top of page

Cari

3266 results found with an empty search

  • Raja Herodes Risau Apabila Mendengar Kelahiran Yesus

    Apabila mendengar perkara itu, Raja Herodes berasa risau, begitu juga semua penduduk Yerusalem. Raja Herodes memanggil semua ketua imam dan ahli Taurat berhimpun lalu bertanya kepada mereka di mana tempat lahirnya Kristus, Mesias itu. Mereka menjawab, “Di Betlehem, di Tanah Yudea. Hal ini tertulis oleh seorang nabi:   (Matius 2:3-5 AVB) Sewaktu Raja Herodes dan semua penduduk Yerusalem mendengar berita kelahiran Yesus, mereka menjadi sangat risau. Sebab bagi Raja Herodes, kelahiran Yesus akan menggugat kedudukannya sebagai raja. Kelahiran Yesus menyebabkan Raja Herodes menjadi sangat resah dan tidak tenteram. Bagi penduduk Yerusalem pula, kelahiran Yesus turut menimbulkan pengharapan tentang pembebasan mereka daripada penjajahan orang Romawi. Pengharapan ini muncul kerana mereka mahu Yesus menjadi Raja orang Yahudi lalu membawa bangsa Israel kembali menjadi bangsa yang unggul seperti pada zaman Raja Daud dan Raja Salomo. Kerisauan Raja Herodes timbul kerana kelahiran Yesus di dunia ini akan menjadikan Dia sebagai Raja bagi orang Yahudi. Hal ini merupakan satu ancaman yang sangat besar terhadap kekuasaannya sebagai raja. Dengan itu, dia membuat rancangan di dalam hatinya yang tidak diketahui oleh sesiapa pun untuk membunuh Anak itu. Akan tetapi, Tuhan mengetahui rancangan di dalam hatinya. Oleh itu, Tuhan berfirman kepada orang Majus melalui mimpi agar mereka tidak kembali kepada Raja Herodes. Orang Majus pun menggunakan jalan lain untuk pulang ke tempat asal mereka. Oleh itu, janganlah risau tentang kelahiran Yesus kerana kelahiran Yesus pasti akan membawa berkat yang besar bagi hidup kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon agar Engkau memberi aku damai dan sukacita sewaktu aku melihat orang lain diangkat oleh Tuhan dalam hal-hal tertentu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Menjadi Serupa Dengan Kristus

    Oleh Rev Thenny M. Ali

  • Natal

    Selamat Hari Natal saya ucapkan kepada kita semua. Setelah hampir setahun kita lalui pada tahun ini (2024), pasti kita telah melalui pelbagai keadaan sepanjang tahun ini. Walaupun demikian, kita tidak pernah hilang harapan sepanjang perjalanan hidup kita kerana kita memiliki Tuhan yang sangat setia dalam hidup ini, yang tidak pernah meninggalkan kita. Sempena Natal tahun ini, sekali lagi kita diingatkan tentang kelahiran Yesus di dunia ini yang membawa sebuah misi untuk setiap individu. Misi keselamatan bagi setiap diri kita agar kita tidak binasa kerana dosa-dosa kita, sebaliknya menerima hidup yang kekal. Natal adalah tentang kelahiran Yesus di dunia ini, yang memberikan setiap kita sebuah harapan untuk masa depan. Harapan yang tidak akan mengecewakan, tetapi harapan yang memberikan keyakinan dan jaminan terhadap kehidupan masa depan kita. Oleh itu, marilah kita datang kepada-Nya dengan hati yang bersyukur dan berterima kasih atas kasih setia-Nya kepada kita selama ini. Kita hidup kerana anugerah-Nya; segala-galanya adalah hasil kasih-Nya. Oleh itu, sembahlah Dia selama kita hidup di dunia ini. Ingatlah bahawa Dia adalah Tuhan yang dekat dengan kita, Tuhan yang sentiasa bergaul dengan kita, dan Tuhan yang sentiasa menyertai kita. Rayakanlah Natal dengan cara yang memuliakan nama Tuhan, kerana Dialah sebab kita ada pada hari ini. Hidup ini adalah anugerah daripada-Nya; terpujilah nama-Nya. “..Maria akan melahirkan seorang anak lelaki. Namakanlah anak itu Yesus. Dia akan menyelamatkan umat-Nya daripada dosa mereka..” — Matius 1:21 Doa: Terima kasih Tuhan Yesus atas anugerah-Mu yang sangat besar dalam hidup saya selama ini. Oleh kasih-Mu, saya hidup pada hari ini dan menikmati segala yang ada. Peganglah tangan saya, Tuhan, dan tuntunlah hidup saya agar saya sentiasa berjalan dalam jalan-Mu sepanjang hidup ini. Biarlah sinar harapan akan masa depan dalam Tuhan Yesus sempena Natal tahun ini memancar dalam hidup saya. Dalam nama Tuhan Yesus saya berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Kami Melihat Bintang-Nya Muncul Di Timur

