![](https://static.wixstatic.com/media/6df571_4f9637e4aeff47b4b40abee95236dc97~mv2.jpg/v1/fill/w_980,h_551,al_c,q_85,usm_0.66_1.00_0.01,enc_auto/6df571_4f9637e4aeff47b4b40abee95236dc97~mv2.jpg)
Pertanyaan ini sering muncul dalam diskusi tentang agama.
Sebenarnya, semua agama tidak dapat dianggap sama. Ini kerana setiap agama memiliki doktrin, keyakinan, dan praktik ibadah yang berbeza.
Kepercayaan atau iman Kristian sangat berbeza dengan agama-agama lain yang ada di dunia. Agama-agama di dunia ini semua berusaha untuk mencari Tuhan bagi mendapatkan restu dan berkat, dengan harapan mudah-mudahan tercapai juga syurga atau tahap Nirvana setelah ajal tiba. Ini sangat berbeza dengan iman Kristian yang percaya pada Tuhan Allah yang telah turun ke dalam dunia untuk mencari dan menyelamatkan yang hilang.
Perayaan Natal atau Krismas adalah merayakan Firman Tuhan yang telah turun ke dalam dunia melalui kelahiran oleh seorang perawan bernama Maria. Roh Kudus telah bekerja dalam tubuh perawan Maria bagi mempersiapkan tubuh bagi-Nya untuk menjadi manusia.
Tentang ini, Ibrani 10:5-10 berkata:
5 Oleh itu, apabila Kristus datang ke dunia, Dia berkata:
“Korban dan persembahan tidak Kauingini,
tetapi Engkau telah menyediakan tubuh bagi-Ku.
6Persembahan dan korban bakaran penghapus dosa tidak Kauredai.
7Kemudian Aku berkata,
‘Lihatlah, Aku telah datang —
dalam naskhah kitab tersurat tentang-Ku —
untuk melakukan kehendak-Mu, Ya Allah.’ ”
8Mula-mula Dia berkata, “Korban dan persembahan bakaran, dan persembahan untuk menebus dosa, tidak Kauingini dan tidak Kauredai” (iaitu yang dipersembahkan menurut Hukum). 9Kemudian Dia berkata, “Lihatlah, Aku telah datang untuk melakukan kehendak-Mu, ya Allah.” Dia menyingkirkan yang pertama untuk mengasaskan yang kedua. 10Dengan kehendak Allah itu kita telah disucikan melalui persembahan tubuh Yesus Kristus, sekali untuk selama-lamanya.
Kedatangan Tuhan Yesus Kristus ke dalam dunia telah dibayangi oleh persembahan korban binatang dalam Perjanjian Lama (baca Ibrani 10), yang telah dimulakan oleh Tuhan Allah di Kejadian 3:21.
Tuhan Yesus, Firman Allah, perlu turun ke dalam dunia dan mati di kayu salib bagi menanggung dosa manusia sebab tidak ada jalan lain bagi manusia untuk dapat diampuni dan diselamatkan. Kebangkitan-Nya dari antara orang mati memberikan kelahiran baru bagi setiap orang yang percaya. Inilah Berita Injil itu. Inilah Khabar Baik itu.
Yohanes 3:16 berkata, 'Allah begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak binasa melainkan mendapat hidup kekal. '
Semoga penjelasan tentang Injil/Khabar Baik Tuhan Allah dalam Kristus Yesus ini diterima dengan sukacita dan kita yang sudah percaya terus dikuatkan dalam pengharapan. Semoga penjelasan ini juga membantu ramai orang datang kepada Tuhan dengan iman yang dikerjakan oleh kebenaran firman Tuhan melalui pekerjaan Roh Kudus di dalam kita dan menerima penebusan, kelahiran baru, pengampunan dan keselamatan.
Baca Yohanes 1:1-14, Ibrani 10
Semoga bermanfaat. Tuhan memberkati kita semua!
Oleh Pr Jubilie Apin Sumber : Facebook Jubilie Apin
コメント