top of page

Akhirilah Perlumbaan Dengan Baik

  • 11 minutes ago
  • 2 min read

Aku telah berjuang dalam perjuangan mulia ini, aku telah sampai ke garis akhir, aku telah setia dalam iman. 2 Timotius 4:7 AVB

 

Paulus memberitahu Timotius bahawa dia sudah mengikuti perlumbaan rohaninya dengan sebaik-baiknya dan sekarang dia mencapai garis terakhir dalam perlumbaan rohaninya. Oleh itu, sekarang dia sudah menjadi pemenang dalam perjuangannya. Sebab dia telah tetap setia kepada Kristus dalam apa yang telah dipercayakan kepadanya sejak awal sehingga akhir hidupnya.

 

Tentang diri Paulus, kini dia laksana minuman yang sedang dituangkan sebagai persembahan kepada Allah, dan sudah hampir masanya dia pergi menghadap-Nya. Paulus telah berjuang dalam perjuangan mulia ini. Dia telah sampai ke garis akhir. Dia telah setia dalam iman. Sekarang mahkota perbenaran telah disediakan untuknya. Tuhan, Hakim yang adil itu, akan mengurniakannya kepada Paulus pada hari Yesus kembali lagi, bukan kepada Paulus sahaja, tetapi kepada semua orang yang merindui kedatangan-Nya.

 

Oleh itu, Paulus menegaskan hal ini kepada Timotius semata-mata untuk mengingatkan Timotius agar dia tetap setia dalam pemberitaan Injil. Sebab pada suatu hari nanti atau waktunya akan tiba, dia juga akan menerima hadiah kemenangan atau mahkota perbenaran. Sebenarnya, hadiah ini tersedia bagi semua orang yang telah mengakhiri perlumbaan rohani mereka dengan baik.

 

Dengan kata lain, Timotius harus melaksanakan semua tugas yang telah dipercayakan kepadanya dengan sebaik-baiknya sehingga akhir hidupnya. Hadiah yang akan diterimanya bukan berdasarkan pada permulaan perlumbaan rohaninya tetapi berdasarkan pengakhiran perlumbaan rohaninya. Oleh itu, sebagai seorang hamba Allah, dia harus sentiasa bersiap sedia untuk memberitakan Injil dan firman Allah. Dia harus melakukannya, baik dalam keadaan yang senang mahupun dalam keadaan yang susah, baik saat dia dapat melihat buahnya mahupun belum melihat buahnya.

 

Bagaimanakah diri kita pada hari ini? Apakah kita yakin akan mencapai garis akhir perlumbaan rohani kita dengan baik? Hidup ini umpama satu perlumbaan. Ada permulaan dan ada pengakhiran. Hadiah akan ditentukan pada penghujumg perlumbaan. Oleh itu, jalanilah perlumbaan kita dengan sebaik-baiknya mulai hari ini.

 

Doa:

Ya Tuhan Yesus, aku datang memohon kekuatan dan hikmah daripada-Mu sewaktu aku menjalankan semua tugas yang Engkau amanahkan kepadaku. Tolonglah aku untuk tetap taat setia dan beriman pada-Mu. Dalam nama-Mu yang mulia aku berdoa. Amin.


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page