    Yesus dilahirkan di Betlehem, di Tanah Yudea, semasa pemerintahan Raja Herodes. Tidak lama kemudian datanglah beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur ke Yerusalem. Mereka bertanya, “Di manakah Anak yang baru lahir, yang akan menjadi Raja orang Yahudi? Kami melihat bintang-Nya muncul di Timur, dan kami datang hendak menyembah-Nya. (Matius 2:1-2 AVB) Apabila beberapa orang ahli ilmu bintang dari Timur melihat bintang muncul di Timur, mereka pun datang ke Yerusalem. Sebab mereka tahu bahawa seorang bayi yang baru lahir akan menjadi Raja orang Yahudi. Oleh itu, mereka datang ke Yerusalem dengan tujuan untuk menyembah-Nya. Siapakah ahli ilmu bintang dari Timur? Ahli ilmu bintang dari Timur dipanggil orang Majus. Dalam bahasa Yunani mereka disebut Magos , sementara dalam bahasa Inggeris disebut Magi yang bermaksud ahli dalam ilmu bintang dan mahir untuk mentafsirkan mimpi. Mereka merupakan sejarawan dari Yunani Kuno dan berasal daripada Suku Madai di wilayah tanah jajahan Parsi. Ahli ilmu bintang dari Timur ini datang ke Yerusalem untuk mencari dan menyembah Anak yang baru dilahirkan. Mereka membawa hadiah yang sangat berharga untuk dipersembahkan kepada Anak itu kerana mereka telah melihat bintang yang muncul di Timur. Persoalannya bagi kita, adakah orang di sekeliling kita dapat melihat tanda kelahiran Yesus dalam hidup kita pada hari ini sehingga mereka terdorong untuk datang ke gereja untuk menyembah Dia? Siapakah yang dilihat orang dalam hidup kita atau di gereja kita pada hari ini? Apakah Yesus atau hal-hal yang lain? Marilah kita selidiki diri kita. Biarlah kelahiran Yesus kelihatan dalam hidup kita hari ini. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan diriku kepada-Mu. Pakailah hidupku demi kemuliaan-Mu, agar orang lain dapat melihat Engkau dan datang kepada-Mu kerana mereka melihat hadirat-Mu dalam hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Yusuf Mematuhi Kehendak Tuhan

