top of page

Amanah Terhadap Harta Syurga Terletak Pada Pengurusan Harta Dunia

ree

“Oleh itu, jika kamu tidak setia dalam kekayaan dunia ini, siapakah yang akan mengamanahkan kekayaan yang sejati kepadamu?” Lukas 16:11 AVB

 

Yesus sekali lagi berkata kepada murid-murid-Nya bahawa kesetiaan mereka terhadap pengurusan harta dunia ini akan menjadi dasar mereka mengendalikan harta yang datang dari syurga. Dengan kata lain,  jika mereka bukanlah pengurus yang setia mengendalikan harta dunia yang diberikan, mana mungkin mereka diamanahkan dengan berkat rohani yang lebih penting lagi daripada Allah. Oleh itu, mereka harus membuktikan kesetiaan mereka terlebih dahulu dalam pengurusan harta dunia ini.

 

Sebab sekiranya mereka tidak jujur dan setia mengurus harta dunia  yang telah diamanahkan kepada mereka, mana boleh Allah mengamanahkan harta syurga kepada mereka. Sebab mereka ternyata tidak jujur dan setia menggunakan kekayaan dunia ini. Akibatnya,  mereka juga tidak akan diamanahkan untuk menggunakan kekayaan yang sejati, iaitu  berkat rohani dan ganjaran syurgawi yang dikurniakan oleh Allah dan yang mempunyai nilai abadi.

 

Sesungguhnya, kesetiaan mengurus harta dunia menjadi kayu pengukur tentang perwatakan  diri dan potensi mereka untuk memegang tanggungjawab yang lebih besar dalam kerajaan Allah serta diamanahkan untuk mengurus harta syurga yang jauh lebih bernilai. Jelaslah bahawa mereka harus menggunakan kekayaan dunia dengan sebaik-baiknya agar mereka dapat dipercayai untuk menggunakan kekayaan yang sejati dari syurga.

 

Kekayaan yang sejati ialah harta rohani yang akan menyebabkan mereka menjadi kaya  dalam iman mereka, kaya terhadap Allah, kaya dalam Kristus, kaya dalam janji-janji-Nya, dan kaya  dalam harta syurgawi. Oleh itu, marilah kita mengumpulkan harta kekayaan dari syurga dengan mengutamakan kerajaan Allah dan kebenaran-Nya.

 

Harta duniawi ialah perkara kecil, tetapi kasih kurnia Allah, hubungan kita dengan Allah  dan kemuliaan Allah merupakan perkara yang lebih besar daripada segala-galanya.

 

Doa:

Ya Bapa yang di syurga, ajarlah aku untuk menurut kehendak-Mu dalam segala yang aku lakukan. Tolonglah aku untuk mengurus segala harta dunia yang diberikan kepadaku dengan jujur dan setia. Bimbinglah aku dalam segala jalanku. Dalam nama Tuhan Yesus aku berdoa. Amin. 


Pr Patrick Taie

Comments


bottom of page