut” menumpukan perhatian kepada fikiran negatif, balas dendam dan bukan pada kemaafan. Namun demikian, kasih karunia dan kemaafan penting untuk wujudnya kasih di sebuah keluarga. Ia bermula dengan sengaja mengutamakan hubungan kita dalam setiap situasi. Kita tidak harus memikirkan tentang salah laku semata-mata tetapi mesti sedar bahawa kita semua adakalanya perlu kasih karunia; jika kita mahu menerimanya, kita mesti memberi. Beberapa tahun dahulu, saya memberi kaunseling kepada seorang ayah yang bergelut dengan isu kemarahan. Semasa kami berbincang, dia mengaku menyimpan perasaan dendam dan marah terhadap ayahnya. Kami berbincang bagaimana ini membelenggu perkahwinannya dan peranannya sebagai ayah. Dia mengambil keputusan membuat senarai perkara untuk memaafkan ayahnya. Dia kemudian melaporkan bahawa tindakan memaafkan memberinya kebebasan yang tidak pernah dialaminya. Dia menjadi lebih berbelas kasihan, akrab dan sabar terhadap isteri dan anak-anak. Jika kasih karunia dan kemaafan adalah ubat penawar sikap negatif, bukankah kita sepatutnya lebih rela memberi penawar tersebut? Ya, memang sukar. Kasih karunia adalah menerima dan menghapuskan “hutang” dari orang yang telah melukai, mengecewakan atau tidak menghormati anda. Ia memerlukan kita memaafkan orang yang kita percaya tidak layak dimaafkan untuk sesuatu luka yang tidak dapat dilupai. Ia bermakna pembebasan sebarang kemarahan yang telah bertapak di hati kita. Bila kanak-kanak belajar bagaimana menangani hidup, hubungan sesama manusia dan emosi, kesilapan dan kekusutan akan berlaku. Kadangkala kita tiada kesabaran untuk menangani kekusutan tetapi bila kita dapat memaafkan anak-anak, suasana kebebasan, keakraban dan kasih diwujudkan. Akhirnya, kanak-kanak mendapat manfaat kasih karunia dan kemaafan dengan cara-cara berikut: Belajar bagaimana memaafkan orang lain Bila hidup kamu adalah contoh kasih karunia, anak-anak belajar bagaimana membebaskan diri dari ketaksuban tentang kesilapan orang lain. Mereka tidak digelincirkan oleh sikap marah, sebaliknya pemberian kemaafan membolehkan mereka mara ke depan. Belajar bagaimana menangani persengketaan dengan berkesan dan membaiki keadaan Kanak-kanak yang dibesarkan untuk memahami kasih karunia dan kemaafan lebih mampu mengatasi persengketaan. Konflik menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang isu-isu dan mempunyai pendapat sendiri; kasih karunia dan kemaafan menunjukkan bahawa mereka mengambil berat tentang hubungan dengan orang lain. Mengalami kebebasan dari perasaan malu dan ketaksuban dengan kesempurnaan Kanak-kanak belajar mengutamakan sikap amanah dan hubungan dengan orang lain dan bukan manipulasi dan kesempurnaan. Mereka menyedari bahawa tiada manusia yang sempurna termasuk diri sendiri. Alami dan pelajari tentang kasih ibu bapa Kanak-kanak belajar bagaimana dan apa yang perlu dibuat untuk membina semula kebolehpercayaan. Mereka juga belajar bagaimana kasih berfungsi. Jika kamu mengasihi seseorang, kamu akan mengetahui kasih karunia dan kemaafan. Dua tahun dahulu, anak perempuan saya berada dalam fasa “memecahkan” perkataan secara kreatif. Dia mengkaji perkataan forgive dan berkata, “Ayah, kemaafan memang adalah hadiah! Lihat, perkataan “for-give”. “For” maksudnya untuk orang lain dan “give” bermakna ia diberi dengan percuma. Kemaafan benar-benar suatu hadiah untuk pemberi dan penerima. Sifat ini membenarkan kasih sayang berkembang maju dalam sebuah keluarga. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Digunakan dengan kebenaran.
