
"Yusuf, seorang yang salih, tidak mahu memalukan Maria di mata masyarakat. Dia berniat memutuskan pertunangan mereka secara diam-diam.” (Matius 1:19 AVB)
Dalam tempoh pertunangan Yusuf dengan Maria, dia mendapat tahu bahawa Maria sudah mengandung. Hati Yusuf mula bergelora dan berkecamuk. Maka, Yusuf berniat memutuskan pertunangan mereka secara senyap-senyap.
Tindakan Yusuf untuk memutuskan pertunangannya dengan Maria secara diam-diam mencerminkan keperibadiannya yang taat kepada hukum agama. Dia juga tidak mahu memalukan Maria di hadapan orang ramai.
Yusuf perlu membuat keputusan yang sangat sukar dalam hidupnya. Sebelum bertindak untuk memutuskan pertunangan tersebut, Tuhan berfirman kepadanya melalui mimpi dan menjelaskan sebabnya segala perkara itu terjadi. Oleh itu, Yusuf pun mengambil Maria sebagai isterinya, tetapi tidak bersetubuh dengannya kerana dia seorang yang takut akan Tuhan.
Begitu juga dengan kita. Sebagai orang yang takut akan Tuhan, kita tidak seharusnya membuat keputusan secara terburu-buru ketika menghadapi sesuatu kejadian yang tidak disangka-sangka dalam hidup. Sebaliknya, kita perlu mencari bimbingan Tuhan agar setiap keputusan yang diambil berlandaskan kehendak-Nya dan bukan mengikut perasaan atau kehendak sendiri.
Sesungguhnya, kita pasti akan menghadapi pelbagai perkara yang tidak disangka-sangka sepanjang perjalanan hidup. Namun begitu, kita tidak perlu khuatir. Tenangkanlah hati dalam hadirat Tuhan kerana Dialah Tuhan yang tahu bagaimana untuk menolong kita.
Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk menyerahkan seluruh hidupku kepada-Mu, dan memohon agar Engkau memberi aku kesabaran dalam hidup ini supaya aku tidak membuat keputusan menurut kehendak sendiri. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments