Support Us
Support Us
Cari
3266 results found with an empty search
- Roh Yang Ada Dalam Pada Kita, Lebih BesarBerkuasa Daripada Roh Di Dunia Ini
“Namun demikian, anak-anakku, kamu milik Allah. Kamu telah menewaskan nabi-nabi palsu itu, kerana roh yang ada padamu lebih berkuasa daripada roh yang ada di dalam dunia.” 1 Yohanes 4:4 AVB Ketika seseorang bertaubat dan menerima Yesus Kristus sebagai Tuhan dan Penyelamat peribadi, dia bukan sahaja menerima pengampunan dosa, tetapi juga Roh Kudus dalam hidupnya. Roh Kudus ini jauh lebih berkuasa daripada roh yang ada di dunia. Yohanes memperingatkan setiap orang percaya agar tidak takut terhadap nabi-nabi palsu yang muncul di tengah-tengah mereka. Sebab Roh Kudus yang ada pada orang percaya lebih berkuasa daripada roh yang ada di dunia ini. Tuhan telah menewaskan para nabi palsu, dan dengan Roh Kudus yang ada pada diri mereka, orang percaya juga memiliki kuasa untuk menewaskan nabi-nabi palsu tersebut. Orang percaya harus berani menghadapi nabi-nabi palsu dan terus memberitakan firman Tuhan dengan penuh keberanian dan kekuatan Roh Kudus. Kemenangan orang percaya bukanlah kerana kekuatan diri sendiri, tetapi kerana Tuhan yang berperang bagi mereka. Tetaplah di dalam Tuhan, dan Dia akan tetap di dalam kita. Di dalam Dia, kita memiliki kemenangan, kerana Roh Kudus yang ada pada kita adalah jauh lebih kuat dan berkuasa daripada roh-roh dunia ini. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang membawa segala pujian dan syukur kepada-Mu kerana Engkau mengurniakan Roh Kudus kepadaku. Dengan Roh-Mu, aku boleh mengalami kemenangan atas setiap serangan kuasa jahat. Sebab Roh Kudus yang ada padaku lebih berkuasa daripada roh yang ada di dunia ini. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Siapa Sebenarnya Yang Lahir di Hari Natal?
'Sesungguhnya, seorang anak telah lahir bagi kita, seorang putera telah dikurniakan bagi kita. Di atas bahunya tampuk pemerintahan, dan namanya akan disebut: Penasihat Ajaib, Allah Perkasa, Bapa Kekal, Raja Damai. ' Yesaya 9:6 AVB Walaupun tarikh sebenar kelahiran bayi Kristus di dunia masih diperdebatkan, itu tidak menyangkal kelahiran-Nya sebagai manusia ke dalam dunia lebih 2000 tahun yang lalu. Salah satu petanda penting bahawa Alkitab telah diilhami oleh Tuhan dan merupakan firman Tuhan yang tertulis adalah ketepatan nubuatan dalam Alkitab. Nubuatan-nubuatan ini, yang telah digenapi dengan tepat, menunjukkan bahawa Alkitab bukan sekadar tulisan manusia tetapi mempunyai asal usul ilahi. Yesaya 9:6 memang merupakan nubuat yang luar biasa, dinyatakan sekitar 700 tahun sebelum kelahiran Yesus. Nubuat ini mengembangkan janji yang pertama kali diucapkan Tuhan dalam Kejadian 3:15, yang berbunyi: "Aku akan mengadakan permusuhan antara engkau dan perempuan ini, antara keturunanmu dan keturunannya; keturunannya akan meremukkan kepalamu, dan engkau akan meremukkan tumitnya". Kedua ayat ini menunjukkan rencana Tuhan untuk penebusan manusia melalui Yesus Kristus, yang lahir dari seorang perawan dan menjadi Raja Damai bagi umat manusia. Adakah yang dilahirkan pada hari Natal hanya seorang manusia biasa dan melayani sebagai seorang nabi Allah sahaja? Yesaya 9:6 memberi kita maklumat jelas tentang Siapa yang dilahirkan pada hari Natal. Dia adalah “Yang mengangkat pemerintahan” dan nama-Nya disebutkan orang: “Penasihat Ajaib” “Allah Perkasa” “Bapa yang kekal” “Raja Damai” Pemazmur dalam Mazmur 119 memuji Tuhan atas firman-Nya yang menjadi penasihat-penasihat-Nya. Dalam pengalaman orang Israel dibebaskan dari perhambaan di Mesir, mereka melihat dan mengalami keperkasaan Allah yang menyelamatkan mereka dari cengkaman Firaun. Sebagai Bapa yang Kekal, Dia adalah yang sentiasa mengasihi dan menjaga umat-Nya. Seterusnya, Tuhan memberikan kita damai sejahtera apabila kita hidup dalam kehendak-Nya setiap waktu. Sekarang masih adakah yang bertanya, siapa yang lahir pada hari Natal? Dia yang kelahiran-Nya kita rayakan pada Hari Natal adalah Tuhan Allah Perkasa yang telah turun menjadi manusia. Bila ada orang mencabar meminta ayat dari Alkitab, “Mana ayat yang mengatakan Yesus Kristus yang lahir pada hari Natal adalah Tuhan Allah yang menjadi manusia?” Kita pun dengan sukacita memetik Yesaya 9:6 dan kongsikan dengan orang itu. Kita doakan agar Roh Allah memberikan pencerahan kepada mereka yang bertanya, supaya mereka dapat mengenal siapa Tuhan Yesus Kristus yang sesungguhnya. Semoga mereka mengenal dan mengalami kasih dan kebenaran ilahi yang datang dari-Nya. Semoga bermanfaat. Tuhan memberkati. Oleh : Pr Jubilie Apin / Pena Rajawali Sumber : Facebook Jubilie Apin
- Ujilah Segala Sesuatu Sebelum Kita Percaya
“Saudara-saudara yang kukasihi, jangan percayai setiap roh. Sebaliknya ujilah setiap roh itu sama ada datang daripada Allah kerana terdapat ramai nabi palsu telah menjelajah ke seluruh dunia.” 1 Yohanes 4:1 AVB Pada masa ini, banyak guru atau nabi palsu muncul seolah-olah mereka berasal daripada Tuhan, namun sebenarnya mereka bukanlah orang yang sungguh-sungguh percaya kepada Tuhan Yesus. Mereka mungkin mengakui diri memiliki Roh Allah, tetapi sebenarnya tidak. Yohanes memperingatkan orang percaya supaya tidak mudah percaya kepada semua orang yang mengakui diri memiliki Roh Tuhan. Sebaliknya, mereka harus menguji setiap roh untuk memastikan sama ada ia benar-benar berasal daripada Tuhan. Orang yang betul-betul memiliki Roh Tuhan akan mengakui bahawa Yesus ialah Kristus yang telah datang ke dunia sebagai manusia. Sebaliknya, guru-guru atau nabi-nabi palsu yang ada di dunia ini tidak akan mengakui bahawa Yesuslah Kristus. Oleh itu, sebagai orang percaya, kita harus menguji roh-roh itu terlebih dahulu agar tidak tersesat atau tertipu oleh ajaran palsu. Mengajar diri untuk tidak mudah percaya kepada setiap roh, tetapi mengujinya terlebih dahulu, ialah langkah bijak untuk tetap berdiri teguh dalam kebenaran Firman Tuhan. Dengan demikian, kita dapat terhindar daripada pengaruh ajaran sesat dan terus mengikut jalan yang benar. “Maka kamu akan mengenal kebenaran dan kebenaran akan membebaskanmu.” Yohanes 8:32 AVB Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu. Ajarlah aku untuk mengenal jalan-Mu agar aku tidak terperdaya oleh ajaran-ajaran sesat yang kini muncul di mana-mana. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Tetap Percaya Kepada-Nya Dan Mengasihi Sesama
“Perintah-Nya adalah: kita harus percaya akan nama Anak-Nya, Yesus Kristus, dan kasih-mengasihi seperti suruhan Kristus.” 1 Yohanes 3:23 AVB Untuk membuktikan bahawa seseorang benar-benar memiliki hubungan peribadi dengan Tuhan, hubungan itu haruslah didasari oleh kasih. Kasih kepada Tuhan merupakan bukti bahawa seseorang tetap di dalam Kristus. Dia harus percaya kepada Anak Allah, Yesus Kristus, dan hidup mengasihi satu sama lain, seperti yang diperintahkan oleh Kristus. Seseorang yang tetap di dalam Kristus akan menjalani hidup yang taat kepada segala perintah Allah. Sesiapa yang taat akan perintah Allah dan mengasihi sesama tetap ada di dalam Allah dan Allah ada di dalamnya. Kita tahu bahawa Allah tetap ada di dalam kita kerana Dia telah mengurniakan Roh-Nya kepada kita. (Lihat 3:24) Hidup kita yang tetap ada di dalam Allah sebagaimana Allah tetap ada di dalam kita ialah bukti bahawa kita memiliki hubungan peribadi dengan-Nya. Marilah kita terus menjalani hidup yang akrab dengan Tuhan, dan percaya sepenuhnya kepada-Nya tanpa berubah, meskipun keadaan di sekeliling kita berubah. Kepercayaan kita kepada-Nya harus tetap teguh. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan dan bimbingan-Mu, agar hidupku sentiasa menyenangkan hati-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Semua Agama Sama?
Pertanyaan ini sering muncul dalam diskusi tentang agama. Sebenarnya, semua agama tidak dapat dianggap sama. Ini kerana setiap agama memiliki doktrin, keyakinan, dan praktik ibadah yang berbeza. Kepercayaan atau iman Kristian sangat berbeza dengan agama-agama lain yang ada di dunia. Agama-agama di dunia ini semua berusaha untuk mencari Tuhan bagi mendapatkan restu dan berkat, dengan harapan mudah-mudahan tercapai juga syurga atau tahap Nirvana setelah ajal tiba. Ini sangat berbeza dengan iman Kristian yang percaya pada Tuhan Allah yang telah turun ke dalam dunia untuk mencari dan menyelamatkan yang hilang. Perayaan Natal atau Krismas adalah merayakan Firman Tuhan yang telah turun ke dalam dunia melalui kelahiran oleh seorang perawan bernama Maria. Roh Kudus telah bekerja dalam tubuh perawan Maria bagi mempersiapkan tubuh bagi-Nya untuk menjadi manusia. Tentang ini, Ibrani 10:5-10 berkata: 5 Oleh itu, apabila Kristus datang ke dunia, Dia berkata: “Korban dan persembahan tidak Kauingini, tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku. 6Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai. 7Kemudian Aku berkata, ‘Lihatlah, Aku telah datang — dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku — untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.’ ” 8Mula-mula Dia berkata, “Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai” (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum). 9Kemudian Dia berkata, “Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah.” Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua. 10Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Yesus Kristus, sekali untuk selama-lamanya. Kedatangan Tuhan Yesus Kristus ke dalam dunia telah dibayangi oleh persembahan korban binatang dalam Perjanjian Lama (baca Ibrani 10), yang telah dimulakan oleh Tuhan Allah di Kejadian 3:21. Tuhan Yesus, Firman Allah, perlu turun ke dalam dunia dan mati di kayu salib bagi menanggung dosa manusia sebab tidak ada jalan lain bagi manusia untuk dapat diampuni dan diselamatkan. Kebangkitan-Nya dari antara orang mati memberikan kelahiran baru bagi setiap orang yang percaya. Inilah Berita Injil itu. Inilah Khabar Baik itu. Yohanes 3:16 berkata, 'Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. ' Semoga penjelasan tentang Injil/Khabar Baik Tuhan Allah dalam Kristus Yesus ini diterima dengan sukacita dan kita yang sudah percaya terus dikuatkan dalam pengharapan. Semoga penjelasan ini juga membantu ramai orang datang kepada Tuhan dengan iman yang dikerjakan oleh kebenaran firman Tuhan melalui pekerjaan Roh Kudus di dalam kita dan menerima penebusan, kelahiran baru, pengampunan dan keselamatan. Baca Yohanes 1:1-14, Ibrani 10 Semoga bermanfaat. Tuhan memberkati kita semua! Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook Jubilie Apin
- Ada Apa Dengan Kristus Pelayanan
Oleh Pr Saniel Angkot
- Ketaatan Kunci Tuhan Menjawab Permintaan Kita
“Kita menerima apa yang kita minta daripada-Nya kerana kita taat akan perintah-Nya dan melakukan apa yang diredai-Nya.” 1 Yohanes 3:22 AVB Yohanes memberitahu kita bahawa kita akan menerima jawapan doa apabila kita mentaati dan memelihara segala perintah-Nya serta melakukan apa yang menyenangkan hati-Nya sepanjang hidup kita. Sebab Dialah Tuhan yang mengetahui bila dan bagaimana untuk menolong kita serta mengabulkan doa kita. Oleh itu, kita harus hidup dalam ketaatan sepenuhnya kepada Tuhan. Ketaatan kita demi menuruti dan memelihara perintah-Nya dengan setia, serta hidup yang diperkenan-Nya, akan menggerakkan hati Tuhan untuk mendengar dan menjawab setiap permohonan kita. Jika kita ingin doa kita dikabulkan, maka kita harus taat kepada seluruh perintah Tuhan. Ketaatanlah kunci bagi kita untuk menerima jawapan kepada permintaan kita. Tuhan tidak selalu menjawab doa secara serta-merta kerana Dia memiliki waktu-Nya sendiri untuk bertindak. Maka, taatilah segala perintah-Nya selama kita hidup di dunia ini. Ketaatan kita kepada-Nya akan menggerakkan hati Tuhan untuk bertindak bagi pihak kita, kerana kita bergantung sepenuhnya pada-Nya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon kekuatan dan bimbingan-Mu. Ajarlah aku untuk mentaati perintah-Mu. Hanya Engkaulah sumber kekuatanku. Dalam nama Tuhan Yesus, aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie
- Apa Maksud Mencari Tuhan?
Apakah yang dimaksudkan dengan kata ‘mencari Tuhan’? Adakah Tuhan hilang sehingga kita perlu mencari-Nya? Bukankah yang hilang adalah manusia berdosa dan Tuhan yang telah turun untuk mencari kita? Sebenarnya setiap orang yang belum mengenal, belum percaya dan belum menerima Tuhan Yesus Kristus mereka itu bukan hilang melainkan mati. Golongan ini mati secara rohani sebab terpisah dari Tuhan Allah akibat dosa. Alkitab bercakap tentang tiga jenis kematian iaitu kematian rohani, kematian jasmani dan kematian kekal. Kematian rohani adalah kehidupan yang tidak mengenal tidak percaya dan belum menerima Tuhan Yesus Kristus. Kematian jasmani adalah ketika roh berpisah dari tubuh manusia. Kematian kekal pula adalah terpisah dari hadirat Tuhan Allah selama-lamanya. Kematian kekal adalah bagi mereka yang tidak percaya kepada Tuhan Allah dalam Anak-Nya, Tuhan Yesus Kristus. Setiap orang perlu percaya kepada Tuhan Yesus Kristus untuk dapat datang kepada Allah Bapa syurgawi dan selamat dari neraka kekal. Panggilan ‘mencari Tuhan’ adalah untuk orang-orang yang sudah mengenal Tuhan. Orang-orang yang sudah mengenal Tuhan