Akibat Kekhuatiran Tentang Hal-Hal Duniawi
- Komuniti Digital 05
- 18 minutes ago
- 2 min read

“ ‘Seorang yang lain berkata, ‘Aku telah membeli lima pasang lembu dan harus pergi mencuba lembu-lembu itu. Aku minta maaf.’ ” Lukas 14:19 AVB
Orang kedua yang dijemput untuk menghadiri jamuan besar itu memberitahu pelayan tuan rumah bahawa dia meminta maaf tidak dapat datang untuk jamuan itu kerana dia baru sahaja membeli lima pasang lembu dan dia hendak pergi mencuba haiwan itu terlebih dahulu.
Oleh sebab cemas hati dan khuatir tentang hal-hal duniawi, maka tetamu itu menolak pada saat akhir untuk menghadiri jamuan itu. Kononnya, pembelian lima pasang lembu menghalang dirinya untuk datang menyertai jamuan yang disediakan baginya. Alasannya ialah dia ingin memastikan sama ada lembu-lembu yang dibelinya itu dapat memenuhi keperluannya atau tidak. Sebelum dia membayar wang untuk membeli lima pasang lembu itu, bukankah tidak masuk akal jika dia tidak terlebih dahulu mencuba dan meneliti lembu itu dengan cermat?
Tidak dinafikan bahawa alasan yang diberikan oleh tetamu ini sangat lemah selain menunjukkan hidupnya lebih banyak menumpukan hal-hal keduniaan. Sebenarnya, alasannya itu juga merupakan kecenderungan kebanyakan orang terhadap harta benda duniawi dan kekhuatiran mereka tentang kebendaan. Betapa pentingnya komitmen rohani lebih diutamakan daripada hak milik kebendaan atau kepentingan peribadi.
Demikianlah dengan diri kita pada hari ini. Sekiranya kita sentiasa berfokus pada kekhuatiran tentang hal-hal duniawi, maka kita akan menolak jemputan dan panggilan Allah untuk hidup kita. Sebab kita akan membiarkan kekhuatiran tentang hal-hal duniawi ini melumpuhkan hidup kita. Sesiapa yang tidak mengendahkan panggilan Allah akan terlepas peluang untuk menikmati jamuan besar dalam kerajaan-Nya kelak.
Oleh itu, singkirkan segala kekhuatiran tentang hal-hal duniawi. Terimalah anugerah Allah dan datanglah kepada-Nya dengan hati yang terbuka tanpa berdalih lagi.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menyingkirkan segala kekhuatiran tentang hal-hal duniawi yang menguasai hidupku. Bukalah hatiku untuk menerima anugerah-Mu dan mengikut Engkau seumur hidupku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie
Comments