top of page

Aku Menyertai Kamu...


Matius 28:18-20 (TB) Yesus mendekati mereka dan berkata: “Kepada-Ku telah diberikan segala kuasa di sorga dan di bumi. Karena itu pergilah, jadikanlah semua bangsa murid-Ku dan baptislah mereka dalam nama Bapa dan Anak dan Roh Kudus, dan ajarlah mereka melakukan segala sesuatu yang telah Kuperintahkan kepadamu. Dan ketahuilah, Aku menyertai kamu senantiasa sampai kepada akhir zaman.”


Apakah maksud Yesus ketika Dia berkata “Aku menyertai kamu senantiasa sampai kepada akhir zaman”? Benarkah Yesus akan menyertai kita dalam apa pun yang kita lakukan? Bagaimana kalau apa yang kita lakukan itu bukan kehendak-Nya? Adakah sempadan atau had penyertaan Tuhan dalam kehidupan orang percaya? Bagaimanakah perkataan Yesus ini dapat diterapkan dalam kehidupan Kristian pada masa kini?


Pertama, kita perlu mengetahui bahawa penyertaan Yesus dalam kehidupan kita sangat bergantung kepada pengutusan-Nya. Kalau kita perhatikan ayat Alkitab di atas, sebelum Yesus mengatakan “Aku menyertai kamu…” (ayat 20b), Yesus mengutus murid-murid-Nya terlebih dahulu untuk pergi memuridkan, membaptis dan mengajar. Sejurus selepas itu, barulah Yesus menyatakan penyertaan-Nya kepada mereka. Dalam erti kata lain, pengutusan dan penyertaan Yesus Kristus tidak dapat dipisahkan. Jadi, kalau kita mahu memahami dan mengalami penyertaan Tuhan, kita perlulah menyedari bahawa Tuhan mengutus kita untuk sesuatu perkara. Yesus tidak mungkin menyertai kita untuk melakukan apa saja yang kita kehendaki. Penyertaan Tuhan tertakluk kepada pengutusan-Nya.


Dalam pengutusan Tuhan, ada tujuan. Kita menemukan tujuan hidup kita ketika kita memahami bahawa Tuhan mengutus kita untuk sesuatu perkara. Hal ini berlaku dalam kehidupan Gideon (Hakim-Hakim 6). Gideon mempunyai ketakutan dalam menghadapi musuh Israel pada zaman itu. Namun dia begitu mencari petunjuk Tuhan untuk memastikan satu hal; adakah Tuhan sungguh-sungguh mengutusnya untuk mengalahkan musuh Israel atau tidak. Ternyata Tuhan sungguh-sungguh mengutusnya. Mengapa hal ini penting? Gideon menyedari satu hal, ketika Tuhan mengutusnya, pasti ada penyertaan dan apabila ada penyertaan Tuhan, pasti ada kemenangan! Gideon memahami bahawa ini bukan soal kemampuannya tetapi soal kemampuan Tuhan yang mengutusnya. Akhirnya, Gideon berhasil menumpaskan musuh-musuhnya! Orang yang lemah tetapi disertai Tuhan lebih baik daripada orang yang kuat tetapi tidak disertai Tuhan.


Ketika orang Kristian tidak memahami penerapan penyertaan Tuhan sesuai konteksnya, maka timbullah penyelewengan. Pelayanan, misi, program dan aktiviti rohani tertentu yang menggunakan nama Tuhan boleh saja dianjurkan tanpa pengutusan daripada Tuhan. Lebih teruk lagi, jaringan doa diadakan memohon Allah memberkati atau menyertai acara-acara tersebut. Hal ini ibarat memaksakan penyertaan Tuhan untuk sesuatu yang tidak diingini-Nya. Yakobus 4:3; Atau kamu berdoa juga, tetapi kamu tidak menerima apa-apa, karena kamu salah berdoa, sebab yang kamu minta itu hendak kamu habiskan untuk memuaskan hawa nafsumu. Ingatlah bahawa penyertaan Tuhan tertakluk kepada pengutusan-Nya. Tuhan memberkati!


Pr Roy Dinsim






Comentários


bottom of page