terus mencari Tuhan dalam doa dan penghayatan firman Tuhan untuk mendapatkan kekuatan daripada-Nya untuk menjalani hari-hari mereka. Panggilan ‘mencari Tuhan’ juga untuk orang-orang yang sudah mengenal Tuhan tetapi mereka tiba-tiba hilang dari radar. Ramai orang percaya berada dalam golongan ini. Golongan ini sudah digambarkan oleh Tuhan Yesus dalam perumpamaan-Nya tentang anak yang hilang dalam Lukas 15. Anak yang memilih untuk keluar dari rumah bapanya untuk pergi jauh dan hidup dalam hawa nafsu tiba-tiba kembali sedar bila berlaku kesusahan besar di tempat orang. Dia pun kembali kepada bapanya yang berlari menyambut dia dengan tangan terbuka dan memeluknya! Anak yang hilang ini termasuklah para jemaat Tuhan yang telah meninggalkan pasangan hidup mereka dan pergi kepada orang lain untuk hidup melayani nafsu manusia. Sedarlah kita dan marilah kembali kepada Tuhan Allah Bapa kita! Bagaimanakah kita mencari Tuhan? Apakah erti dan apa yang kita lakukan apabila kita ‘mencari Tuhan’? “Mencari Tuhan” bererti: 1. Kita mengimani dan mengamalkan doa ‘Bapa Kami’. Kita mendoakan doa ini dengan sepenuh hati dalam pengakuan, penyerahan dan pengagungan kita kepada-Nya. Hayati Matius 6:9-13. 2. Kita datang kepada Tuhan dan berserah tubuh dan seluruh kehidupan sebagai korban yang hidup kepada Tuhan Allah (Roma 12:1-2) dan dari titik persembahan hidup ini, kita jalani sepanjang hari-hari kita dalam kebenaran firman Tuhan. Hayati Roma 12-16. 3. Kita hidup dalam sikap penuh percaya kepada Tuhan yang adalah Gembala hidup kita setiap hari. Kita mencari wajah-Nya untuk mendengar dan mentaati suara-Nya. Hayati Mazmur 23, Yohanes 10. 4. Kita terus beriman kepada Tuhan di setiap waktu. Hidup beriman bererti hidup berdasar kebenaran firman Tuhan yang diingatkan oleh Roh Kudus di dalam hati kita. Ini sama juga dengan poin 3 di atas. Hayati Yohanes 14:26, Roma 10:17, Yakobus 1:19-22. 5. Kita mencari Tuhan dengan datang kepada-Nya dalam doa kesyukuran, pujian dan penyembahan dengan berhiaskan kekudusan (Mazmur 96:6, Mazmur 100:4) 6. Berdoa bersama semua saudara-saudari seiman dengan merendahkan hati dan meninggalkan jalan-jalan kita yang jahat dan dengan iman memohon belas kasihan Tuhan untuk mengampuni semua dosa bangsa dan negara kita dan memohon kepada-Nya agar memulihkan tanah kita. 2 Tawarikh 7:14 7. Hidup dalam berbuat baik dan memiliki sikap memuji dan menyembah Tuhan dalam setiap amalan peribadi mahupun keluarga. Ini kerana Tuhan bertakhta di atas puji-pujian umat-Nya dan puji-pujian adalah korban-korban yang menyenangkan Tuhan. Mazmur 22:4, Ibrani 13:15-16. Marilah kita bersama-sama terus hidup mencari wajah Tuhan dan kekuatan-Nya, baik secara peribadi mahupun keluarga. Tuhan sudah semakin dekat! Carilah hadirat TUHAN selagi Dia dapat ditemui, berserulah kepada-Nya selagi Dia dekat. 7Hendaklah orang fasiq meninggalkan jalannya dan orang jahat meninggalkan segala rancangannya. Hendaklah dia kembali kepada TUHAN, maka Dia akan mengasihaninya, dan kepada Allah kita, kerana Dia akan mengampuni dengan limpahnya. (Yesaya 55:6-7 AVB) Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook Pena Rajawali II
- Ada Apa Dengan Kristus Integriti
Oleh Pr Saniel Angkot
- Hidup Yang Diteliti Dengan Baik
Oleh Pr Joshua Baru
- Mengapa Alkitab Itu Harus Digali?
