Allah Ada Tujuan Dalam Segalanya
- 1 hour ago
- 2 min read

Aku ingin memberitahumu, saudara-saudaraku, bahawa segala yang telah berlaku kepadaku sebenarnya semakin memajukan penyebaran Injil. Filipi 1:12 AVB
Rasul Paulus memberitahu saudara saudari dalam Kristus bahawa segala perkara yang terjadi dalam kehidupannya baik hal itu buruk mahupun hal itu baik ada tujuan tertentu untuk memajukan penyebaran Injil. Dengan kata lain, lebih banyak orang telah mendengar Injil atau Berita Baik lalu menaruh kepercayaan kepada Tuhan Yesus. Bukankah itu misi Paulus?
Itulah sebabnya Paulus tidak patah semangat dan berkecil hati dengan penganiayaan serta penderitaan yang berlaku kepada dirinya. Dia dimasukkan ke dalam penjara cuma kerana dia menjadi pengikut Kristus. Hal ini sama sekali tidak memudaratkan misinya untuk berkongsi Injil. Sesungguhnya, Paulus menganggap pemenjaraannya sebagai peluang dan bukan rintangan untuk menyebarkan Injil. Syukurlah bahawa Berita Baik didengar dan disampaikan kepada lebih ramai orang lagi.
Di dalam penjara semua pengawal Roma dan banduan tahu bahawa dia pengikut Kristus. Dengan begitu, nyatalah dalam kalangan seluruh pengawal istana dan orang ramai bahawa Paulus dipenjarakan kerana Kristus. Demikian juga kebanyakan orang percaya bertambah yakin dalam iman mereka kepada Kristus kerana Paulus dipenjarakan. Mereka semakin berani menyebarkan firman Allah tanpa ketakutan. Pendek kata, ketabahan Paulus di dalam penjara telah mendorong orang percaya lebih bersemangat lagi untuk mengkhabarkan Berita Baik di mana-mana sahaja.
Janganlah kita kecewa dengan apa yang terjadi kepada diri kita kerana kita menjadi pengikut Yesus, tetapi kita hendaklah tetap kuat dan teguh dalam iman kita. Sebab semua yang kita lalui ada maksud yang besar bagi kerajaan Allah. Bersyukurlah kepada Allah yang boleh menggunakan semua keadaan, bahkan yang betapa susah sekali pun untuk mencapai tujuan-Nya. Kita harus berfokus pada pekerjaan Allah dan mengutamakan kerajaan-Nya seperti Paulus.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk tetap bersyukur kepada-Mu dalam segala perkara. Engkau membiarkan sesuatu terjadi dalam hidupku kerana Engkau memiliki tujuan yang baik untuk memajukan penyebaran Injil demi kemuliaan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.




Comments