Kasih Karunia dan Kemaafan dalam Keibubapaan content media
1
1
35
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Sep 10, 2022
In Keluarga
Oleh Danny Huerta Hormat ialah unsur yang perlu dalam komunikasi dan pembetulan tingkah laku dalam sebuah keluarga. Baca selanjutnya tentang bagaimana hormat ialah salah satu dari tujuh ciri keibubapaan yang berkesan. Keluarga saya sedang beratur untuk ‘roller coaster’ gaya lama di sebuah taman tema. Giliran kami hampir tiba dan apabila sekumpulan orang keluar dari gerabak mereka, seorang budak lelaki terlupa mengambil topinya. Topi tersebut berada di ruang kecil yang digunakan untuk menyimpan barang supaya tidak keluar ketika roller coaster bergerak. Dia berlari balik mendapatkan topi dan tiba-tiba tidak sengaja memotong jalan di depan seorang dewasa. Bila budak itu kembali ke keluarganya, ayah menampar kepala budak tersebut. Saya berasa sedih melihat keadaan ini. Ayah ini mungkin cuba mengajar anak tentang betapa pentingnya menghormati orang lain. Namun demikian, ini adalah kaedah yang berunsur tidak hormat dan tidak berkesan. Sikap menghormati melahirkan sikap hormat dan sikap biadap melahirkan sikap biadap. Hormat ialah unsur yang perlu dalam komunikasi dan pembetulan tingkah laku dalam keluarga. Ibu bapa perlu ada berbagai jenis interaksi dengan anak-anak. Kita mengajar dan mendisiplinkan mereka. Ibu bapa yang bijaksana melayan anak-anak dengan hormat dalam semua jenis situasi. Ini membina nilai diri seorang kanak-kanak. Dan ia sebahagian penting bagaimana anak-anak belajar menghormati orang lain – terutamanya ibu bapa. Kanak-kanak yang dibesarkan dalam persekitaran yang berunsur hormat belajar ciri-ciri penting ini:- Kemaafan dan kasih karunia Dalam keluarga yang mana ahlinya saling menghormati, kanak-kanak belajar bagaimana memaafkan dan menerima kemaafan. Setiap orang, termasuk ibu bapa, melakukan kesilapan dan perlu peluang kedua untuk memperbetulkan kesilapan. Suasana keluarga yang penuh sikap hormat mewujudkan sikap rendah diri dan kasih karunia. Sikap Rendah Hati yang Sejati Kanak-kanak yang diajar sikap menghormati akan belajar bahawa orang lain adalah penting. Mereka mula berfikir tentang orang lain dan bukan hanya diri sendiri, dan sering benar-benar mengambil berat tentang orang lain. Perhatian dan Kesabaran Suasana keluarga yang berunsur hormat mengajar kanak-kanak menumpukan perhatian dan mendengar orang lain – menyedari bahawa apa yang orang lain katakan adalah penting. Mereka belajar menunggu giliran dan tidak berkeras mengikuti kehendak sendiri. Garis Sempadan dan Ketegasan Bila kanak-kanak faham kepentingan menghormati barang kepunyaan dan masa orang lain, mereka belajar menjaga barang yang dipunyai orang lain dan barang sendiri. Kepercayaan Keluarga yang mempunyai unsur hormat membina kepercayaan di kalangan ahlinya, iaitu asas kasih sayang. Sikap hormat mewujudkan perwatakan yang baik, iaitu kelakuan kita bila orang lain tidak melihat kita. Kepercayaan membantu membentuk aliran semula jadi empati, belas kasihan dan kemurahan hati kepada ahli-ahli keluarga. Diterjemah dari Bahasa Inggeris. Hakcipta terpelihara.