Mesej seluruh Alkitab adalah tentang kasih kurnia TUHAN Allah dalam Tuhan Yesus Kristus. Dari kitab Kejadian sampai ke Wahyu mesej Alkitab secara tersurat dan tersirat bercakap tentang berita Injil (khabar baik) Kerajaan Allah. Berita Injil itu adalah jalan keselamatan dari hukuman dosa dan neraka kekal oleh kematian Yesus Kristus di salib, penguburan dan kebangkitan-Nya dari kematian (Kejadian 3:15,Yohanes 3:14-17, Bilangan 21:4-9, Yesaya 53,1 Korintus 15:1-5). Mulanya saya tidak yakin dengan kebenaran Alkitab/Bible. Saya seperti ramai orang berfikir bahawa Alkitab sudah tidak asli lagi. Alkitab sudah diubah kata guru dan kawan-kawan. Saya terpengaruh dengan kata-kata mereka. Saya tidak percaya, saya tidak mahu baca Alkitab. Begitulah sikap saya pada mulanya. Tetapi pada satu hari saya berfikir, “Apa sebenarnya yang salah dalam Alkitab?” Saya berfikir begitu sebab teringat Bible saya yang dibakar (Ini pernah saya ceritakan dulu. Pertanyaan itu membuatkan saya mahu membaca Alkitab untuk mencari kesalahan di dalamnya. Maka saya mula membaca bermula dari lembaran pertama dan bertekad mahu membaca Alkitab sehingga lembaran terakhir di kitab Wahyu. Di awal pembacaan, saya tertarik dengan janji TUHAN dalam Kejadian 3:15. Saya baca dan terus membaca untuk mencari penggenapan janji itu tetapi habis membaca kitab Maleakhi janji itu belum juga dijumpai. Saya juga sangat tersentuh dengan cerita Yusuf (Kejadian 37-45) yang dianiaya oleh adik-beradiknya tetapi Yusuf tidak berdendam melainkan tetap mengasihi mereka dan telah mengampuni mereka. Yusuf dijual mereka sebagai hamba kepada bangsa lain akibat cemburu dan mereka berbohong kepada bapa mereka Yakub dengan mengatakan Yusuf telah mati di makan binatang buas. Tetapi tangan TUHAN yang tidak kelihatan telah menyertai dan membimbing Yusuf sehingga dia menjadi Perdana Menteri di Mesir dan menjadi keselamatan bagi seluruh keturunan Yakub (Israel) apabila kelaparan melanda di zaman itu. Apabila membaca sampai ke Perjanjian Baru iaitu di Matius 1:1, saya mula melihat mesej Alkitab adalah tentang Yesus Kristus, Anak Raja Daud dan anak Abraham. Dan apabila sampai di peristiwa penyaliban di mana Yesus berkata, “Bapa ampuni mereka sebab mereka tidak tahu apa yang mereka perbuat.”, saya teringat pada Yusuf yang mengampuni adik-beradiknya! Saya pun faham! Alkitab adalah tentang kasih dan pengampunan TUHAN dalam Kristus Yesus! Saya bukan menemukan kesalahan yang saya cari, tetapi saya bertemu kebenaran TUHAN dalam Alkitab! Puji Tuhan! Di sinilah titik permulaan saya menjadi seorang percaya dan pengikut TUHAN. Bah! Marilah kita membaca dan menggali Alkitab dan temukanlah kebenaran Firman TUHAN di dalamnya tentang kasih kurnia TUHAN Allah dan jalan pengampunan dan keselamatan dalam Firman Allah yang telah menjadi manusia, Tuhan Yesus Kristus yang berkata kepada setiap kita pada hari ini, “Akulah jalan dan kebenaran dan hidup. Tidak ada seorangpun yang datang kepada Bapa, kalau tidak melalui Aku.” (Yohanes 