Remaja Dan Seks
- Komuniti Digital

- 1 day ago
- 2 min read

Dalam ratusan sesi kaunseling, ini yang saya temukan: Terlalu ramai remaja (belasan tahun) sudah terlanjur mengadakan hubungan seks dengan teman mereka. Bukan sahaja sekali dengan satu peribadi, tetapi beberapa kali dengan sampai dua atau tiga peribadi yang berbeza. Ini membuat saya rasa bimbang dengan sikap acuh tak acuh pemuda-pemudi terhadap seks.
Izinkan saya berkata dengan terus terang, seks itu merupakan suatu aktiviti fizikal yang memang menyeronokkan. Klimaks boleh dialami oleh lelaki dan perempuan dalam umur belasan tahun, dan ditambah dengan belaian, ciuman, dan rabaan, memang ia merupakan pengalaman eksotik yang tidak boleh dibandingkan.
Tetapi tanpa pagar perkahwinan, seks mencemari keseronokan dan meletakkan rasa bersalah ke dalam pengalaman yang sebenarnya indah. Tidak ada sesiapa yang boleh berjalan dari perbuatan seks di luar perkahwinan tanpa kesedaran dalaman (hati nurani) bahawa perbuatan itu tidak betul. Biarpun dinafikan dan dilupakan, ia timbul semula untuk menghantui selepas beberapa waktu.
Memori ialah hadiah dari Tuhan untuk menyedarkan manusia tentang pelanggaran dan dosa. Dalam perkahwinan, seks dan klimaks, belaian dan ciuman dinikmati tanpa serba salah, tanpa malu, tanpa adanya perasaan takut kedapatan; di luar perkahwinan, seks dan klimaks itu dicemari dan dinodai, dipenuhi dengan malu, rasa bersalah, dan ketakutan.
Adik-adik, remaja, pemuda, pemudi, Tuhan sudah berkata, “Hendaklah kamu semua penuh hormat terhadap perkahwinan dan janganlah kamu mencemarkan tempat tidur, sebab Allah akan menghakimi orang-orang sundal (πορνους) dan penzina.” (Ibrani 13:4) Sundal bermaksud seorang yang memanjakan diri dalam hubungan seks yang menyalahi undang-undang (semula jadi atau keagamaan).
Saya tahu ramai yang sudah terbuat. Cukup banyak sudah terluah di FB dan IG saya. Maka nasihat saya ringkas: Kalau sudah terbuat, jangan hanya menyesal. Penyesalan hanya membuat perasaan bergelora. Penyesalan tidak dapat mengubah yang lalu, mengembalikan keperawanan kamu atau kesucian hati nurani. Tapi bertaubatlah di depan Tuhan Yesus Kristus, akui itu sebagai dosa dan pencabulan. Kemudian untuk membantu hati nurani kamu, dapatkan rakan Kristian yang matang untuk doakan kamu dan bimbing kamu, sehingga perkara itu tidak perlu terjadi lagi, sehingga saat kamu secara sah berkahwin dengan pasangan yang diikat dengan cincin. Oleh Pr Edmund Kumar Sumber : Facebook @ edmund kumar




Comments