Hormat Keibubapaan content media
3
0
37
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Aug 13, 2022
In Keluarga
Oleh Geremy Keeton & Joann Condie Menyembuhkan perkahwinan selepas kerosakan yang disebabkan oleh ketagihan pornografi bukanlah perkara mudah. Perkahwinan yang sihat memerlukan komitmen yang mendalam daripada kedua-dua pasangan. Dan untuk memulihkan perkahwinan yang rosak, kedua-duanya mesti mengambil tindakan. “Saya telah minta maaf, dan saya ikhlas.” Randy memberikan Marcia pandangan malu, kemudian beralih kepada ahli terapi. “Sudah sebulan saya tidak menonton pornografi. Kami telah menghadiri sesi ini selama tiga minggu sekarang. Berapa lama lagi proses ini?” “Ia akan mengambil masa selama yang diperlukan,” kata ahli terapi itu. “Tetapi semakin anda menekan Marcia untuk mempercayai anda, semakin sukar untuk dilakukannya. Anda perlu melihat perkara ini dari perspektifnya. Tingkah laku awak telah melukai hati dia. Perubahan singkat dalam tabiat tidak mencukupi untuk memulihkan kepercayaannya. Anda perlu bersabar dan dengan rendah hati mengikut pelan pemulihan untuk menunjukkan perubahan hati anda.” Ahli terapi memberi isyarat ke arah Marcia, “Untuk memberi Marcia peluang untuk sembuh, anda perlu mewujudkan akauntabiliti dan mendapatkan sokongan kumpulan lelaki yang dipercayai dan kaunselor. Adalah tidak selamat untuk dia meneruskan dengan hidupnya sehingga dia melihat hala tuju tingkah laku anda yang berubah dari segi jangka panjang.” Marcia melipat tangannya dan mengangguk. Pandangan ahli terapi beralih ke arahnya. “Bagi awak Marcia,” katanya, “sejauh yang saya tahu, Randy benar-benar insaf atas apa yang dia lakukan. Ia memerlukan dua pihak Menyembuhkan perkahwinan selepas kerosakan yang disebabkan oleh ketagihan pornografi bukanlah perkara mudah. Dari segi reka bentuknya, perkahwinan yang sihat memerlukan komitmen yang mendalam daripada kedua-dua pihak. Samalah untuk penyembuhan perkahwinan yang terjejas – kedua-dua pasangan mesti mengambil langkah khusus untuk memulihkan hubungan mereka. Sebelum kita mengkaji langkah-langkah khusus itu, kita perlu memahami bagaimana ketagihan pornografi dapat merosakkan kepercayaan. Kepercayaan boleh dipulihkan Kepercayaan itu cair, seperti sungai. Ia mengalir berdasarkan seberapa konsisten ia dipupuk. Ia memerlukan pemberian input setiap hari untuk mengekalkan kepercayaan pada tahap yang sihat. Apabila suami mengaku mempunyai masalah dengan pornografi, kepercayaan menjadi kering. Untuk mengisinya semula, suami mesti menunjukkan sifat amanah melalui tindakan yang boleh diperhatikan. Berita baik ialah sama seperti air boleh mengubah anak sungai kering menjadi sungai yang mengalir, memulihkan kepercayaan akhirnya akan membantu membina hubungan yang berkembang maju. Lama kelamaan, anda dan suami akan mengalami detik-detik kelegaan dan pembaharuan. Tetapi seperti yang Randy sedar, ia mengambil masa lebih daripada beberapa minggu sebelum kepercayaan itu dipulihkan. Selalunya, ia memerlukan usaha membina kepercayaan selama beberapa tahun untuk perkahwinan mencapai tahap di mana kepercayaan penuh dan tidak berbelah bahagi wujud. Apabila ini berlaku, ini adalah hasil daripada pelaburan dalam amalan akauntabiliti yang konsisten dan perkongsian hati melalui banyak perbualan yang telus. Kekal di lorong anda Randy dan Marcia terpaksa belajar bahawa kedua-duanya tidak boleh mengharapkan pasangannya melakukan semua kerja untuk memulihkan perkahwinan. Mereka perlu bekerja bersama-sama untuk memulihkan hubungan mereka. Tanggungjawab suami adalah untuk memulakan tindakan yang membina kepercayaan, hidup dengan amanah dan menyakinkan isteri bahawa tingkah lakunya benar-benar telah menjadi stabil dan berubah. Ini termasuk pelbagai tindakan atau garis sempadan yang ditetapkan yang memastikan kesetiaannya dan