Allah Telah Memilih Kita Sejak Permulaan
- Jun 27
- 2 min read

Sebabnya Dia telah memilih kita dalam Kristus sebelum dunia ini dijadikan, supaya kita suci dan tidak bercela di hadapan-Nya. Efesus 1:4 AVB
Rasul Paulus memberitahu jemaah di Efesus bahawa sebelum dunia ini diciptakan, Allah telah memilih mereka untuk menjadi umat-Nya melalui hidup bersatu dengan Kristus, supaya mereka menjadi suci dan tidak bercela di hadipan-Nya. Dengan kata lain, apabila Allah “memilih” seseorang, ia membawa pengertian bahawa Allah yang berdaulat menentukan atau memutuskan siapa yang dikehendaki-Nya.
Allah Bapa ialah pihak yang mengambil inisiatif tentang penyelamatan kita. Bukan kita yang memilih Allah terlebih dahulu tetapi Dialah yang memilih kita. Pemilihan kita bersangkut paut sepenuhnya dengan Tuhan Yesus Kristus. Penyelamatan sama sekali tidaklah berdasarkan kelayakan manusia tetapi berdasarkan kasih kurnia dan rancangan abadi Allah.
Hal ini bermaksud bahawa Allah memilih kita untuk menjadi umat-Nya kerana Dia begitu mengasihi dunia sehingga menganugerahkan Anak-Nya yang tunggal supaya setiap orang yang percaya kepada-Nya tidak akan binasa melainkan mendapat hidup kekal. Oleh itu, melalui Yesus Kristus kita menjadi milik Allah.
Kita perlu sedar bahawa Allah memilih kita untuk menjadi umat-Nya sejak permulaan sebelum dunia ini diciptakan. Sebelum manusia diciptakan dan terjerumus ke dalam dosa, Allah telah pun bermaksud untuk menebus manusia dengan syarat kita harus percaya kepada Tuhan Yesus dan hidup bersatu dengan-Nya. Melalui Yesus Kristus kita menjadi suci dan tidak bercela di hadapan-Nya.
Menjadi suci bererti bahawa kita dikhususkan demi Allah untuk mencerminkan kekudusan-Nya. Tidak bercela di hadapan-Nya tidak bermaksud langsung tidak berdosa dalam hidup kita. Apabila hidup bersatu dengan Kristus, Allah memandang orang percaya sebagai bersih dan diperhitungkan benar kerana tidak ada hukuman bagi orang yang ada dalam Kristus Yesus. Segala puji dan syukur bagi Allah bahawa iman dan identiti kita dalam Kristus bukanlah sesuatu yang kebetulan. Sesungguhnya, kita umat terpilih, para imam raja, bangsa suci, umat-Nya sendiri, yang dipilih untuk mengisytiharkan puji-pujian bagi Dia yang telah memanggil kita daripada kegelapan kepada cahaya-Nya yang gemilang.
Doa:
Ya Bapa yang di syurga, terima kasih kerana memilih aku untuk menjadi umat-Mu. Walaupun aku seorang yang berdosa, namun Engkau mengampuni aku dan sangat mengasihiku. Ajarlah aku untuk tetap berakrab dengan-Mu, hidup suci dan tidak bercela di hadapan-Mu. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin.
Pr Patrick Taie




Comments