14:6). Bah! Marilah kita menggali Alkitab. Mari menggali Alkitab sebab di dalammya ada yang lebih indah daripada emas tua dan ada yang lebih manis daripada madu dan macam-macam lagi harta dan kenikmatan yang kekal yang kita dapat perolehi dan nikmati yang tidak diberikan oleh dunia ini. Marilah menggali Alkitab sebab ada tertulis, “(8)Taurat TUHAN itu sempurna, menyegarkan jiwa; peraturan TUHAN itu teguh, memberikan hikmat kepada orang yang tak berpengalaman. (9)Titah TUHAN itu tepat, menyukakan hati; perintah TUHAN itu murni, membuat mata bercahaya. (10)Takut akan TUHAN itu suci, tetap ada untuk selamanya; hukum-hukum TUHAN itu benar, adil semuanya, (11) lebih indah dari pada emas, bahkan dari pada banyak emas tua; dan lebih manis dari pada madu, bahkan dari pada madu tetesan dari sarang lebah. (12) Lagipula hamba-Mu diperingatkan oleh semuanya itu, dan orang yang berpegang padanya mendapat upah yang besar. (Mazmur 19:8-12) 8Ajaran-ajaran TUHAN benar, menggembirakan hati. Perintah TUHAN suci, memberi pengertian. 9Takut akan TUHAN itu murni, kekal selama-lamanya. Penghakiman TUHAN adil dan benar sepenuhnya. 10Segalanya lebih berharga daripada emas, ya, daripada emas tulen; dan lebih manis daripada madu, madu daripada sarangnya. 11Dengannya hamba-Mu diingatkan; dan sesiapa mematuhinya mendapat ganjaran besar. 12Siapakah yang dapat memahami kesalahan sendiri? Bersihkan aku daripada kecelaan tersembunyi. Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook Pena Rajawali II
- Hidup Orang Yang Tetap Di Dalam Kristus
“Oleh itu, sesiapa yang tetap di dalam Kristus tidak akan berbuat dosa berterusan. Sesiapa yang terus berbuat dosa belum melihat dan mengenal Dia.” 1 Yohanes 3:6 AVB Yohanes berkata kepada kita bahawa setiap orang yang tetap di dalam Kristus tidak lagi terus-menerus berbuat dosa. Sebab mereka sudah hidup bersatu dengan Kristus, dan Kristus menguasai hidup mereka. Oleh itu, mereka tidak lagi berbuat dosa berterusan kerana keinginan yang menguasai hati mereka dahulu sudah diubah menjadi keinginan Tuhan sekarang. Sekiranya mereka terus-menerus berbuat dosa, hal ini membuktikan bahawa mereka sebenarnya tidak tetap di dalam Kristus. Sebaliknya, mereka tidak sungguh-sungguh mengikut Kristus dan sebenarnya tidak mengenal-Nya. Sebab jika mereka berbuat dosa berterusan, ini menunjukkan mereka tidaklah tetap di dalam Kristus. Sebagai bukti bahawa seseorang itu benar-benar tetap di dalam Kristus, mereka tidak lagi terus-menerus berbuat dosa. Hal ini sedemikian kerana keinginan dalam hati mereka adalah untuk memuliakan nama Tuhan dan bukan yang sebaliknya. Tetap di dalam Kristus bererti hidup serupa dengan Kristus, hidup dalam bimbingan-Nya, dan menurut kehendak-Nya. Doa: Ya Bapa yang di syurga, aku datang kepada-Mu untuk memohon bimbingan-Mu. Ajarlah aku untuk menjalani segenap hidupku ini menurut kehendak-Mu, agar orang di sekelilingku dapat melihat Engkau. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. Pr Patrick Taie