membuktikan komitmen jangka panjangnya untuk pemulihan. Sebagai contoh, banyak kumpulan pemulihan lelaki membantu suami mencipta senarai garis sempadan tingkah laku dan akibat pelanggaran untuk membantu mereka mengelakkan godaan yang melampau. Mereka bersetuju untuk mematuhi dan menyemak perkara khusus ini dengan kaunselor dan lelaki yang menyokong mereka dalam kumpulan itu. Jika mereka tergelincir atau mengalami godaan yang kuat, mereka membincangkannya dengan rakan pemulihan mereka dan memutuskan cara untuk bertindak balas dengan lebih baik pada masa hadapan. Perjalanan untuk memahami punca dosa ketagihan mereka ini tidak berlaku dalam sekelip mata. Menentukan apa tindakan yang membina kepercayaan Para isteri, dengan pemberian pendapat anda, suami boleh mempelajari tindakan mana yang paling bermakna kepada anda dan membantu membina kepercayaan. Ini mungkin termasuk suami anda membuat panggilan telefon pantas atau menghantar swafoto yang membuktikan keberadaannya di sesuatu tempat. Ia mungkin bermakna menggunakan teknologi yang tidak begitu canggih dan sekatan komputer atau telefon tertentu untuk seketika waktu. Langkah lain mungkin merupakan menutup akaun media sosial yang bermasalah, memutuskan atau meminimumkan hubungan berisiko dan menukar pekerjaan. Biasanya, suami memerlukan bantuan dan sokongan yang mencukupi untuk mempelajari langkah-langkah ini dan berani mengambilnya. Saya biasanya mengesyorkan agar isteri bertegas dengan tindakan membina kepercayaan yang tidak boleh dirunding ini: suami anda memberi anda akses kata laluan kepada semua peranti dan akaun, dia mendapatkan sokongan dan akauntabiliti lelaki dan dia mendapatkan kaunseling profesional. Bagi anda sebagai isteri, tanggungjawab anda ialah bersedia menerima usaha membina kepercayaan dari pihak suami. Lakukannya tanpa bersikap lembut atau mudah tertipu. Tetapi anda perlu mengakui jika dia memberikan usaha yang benar dan ikhlas dalam perkahwinan anda. Walaupun rekodnya tidak sempurna, anda boleh yakin bahawa hubungan anda adalah penting baginya jika dia ikhlas dan pada umumnya konsisten dalam mengikuti rancangan pemulihannya. Jika anda tidak rela mengampuni atau berdamai, usaha suami untuk mendapatkan kepercayaan anda tidak akan bermakna kepada anda. Begitu juga, jika anda tidak menjaga diri anda secara fizikal, emosi dan rohani, anda tidak akan dapat mengenali atau menerima usaha perdamaian suami anda. Anda tidak akan mempunyai tenaga untuk melihat perubahan dalam tingkah lakunya. Pada ketika itu, anda berdua akan lebih cenderung untuk menyerah kalah dalam perkahwinan anda. Sudah tentu, anda telah melalui banyak cabaran. Anda akan memerlukan masa untuk memproses kesakitan dan apa yang hilang sebelum anda boleh berharap untuk berdamai. Tetapi apabila anda bersedia untuk bergerak ke arah pemulihan, langkah yang perlu diambil termasuk memperkayakan hidup anda, bekerja dengan kaunselor profesional, menjaga keperluan fizikal anda dan mendapatkan bantuan kumpulan sokongan. Anda menghadapi jalan yang sukar dan panjang, tetapi ia boleh dilakukan dan sebenarnya mempunyai ganjaran sepanjang perjalanan. Semasa anda berdua mengambil langkah ke arah pemulihan, anda akan dapat menyaksikan kerja keras dan dedikasi satu sama lain untuk membaiki hubungan anda, dan itu akan memberi anda harapan. Pelbagai isu boleh mencetuskan kebiasaan penggunaan pornografi. Memahami keperluan yang lebih mendalam bagi individu yang terjejas oleh masalah biasa ini adalah penting. Hubungi pembantu yang terlatih, dan jika anda pasangan suami isteri, lakukan bersama-sama. Perubahan boleh dilakukan! Kami boleh membimbing anda semasa anda mengambil langkah pertama anda ke arah pemulihan. Anda boleh menghubungi kami di 03-3310 0792 atau e-mel support@family.org.my © 2018 Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.