    "Apabila Yusuf terjaga, dia pun mematuhi apa yang disampaikan oleh malaikat Tuhan itu lalu berkahwin dengan Maria."  (Matius 1:24 AVB) Ketika Yusuf bangun daripada tidurnya, dia pun melakukan apa yang diperintahkan Tuhan melalui malaikat Tuhan kepadanya. Dia dengan segera menikahi Maria, namun tidak bersetubuh dengannya sehingga Maria melahirkan Yesus. Pada zaman Yusuf, seorang gadis yang hamil sebelum bernikah membawa aib besar dan akan dijatuhi hukuman mati (Ulangan 22:23, 24). Sebab dalam kebudayaan orang Yahudi, tiga tahap perkahwinan diiktiraf. Pertama, keputusan bertunang dibuat atas persetujuan kedua-dua belah pihak keluarga. Kedua, keputusan ini akan diumumkan kepada orang ramai lalu terikatlah tali pertunangan. Namun begitu, pasangan itu belum boleh bersetubuh. Pada tahap ketiga barulah kedua-duanya boleh hidup bersama. Jadi, apa yang terjadi kepada pertunangan Yusuf dan Maria ialah mereka belum sampai kepada tahap ketiga. Oleh itu, menurut hukum Taurat yang diamalkan oleh orang Yahudi, wanita yang hamil sebelum perkahwinan (perzinaan) akan menerima hukuman mati (direjam hingga mati). Oleh sebab Yusuf mematuhi perintah Tuhan, dia menerima Maria sebagai isterinya, namun dia tidak bersetubuh dengan Maria sehingga Maria melahirkan anak. Secara manusiawi, Yusuf boleh menceraikan Maria, tetapi atas perintah Tuhan melalui malaikat-Nya, Yusuf mengambil Maria sebagai isterinya. Apakah halangan yang sedang anda hadapi demi mengikut perintah Tuhan dalam hidup anda hari ini? Marilah datang kepada Tuhan, minta bimbingan-Nya, dan patuhi apa yang diperintahkan Tuhan kepada kita. Yakinlah bahawa Tuhan pasti akan memimpin kita kepada hal-hal yang baik bagi hidup kita. Janganlah ragu-ragu akan perintah Tuhan dalam hidup kita, kerana Tuhan mengetahui apa yang baik bagi masa depan kita. Dengan itu, patuhilah apa yang diperintahkan-Nya kepada kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu. Ajarlah aku untuk mentaati perintah-Mu dan pakailah aku selagi aku masih hidup untuk menjadi berkat. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Efata

    Oleh Pr Saniel Angkot

  • Pertimbangan Yang Tidak Diperkenan Tuhan

    [Yusuf] memikirkan hal itu sehalus-halusnya. Suatu malam dia bermimpi bahawa malaikat Tuhan memperlihatkan diri kepadanya lalu berkata, “Hai Yusuf, anak Daud! Janganlah takut mengambil Maria sebagai isterimu kerana anak di dalam kandungannya adalah daripada Roh Kudus.   (Matius 1:20 AVB) Apabila Yusuf mendapati bahawa tunangnya telah mengandung, dia memikirkan hal itu sehalus-halusnya dan segera membuat pertimbangan dalam hatinya untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria. Pertimbangan ini dibuat berdasarkan hikmah peribadinya tanpa membawa perkara tersebut kepada Tuhan untuk mendapatkan bimbingan dan petunjuk-Nya. Dalam hatinya Yusuf berbisik, "Aku akan memutuskan pertunangan ini dengan Maria secara diam-diam kerana aku tidak mahu mencemarkan nama baiknya di mata masyarakat." Oleh itu, dia berniat untuk memutuskan hubungan itu secara rahsia. Namun begitu, pertimbangan Yusuf itu tidak selari dengan kehendak Tuhan bagi dirinya. Maka Tuhan menyatakan rancangan-Nya melalui malaikat dalam mimpi. Tuhan menjelaskan tujuan-Nya yang lebih besar, bukan sahaja untuk Yusuf tetapi juga untuk seluruh dunia. Yusuf akhirnya mengubah keputusannya dan mematuhi kehendak Tuhan. Demikian juga dengan kita pada hari ini. Dalam hidup kita sering berhadapan dengan pelbagai perkara yang memerlukan pertimbangan yang bijak. Sesungguhnya, kita harus mencari hikmah daripada Tuhan agar setiap keputusan kita diperkenan-Nya dan tidak merugikan diri sendiri atau masa depan kita. Carilah Tuhan dalam setiap cabaran hidup agar keputusan kita tidak bertentangan dengan rancangan-Nya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu. Ajarlah aku untuk memahami jalan-Mu agar aku tidak mengambil tindakan yang bertentangan dengan kehendak-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

  • Sikap Terhadap Perkara Yang Tidak Disangka-sangka

    "Yusuf, seorang yang salih, tidak mahu memalukan Maria di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam.” (Matius 1:19 AVB) Dalam tempoh pertunangan Yusuf dengan Maria, dia mendapat tahu bahawa Maria sudah mengandung. Hati Yusuf mula bergelora dan berkecamuk. Maka, Yusuf berniat memutuskan pertunangan mereka secara senyap-senyap. Tindakan Yusuf untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria secara diam-diam mencerminkan keperibadiannya yang taat kepada hukum agama. Dia juga tidak mahu memalukan Maria di hadapan orang ramai. Yusuf perlu membuat keputusan yang sangat sukar dalam hidupnya. Sebelum bertindak untuk memutuskan pertunangan tersebut, Tuhan berfirman kepadanya melalui mimpi dan menjelaskan sebabnya segala perkara itu terjadi. Oleh itu, Yusuf pun mengambil Maria sebagai isterinya, tetapi tidak bersetubuh dengannya kerana dia seorang yang takut akan Tuhan. Begitu juga dengan kita. Sebagai orang yang takut akan Tuhan, kita tidak seharusnya membuat keputusan secara terburu-buru ketika menghadapi sesuatu kejadian yang tidak disangka-sangka dalam hidup. Sebaliknya, kita perlu mencari bimbingan Tuhan agar setiap keputusan yang diambil berlandaskan kehendak-Nya dan bukan mengikut perasaan atau kehendak sendiri. Sesungguhnya, kita pasti akan menghadapi pelbagai perkara yang tidak disangka-sangka sepanjang perjalanan hidup. Namun begitu, kita tidak perlu khuatir. Tenangkanlah hati dalam hadirat Tuhan kerana Dialah Tuhan yang tahu bagaimana untuk menolong kita. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu, dan memohon agar Engkau memberi aku kesabaran dalam hidup ini supaya aku tidak membuat keputusan menurut kehendak sendiri. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.   Pr Patrick Taie

  • Tanggungjawab Memberi

    Oleh Pr Saniel Angkot

  • Yakin akan Kasih Tuhan

    “Kita tahu dan yakin sepenuh hati bahawa Allah mengasihi kita. Allah itu kasih. Sesiapa yang sentiasa mengasihi sesama manusia tetap ada di dalam Allah, dan Allah tetap di dalam dia.” 1 Yohanes 4:16 AVB Kasih Tuhan menjadi dasar seluruh hidup rohani kita. Setiap orang yang benar-benar mengalami kasih Tuhan dalam hidupnya akan berasa aman dan yakin bahawa Tuhan selalu bersamanya dalam setiap situasi. Kasih Tuhan bukan setakat konsep abstrak, tetapi satu hakikat yang kita alami secara peribadi. Ketika kita hidup dalam kasih-Nya, kita tetap ada di dalam Tuhan dan Tuhan ada di dalam kita. Kasih Tuhan yang kita alami meyakinkan kita bahawa segala sesuatu yang terjadi dalam hidup kita berada dalam pemeliharaan-Nya. Bahkan di tengah-tengah tentangan dan kesulitan, kita tetap dapat tenang dan tabah, kerana kita tahu bahawa Tuhan mengasihi kita tanpa syarat. Kita boleh mempercayakan hidup kita sepenuhnya kepada Tuhan, kerana kasih-Nya yang sungguh besar dan tak terbatas. Dengan mengenal kasih Tuhan secara peribadi, kita juga dipanggil untuk mencerminkan kasih-Nya kepada orang lain. Kasih yang kita terima daripada Tuhan bukanlah untuk disimpan sendiri, tetapi untuk dikongsi kepada sesama, sebagai bukti kita hidup dalam kasih-Nya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu dengan penuh syukur atas kasih-Mu yang tidak pernah berkesudahan. Terima kasih kerana memberi aku hidup yang berlimpah-limpah dan pengharapan abadi melalui kasih-Mu. Ajarlah aku untuk terus hidup dalam kasih-Mu dan menjadi saluran kasih-Mu bagi orang lain. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie

bottom of page