Mengembalikan Kepercayaan Selepas Pengakuan Ketagihan Pornografi content media
1
0
40
tang.hangwa
Rising Star
Rising Star
Jun 30, 2022
In Keluarga
Oleh Joe Dallas Selepas mengakui ketagihan pornografi anda kepada isteri, anda perlu membina semula kepercayaan. Ramai lelaki salah cakap. Garis panduan ini akan membantu anda mengetahui perkara yang patut dan tidak patut anda katakan. Dalam kerja saya sebagai kaunselor, saya telah melatih ramai lelaki menjalani proses membina semula perkahwinan mereka selepas kerosakan dan kesan sampingan ketagihan pornografi. Saya telah berjalan bersama mereka melalui pelbagai cabaran, tetapi yang paling sukar dari segi emosi ialah kepedihan yang dialami oleh isteri akibat ketagihan mereka. Menyedari kesilapan anda adalah satu perkara; melihat kesannya kepada orang yang anda cintai adalah perkara berlainan. Sangat perit untuk menyaksikan kesakitan pasangan anda dan mengetahui bahawa anda yang bertanggungjawab. Ini sering menyebabkan suami meminimumkan betapa seriusnya tingkah laku mereka atau memberi alasan untuknya. Tetapi keengganan seorang suami untuk menangani dan mengakui kesakitan isterinya yang mendorong isteri untuk mengeluh, “Adakah dia tahu betapa teruknya dia telah menyakiti saya? Setiap kali saya membangkitkannya, dia menggangapnya remeh atau enggan bercakap mengenainya. Bagaimana kita boleh mara ke hadapan jika dia enggan menghadapi masalah itu?" Wanita dalam situasi ini menghadapi dilema yang dahsyat. Mereka mahu memaafkan, dan sebenarnya menyedari bahawa mereka perlu memaafkan untuk kesihatan emosi dan rohani mereka sendiri. Tetapi mereka tidak boleh memilih untuk mempercayai semula dengan begitu sahaja, kerana kepercayaan yang hancur tidak boleh dibina semula melainkan suami menghadapi kegagalannya dan mengakui betapa parah kegagalan tersebut. Keengganan mengakui kesalahan dengan sepenuhnya hanya akan melumpuhkan proses penyembuhan. Tiga kesilapan yang perlu dielakkan Sepanjang karier kaunseling saya selama 31 tahun, saya telah mendapati tiga kesilapan biasa yang dilakukan oleh lelaki apabila cuba membina semula kepercayaan dalam perkahwinan. “Saya betul-betul minta maaf!” Kesungguhan memang baik dan elok, tetapi memanipulasi keadaan untuk disenangi semula dengan permintaan maaf yang paling hebat adalah kurang matang dan biasanya tidak menyakinkan. Ini tidak bermaksud bahawa air mata yang ikhlas atau ungkapan penyesalan yang mendalam adalah salah. Tetapi adalah tidak adil untuk mengharapkan isteri anda mempercayai bahawa lakinya telah dipulihkan hanya kerana permintaan maaf yang dramatik. Jika anda benar-benar menyesal, katakan demikian dengan semua emosi yang anda rasakan. Tetapi jangan harap kesungguhan sahaja adalah bukti yang cukup untuk menunjukkan bahawa anda tidak akan tersilap lagi. Pengakuan yang paling bersemangat tidak boleh dibandingkan dengan gaya hidup yang konsisten. Taubat sejati hanya dibuktikan melalui perubahan tingkah laku dari segi jangka masa panjang. “”Janganlah pandang terlalu serius, ini perkara biasa bagi lelaki." Jangan fikir walaupun hanya untuk seketika bahawa menggunakan pornografi bukan pengkhianatan terhadap kepercayaan isteri anda. Apabila anda meminimumkan keterukan pengkhianatan itu, anda memberi isteri alasan yang baik untuk berfikir anda akan menggunakannya semula. Jika pornografi hanyalah ‘perkara lelaki’ – dan andailah anda kekal lelaki sepanjang hayat – mengapa dia harus percaya bahawa anda akan berubah? Ungkapan ‘perkara lelaki’ membayangkan bahawa kebanyakan lelaki melihat pornografi, sesuatu yang boleh dipertikaikan. Ia juga bermaksud bahawa jika kebanyakan lelaki melakukannya, ia mesti bukan masalah besar, dan ini tidak tepat. Jika anda ingin memulihkan hubungan yang telah anda rosakkan, anda tidak harus menafikan betapa seriusnya kesalahan yang dilakukan. Apabila dia berkahwin dengan anda, dia mempercayai bahawa anda akan mengatasi naluri asas yang keji, tidak kira betapa berleluasanya naluri tersebut. Anda tidak akan memenangi kembali kepercayaannya dengan memberi alasan untuk tingkah laku buruk dengan mengelakkan tanggungjawab. “Saya sudah minta maaf. Kenapa kita tidak boleh kembali seperti biasa?" Mendesak untuk pemulihan cepat selepas pengkhianatan seksual dan emosi adalah tidak adil dan tidak sensitif, terutamanya jika anda adalah orang yang menjejaskan hubungan anda berdua. Bolehkah anda bayangkan jika seorang lelaki memukul muka isterinya, menjatuhkannya ke tanah, dan kemudian memandangnya dengan tidak sabar dan berkata, “Maaf, sayang, sekarang bangun dan mari kembali seperti biasa?” Permintaan ini adalah keterlaluan. Dengan cara yang sama, adalah keterlaluan bagi seorang suami untuk mendesak isterinya pulih dari pengkhianatan tanpa memberinya masa untuk bersedih dan sembuh. Berilah isteri seberapa banyak ruang dan masa yang dia perlukan untuk menangani kesakitannya. Sementara itu, biarkan dia melihat tingkah laku anda yang berubah dan buktikan kepadanya bahawa sikap anda sekarang berbeza. Masa untuk pemulihan, serta integriti anda yang berkekalan, akan membolehkan dia kembali kepada perkongsian hidup yang sejati dan menyeluruh. Mengubah tingkah laku anda – dan hati – kemungkinan besar bermakna bahawa anda perlu mendapatkan kaunseling dan sokongan untuk menyelesaikan isu yang mendorong penggunaan pornografi anda. Tiga perkara benar untuk diisytiharkan Adalah tidak cukup sekadar mengelak daripada mengatakan perkara yang salah. Semasa anda berusaha untuk membina semula kepercayaan isteri, pastikan anda menyampaikan ketiga-tiga perisytiharan ini. Mulakan dengan pengisytiharan niat, seperti, “Ini adalah langkah-langkah yang akan saya ambil supaya perkara ini tidak akan berulang. Dan ini adalah rancangan saya untuk membina semula ikatan kami dan memulihkan kepercayaan anda.” Kemudian buat pengisytiharan kesedaran, seperti, “Saya faham bahawa saya telah merosakkan hubungan kita, dan membahayakan keluarga kita. Saya sedar ia akan mengambil masa untuk memahami sepenuhnya betapa dahsyatnya kelakuan ini.” Akhir sekali, buatlah pengisytiharan inspirasi, seperti, “Saya menjemput anda untuk mengesahkan bahawa saya akan kerap membina hidup saya, akauntabiliti saya dan komunikasi kami." Pengisytiharan ini akan membantu membuktikan kepada isteri bahawa anda serius tentang mengubah perangai anda, bahawa anda sedang berusaha untuk memahami kesakitan yang anda sebabkan dan bahawa anda sedang memikul bertanggungjawab untuk memperbaiki perkahwinan anda. Selagi anda bersedia untuk mengakui kesilapan dan menunjukkan keprihatinan terhadapnya, serta mengambil langkah-langkah praktikal untuk mengelak daripada mengulangi kesalahan, ikatan dengan isteri anda bukan sahaja akan pulih tetapi menjadi lebih kukuh dari sebelumnya. © 2018 Joe Dallas. Hak cipta terpelihara. Digunakan dengan izin.
3 Perkara Untuk Dikatakan – Dan Tidak Dikatakan – selepas mengakui Ketagihan Pornografi Anda content media
0
0
11

tang.hangwa

Rising Star
+4
More actions
bottom of page